Saturday 28 August 2010

29.Ogos. (Jangan lupa Tarikh ini.)


(As-Syahid Sayyid Qutb ketika dipenjarakan sebelum dihukum gantung)

Dalam keghairahan menyambut hari kemerdekaan(31-8.2010) dan kemeriahan menjelang Eidul Fitri jangan kita tarikh 29.OGOS. IA merupakan tarikh yang amat penting bagi pencinta agama. IA tarikh penting yang penuh dengan tragis dan linangan air mata. IA tarikh penting yang menyaksikan gugurnya seorang pejuang agama. 29.Ogos.1966, seorang ulama dan sasterawan juga tokoh ikhwanul muslimin As-Syahid Sayyid Qutb telah dihukum gantung sampai mati bersama dua sahabatnya iaitu Muhammad Yusuf Hawasy & Abdul Fattah Ismail. As-Syahid mengajar kita, betapa memartabatkan islam itu melaut dugaannya. Demimu islam mati kurela. Biar digantung tinggi, biar dibakar hangus dan biar direndam basah, demimu islam mati kurela. Biar patah dayung ditangan dengan jari kukayuh jua. Demimu islam, mati kurela. Sesungguhnya perjuangan mendaulatkan agama tidak sesekali melalui jalan yang datar yang ditaburi bunga melainkan terpaksa menitiskan air mata dan darah.

LATAR BELAKANG KELUARGA
Syed Qutb dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di sebuah kampung di wilayah Assyut, Mesir. Beliau mendapat didikan awal di rumah daripada kedua ibu bapanya yang kuat beragama. Sewaktu berusia 6 tahun, beliau dihantar ke sekolah rendah di kampungnya. Sewaktu berusia 7 tahun, beliau mula menghafal al-Qur’an. Sewaktu usianya 10 tahun, beliau telah berjaya menghafalnya.

KEHIDUPAN AWAL DI QAHIRAH
Sewaktu berusia 15 tahun, Syed Qutb mulai berhijrah ke kota Qahirah. Di sini beliau telah memasuki Sekolah Perguruan Abdul Aziz. Setelah menamatkan pengajian, beliau segera bertugas mengajar di sebuah sekolah rendah. Walaupun hatinya memberontak untuk meneruskan pengajian, namun beliau terpaksa memendamkan hasrat hatinya kerana terpaksa menyara hidup keluarganya, lantaran bapanya telah meninggal dunia semasa Syed Qutb sedang menuntut di sekolah perguruan.

Pada tahun 1928, sewaktu berusia 22 tahun, Syed Qutb menyambung semula pengajiannya. Beliau memasuki sekolah persediaan untuk memasuki Darul Ulum, Universiti Qahirah. Pada tahun 1930 beliau diterima memasuki Darul Ulum mengikuti pengajian Bahasa Arab dan Ulum al-Syari’ah.

Setelah menamatkan pengajian di Darul Ulum, beliau bertugas sebagai Nazir di Kementerian Pendidikan Mesir. Sebagai seorang pegawai kerajaan, beliau serius dalam menjalankan tugasnya. Beliau merancang berbagai pembaharuan di Kementerian Pendidikan. Oleh itu beliau melakukan kajian demi kajian serta mengemukkaan cadangan tanpa menghiraukan risikonya. Selain daripada terlibat dalam bidang pendidikan, beliau juga berminat dengan politik dan dunia penulisan. Beberapa pandangan politiknya yang tidak selari dengan polisi kerajaan telah dimuatkan di dalam beberapa majalah. Ini menimbulkan kemarahan kepada Menteri Pelajaran, lantas mengarahkan agar Syed Qutb dihantar “berkursus” di Amerika Syarikat.

Sementara dalam bidang penulisan, pada peringkat awalnya beliau lebih berminat dengan bidang kesusasteraan sehingga menjadi salah seorang sasterawan Mesir yang terkenal.

Bagaimanapun, semenjak awal dekad 1940-an, satu era baru telah bermula dalam kehidupan Syed Qutb. Era ini boleh dikatakan sebagai era kesedarannya kembali kepada Islam. Namun pada peringkat ini beliau masih bergerak secara peribadi dalam usahanya menegakkan nilai-nilai Islam. Di dalam penulisan, beliau mula menulis suatu rencana bersiri, kemudian dibukukan dengan tajuk “At-Taswir Fanni Fil Qur’an” pada tahun 1939. Tulisan ini mengupas keindahan dan kesenian yang terdapat di dalam ayat-ayat al-Qur’an. Pada tahun 1945 beliau menulis sebuah buku bertajuk “Masyahidul Qiamah Fil Qur’an”. Kedua-dua penulisan itu telah menemukan semula dirinya dengan didikan asas agama oleh kedua orang tuanya sewaktu kecil dahulu.

Seterusnya pada tahun 1948, Syed Qutb telah menghasilkan sebuah buku kemasyarakatan Islam berjudul “Al-Adalah Al-Ijtima’iyyah Fil Islam”. Menerusi buku ini, Syed Qutb menyatakan dengan jelas bahawa keadilan masyarakat sejati hanya akan tercapai apabila melaksanakan sistem Islam.

SYED QUTB BERSAMA IKHWAN AL-MUSLIMIN

Peringkat terakhir daripada perjalanan hidup Syed Qutb bermula daripada tahun 1951, tahun penyertaannya ke dalam jama’ah Ikhwan al-Muslimin, sehingga ke tahun kesyahidannya tahun 1966. Bagi Syed Qutb, tempoh itu sangat penting baginya. Beliau sendiri menganggap tahun 1951 sebagai tahun kelahirannya semula.

Syed Qutb menyertai jamaah Ikhwan al-Muslimin, dua tahun sesudah kematian pengasasnya Imam al-Syahid Hassan al-Banna pada tahun 1949. Mereka berdua tidak pernah bertemu walaupun dilahirkan di tahun yang sama 1906, dan dididik di tempat yang sama, di Darul Ulum.

Namun di antara mereka mempunyai kesatuan jiwa dan wahdatul-fikr. Bagi Hassan al-Banna setelah membaca buku “Al-’Adalah Al-Ijtima’iyyah Fil Islam”, karangan Syed Qutb, beliau menganggap pengarangnya (Syed Qutb ) adalah sebahagian daripada kita ( Al-Ikhwan ). Seterusnya Imam al-Banna telah menyakinkan para pemuda Ikhwan bahawa “orang ini” (Syed Qutb) akan menyertai al-Ikhwan tidak lama lagi.

Syed Qutb juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Hassan al-Banna. Malah kematian al-Banna sangat terasa kepadanya walaupun beliau belum pernah bersama dengan al-Banna. Berita kematian al-Banna diterimanya dengan perasaan tragis sewaktu berada di sebuah hospital di Amerika Syarikat. Berbeza dengan sikap orang-orang Amerika yang bergembira dan bagaikan berpesta menyambut berita tersebut.
Sekembalinya dari Amerika Syarikat, Syed Qutb terus mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Beliau akhir menemui suatu “kebenaran” yang wajib diperjuangkan. Seterusnya beliau berjanji dengan Allah untuk memikul amanah perjuangan Hassan al-Banna.

Oleh itu, pada tahun 1951 Syed Qutb dengan rasminya menyertai Ikhwan al-Muslimin. Pada tahun 1952, beliau dipilih menganggotai Maktab Irsyad dan dilantik mengetuai Lujnah Dakwah. Selepas peninggalan al-Banna, Ikhwan masih bertenaga kerana memperolehi saf kepimpinan yang berwibawa untuk meneruskan kepimpinan. Mereka adalah Hasan Hudhaibi sebagai Mursyidul Am, Abdul Qadir Audah sebagai Setiausaha Agung dan Syed Qutb sendiri yang mengetuai Lujnah Dakwah, dianggap sebagai “ideolog” kepada Ikhwan al-Muslimin.

Sepanjang tempoh memimpin Lujnah Dakwah, Syed Qutb telah menghasilkan beberapa karya yang berasaskan dakwah dan pemikiran Aqidah Islam. Antaranya ;
1- Hadha al-Din.
2- Al-Mustaqbal li hadha al-Din.
2- Khasa’is al-Tasawwur al-Islamiyy.
3- Maalim fi al-Tariq.
5- Tafsir Fi Zilal al-Qur’an.
Mesej utama yang ditekankan oleh Syed Qutb di dalam penulisannya ini ialah konsep al-Tauhid dari sudut al-Uluhiyyah. Menurutnya kemuncak kepada Tauhid Uluhiyyah Allah swt. ialah hakNya dari sudut al-Hakimiyyah dan al-Tasyri’. Menurutnya lagi bahawa ikrar Lailaha ilalLah adalah pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumiNya. Maka seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hakNya.

Pada bulan Julai 1952, satu peristiwa bersejarah berlaku di Mesir iaitu “Revolusi Julai 1952?. Revolusi ini menggulingkan pemerintahan beraja Mesir, dijayakan oleh gerakan “Dubbat al-Ahrar” pimpinan Kolonel Jamal Abdul Naser dengan kerjasama Ikhwan al-Muslimin.

Sesudah revolusi, Syed Qutb telah ditawarkan dengan jawatan Menteri Pelajaran Mesir. Syed Qutb terlebih dahulu meminta jaminan daripada pemimpin Majlis Revolusi yang diketuai oleh Jamal Abdul Naser dan Anwar Sadat, bahawa Kerajaan Revolusi Mesir akan melaksanakan pemerintahan berdasarkan syariat Islam. Bagaimanapun mereka menolaknya untuk melaksanakan pemerintahan Islam. Berdasarkan kepada penolakan tersebut, Syed Qutb merasakan perkara tidak baik akan berlaku.

Sejarah membuktikan apa yang dibimbangkan oleh Syed Qutb memang terjadi. Pada13 Januari 1954, Kerajaan Revolusi Mesir telah mengharamkan Ikhwan Muslimin dan para pimpinannya telah ditangkap di atas tuduhan gerakan Ikhwan sedang merancang hendak menggulingkan kerajaan revolusi, satu tuduhan yang tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Ekoran daripada itu tujuh orang pimpinan tertingginya dijatuhi hukuman mati, termasuk Hasan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Mohamad Farghali,ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin di dalam Perang Suez 1948. Bagaimanapun hukuman terhadap Hasan Hudhaibi dipinda kepada penjara seumur hidup dan Syed Qutb pula dihukum penjara lima belas tahun dengan kerja berat.

Pada tahun 1964, Syed Qutb telah dibebaskan di atas permintaan peribadi Abdul Salam Arif, Presiden Iraq. Kerajaan Revolusi Mesir bagaimanapun tidak berpuas hati dengan pembebasan tersebut. Apabila Presiden Abdul Salam Arif terkorban dalam satu kemalangan udara, Syed Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya. Tangkapan kedua ini dibuat berdasarkan tuduhan beliau merancang satu rampasan kuasa baru untuk menggulingkan kerajaan.

Pertuduhan ke atas Syed Qutb di Mahkamah Revolusi dibuat berdasarkan buku-bukunya terutama Maalim Fi al-Tariq. Ia berdasarkan kenyataannya mengenai seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan Syari’at Allah.

Bersama Syed Qutb kali ini, turut juga ditahan ialah seluruh anggota keluarganya. Syed Qutb seorang yang bermaruah. Sebelum hukuman gantung dilaksanakan ke atasnya, Presiden Naser menghantar utusan menemui Syed Qutb. Melalui utusan itu Presiden Naser meminta agar Syed Qutb menulis kenyataan meminta ampun daripadanya agar Syed Qutb dibebaskan. Namun Syed Qutb dengan tegas menjawab;

“Telunjuk yang bersyahadah setiap kali bersolat bahawa
Tiada Ilah yang disembah dengan sesungguhnya melainkan
Allah dan Muhamad Rasulullah, tidak akan aku menulis
satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana benar
aku redha. Jika aku dipenjara secara batil, aku tidak akan
menuntut rahmat daripada kebatilan”.

Pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, Syed Qutb telah digantung sampai mati bersama-sama sahabat seperjuangannya, Mohamad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail. Berita hukuman mati yang dilaksanakan ke atas Syed Qutb telah mengejutkan Dunia Islam. Kebanyakan tokoh dan pimpinan umat Islam sedih dan kecewa dengan peristiwa tersebut.

maklumat lanjut ; http://dakwah.info/

Tuesday 24 August 2010

perlukah aku BERLARI.

(Laut Sulawesi kutatap sayu
ketika berada dlm pesawat MAS)


Aku sudah letih untuk kecewa
Aku sudah penat untuk berduka
Aku sudah lali dengan sengsara


DULU
Pernah aku berlari
Mengejar pelangi di langit tinggi
Namun aku tersungkur ke bumi
Lukanya berbisa sekali
Menusuk hingga ke hati
PERLUKAH AKU BERLARI LAGI?


KINI
Aku menapak memulakan kembara rohani
Mengubat hati
Merawat emosi
Biar ia meresap ke sanubari
Dan sebati dalam diri
Demi mengagapai redha-Mu Rabbul Izzati.



Tuesday 17 August 2010

DOSA SEMALAM

(Sesudah subuh di pantai Irama Bachok Kelantan)



DOSA SEMALAM (Buat Dia Yang Tidak Terhitung Dosaku Kepadanya)

Bila Kurenung dada langit yang tenang
Ingin kutatap wajah bulan
Tapi dosa semalam
Menyeruku dari celahan bintang
Lalu resahlah aku sendirian


Bila kutatap wajah laut yang membiru
Ombak mesra bagaikan membisu
Pantai indah seakan layu
Badai lembut tak sudi mengelus pipiku
Tapi gundah yang menyerbu
Dosa semalam belum berlalu
Meski telah kuhapus jejakmu.

Saturday 14 August 2010

syaitan dibelenggu di bulan ramadhan. BETUL KE?

( gambar dari google)



RAMADHAN KAREEM buat sahabat- sahabat blogger. Terdetik di hati saya untuk menulis entry ini setelah mendengar khutbah jumaat pada 13. OGOS. 2010. Khutbah yang disampaikan di masjid tempat saya bersolat jumaat, juga bersolat tarawih, iaitu masjid jami’ Chemor Perak. Saya yakin khutbah yang sama akan dibacakan di seluruh Perak. Kandungan khutbah jumaat itu berkisar sekitar kelebihan bulan ramadhan dan disentuh juga tentang sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang maksudnya “Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw telah bersabda : “Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan”.

Sesetengah pihak mempertikaikan hadis ini kerana mendakwa ia bertentangan dengan reality. Dakwanya, maksiat dan kemungkaran( termasuklah rasuah) masih berleluasa di bulan Ramadhan, jadi di manakah kebenaran hadis ini. Untuk malam ini (14.ogos 2010), Buletin Utama TV3 melaporkan beberapa orang pelanggan yang Beragama islam ditangkap ketika sedang bersedap-sedapan( ini ayat saya sendiri) dengan GRO sambil minum arak di Puchong Selangor. Nyata sekali, mahkluk banggang ni( maaf jika bahasa saya agak kasar) bukan setakat tak berpuasa tapi buat maksiat pula. Gila, sungguh gila dan memang gila( maaflah jika terkasar bahasa sebab saya geram betul)

Kembali kepada tajuk, Saya kira, perbuatan mempertikaikan hadis ini dengan alasan bertentangan dengan realiti, amatlah gelojoh kerana sepatutnya kita bertanya kepada orang-orang berkepakaran, sepertimana dinyatakan oleh Allah s.w.t dalm firman-Nya “ Bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama( ahli- zikr) sekiranya kamu tidak mengetahui” An-Nahl, ayat 40. Apatah lagi, hadis ini dimuatkan oleh dua orang jaguh hadis yang amat terkenal iaitu, Imam Bukhari dan Imam Muslim.

UNTUK entry ini saya selongkari buku islam dan manusia 1001 Kemusykilan, yang ditulis oleh seorang pakar hadis di Malaysia iaitu Prof Madya Dr. Abdul Hayei Sukor( boleh rujuk m/s = 251-254) juga sedikit tambahan dari buku-buku lain, juga bertanya kepada seorang pensyarah pengajian islam di kolej islam darul ridzuan( KISDAR). Kata Prof Madya Dr. Abdul Hayei “ Ulama hadis secara sepakat mengambil keputusan, apabila sesebuah hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang merupakan dua tokoh besar dalam bidang ini, maka tahap kesahihannya berada pada kelas pertama. Jika nasnya tidak dapat difahami dengan baik, maka itu adalah disebabkan kelemahan-kelemahan manusia yang sangat terbatas dari segi ilmu dan kemampuannya”

Ada ulama berpendapat, terdapat pengertian metafora atau kias tamsil daripada kata-kata zahir itu. Maksud pembukaan pint u syurga, mengikut tafsiran metafora ialah satu gambaran betapa melimpahnya pahala dan keampunan Allah yang dikurniakan kepada orang-orang yang berpuasa di bulan Ramadhan. Maksud pembelengguan syaitan-syaitan itu ialah gambaran kemerosotan pengaruh syaitan yang mengoda dalam bulan itu, hingga ia seolah-olah terbelenggu. Jika ada yang bertanya, mengapa masih banyak kejahatan dan kemaksiatan yang berlaku, maka jawabnya, pembelengguan syaitan ialah membelenggunya daripada terus menganggu orang-orang yang berpuasa dengan penuh kejujuran, di mana segala syarat dan peraturannya dipatuhi dan dijunjung tinggi.

Menurut pendapat ulama yang lain, walaupun syaitan itu dibelenggu , namun tidak bermaksud bahawa kejahatan tidak berlaku dengan sebab-sebab yang lain selain daripada hasutan syaitan. Ini termasuklah dari dorongan-dorongan naluri yang kotor, kebiasaan-kebiasaan yang jelik dan godaan-godaan syaitan manusia. Sebenarnya, inilah jua pendapat Al-Imam al-Qurthubiy. Pendapat ini jualah yang dikemukakan dalam khutbah jumaat lalu. Kejahatan manusia pada bulan puasa adalah kerana bisikan nafsu kerana syaitan telah dibelenggu. Jadi, kalau dalam bulan ramadhan yang dibelenggu syaitan, manusia masih sukakan maksiat maka pada bulan-bulan yang lain sudah pastinya lebih teruk sebab bosnya( syaitan) telah merdeka.

Sementara ulama lain pula menyatakan, maksud pembelengguan syaitan itu merupakan gambaran betapa berkurangnya perlakuan kejahatan dan maksiat dalam bulan ramadhan dibandingkan bulan-bulan yang lain, kerana umat islam lebih menumpukan kepada amal-amal kebajikan. Hakikat ini memang ada benarnya, sebab walaupun masih terdapat kes maksiat di dalam bulan ramadhan namun ia tidak seteruk berbanding bulan-bulan yang lain dari segi jumlahnya.

Menurut al-Qadi Iyadh , maksud pembukaan pintu syurga ialah gambaran betapa luasnya dorongan Allah kepada orang mukmin dalam bulan ramadhan untuk melakukan ibadat dan ketaatan yang membawa ke syurga. Sementara penutupan pintu neraka pula ialah gambaran betapa Allah memalingkan hemah dan kemahuan para mukmin dalam bulan itu daripada mengerjakan maksiat-maksiat yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam neraka. Maksud pembelenguan syaitan pula bermaksud ialah gambaran betapa Allah melemahkan syaitan daripada menggoda manusia dan daripada merangsangkan nafsu keinginan mereka.

Syeikh Mutawalli Sya’rawi pula mempunyai pandangan yang tersendiri dalam mentafsirkan nas hadis tersebut. Menurutnya, dalam uslub bahasa Arab, banyak ungkapan yang secara harfiahnya berupa khabariyyah atau pemberitaan, sedangkan hakikatnya berupa perintah. Dengan pendekatan ini, hadis berkenaan harus diterjemah ‘ “Apabila masuk bulan Ramadhan, tutupkanklah pintu-pintu neraka, bukakanlah pintu-pintu syurga dan belenggukanlah syaitan-syaitan.”

al-Syeikh ‘Atiyyah Soqr menyebut beberapa ulama yang mensyarahkan hadith ini menyatakan yang dimaksudkan dibelenggu ini ialah tidak dapat menguasai orang-orang yang benar-benar berpuasa dengan puasa yang sebenarnya, dengan meraikan setiap adab-adab termasuk memelihara lidah,

Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat maksud para syaitan yang dibelenggu itu ialah sebahagian syaitan yang degil/melampau, adapun selain daripadanya tidak dibelenggu. Inilah yang dinyatakan di dalam hadith yang maksudnya,: “Dibelenggu padanya (Ramadhan) syaitan-syaitan yang degil/melampau.” Jadi syaitan-syaitan kecil ( saya pinjam istilah yang digunakan oleh pakcik Zulkifli Nordin, MP Kulim-Bandar Baharu) tetap bebas.

Jadi, sebagai orang islam yang beriman, kita terimalah seadanya hadis ini. Sebab ia adalah hadis sahih. Ia bukan bertentangan dengan realiti, cuma kita yang tak reti dalam memahami. Jadi kena banyak mengaji dan jangan jadi anti-hadis macam si Kassim Ahmnad.

Award dari KROLE

(inilah awardnya)


Assalamualaikum dan Ramadhan kareem kepada semua blogger. Saya dapat award lagi, dan kali ini daripada Krole (http://internetmpay.blogspot.com/) .Terima kasih saya ucapkan kepada Krole kerana sudi menganugerahkan award ini kepada saya. Maaf bebanyak juga sebab lambat buat award ni, maklumlah bulan puasa masa untuk berblogwalking agak terhad. Hehehe, bleh trima tak alasan saya ni...


Beres, saya nak tag 5 orang pula:
1.Gadis Comel (
http://sigadiscomel.blogspot.com/)







Wednesday 11 August 2010

SOLAT TARAWIH, LAPAN ATAU DUA PULUH RAKAAT.



MESKIPUN ini isu yang agak lapuk namun ia masih kedengaran. Walaupun hanya sekali sekala namun, ia sungguh bisa dan berbisa. Bisanya yang paling berbisa, ialah meleraikan ukhwah islamiyah sesama islam lantaran wujudnya amalan menyalahkan dan membid’ahkan sesama sendiri.

Kekadang para pendakwah pun banyak melakukan kesilapan dalam hal ini. Mereka kekadang tersalah menghala senjata dan tersilap meledakkan peluru, lalu tersasarlah sasaran. Paling malang, agama islamlah yang menjadi mangsanya. Musuh-musuh islam akan berkata, perpaduan islam hanyalah teori semata-mata. Walaupun menyembah Tuhan Yang Satu dan menghala ke arah kiblat yang satu, namun tidak boleh bersatu dalam persoalan solat sunat tarawih yang bukan fardhu.

Siapakah sasaran yang sepatutnya. Ke manakah senjata harus dihalakan dan ke mana pula peluru perlu diledakkan. Ke arah orang yang menunaikan solat tarawih( sama ada 8 atau 20 rakaat), itu tdak wajar, sebab mereka menunaikan solat tarawih pun dah dikira menghidupkan sunnah. Para dai’e sepatutnya menghalakan senjata ke arah orang yang tidak berpuasa. Ledakan peluru ( dengan nasihat dan saranan, juga tindakan) ke atas golongan ini sebab merekaa telah mencabul rukun islam yang ketiga.

Kembali kepada tajuk, As-Syahid Imam Hassan al-Banna. As-Syahid pernah berhadapan dengan situasi yang sebegini semasa hayatnya. Kata as-Syahid, “Hukum solat tarawih hanyalah sunat sedangkan menjaga kesatuan umat islam adalah wajib. Tidak boleh sama sekali kita mengorbankan perkara yang wajib untuk melaksanakan perkara yang sunat. Bagi sesiapa yang inginkan lapan rakaat, tunaikanlah. Bagi yang inginkan dua puluh rakaat, bebas berbuat demikian.” Inilah sepotong iktibar dan sekerat teladan yang harus direnungi. Tidak sepatutnya bermasam muka dalam perkara yang khilaf sebegini. Beza pandangan tidak boleh dijadikan punca sengketa yang akhirnya mengundang perseteruan yang sia-sia. Dalam keadaan sebegini, Fiqh al-Awlawiyyat haruslah difahami.

Kara Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah “ Sesungguhnya Nabi s.a.w tidak pernah menentukan bilangan rakaat untuk solat qiyam ramadan(solat tarawih.) Cuma, baginda melaksanakan solat tidak melebihi tiga belas rakaat sama ada pada malam bulan ramadan mahupun pada bulan-bulan yang lain. Dilaksanakan baginda dengan memanjangkan bacaan Al-Quran pada tiap-tiap rakaat. Umar r.a kemudiannya mengumpulkan orang ramai untuk berjemaah dan diimamkan oleh Ubay bin Kaab. Dilaksanakannya sebanyak dua puluh rakaat dan diikuti pula dengan tiga rakaat solat witir. Dilakukannya dengan meringankan bacaan al-Quran selari dengan penambahan kadar rakaat.”

Jelas! lapan rakaat datangnya daripada Nabi s.aw dan dua puluh rakaat pula diperkenalkan oleh Umar r.a, seorang sahabat nabi yang melaut ilmu dan melangit takwanya. Tindakannya tidak sesekali menyanggahi sunnah, kerana Nabi s.a.w bersabda “Hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin.”

Kalaulah nak dilaksanakan sebanyak 20 rakaat , maka janganlah dipanjangkan bacaan, supaya makmum tidak terbeban. Bukan apa, sebab di sesetengah masjid, imam lebih cenderung untuk menghabiskan surah-surah tertentu sewaktu mengimamkan solat tarawih. Para imam mestilah bijak membaca situasi. Jangan ‘menindas’ makmum-makmum yang uzur atau tua, sampai mereka terpaksa berkeriut muka menahan lengah di kaki. Jangan juga, sampai anak-anak muda memboikot masjid lantaran solat tarawih yang terlalu panjang. Risau juga, jika hanya pada malam pertama sahaja jemaah melimpah ruah, tapi pada hari-hari seterusnya, jemaah semakin susut dan surut.

Sesetengah orang berpendapat, jumlah yang banyak itu lebih baik dari yang sedikit. Pernah dahulu, saya menonton bicara agama di stesyen TV Thailand( channel 7 rasanya). Untuk pengetahuan sahabat, di kampung saya kat Bachok Kelantan, siaran TV dari Thailand sangat jelas dan boleh ditonton dengan baik. Dalam bicara agama itu, ustaz tersebut berkata, “pasti sahaja 20 rakaat lebih afdhal sebab ia lebih banyak. Umpama dapat sepinggan nasi dengan dapat 5 pinggan nasi. Tentulah 5 pinggan nasi lebih baik sebab ia lebih banyak.” Sebenanrya hujah sebegini kurang ilmiah, sebabnya dalam keadaan tertentu, jumlah yang sedikit itu lebih baik daripada jumlah yang banyak. Kalau kena rotan sekali, sudah tentu ia lebih baik daripada kena rotan 10 kali. Jadi, teori jumlah yang banyak lebih baik daripada jumlah yang sedikit tidak boleh digunapakai dalam semua keadaan.

Secara peribadi, saya berpendapat, kualiti itu lebih baik daripada kuantiti. 8 rakaat yang dilaksanakan dengan baik dan tertib, dan dihadiri oleh ramai jemaah adalah lebih bererti berbanding 20 rakaat yang tergesa-gesa dan tidak disenangi oleh jemaah. 8 rakaat yang menyebabkan orang ramai mendekati masjid lebih bererti berbanding 20 rakaat yang menyebabkan masjid tersisih dan dijauhi.



Monday 9 August 2010

NOSTALGIA RAMADHAN DI USM.

(gambar dari google)


TIAP kali Ramadhan menjelma, Universiti Sains Malaysia(USM) pasti terbayang di mata. Bukanlah semata-mata disebabkan saya ini pernah bergelar pelajar di sana, tapi kerana segugus kenangan pada musim-musim ramadhan. Nostalgia Ramadhan di USM memberikan saya seribu erti dan sejuta makna. Erti persahabatan dan makna persaudaraan.

Sebelum berbicara dengan panjang lebar tentang nostalgia Ramadhan di USM, eloklha saya bercerita tentang persahabatan saya dengan beberapa orang sahabat baik ketika mendiami bumi USM. Sahabat-sahabat yang dahulunya sentiasa bersama, kini bertebaran entah ke mana. Dahulu, sama-sama dikejar oleh pak guard kerana memancing ikan kat tasik harapan. Malah pernah berpagi-pagian menunggu durian di kawasan hutan berhampiran desasiwa Gemilang. Hari ini, masing- masing telah membawa haluan untuk mencorak masa depan. Yang pasti kebanyakkan sahabat-sahabat saya ini telah meraih kegemilangan dalam hidup sebaik sahaja meninggalkan alam kampus. Malah, beberapa orang daripadanya telah memperolehi PhD dalam jurusan masing-masing. Terbaru seorang sahabat saya itu telah menamatkan PhD di Australia. Ada juga yang membina kerjaya di luar negara. Tahniah sahabatku.


(aku selaku exco PMIUSM)

GRC 12, itulah gelaran yang diberikan kepada geng(sahabat) saya. Keahliannya ialah 6 orang sahaja, namun adakalanya ia akan bertambah menjadi 10. Ia bukanlkah kumpulan pengganas atau samseng. Ia tidak mengancam sesiapa pun. GRC 12 maksudnya GROUP ROTI CANAI jam 12. Ini kerana pada pukul 12 tengah malam, kami akan merayap mencari roti canai sekitar kawasan berhampiran USM. Group ini telah terbubar dengan sendirinya apabila seorang demi seorang anggotanya meninggalkan kampus Minden.

(aku selaku S/U Agung HAAKUSM)


Di kampus, saya agak aktif. Terlibat dalam beberapa persatuan pelajar. Antaranya sebagai Setiausaha Agung Himpunan Anak-Anak Kelantan Universiti Sains Malaysia ( HAAK USM) dan juga exco atau lajnah Penerbitan dan perhubungan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (PMIUSM). Pernah beberapa kali saya didesak agar bertanding dalam pilihanraya kampus untuk menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), namun berkali-kali juga saya menolaknya. Saya juga agak rapat dengan rakan-rakan dari Persatuan kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) , kerana aktivisnya, iaitu Mohd Nizam bin Mahshar( kini menjadi setiausaha Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Pulau Pinang) pernah menjadi naqib usrah saya.


(gambar dari google)

Kembali kepada cerita. Kenangan yang saya anggap paling manis untuk dikenang ialah kenangan berbuka puasa di masjid Al-Malik Khalid. Terima kasih kepada Pusat Islam USM, terutamanya pengarahnya ketika itu, Ustaz Ellias Zakaria juga merangkap sebagai penasihat PMIUSM( hari ini beliau dilantik menjadi Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang oleh Kerajaan Pakatan Rakyat). Terima kasih kerana memahami ketidakupayaan kewangan kami selaku pelajar. Saban hari, saya dan pelajar-pelajar USM yang lain akan berbuka di masjid al-malik Khalid. Istimewa di sini ialah kami berbuka secara berjemaah, maksudnya makan di dalam talam. Biasanya tiga atau empat orang setalam. Disebabkan saya menginap kat Desasiswa Harapan, jadi sayalah yang diharapkan untuk mengambil makanan ketika berbuka puasa. Sahabat-sahaabt yang lain, tinggal kat desasiwa Indah, Aman, Permai dan ramai juga yang tinggal kat luar. Makan bertalam ni, sememangnya mengeratkan ukhwah antara kami. Cukup indah apabila saya mengenang kembali sesudah bertahun saya meninggalkan USM.

Bersahur juga, ada istimewanya tersendiri. Kebiasaannya, saya dan rakan-rakan akan membeli bekalan sahur seawal pukul 12 tengah malam. Lazimnya bekalan sahur ni kami beli di cafe-café sekitar desasiswa di USM. Cuma, kekadang seronak juga bersahur kat luar seperti Pantai Seagate( lokasi couple buat maksiat ketika itu). Paling istimewa ialah bersahur di masjid al-malik Khalid. Namun, Ia tidak diadakan disepanjang Ramadhan, tapi diadakan pada malam kesepuluh terakhir Ramadhan. Untuk menikmati sahur percuma ini, kami akan berpagi-pagi lagi ke masjid tersebut untuk berqiamullail. Tamat qiamullail, maka hidangan sahur akan dihidangkan. Saya dapat rasakan, betapa indahnya kehidupan saya ketika itu.

Begitu juga dengan malam-malam Ramadhan yang penuh berkat, kami lalui dengan penuh keindahan di masjid al-malik Khalid. Bertarawih secara berjemaah dengan diimamkan secara bergilir oleh ustaz wahab, ustaz yussof, ustaz Ellias dan ustaz zaid( pensyarah bahasa Arab di pusat bahasa USM, merangkap naqib usrah saya)dan juga seorang pelajar master dalam bidang farmasi dari Palestin( kalau tak silap saya, Usamah namanya). Selesai bertawarih, kami seringkali menghiasi malam-malam ramadhan dengan bertadarrus Al-Quran. Kini, amalan bertadarrus yang dahulunya menjadi rutin dalam hidup saya kian menjauh. Jujur, saya tewas dalam mempertahankan istiqamah saya terhadap amalan yang mulia itu.

Ah! Semuanya telah menjadi sejarah. Telah jadi purba dan hanya mewanggi di taman ingatan dan tersimpan rapi di arkib kenangan. Saya dan USM semakin menjauh dari segi tempoh masa namun sentiasa dekat di hati.





Wednesday 4 August 2010

JaNgAn JaDi KeCuNdAnG

(hanya orang yang "kecundang" sanggup
menoktahkan hayatnya sendiri)


JaNgAn JaDi KeCuNdAnG

PERMULAAN YANG BAIK.
TIDAK SEMESTINYA
BERAKHIR DENGAN PENGAKHIRAN YANG BAIK
DAN
PERMULAAN YANG TIDAK BAIK
TIDAK SEMESTINYA
BERAKHIR DENGAN KESUDAHAN YANG TIDAK BAIK.
APA YANG PASTI
KITA MERANCANG
DAN ALLAH JUA MERANCANG
TETAPI ALLAH ADALAH SEBAIK-BAIK PERANCANG.

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk untuk kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah Yang Mengetahui (semua itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya”( Surah Al-baqarah, ayat 216)

***********************************************
HIDUP UNTUK DINIKMATI

Sebenarnya bicara ini(selayaknya saya namakan sebagai warkah), saya khaskan kepada seorang teman. Telah saya emailkan kepadanya pada penghujung disember 2007. Namun mungkin ada sahabat yang pernah, sedang atau bakal menghadapi situasi yang sama. Lantas saya paparkan kembali bicara ini untuk renungan bersama. (namun disini saya tidak akan paparkan kembali isi kandungan email dan sms antara saya dengan dia. Lagipun sms tu dah lama hilang kerana bertukar handpohe beberapa kali sejak 2007). Pinta saya, sematkan bicara ini ke dalam hati agar ia mampu dijadikan rujukan tika susah nanti. Moga-moga ia mampu membuat anda tersenyum dalam kedukaan. Harap-harap ia mampu membuatkan anda yakin untuk hidup. Mesej saya satu sahaja, HIDUP UNTUK DINIKMATI DAN BUKANNYA UNTUK DIRATAPI. Oleh itu jangan jadi kecundang dengan kekecewaan yang bertandang. Warnailah kanvas hidup dengan warna-warna keceriaan.

Teman saya ini telah putus tunang. Setelah lima tahun bercinta dan beberapa bulan lagi, ingin menamatkan zaman bujang, tiba-tiba percaturan takdir telah mengubah segala-galanya. Hubungan terlerai kala hasrat sedang melaut. Pertunangan bubar tika impian makin melangit. Jiwa perempuannya retak berjuta lantaran teman lelakinya kini bukan miliknya lagi. Dia sungguh kecewa dan hidupnya tidak keruan. Saya dijadikan tempat mengadu. Jadilah saya seorang pendengar yang setia. Tidak sanggup rasanya untuk saya menuli dan buat tidak reti. Tidak betah rasanya diri ini membisu dan buat tidak tahu.

Kembali kepada agama, itulah yang sepatutnya. Itulah terapinya. Itulah vaksin untuk menghalang virus-visrus kekecewaan. Itulah jualah yang saya maklumkan kepadanya menerusi email( maaf tak elok untuk saya paparkan kembali segala isi kandungan email itu). Virus kekecewaan, jika tidak dirawat, ia akan meratah sel-sel keimanan dalam jasad. Sebab itulah ada orang yang mengambil jalan pintas dengan membunuh diri apabila percintaan putus, pertunangan bubar atau perkahwinan bernoktah. Lagi malang yang membunuh diri itu adalah berbangsa melayu dan beragama islam. Teramat malang kerana terdapat kes lelaki yang membunuh diri kerana teman wanitanya beralih arah kepada lelaki lain. Benar-benar menjatuhkan maruh lelaki.

Yakinlah, zikir itu pengubat lara. Tasbih pula penyembuh duka. Dan yakinlah SELALU ADA PERTOLONGAN ALLAH. Cuma kita kekadang tidak nampak bentuk pertolongan Allah. Harus diingat pertolongan Allah itu adakalanya dalam bentuk kegagalan. Kegagalan kita memiliki seseorang atau sesuatu. Atau kegagalan kita mempertahankan permilikkan kita terhadap seseorang atau sesuatu. Jadi kita perlu renung betul-betul. Selidik dalam-dalam. Kaji sungguh-sungguh. Percayalah kita sebenarnya beruntung meskipun kita gagal memiliki apa yang kita impikan. Hayatilah firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat ke-30 “Sesungguhnya aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya”

Jadi, biarlah emapayar ambisi kita ranap asalkan empayar akidah kita semakin mantap. Biarlah hasrat yang dilakar tak kesampaian dan impian yang direncana tak menjadi kenyataan. Yang penting hubungan kita dengan Tuhan semakin mantap dan matang

************************************
JANGAN JADI KECUNDANG.

Jangan menangis sayang, itulah yang ingin saya ungkapkan kepadanya. Tapi lidah ini kelu dan bibir ini kaku. Hadapilah dengan senyuman dan jangan jadi kecundang. Itu pesanan saya kepadanya. “Janganlah berdukacita dengan ujian dan cubaan Allah. Lantaran boleh jadi ia satu hadiah atau pemberian.”petikan buku La Tahzan( Jangan Bersedih karangan Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni) saya smskan kepadanya.

Jangan jadi kecundang(maksud saya jangan kecewa dalam hidup). Ini kerana ia tergolong dalam kategori berputus asa dari rahmat Allah. Berputus asa dari rahmat Allah pula dikategorikan sebagai sebahagian dari dosa-dosa besar,

Cuba renung nikmat dan rahmat yang Allah beri kepada kita. Nikmat hidup( betapa malangnya kita jika dicipta sebagai batu yang tidak hidup), nikmat menjadi manusia( betapa malangnya kita jika ditakdirkan menjadi binatang atau pokok), nikmat islam dan iman( betapa malangnya kita jka ditakdirkan lahir dan membesar dalam keadaan kufur), nikmat pendidikan( betapa ramai yang tidak mempunyai pendidikan yang sempurna kerana pelbagai faktor ), nikmat kerjaya( betapa malangnya kita jika tiada kerja dan hakikatnya masih ramai yang mengganggur). Jadi mengapa harus kita bersedih. JANGAN MENANGIS KERANA KETIADAAN SEPATU SEBELUM MELIHAT MEREKA YANG TIDAK MEMPUNYAI KAKI.

Bersyukurlah selalu kepada Allah dan janganlah sempitkan matlamat hidup kepada kekasih hati sahaja. Jadikan Allah sebagai matlamat hidup. Percayalah masih ada , malah mungkin juga masih ramai yang menyanyangi kita. Pohonlah petunjuk dari-Nya agar kita tak terpesong tanpa haluan dan tersasar tanpa panduan. Yakinilah Allah tidak akan memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Renungi firman Allah(ayat seribu dinar) “Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka …….”

Rezeki yang tak disangka-sangka itu termasuklah penganti yang lebih baik. Meskipun tidak sekacak atau secantik kekasih terdahulu namun itulah pemberian yang terbaik dari Allah Yang Maha Mengetahui.

Pesan saya kepada sesiapa yang berhadapan dengan situasi yang sebegini agar JANGAN JADI KECUNDANG.

award FRIENDSHIP DAY



Ini award seterusnya yg saya terima dari ninie azriena (http://ninieazriena91.blogspot.com/)
.Award sempena FRIENDSHIP DAY. Saya hargai award ini sebagaimana saya menghargai sahabat-sahabat blogger semua. Kita bina empayar persahabatan seluas yang boleh. Kita timbus jurang permusuhan semaksimum yang boleh.


Jom kita luaskan empayar persahabatan. Sudi-sudilah menerima award ini. Saya tak nak hadkan kepada sahabat-sahabat tertentu, tapi saya perluaskan penganugerahannya kepada sahabat-sahabat blogger yang bertandang ke blog saya. Dengan ini, ia akan melebar dan meluas.