Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan hari ini untuk membolehkan pilihan raya DUN ke-10 diadakan.
Speaker DUN Sarawak Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng telah diterima pada pagi ini.
"Pembubaran DUN Sarawak pada 21 Mac iaitu hari ini mengikut perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak," katanya pada sidang media di bangunan DUN baru di Kuching hari ini.
Asfia berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak akan diserahkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada petang esok.
"Tempat dan masa pertemuan belum dapat ditentukan tapi ia akan diserahkan esok," katanya lagi.
Asfia berkata selepas penyerahan pengisytiharan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.
Pada Sabtu lalu, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan DUN Sarawak dibubar pada hari ini bagi membolehkan pilihan raya negeri ke-10 diadakan.
Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi DUN selepas ADUN Engkilili Dr Jonical Rayong Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), menyertai BN tahun lalu.
DAP menguasai enam kerusi manakala PKR dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.
DUN Sarawak dengan 71 anggota sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.
Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006.
sumber : Malaysiakini
Ulasan saya:
Bertuahnya rakyat Sarawak, sebabnya pelbagai projek mee segera akan melimpah ruah kat sana. Kerajaan Pusat akan buat itu ini dan di situ di sini untuk meraih sokongan. Kalau PRK pun berpuluh juta RM diperuntukkan untuk segala projek mee segera, maka apatah lagi dengan Pilihanraya Raya Negeri yang jauh lebih penting .
No comments:
Post a Comment