Monday 28 June 2010

WACANA PERDANA : BOLEHKAH MELAYU BERSATU

(kepada yang berada di Kelantan bolehlah menyaksikan)


Berbeza Haluan
Bersimpang jalan
Itu lumrah dan kelaziman
Bukan hari ini atau semalam
Tapi sejak zaman berzaman
Sejak manusia
mengenali hidup dan kehidupan
Sejak zaman
Habil dan Qabil putera Adam.

Satu ke kiri
Satu ke kanan
Satu ke utara
Satu ke selatan
Satu ke belakang
Satu ke depan

Masing-masing ada gagasan
Masing-masing ada wawasan
Cuma berbeza pendekatan

Perpaduan yang ingin dibina
Penyatuan yang ingin dicipta
Kita telah ada formulanya.
Formula yang lengkap dan sempurna.
Formula yang sifar dari cacat dan cela
Formula dari Yang Maha Esa
Formula dari Yang Maha Pencipta

P/S= Ini bukan entry politik. Saya tidak memperkatakan tentang politik demi empayar persahabatan dan wilayah persaudaraan yang terbina. Juga demi kelestarian ukhwah. Cuma saya berbicara tentang fakta yang terbentang dan terhidang. Lantas, saya hidangkan fakta-fakta itu untuk ‘santapan’ sahabat semua . Sahabat tidak dipinta untuk menikmati kesemuanya. Nikmati lah mengikut selera, kerna selera kita semua takkan sama. Cuma, pinta saya, cubalah sahabat ingat kembali, ketika sahabat sekeluarga memesan makanan kat restoran atau warung. Pasti sahaja berbeza hidangan yang dipinta. Kalau tujuh orang, besar kemungkinan tujuh menu yang berlainan. Ada yang meminta nasi goreng daging merah, ada yang meminta nasi goreng pattaya dan macam-macam lagi. Itu contoh yang paling asas betapa berbeza haluan dan bersimpang jalan adalah lumrah. Dalam soal makanpun dah berbeza, maka apatah lagi dalam soal siasah dan hal-hal penting yang melibatkan idealogi dan pegangan. Bebeza tidak salah asalkan tahu adab-adabnya.

Kata Laksamana Hang Tuah, “ Melayu Tidak Akan Hilang di Dunia”.

Betul ke? Harap-harap betul. Tapi harus diingat, sebab sejarah telah menjilidkan tetang kepupusan bangsa-bangsa yang dahulunya gah dan hebat( bacalah buku-buku karangan Harun Yahya, sahabat pasti akan memperolehi jawapannya)

Kata Allah(istilah Firman lagi tepat), “ Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah(agama islam) dengan mulut mereka, tapi Allah tetap menyempurnakan cahayanya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.”- Surah As-Saff ayat ke-8. Sahabat disaran menonton rakaman perdebatan yang melibatkan tokoh-tokoh perbandingan agama yang terkenal seperti Almarhum Ahmad Deedat dan Dr. Zakir Naik. Lihatlah bagaimana cahaya Allah tak dapat ditewaskan oleh ‘mulut-mulut’ para musuh.

Kata-kata Allah pasti tepat dan benar. Lagipun sejarah juga telah menjilidkan semua ini. Lihat sahaja ketika peristiwa tentera monggol(Tartar) pimpinan Hulagu Khan menganyang Baghdad. Kalau ikut logik, agama islam dah berkubur dari dunia sebab ribuan umat islam telah dibunuh dengan kejam termasuk ulama-ulamanya. Tapi kerana janji ‘pemeliharaan’ dari Yang Maha Pencipta, maka islam terus bersinar dan tidak pernah malap cahayanya.

FORMULA PERPADUAN.

Dan berpegang-teguhlah kamu sekalian pada tali Allah (agama islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.... (Surah A-li ‘Imraan, ayat 103)

Formula yang lengkap dan sempurna.
Formula yang sifar dari cacat dan cela
Formula dari Yang Maha Esa
Formula dari Yang Maha Pencipta.
( sengaja saya ulangi rangkap ini)

Berpegang teguh = merangkumi penyatuan dan perpaduan
Tali Allah = ialah Firman Allah ( kitabullah) dan sabda Nabi ( lebih tepat sunnah).

Perpaduan atas nama agama yang sepatutnya diusahakan. Dalam lipatan sejarah Melaka, terdapat peristiwa permusuhan bangsa walaupun seagama. Masing-masing ingin mendaulatkan bangsa masing-masing. Rujuk kes di Melaka ketika Tun Mutahir (berbangsa India-Muslim) menjadi Bendahara Melaka. Berlaku perpecahan antara orang Melayu dan India Muslim yang menganuti agama yang sama. Perpecahan yang mempercepatkan kejatuhan Melaka ke tangan Portugis ( dalam piala dunia saya turut meminati Portugal selain Argentina) pada tahun 1511.

p/s= Maaf jika bicara ini menguris hati dan mencalar perasaan. Bukan niat saya untuk merobek peraaan sahabat. Saya cuma berbicara berdasarkan fakta. Sekali lagi ditegaskan, ini bukanlah entry tentang politik.

Friday 25 June 2010

WANITA BERSOLAT JUMAAT?

(Masjid Beijing di Rantau Panjang Kelantan)

Isu ini mula diperkatakan sejak minggu lepas apabila Menteri Besar Kelantan, yang juga Mursyidul Am (Spiritual leader ) PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) mengalakkan wanita untk turut serta bersolat jumaat sebagaimana kaum lelaki. Sengaja saya menangguhkan diri dari menulis tentang isu ini demi melihat dan mendengar reaksi dari tokoh-tokoh agama yang lain. Dalam berbicara soal agama, kita mestilah menilai hukum berdasarkan dalil-dalil syarak. Pandangan dan saranan TGNA, sebenarnya bukanlah bercanggah dari sudut agama meskipun ia agak menyalahi kelaziman dan kebiasaan di Malaysia dan Nusantara. Tapi, sebagaimana saya nyatakan tadi, agama bersendikan dalil-dalil syarak dan bukannya kebiasaan setempat. Tanpa bias kepada mana-mana parti , isu ini harus dibicarakan secara berhikmah. Pesan saya cuma satu, dengarlah apa yang dikata tanpa melihat siapa yang mengata. Yang penting, apa yang dikata itu bersendikan dalil-dalil syarak.

Sebelum berbicara tentang hukum wanita bersolat jumaat, eloklah dahulu kita perkatakan tentang hukum wanita bersolat berjemaah di surau mahupun masjid. Secara tradisinya, hukum yang sering diutarakan tentang hal ini, ialah wanita lebih afdal bersolat di rumah. Antara dalil yang dikemukakan ialah, sabda Rasulullah: “Janganlah kalian melarang wanita-wanita kamu (untuk pergi ke) masjid dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka”. (riwayat Ibnu Khuzaimah). Sebenarnya berdasarkan hadis ini, jelas tiada larangan untuk wanita ke masjid, Cuma yang ada ialah nas yang menyatakan bahawa solat di rumah adalah lebih baik buat wanita..

(Masjid Beijing di Rantau Panjang Kelantan)

Antara alasan yang dikemukakan oleh mereka yang tidak menggalakkan wanita bersolat jemaah di masjid ialah untuk mengelakkan fitnah. Dulu ada seorang ustaz berkata, Pelbagai fitnah boleh timbul terhadap wanita sepanjang perjalanan mereka pergi dan pulang dari masjid . Fitnah juga boleh timbul semasa mereka berada di masjid. Wanita-wanita ini akan diperhatikan oleh lelaki lalu berlakulah proses fitnah yang berpanjangan terhadap wanita itu dan lelaki yang memandangnya. WAH hebatnya alasan yang diberi. Tapi, Kalaulah kaum wanita dihalang ke masjid atas alasan fitnah, maka kenapa kita tidak menghalang anak-anak perempuan ke sekolah atas alasan yang sama? Tidakkah fitnah pergaulan bebas di sekolah lebih teruk daripada di masjid? Tidakkah gangguan yang bakal dihadapi mereka semasa ke sekolah atau ke kolej atau universiti itu lebih besar daripada ke masjid? Kenapakah mereka dihalang ke masjid yang berdekatan dengan rumah mereka, tetapi tidak dihalang ke kolej atau universiti yang jaraknya lebih jauh? Kenapakah anak-anak perempuan atau isteri-isteri dibenarkan ke tempat kerja, shopping kompleks, ke pasar-pasar bahkan ke semua tempat kecuali tempat yang paling mulia, iaitu rumah-rumah Allah? Satu persoalan lagi, benarkah apabila wanita duduk di rumah maka dia terselamat dari fitnah. Bukankah di rumah banyak ejen-ejen fitnah yang berupa televisyen. Kalau menonton berita di kaca TV sekalipun sudah banyak fitnah daripada fakta. Itu belum lagi dicampur dengan rancangan-rancangan berbentuk hiburan a.k.a maksiat. Jadi, adakah wanita yang sedang beribadat di dalam masjid itu lebih buruk dan lebih besar fitnahnya berbanding dengan yang sedang menonton tv di rumah?

Di sini ingin saya memetik artikel yang ditulis oleh Ust Tuan Mohd Sapuan bin Tuan Ismail (Pensyarah KIAS Kelantan) ……..bagi saya, kalaulah kita ingin berbincang mengenai hukum wanita ke masjid , kita jangan hanya melihat kepada hukum solat berjemaah yang ditulis dalam kitab-kitab Fiqh. Ini kerana hukum tersebut hanya untuk hukum datang berjemaah ke masjid. Padahal kita juga perlu melihat bahawa masjidlah tempat penyebaran ilmu dan kefahaman mengenai Islam. Kerana inilah Dr Yusof al-Qardawi berkata: "Solat seorang perempuan di rumahnya itu lebih baik jika dia ke masjid hanya untuk berjemaah, tanpa sebarang faedah lain, tetapi jika ada faedah yang lain seperti mendengar tazkirah keagamaan, mempelajari sesuatu ilmu atau mendengar bacaan al-Qur'an daripada qari yang khusyuk, maka pergi ke masjid itu adalah lebih baik". Ini kerana kewajiban belajar agama dan mendengar tazkirah bukan tertentu untuk golongan lelaki sahaja.
Bahkan terdapat hadis yang khusus yang menyatakan kelebihan belajar di masjid. Sabda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang datang ke masjid dan tidak ada tujuan baginya melainkan mempelajari kebaikan atau mengajarnya, maka baginya pahala haji yang sempurna”. Hadis riwayat Tobarani dan al-Albani mengangapnya sohih. Lihat Sohih Targhib wat Tarhib, m/s 38……

Kembali kepada tajuk( wanita bersolat jumaat sebagaimana kaum lelaki). Sebenarnya tujuan TGNA mengemukakan cadangan itu adalah atas dasar ilmu dan bukanlah untuk bersolat jumaat semata-mata. Ini kerana solat jumaat dimulakan dengan khutbah dan khutbah pula merupakan proses pembelajaran. Menuntut ilmu amat dituntut oleh islam, malah sejarah silam menunjukkan islam amat menitikberatkan pendidikan ke atas kaum wanita. Dalam sebuah hadis, Aisyah menyebut para wanita telah bersolat subuh bersama Rasulullah s.a.w dan kembali ke rumah masing-masing sewaktu kabus masih tebal( sila rujuk buku Wanita, Status Sosial dan Undang-undang Islam, tpengarang Prof Madya Dr. Paizah Hj. Ismail m/s 59). Ibn Qayyim pula berkata, bilangan sahabat Rasulullah s.a.w yang mempunyai pengaruh yang kuat dalam bidang fiqh berjumlah 130 orang merangkumi lelaki dan perempuan. Daripada jumlah ini seramai 7 orang (7 org daripada 30 org ) telah membuat berbagai fatwa atau keputusan. Kata Ibn Hazm, di antara 7 orang itu ialah Umar, Ali, Abdullah bin Mas’ud, termasuk juga Aisyah( rujuk Hak Keistimewaan Wanita, pengarang Ustaz Nik Razi Nik Mat dan Dr. Rosnani Hassan). Aisyah juga pernah memuji wanita Madinah, kata Aisyah “Sebaik-baik wanita ialah wanita Madinah, kerana tidak malu mendalami hokum-hukum agama.” ( rujuk, Islam dan Manusia, Prof Madya Dr. Abdul Hayei Sukor, m/s 387 ).

Jadi,amat wajar dan sangat waras cadangan ini dikemukan oleh TGNA ini. Ia teramat releven untuk ibu-ibu yang sudah mempunyai anak-anak yang remaja dan dewasa. Terlampau releven, untuk wanita-wanita yang telah bersara dan tidak dibebankan dengan apa-apa kerja. Walau bagaimanapun bekas Mufti Johor, Datuk Noh Gadut mengatakan prasarana di kebanyakkan masjid hari ini memustahilkan wanita untuk turut serta bersolat jumaat. Katanya lagi, keadaan masjid hari ini terlalu sesak hinggakan jemaah lelaki terpaksa bersolat di luar masjid, jadi jika wanita turut hadir maka ia akan menghalang( mengambil ruang) kaum lelaki dari bersolat jumaat.

Pandangan pribadi saya, cadangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz tetap releven dan pandangan ustaz Noh Gadut juga benar dan tepat( ini berdasarkan pemerhatian saya sepanjang bersolat jumaat dibeberapa buah masjid di seluruh Malaysia). Pandangan pribadi saya juga, jangan jadikan prasarana masjid yang belum sempurna sebagai alasan untuk wanita terpinggir dari arus ilmu yang disampaikan menerusi khutbah jumaat. Kaum wanita masih boleh memperolehinya menerusi kaca TV ( RTM 1) yang menyiarkan solat jumaat secara langsung.






























Thursday 24 June 2010

mawar merah dari sahabat

Mawar Merah Buat Sahabat ni adalah award dari sahabat blogger, cik amy sensei pemilik blog http://kilauancinta.blogspot.com/. Saya amat menghargai anugerah ini. Anugerah persahabatan di alam maya.Sebenarnya ia dianugerahkan ketika saya sedang bercuti selama dua minggu di Kelantan( cuti sekolah ). Kat rumah saya di Kelantan, saya tiada kemudahan internet jadi terpaksalah saya beruzlah seketika dari dunia blog.

Tentang Cik Amy ini, saya mengenalinya menerusi XTVT ziarah menziarahi dan kunjung mengunjungi sesama blogger. Mawar Merah Buat Sahabat, saya tertarik dengan perkataan sahabat. Sebab selalu saya laungkan matlamat saya berblog, iaitu sekadar untuk memperluaskan wilayah persahabatan dan memperbesarkan empayar persaudaraan. Bersahabat dan bersaudara sesama insan ( blogger) tapi kerana Tuhan.

Saya ingin bersahabat dengan semua blogger tanpa mengira jantina, bangsa, agama, mazhab, idealogi politik dan sempadan negara. Semaksimum mungkin saya cuba mengelakkan diri dari menulis entry yang menguris hati dan mencalar perasaan sahabat blogger( kalau ada tolong nyatakan dan saya pohon jutaan kemaafan)

Tuesday 22 June 2010

Ujian khas mungkin diwujudkan untuk memasuki ASRAMA PENUH


Hampir tiga tahun saya meninggalkan Sekolah Menengah Sains Lahad Datu, sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negeri di bawah bayu. Dulu, saya adalah antara pendidik di sekolah itu. Jujur, sampai sekarang saya masih menganggap segala kenangan SMSLD sebagai yang terindah, terbaik dan termanis untuk dikenang. Percayalah, cinta saya tertinggal di situ. Ia ada di setiap ruang dan sudut negeri di bawah bayu. Jika ditanya tentang rindu, ia berada di setiap inci negeri itu. Andai ditanya tentang kasih dan sayang, ia berada di setiap kelas dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.

(logo SMSLD)



Perlu saya maklumkan, Sewaktu memohon untuk penempatan(posting) dahulu, pilihan pertama saya ialah negeri Kedah, diikuti Perak, Melaka dan Johor. Tapi kerja Tuhan tak siapa yang tahu, akhirnya saya terlontar ke negeri di bawah bayu.



( Guru Penyayang. Aku bersama pelajarku.
Ada makhluk kt atas pokok tu, sila klik gambar utk lihat )
Cukuplah bernostalgia dan kembali kepada tajuk. Beberapa hari yang lepas, ada ura-ura dari Kementerian Pelajaran untuk memansuhkan peperiksan UPSR dan PMR. Cadangan ini disokong oleh beberapa NGO berasaskan Keguruan dan Pendidikan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), tetapi kedua-dua NGO ini inginkan UPSR dikekalkan atas alasan ia masih relevan.


( Barisan guru smsld. Aku no. 3 dari kiri)
Sekarang kemungkinan akan diwujudkan satu ujian khas untuk memasuki sekolah berasrama penuh bagi menggantikan peperiksaan awam UPSR dan PMR. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ujian khas itu tidak akan diwajibkan tetapi terbuka kepada pelajar yang ingin memasuki sekolah berasrama penuh Katanya lagi, Ujian khas sebegini pernah dilakukan dahulu bagi kemasukan ke Maktab Melayu Kuala Kangsar.

( Barisan guru SMSLD, aku paling kanan)

Umum mengetahui , hanya pelajar yang terpilih sahaja yang layak menjadi warga SBP( begitu juga untuk ke MRSM). Ramai bekas pelajar saya dahulu, kini bertebaran di seluruh dunia kerana melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidan. Umum juga mengetahui, selama ini kegemilangan dalam UPSR dan PMR yang dijadikan kayu ukur tapi nampaknya ia akan jadi sejarah sebab UPSR dan PMR mungkin dimansuhkan. Apa sahaja yang dilakukan harap tidak menjejaskan mutu SBP khasnya dan pendidikan amnya. Secara pribadi, saya tidak menyokong secara total dan tidak pula membantah secara mutlak terhadap kedua-dua cadangan ini. Apatah lagi saya juga seorang pendidik, yang terikat dengan pelbagai akta. Cuma, wajar sekali cadangan ini diperhalusi sebab kalau kita rujuk dasar-dasar yang lepas ternyata kita hanya bereksprimen dalam dunia pendidikan dengan menjadikan pelajar sebagai bahan uji kaji. Dulu, pernah sesi persekolahan dimulakan pada bulan disember. Huru-hara pelajar-pelajar di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu kerana amukan banjir. Lepas tu, diperkenalkan pula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akhirnya mengundang kontroversi.

Yang pasti, tunai tetap kami tunaikan akan saya kotakan selaras dengan semangat KAMI GURU MALAYSIA.

(SMSLD)







































Monday 21 June 2010

uzlah SEKETIKA

( Pengkalan Kubor, sempadan Thailand)

Rasanya hampir dua minggu saya menyepi dari dunia blog, lantaran bercuti kat kampung di Bachok Kelantan. Sepanjang menguzlahkan diri dari dunia blog, seakan-akan terhenti xtvt singgah menyinggah, ziarah menziarah, jenguk menjenguk, klik mengelik , follow memollow dan yang seerti dengannya.Tentang selatan Thailand, dulu saya redah suke suki jer ke sana. Tapi sejak peristiwa berdarah di Takbai, saya sudah tidak berani untuk ke sana sesuka hati. Dulu, nak beli jeans dan mercun, maka saya redah selatan Thailand( Takbai). Tembak menembak memang dah berkurangan berbanding tahun 2004- 2005, namun sesekali ia tetap berlaku. Risau takut sesekali itu, mangsanya adalah kita. Jadi tak payah menaggung risiko.

(Patung Budha/etnik Siam kat Tumpat)

Pada mulanya, saya dan rakan-rakan bercadang nak mencadat sotong kat Marang Terengganu, tapi terpaksa dibatalkan sebab masalah tertentu. Jadi, Saya manfaatkan cuti dua minggu untuk jalan2 sekitar Kelantan. Seperti biasa setiap kali musim cuti sekolah, maka ramailah orang berkunjung ke Kelantan. Kat Dataran Al-Quran berderet bas dari negeri-negeri lain yang parkir kat situ. Kat pasar borong wakaf che yeh pun begitu, berlambak pengunjung-pengunjung dari luar Kelantan yang datang berkunjung. Kesesakan jalan raya memang merimaskan, tambahan lagi Muktamar PAS turut diadakan di Kelantan kali ini, termasuklah di Kelantan Trade Centre ( muktamar Dewan Pemuda PAS), MADU di Machang (muktamar Dewan Ulama PAS), dan Pusat Tarbiyah Islamiyyah Kelantan(PUTIK) Pengkalan Chepa (muktamar yang lain2).


(Dataran Al-Quran Kota Bharu, ni gambar lama,2004)


(Kemasin Bachok)



(Memancing kat Kemasin Bachok)


(Pantai Irama Bachok)

Kata kawan saya, untuk menyegarkan mata selain guna produk PERMATA HIJRAH, boleh juga dengan melihat laut yang membiru. Tapi yg jelas, kawan saya bukannya lihat laut yang membiru tapi lihat anak-anak dara bermain ombak. Jujur, saya akui, kaedah ini juga dapat menyihatkan mata.


(Pantai Irama Bachok)

Dulu, pantai irama adalah tempat terdamparnya mayat-mayat pelarian Vietnam. Mereka melarikan diri melalui jalan laut kerana pergoalakn politik di sana. Dalam perjalanan mereka dirompak oleh lanun dari Thailand, lalu enjin bot dicuri, perempuan dirogol, makanan dan harta benda dirampas. Pelarian itu akan mati setelah beberapa hari dilautan kerana tiada bekalan makanan dan tidak boleh meneruskan perjalnan kerana enjin botnya telah dirampas lanun dari Thailand. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja mayat pelarian Vietnam yang terdampar kat pantai irama. Malah pernah suatu ketika, segelintir orang- orang Bachok tak makan ikan yang di tangkap di laut sebab pernah dilaporkan terdapat sisa-sisa daging manusia( pelarian Vietnam) dalam sesetengah perut ikan yang ditangkap.



(Mandi manda kat Pantai Irama Bachok)

Tika sedang asyik bermain2 ombak, saya dikejutkan dengan kehadiran naggota polis dan bomba. Ruap-rupanya ada mayat yang ditemui terapung di laut. Tapi ia bukannya mangsa lemas,tapi mayat yang dihanyutkan entah dari mana. Maaf saya tidak rakam mayat itu demi menghormatinya.


Wednesday 16 June 2010

99 PERATUS GULA NEGARA DIIMPORT




Gula dan Gila.

Bukan gula-gula

Tidak juga gila-gila

Tapi, Inilah.....

kegilaan yang menggila

Kegilaan menaikkan harga gula

Dengan alasan yang gila,

Kononnya untuk mengurangkan kegilaan orang ramai terhadap gula

Kononnya kegilaan terhadap gula

Akan menyebabkan obesiti dan diabetes menggila


Di atas adalah entry lama saya tentang gula. Mungkin ia sudah tak releven kerana masalah hari ini ialah masalah kekurangan gula ( yang disorok entah di mana) dan bukannya masalah kenaikkan harga gula. Tapi, saya amat yakin, sebagaimana saya yakin dengan formula satu tambah dua jawapannya adalah tiga (1+2=3). Yakin sangat-sangat, sesungguhnya gula akan memenuhi malah akan berlambak di pasaran andainya kerajaan mengumumkan kenaikkan harga gula. Tika dan saat itu, bekalan gula akan datang mencurah-curah dari sumber yang tak disangka-sangka. Tika dan saat itu juga, Peruncit akan kata ok, pemborong pula kata beres. Cuma pengguna yang mengeleng-gelengkan kepala.

99 PERATUS GULA NEGARA DIIMPORT.

Kembali kepada tajuk.Kekurangan bekalan gula semakin menggila. Sana sini dan di mana-mana, ketiadaan gula amat dirasai. Dari kedai kopi dan kedai runcit di kampung-kampung hinggalah ke Tesco dan Giant di bandar-bandar. Ramai yang terkejut kerana gula sukar didapati. Tapi lebih ramai yang terkejut apabila Menteri Perdagangan Antrabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (DSMM)mengatakan, sebanyak 99% bekalan gula dalam negara diimport dari negara luar. Katanya lagi, sebahagian besar bekalan gula di Malaysia diimport dari Brazil (41%), diikuti Austarlia( 36%), Thailand (14%) , Nicaragua( 8%) dan Guatemala(0.6%).

Mungkin ada yang tertanya-tanya, ke manakah ‘menghilangnya’ pokok-pokok tebu di Malaysia(terutamanya di perlis) hinggakan hanya mampu mengeluarkan 1% sahaja bekalan gula untuk kegunaan di dalam negara. Maaf saya tiadak memiliki jawapan untuk soalan itu. Yang jelas lagi pasti, walaupun bekalan gula telah diimport sebegini rupa, namun bekalan gula dalam negara tetap berkurangan. Kekurangan tahap kronik. Kekurangan yang meresahkan sesiapa sahaja.

Awal tahun 2010, harga gula telah dinaikkan dengan alasan untuk mengurangkan obesiti dan diabetes. Itu telah berlalu dan biarlah ia berlalu, malah kenaikkan itu telahpun diterima dengan penuh redha oleh segenap masyarakat. Cuma jangan pula selepas ni, harga garam pula dinaikkan dengan alasan untuk mengurangkan darah tinggi. Atau harga beras dinaikkan dengan alasan untuk menggelakkan obesiti. Jangan juga harga petrol, harga kereta (dan lain-lain kenderaan bermotor), kadar tol dan tiket bas dinaikkan dengan alasan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Lebih-lebih lagi, jangan pula menaikkan harga pisau, kapak dan parang dengan alasan untuk mengurangkan kes bunuh.


Ada cadangan dari kerajaan agar subsidi gula dikurangkan secara berperingkat. Kata DSMM, harga gula di pasaran antarabangsa sekarang ialah RM2.45 sen sekilogram sedangkan harga pasaran domestik yang telah disubsidikan pula ialah sekitar RM1.65 sen sekilogram. Saya tidak membantah secara total dan tidak pula menyokong secara mutlak. Ada suara-suara ‘atasan’ yang mengatakan, wang subsidi itu akan dimanfaatkan untuk memajukan pengangkutan awam. Persoalannya, adakah kemudahan itu dinikmati oleh rakyat secara menyeluruh sebagaimana kesan kenaikkan harga gula yang ditanggung dan dirasai oleh semua. Yang pasti, di sekitar Kuala Lumpur dan bandaraya lain, ia benar-benar direalisasi tapi di kampung-kampung dan kawasan pendalaman ia hanya mimpi.


Memanglah harga gula tak meningkat secara melampau andainya subsidi dimansuhkan. Mungkin akan berlaku kenaikkan sekitar 20 atau 30 sen sahaja. Ia tidak membebankan rakyat terbanyak. Tapi, jangan kita lupa sebab masih ramai rakyat Malaysia yang hidup dalam kedaifan yang teramat sangat. Bagi mereka kenaikkan harga walaupun sekecil 20 sen, tetap membebankan. Bukan sekadar terbeban untuk membeli gula tapi terbeban untuk membeli makanan berasakan gula. Dahulu, ketika berkhidmat di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu Sabah, saya sering perhatikan seorang tukang kebun yang sering meminta sisa-sisa ikan( kepala ikan ) dari kantin dan dewan makan. Saya ingatkan, dia ingin memberi kepala ikan itu kepada kucing.Rupa-rupanya, dia tak mampu membeli ikan jadi kepala ikan itu akan dimasukkan ke dalam gulai dan dia sekeluarga dapat menikmati ‘perasa’ ikan di dalam gulai itu. Bayangkan, betapa daifnya pakcik tukang kebun ini hinggakan tidak mampu membeli ikan dan terpaksa memakan kepala ikan ( yg sepatutnya dimakan oleh kucing). Beberapa tahun yang lalu ketika di Universiti, seorang sahabat saya yang berbangsa Melanau terpaksa berhenti belajar kerana ketiadaan wang. Malah, hampir 2 bulan dia hanya memakan sagu yang dihantar oleh orang tuanya dari Sarawak. Bayangkan betapa susahnya orang tua sahabat saya ini. Itu dua episod kemiskinan yang pernah saya saksikan, tapi bagaimana pula dengan episod-episod yang lain. Pastinya masih berlambak. Sahabat boleh sahaja melihat rancangan bersamamu di TV3. Itu yang menampilkan diri tapi bagaimana pula dengan yang menguzlahkan diri dari pengetahun umum. Pastinya sangat ramai.


Jujur! Saya tidak membantah secara total dan tidak pula menyokong secara mutlak jika subsidi nak dihapuskan. Cuma, sebelum dihapuskan subsidi gula dan macam-macam subsidi untuk menjimatkan perbelanjaan negara, eloklah direnung dahulu segala dasar yang ada agar bertepatan dengan konsep RAKYAT DIDAHULUKAN DAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN. Sudah tiba masanya para Menteri menjadi contoh dan tidak hanya memberi contoh( hanya melaungkan slogan). Apa kata kalau Pak Menteri cuba-cubalah berjimat. Lagi bagus kalau dikurangkan gaji dan elaun Pak Menteri. Bukankah Umar Abdul Aziz dan Sallahudin al-Ayubbi telah menjadi contoh dalam hal ini.





Monday 7 June 2010

Hanya 93.2% rakyat Malaysia yang tahu MEMBACA




Mungkin ramai yang terkejut apabila membaca Utusan Malaysia Semalam (7. jun. 2010 ). Ini berdasarkan kajian Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) pada tahun 2007/2008. Lebih hebat lagi, secara puratanya rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku sahaja setahun. Angka ini memeng boleh dibanggakan kalau kita bandingkan dengan negara-negara seperti Timor Laste, Papua New Guinea dan Kenya. Hahaha, pemimpin kitakan selalu membuat perbandingan macam ni bila nak menaikkan harga gula dan petrol.

Tenatng isu pembacaan ini , saya teringat kepada pembacaan yang lalu. Pernah dahulu, saya terbaca sebuah Majalah( namanya Majalah al-Fununiyah) yang diterbitkan oleh sebuah institusi pondok di Kelantan ( pondok Tunjung yang dikendalikan oleh Tuan Guru Haji Ghazali - setahu saya , beliau sudah meninggal dunia). Saya amat tertarik dengan sebuah rencana dalam majalah tersbut. Ok, saya perturunkan di sini.

Monshe Dayan, bekas perdana menteri Israel telah menyatakan perancangan Israel kepada awam secara bertulis (saya lupa , sama ada di akhbar atau buku ). Perbuatannya ini ditegur oleh beberapa pemimpin-pemimpin zionis yang lain. Namun , dengan tenang dia menjawab, “Usah risau kerana mereka tidak pandai membaca. Kalau pandai membaca pun mereka tidak suka membaca. Kalau mereka baca pun mereka tak faham apa mereka baca. Kalau faham pun mereka tak kan buat apa-apa.”

Nah! Itu satu tamparan hebat dari pemimpin rejim Zionis terhadap umat islam. Monshe Dayan dah tahu umat islam sekarang sudah tidak menghayati roh Iqra’ yang dinyatakan dalam wahyu yang pertama Al-‘Alaq.









Kembali kepada situasi di Malaysia. Daripada jumlah 93.2% yang membaca itu, masih lagi saya tertanya-tanya. Tentanya-tanya tentang apa yang dibaca. Selaku seorang pendidik, saban tahun saya menyaksikan terdapat pelajar-pelajar tingkatan 5, yang masih di tahap ‘cucu kura-kura’ dari segi kelancaran pembacaannya. Saya tidak bercerita tentang situasi di perkampungan orang asli, tidak juga nun jauh di pedalaman, tapi di pinggir BANDARAYA IPOH PERAK. Malah yang buta hurufpun masih ada walaupun sudah berusia 17 tahun. Lagi malang, berdasarkan pengalaman saya menjadi pengawas SPM, ramai benar calon-calon SPM yang hanya menulis namanya dan nama couplenya pada setiap ruangan jawapan untuk soalan struktur. Kalau soalan objektif pula, dari soalan no 1 hingga 60, kesemua jawapannya adalah A.

Lagi tentang budaya membaca. Sepatutnya ada diet dalam pembacaan. Mana yang harus diutamakan , mana yang harus dikesampingkan dan mana yang harus diketepikan. Di Malaysia ini, majalah berunsur lucah(seksi-menyeksi, cabul- mencabul. Liwat- meliwat, rogol- merogol) dan tahyul( tentang jin, puaka, jembalang dari kubur, anak toyol) amat laris malah terhangat di pasaran. Majalah ilmiah, tiada ruang untukmu. Majalah Massa dan Dian, antara mangsa korban kerana ia tidak bercerita tentang gossip artis, tak memaparkan isu seks dan tak memperkatakan isu toyol dan jembalang.

Kita bercerita pula tentang bahan paling utama yang perlu dibaca. Sebagai umat islam, tentu sahaja Al-Quran. Sudah berapa lama antara kita yang tak membaca Al-Quran dengan alasan sibuk dan takde masa(Itu sekadar baca, belum lagi tentang tafsir,), Tapi, tiap-tiap pagi boleh pula baca surat khabar. Pelikkan!.

Al-Quran ada 6,236 ayat, itu kata Dr abdul Razak Abu Chik ( seoarang pensyarah bahasa Arab di IPGM Raja Melewar dan juga kolumnis kenali bahasa Al-Quran di Utusan Malaysia, juga tetamu Haiya bil Arabiah di IKIM fm, dan bekas penerima anugerah maulidur rasul peringkat kebangsaan). Tentang pendapat yang mengatakan Al-Quran mengandungi 6,666 ayat, ia dipertikaikan oleh kebanyakkan ulama. Di Malaysia, Ustaz Dato Abu Hassan Din al-Hafiz juga turut mempertikaikan angka 6666 itu.

Berdasarkan jumalah ayat dalam Al-Quran yang sekadar 6,236 itu. Maka ia boleh dihabiskan dalam tempoh 624 hari a.k.a 21 bulan a.k.a setahun 9 bulan, andainya ia dibaca sebanyak 10 ayat sehari. Ok, saya permudahkan lagi kaedahnya, selepas menunaikan setiap solat fardhu bacalah 2 ayat dari kitab suci Al-Quran ( ni malas tahap dewa). Jadi, 10 ayat dapat dibaca setelah menunaikan 5 solat fardhu (dari subuh sampai isyak). Namakan sahaja program ini sebagai IKS. Bukan Industri Kecil dan Sederhana tapi ILMU KECIL DAN SEDERHANA.


p/s= maaf banyak2 jka entry saya ini ada melukakan hati sahabat-sahabat blogger. Maaf juga sebab ia agak carca marba sebab ia ditulis ketika saya memanaskan enjin kereta untuk pulang ke Kelantan. Saya pulang ke kampung dahulu. Jumpa lagi yee.


Friday 4 June 2010

BOIKOT (usaha kerdil tapi AMAT BERMAKNA).

(Zionis laknatullah, gambar ciplak dgn izin dari blog Yuni Aisyah)


Kalau tak mampu menjadi pelita yang menerangi kegelapan, cukuplah sekadar menjadi kunang-kunang yang menemani malam. Pelita( lampu lagi bagus) dan kunang-kunang sama-sama menyumbang cahaya, cuma berbeza tahap kecerahannya. Cahaya yang dilampiaskan oleh kunang-kunang memang terlalu kerdil, tapi ia jauh lebih baik daripada gelita tanpa sebarang cahaya. Boikot produk Yahudi atau produk yang menyokong rejim Zionis, memanglah usaha yang kerdil. Tapi, ia jauh lebih bermakna daripada tidak buat apa-apa. Jauh lebih bererti berbanding sekadar berdiam diri menerima berita duka atau hanya bersedih menatap episod derita yang sering diulang tayang di kaca TV dan dada akhbar.

Mungkin ada yang berkata, kempen boikot ini hanya sia-sia dan tidak memberi apa-apa makna. Lebih sinis, ada yang berkata, ia umpama menabur sesudu gula ke lautan yang luas. Mustahil dapat memaniskan atau menghilangkan kemasinan lautan yang Maha Masin itu.




(Kekejaman Zionis, gambar ciplak dgn izin dri blog Yuni Aisyah)


Benar , kisah melankolik di bumi Palestin sukar untuk dinoktahkan selagi tiada usaha yang bersepadu dan menyeluruh dari semua pihak. Selagi negara-negara islam belum bersatu, selagi itulah sengsara akan menyelubungi bumi Palestin saban waktu . Bersamalah kita berdoa agar muncul wira-wira Muslim yang segagah, seberani dan sebijak juga sealim Sallahudin al-Ayubbi (Saladin). Tapi persoalannya, cukupkah sekadar berdoa sambil menunggu detik itu menjelma. Berdoa dan mengharap tanpa sebarang usaha, tidak akan memberi sebarang makna. Seperti saya katakan tadi, kempen boikot ini satu usaha yang kerdil namun amat bermakna dari langsung tidak berbuat apa-apa. Biar kita jadi kunang-kunang andainya tak mampu jadi pelita. Biarlah ikhtiar kita hanya setitik walaupun tidak selaut, ia jauh lebih bermakna daripada langsung tiada. PALING PENTING , usaha kerdil ini mendapat tempat di sisi-NYA. Dalam Surah Az-Zalzalah, ayat ke- 7, Allah telah berjanji akan mengurniakan balasan pahala terhadap amalan-amalan yang kerdil meskipun sekerdil zarah. Jadi biarlah kerdil asalkan ada nilai di sisi-NYA.



( Demontrasi anti- Israel )



Saya ingin berkongsi satu cerita. Cerita ini cukup mahsyur, namun saya tidak pasti kesahihannya. Kepada sahabat yang lebih arif rujuklah kitab-kitab yang muktabar. Seingat saya, ia hanya kisah Israiliyyat( namun ada sebuah hadis seakan-akan membenarkan kisah ini. Hadis yang turut dimuatkan oleh Ibn Kathir dalam Tafsirnya, Sesungguhnya Ibrahim tatkala dicampakkan kedalam api, semua binatang yang melata dimuka bumi ini cuba memadamkan api, kecuali cicak, kerana sesungguhnya dia (cicak) meniupkan api keatas Nabi Ibrahim).

Begini ceritanya, Semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Perbuatan itu diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain lalu mereka menegur burung itu. Bagi mereka perbuatan burung itu yang mengambil air dengan paruh yang kecil lalu menyiram ke atas unggun api hanyalah perbuatan sia-sia kerana api yang membakar Nabi Ibrahim terlalu besar dan marak menyala, pasti sahaja takkan terpadam dengan air yang disiramkan itu. Tapi burung itu menjawab dengan penuh keyakinan ‘‘Memang ia tidak akan memadamkan api tersebut, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya samada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak”



(Tugu Peringatan Sallahudin al-Ayubbi di Damsyik)


Jadi, bukanlah persoalan berjaya atau gagal mengalahkan Israel yang harus kita bicarakan, tapi tentang usaha dan ikhtiar yang harus kita perkatakan. Usaha dan ikhtiar untuk merawat luka saudara seagama yang sedang ditindas di sana. Saya tak nafikan, kita tak mampu boikot keseluruhan produk tersebut. Sebab sesetengahnya kita amat perlu lantaran tiada alternatif buat masa ini. Perisian komputer antaranya, kita masih lagi bertaraf pengguna yang setia. Jadi, setelah menimbang di atas neraca iman dan islam, dan setelah menilai manfaat dan mudarat maka ia dapat kita manfaatkan untuk kegemilangan islam. Ia berupaya dimanipulasikan sebagai senjata untuk berjihad. ( akan saya perincikan dalam entry akan datang).


( Prof Dr. Yusuf al-Qaradawi)

Tentang kempen boikot, ia telah lama dimulakan oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi. Bukan setakat memboikot produk Yahudi tetapi "memboikot" Baitul Maqdis. Qaradawi telah memfatwakan haram menziarahi Masjidil Aqsa buat masa sekarang ini. Pada mulanya, ramai yang terkejut dengan fatwa itu, maklumlah Masjidil Aqsa itu tempat suci( kiblat pertama umat islam) dan masjid yang mulia sesudah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Tapi, Qaradawi yang bijak membaca situasi dan memahami dengan mendalam akan fiqh semasa telah mengeluarkan fawa dengan penuh bijaksana. Apa tidaknya, tergila-gilakan pahala sunat kita telah melakukan pembunuhan tanpa sedar. Wang yang kita belanjakan untuk ke Masjidil Aqsa, termasuklah penginapan, makan dan minum semuanya akan memewahakn Zionis Israel. Wang itu pula digunakan untk membeli senjata bagi membunuh umat islam Palaestin. Secara tak langsung, kita telah membunuh saudara seagama atas nama ibadat sunat.




( As-Syahid Shiekh Ahmad Yassin yang dibunuh kejam oleh tentera Israel)

Sebelum menoktahkan entry ini, cuba tanya pada hati. Berapa banyak sudah wang yang kita laburkan untuk Israel membeli senjata bagi membunuh umat islam Palestin. Bermula dari peristiwa Shatila dan Sabra, pembunuhan terhadap Izzudin al-Qassam, Sheikh Ahmad Yassin, Dr Abdul Aziz al-Rantisi hinggalah ke hari ini, termasuklah pembunuhan ke atas aktivis misi kemanusiaan ke Gaza.




( Takbir!! Allahu Akbar, laungkan kalimah keramat ini)