Sunday 31 January 2010

sudah KEHENDAK-NYA


Cerpen saya ini disiarkan dalam Majalah Nur( Karangkraf) edisi Febuari 2010.


TAJUK = SUDAH KEHENDAK-NYA.
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.



Hidayah. Aneh sungguh ia didatangkan. Adakalanya terlalu sukar dan ada kalanya teramat senang. Itulah kesimpulan yang dapat aku buat setelah mendengar ceritanya. Namun, akal warasku tetap mewajarkan semua itu sebagai kehendak-Nya, seperti yang dirakamkan di dalam Firman-Nya , surah al-Ghaasyiyah, ayat 21 dan 22.


“Oleh itu, berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran islam yang engkau sampaikan itu)”


Ya, sudah kehendak-Nya, Abu Talib mati dalam kekufuran. Walaupun diterangkan berkali-kali dan dijelaskan berjela-jela, namun kalimah tauhid tetap tidak mampu bertapak di hatinya. Sudah kehendak-Nya, Umar al-Khattab menjadi manusia yang beriman. Sesudah mendengar dan membaca beberapa patah kalam Allah dari surah Taha, hati kerasnya terus lunak dan zulmat jahiliahnya terus sirna. Sudah kehendak-Nya juga Yvonne Ridley, wartawan Sunday Express menemui islam sesudah menjadi tahanan Taliban yang sering dilabel sebagai ganas dan kejam. Begitu jualah dengan sahabatku ini, sudah kehendak-Nya.


****


Benarkah apa yang aku saksikan? Jujur, ada perasaan aneh yang melingkari jiwa tatkala terpandangnya. Sungguh! pertemuan yang tidak disengajakan di masjid tadi telah melemaskan aku dalam lautan tanda tanya. Benar! perubahannya itu agak sukar untuk aku percayai pada mulanya. Ternyata, masa telah mengubah segalanya.


Sudah adatnya bila agak lama tidak berjumpa, maka banyaklah perkara yang hendak diceritakan. Cerita tentang aku, juga tentang dia dan akhirnya melarat ke cerita ‘penghijrahannya’.


“Pernahkah kau mendengar atau melihat seseorang doktor dirawat oleh pesakitnya.” Begitulah soalan yang dia ajukan kepadaku. Aku sekadar menggelengkan kepala. Dia kemudiannya memandang tepat ke arahku dan mata kami bertembung. Aku lihat dia diam. Sekilas renung di wajahnya seolah-olah ada hiba yang bertandang. Suasana khali buat
seketika dan alam bagaikan mati dibungkus sepi.


“Mungkin aneh dan agak lucu. Tapi inilah yang telah berlaku dan akulah doktor itu.” Amir, sahabatku itu kembali bersuara setelah jeda seketika. Aku diserbu kehairanan. Benar-benar menyanggahi kelaziman. Betul-betul menyalahi kebiasaan.


“Benarkah apa yang dikatakan itu?.”


“Apakah yang sebenarnya telah berlaku?.”



****


Kata Amir, kisah itu telah dua tahun berlalu. Namun, hingga ke saat ini peristiwa itu tidak pernah pamit dari ingatannya. Tidak sekadar memungut kenangan, dia juga banyak mengutip pengajaran dari peristiwa itu, begitulah Amir menjelaskan kepadaku. Aku sekadar mengangguk perlahan. Aku yakin dia telah menemui hikmah yang tersirat di sebalik hakikat yang telah tersurat.


Kata Amir, semuanya bermula setelah dia mengenali Aisyah, gadis yang terlantar di katil hospital, sekali gus menjadi pesakitnya. Hatinya digamit untuk mengenali Aisyah setelah terlihat gadis itu menunaikan rukun islam yang kedua dalam keadaan duduk, lantaran tiada kudrat untuk berdiri.


“ Aku benar-benar kehairanan melihat semua itu dan itulah buat pertama kalinya aku melihat orang bersembahyang dalam keadaan sebegitu,” begitulah Amir meluahkan kehairanannya kepadaku.


Memang wajar untuk Amir berasa pelik dan hairan melihat semua itu. Apa tidaknya, dia seorang lelaki yang amat jauh dari agama. Sejauh langit dari bumi dan sejauh timur dari barat. Begitulah hebatnya jarak yang terbina antara dia dan agama yang dianutinya.


“Aku free thinker.” Begitulah pengakuannya sembilan tahun yang lalu, sewaktu kami menjadi warga sebuah kolej matrikulasi di utara semenanjung, atau lebih tepat lagi sebelum dia melanjutkan pelajarannya ke Ireland dalam bidang perubatan.


Tiba-tiba aku teringatkan peristiwa kedatangan islam ke bumi Melaka. Seperti yang dirakamkan dalam teks Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Seri Lanang, penduduk Melaka begitu terkejut dan sangat hairan tatkala melihat Saiyid Abdul Aziz bersembahyang di pantai setelah tiba ke Melaka. Sebagaimana penduduk Melaka ketika itu, begitulah situasi Amir tatkala melihat Aisyah yang bersembahyang dalam keadaan duduk.


“Bermula saat itu, aku ingin mengenalinya dengan lebih dekat. Selaku doktor, tentu sahaja tidak sukar untuk aku mendekatinya. ” Amir kembali menyambung ceritanya yang terhenti buat seketika.


“Pada mulanya agak kekok juga. Bicara kami banyak dibatasi sempadan seorang doktor dan pesakitnya. Namun, lama-kelamaan kami menjadi akrab dan tiada lagi jurang bicara seperti yang sebelumnya. Kami mula berkongsi cerita dan berceritakan kehidupan masing-masing. Akhirnya, tidak sekadar tahap keseriusan penyakitnya yang aku selongkar. Malah, latar belakangnya juga turut aku selami. Secara jujurnya, aku tertarik dengan sopan kata dan santun bicaranya. Ikhlas! Aku tertawan dengan jujur pekerti yang mendiami peribadinya.” Aku terpegun sejenak mendengarkan kisahnya. Lantas aku memutuskan untuk diam dan menjadi pendengar yang setia.


“Aisyah sebenarnya menghidap barah pangkal rahim. Sel-sel barah telah membiak dan merebak ke beberapa bahagian penting dalam jasadnya.” Amir meraup wajahnya. Mungkin ada sedih dan pilu di hatinya kala itu. Seketika kemudian dia melontarkan pandangannya ke arah masjid. Seolah-olah ada tersembunyi sesuatu di institusi yang mulia itu. Institusi yang suatu ketika dahulu amat asing baginya.


****


“Bagaimanakah sesuatu penyakit memperkenalkan dirinya?.” Begitulah Aisyah mengajukan tanya setelah mengetahui Amir seorang free thinker.


“Tentu sahaja melalui simpton-simptonnya.” jawab Amir dengan penuh keyakinan. Pasti sahaja jawapan Amir selaku doktor itu benar dan tepat.


“Allah juga ada kaedah tertentu untuk memperkenalkan diri-Nya. Antaranya ialah menerusi ciptaan-Nya.” Amir tersentak mendengar jawapan itu. Ternyata soalan yang dikemukakan oleh Aisyah tadi bukanlah bermotifkan ingin tahu tetapi kerana ingin menduganya.


Melihat Amir yang masih terpinga-pinga, lantas Aisyah membacakan kepadanya sepotong ayat Al-Quran, surah Ali ‘Imraan, ayat 190.
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan ,kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”


“Bagaimana pula seseorang doktor dapat mengetahui atau mengenalpasti sesuatu penyakit pada pesakitnya?.” Amir tidak menjawab soalan yang diajukan itu. Dia diam seribu bahasa sambil indera pandangnya menyeluruhi wajah tenang yang sedang menderita itu. Amir sedar pertanyaan Aisyah kali ini juga bukanlah bermotifkan ingin tahu.


“Tentu sahaja dengan memeriksa suhu badan dan denyutan nadi. Dan untuk penyakit yang lebih kronik, mungkin memerlukan kaedah x-ray dan scan. Apa pun kaedahnya, yang pasti semua itu berdasarkan pemerhatian dan penelitian yang mendalam serta pemilikan ilmu yang tinggi. Begitu juga untuk mengenali Allah, mesti dengan melihat, merenung dan memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah.”


“Maksud awak, dengan meneliti dan memerhatikan apa yang ada di langit dan di bumi?.” Amir bertanya inginkan kepastian.


“Ya. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim Alaihi Salam. Baginda mengenali Allah setelah memerhatikan bintang, bulan dan matahari. Kisah ini dinyatakan dalam Al-Quran, surah al-An’aam ayat 74 hingga 79.” Persis seorang ahli panel dalam program forum agama, gadis malang itu berhujah dengan hebat sekali.
Aku si pendengar yang setia, tiba-tiba terkenangkan kehebatan Aisyah, isteri Nabi Muhammad. Beliau begitu banyak meriwayatkan hadis dan menjadi rujukan para sahabat dalam persoalan agama. Mungkinkah Aisyah, si penderita barah pangkal rahim itu telah ‘mencetak’ sekelumit kehebatan milik Aisyah isteri junjungan mulia, Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam?


“Meneliti dan memerhati bukan setakat dengan mata, tetapi mestilah disertai akal yang tajam dan kefahaman yang matang. Inilah ciri-ciri Ulul Albab, kalimah yang disebut sebanyak enam belas kali dalam Al-Quran. Kerana memiliki ciri-ciri inilah Nabi Ibrahim mampu mengenali Allah. Dan kerana memiliki ciri-ciri ini jualah Ibn Sina, Al-Razi dan Ibn Al-Nafis semakin dekat dengan Allah setelah bergelumang dalam dunia perubatan” Amir terpaku mendengar hujah demi hujah yang dimuntahkan oleh Aisyah. Semacam ada kuasa ghaib yang memaksanya untuk terus memberikan tumpuan terhadap bicara Aisyah.


Ibn Al-Nafis, aku si pendengar yang setia tiba-tiba terkenangkan tokoh itu. Tokoh perubatan kelahiran Damsyik pada tahun 1210 Masihi itu, telah memberi sumbangan yang amat besar dalam ilmu perubatan dan dunia kedoktoran. Setelah mewakafkan hidup dan kehidupannya untuk menelaah dan mengkaji, akhirnya dia menemui saluran pembuluh darah di dalam badan manusia. Aku yakin sekiranya anugerah Nobel telah diwujudkan kala itu, pasti sahaja anugerah Nobel Perubatan akan dimenanginya, sebagaimana Karl Landsteiner yang menerima Anugerah Nobel Perubatan pada tahun 1930 kerana kejayaan mengklasifikasikan jenis darah kepada A, B, AB dan O.


“Bagaikan si lapar yang tak bertemu makanan dan si dahaga yang tak bertemukan minuman. Pasti sahaja kesudahannya ialah mati kebuluran dan kehausan. Begitu jualah halnya dengan manusia yang tak menemui kebesaran Allah melalui ciptaan-ciptaan-Nya. Mereka ini mempunyai hati, mata dan telinga yang tidak berfungsi hingga tidak mampu memerhati dan meneliti. Dan kesudahan mereka ini ialah neraka jahanam. Tidak hairanlah jika Allah menyamakan mereka ini dengan binatang ternakan, sebagaimana yang dirakamkan di dalam surah Al-A’raaf ayat 179.” Kata-kata Aisyah terus menerjah telinganya. Malah, Amir menjelaskan kepadaku kata-kata itu menyebabkan lenanya terganggu buat beberapa ketika.


“Astaghfirullahalazim” Amir beristighfar perlahan. Ternyata, penerangan yang diberikan oleh Aisyah tidak sekadar singgah di telinga tapi meresap jauh ke hatinya hingga sebati bersama darah dan dagingnya. Tentu sahaja antartika kejahilannya mula mencair sedikit demi sedikit. Pasti sahaja horizon pemikirannya juga mula meluas seinci demi seinci. Mencair dan meluas kerana Aisyah.

***

“Aisyah telah berjaya merawaktu. Rohaniku yang sakit, akidahku yang parah dirawatnya dengan cermat dan hati-hati. Tapi sayang…” Amir tidak mampu meneruskan kata. Dipejamkan matanya seketika untuk meredakan sebak di dada.


“Maksudmu.” Aku cuba menebak apa yang ingin disampaikannya itu. Jauh di sudut hati, sudah dapat aku duga apa yang telah berlaku.


“Aku gagal. Dia pergi jua akhirnya.” Bicara Amir tersekat-sekat dan aku lihat air matanya mulai mencurah. Tangisannya itu meluluhkan hatiku.


“Sudah kehendak-Nya, Aisyah pergi. Janganlah sesekali kau kesalkan.” Aku cuba meredakan pilunya, meskipun aku sendiri didatangi sebak di dada.


“Barahnya sudah tahap ketiga. Tahap kritikal dan tidak mampu lagi dirawat melalui kemoterapi dan radioterapi.” Jelas Amir sambil menyeka air mata.


“Oh Aisyah! Terima kasih kerana telah mengembalikan sahabatku ke paksi agama. Terima kasih juga kerana telah membimbing sahabatku yang telah jauh tersasar dari orbit akidah,” Bicaraku hanya dihati.


“Sudah kehendak-Nya, dia menderita barah. Sudah kehendak-Nya juga, dia bertemu denganmu. Sebab, sudah Kehendak-Nya, dia yang merawatmu.” Sedaya mampu aku pasakkan keyakinan ke dalam hati Amir. Biar Amir mengerti. Moga Amir faham. Itulah kehendak-Nya.


“Al-Fatihah buatmu ,Aisyah!”

Sunday 24 January 2010

MERENTAS MASA


SEBELUM BERALIH ARAH
SEBELUM MENCARI ARAH
PASTIKAN ARAH YANG INGIN DITUJU
TAKUT NANTI..
KAU TERCARI-CARI DI DALAM TERANG
BIMBANG NANTI
KAU TERABA-RABA DI DALAM BENDERANG.


Lega rasanya apabila aktiviti merentas desa dapat diadakan dengan sempurna. 23. Januari 2010, tamatlah sudah satu aktiviti ko-kurikulum yang menjadi acara tahunan di sekolahku. Merentas desa menawarkan keseronakkan buat pelajar-pelajarku lantaran kebosanan dengan kerutinan dan kebiasaan di dalam kelas. Potret keriangan jelas terpamer pada wajahnya. Sungguh gembira mereka berlari meredah jalan dan denai, melewati beberapa perkampungan dan kawasan perumahan.
Itu tentang merentas desa. Tapi, bagaimana pula dengan merentas masa. Ia tidak sesusah merentas desa. Ia tidak memerlukan kita berjalan dan berlari tetapi ia memerlukan kita berfikir dan menghayati. Ia tidak memenatkan tapi agak mengerunkan.

Perlu sekali untuk para pelajar diajar untuk merentasi masa. Memang perlu, untuk membolehkan mereka berpijak di bumi yang nyata. Sangat perlu, agar mereka tidak berpaut di dahan yang rapuh. Terlalu perlu, supaya mereka tidak bersandar pada dinding yang rebah. Teramat perlu, semoga mereka tidak berpijak di lantai yang rekah. Mereka perlukan petunjuk agar tidak tersalah arah. Mereka perlukan panduan agar tidak tersasar tanpa pedoman. Risau, kalau tanpa petunjuk, mereka akan tercari-cari walaupun dalam terang. Takut, kalau tanpa panduan, mereka akan teraba-teraba meskipun dalam benderang

Sebelum lena ada baiknya membiarkan diri menerawang seketika. Ambilah sedikit masa untuk mengerti hakikat masa. Masa yang secara umumnya terbahagi kepada tiga. Masa silam yang telah dilalui, masa kini yang sedang dinikmati dan masa depan/hari esok yang belum pasti.

MASA SILAM

MASA SILAM yang kini tersimpan rapi di arkib ingatan. Tidak wajar untuk sekadar mengutip kenangan pada setiap detik yang telah kita kehilangan. Sewajarnya, kita turut memungut pengajaran untuk menjadikan kita lebih matang. Memang benar, kita tidak mampu menghalang larian waktu yang telah berlalu. Tapi, sekurang-kurangnya menolehlah buat seketika. Bukan untuk bernostalgia tapi untuk merenung dan menghayati. Cuba bayangkan betapa murahnya ‘harga’ untuk hidup beberapa tahun yang lalu, dalam lingkungan 15-20 tahun yang lalu ( Mungkin tika itu mereka yang bergelar pelajar masih lagi bertaraf bayi). Tidak kisahlah harga rumah, harga tanah, malah harga beras dan gula. Juga harga petrol dan lain-lain keperluan.

Tapi, sayang. Itu kisah beberapa tahun yang lalu. Jadi sejarahlah kini. Perubahan datang dan semua itu lenyap dimamah zaman. Tapi, harus disedari sesungguhnya sejarah ini akan berulang. Maksudnya, akan datang ‘harga’ untuk hidup semakin mahal. Mereka yang bergelar pelajar pada hari ini, kemungkinan akan melangkah ke alam dewasa lebih kurang 10 tahun lagi. Tika itu cuba bayangkan berapakah harga untuk sebuah rumah teres, atau pertanyaan paling bodoh, berapakah harga untuk sekilo gula? Masih adakah subsidi gula dan petrol seperti yang pernah dan sedang kita kecapi hari ini?


MASA KINI

MASA KINI yang sedang dihadapi. Kalau tidak cermat dan hati-hati dalam melayarinya, maka banyaklah impian yang tidak akan makbul. Banyak juga hasrat yang tidak akan tertunai. Tapi sayang, inilah yang sering pelajar buat tidak kisah dan tidak peduli. Inilah realiti yang saya perhatikan sepanjang bergelar guru. Paling saya terkilan dengan pelajar yang datangnya dari keluarga yang miskin tetapi ‘ miskin’ pula semangat juangnya untuk belajar. Dalam satu kes, bekas pelajar saya yang merupakan seorang anak yatim yang telah kematian ayah, ibu pula lumpuh dan adik beradiknya lebih kurang 11 orang. Memang meruntun hati tika saya ke rumahnya sekitar 2008. Tapi, yang dikesalkan kerana dia juga turut ‘miskin’ semangat juang dan ‘yatim’ cita-cita dan tujuan. Ke sekolah hanya kerana ingin berjumpa dan bersembang bersama teman-temannya. Ponteng kelas menjadi aktiviti rutinnya. Petang-petang pula asyik dengan aktiviti tak senonoh di taman rekreasi. Kesudahannya anak yatim ini kecundang dalam SPM. Itu sebahagian contoh yang mampu saya paparkan.

Terlalu banyak sebenarnya kes macam ini. Miskin tapi malas. Susah tapi culas. Tanpa sedar, mereka yang datang dari keluarga yang susah tapi culas ini, sebenarnya sedang merancang untuk mengulangi sejarah kesusahan keluarga mereka. Mereka gagal mengusir kemiskinan yang menghambat kehidupan lantaran culas dan malas. Sepatutnya mereka sedar sebelum mereka menukar arah( lari dari matlamat sebenar sebagai pelajar) sebabnya selepas ini mereka akan mencari arah(mencorakkan kehidupan). Jangan nanti arah yang dituju bagaikan api atau duri. Andai melangkah pasti terbakar atau terluka.


MASA HADAPAN
MASA HADAPAN yang kita tidak pasti. Tapi, lumrahnya formula untuk masa hadapan ialah 1+2=3. Walaupun ia tidak setepat dan setetap 1+2=3, lantaran adanya faktor nasib dan takdir. Tetapi Tuhan tidak pernah menzalimi hamba-Nya, jadi formula ini hampir tepat dan tetap. Sebagaimana orang yang makan akan berasa kenyang, orang yang mandi akan kebasahan, begitu jugalah untuk orang yang rajin berusaha maka hasilnya ialah kejayaan. Orang yang malas pula, hasilnya ialah kegagalan. Itulah formula yang lazim dan lumrah. Perlu sekali untuk pelajar dan ibu-bapa mengetahui sesungguhnya kehidupan akan datang amatlah mencabar. Kos hidupnya sungguh mencabar. Perlumbaan untuk memperolehi pekerjaan juga mencabar. Apa sahaja termasuklah kadar jenayahnya juga mencabar lantaran kehidupan yang mencabar.

Jadi, apakah persiapan anda untuk mendepani kehidupan yang serba mencabar ini. Tidak boleh lagi kita mengharapkan subsidi dan bantuan kerajaan sepanjang hayat. Mahu atau tidak mahu, kita terpaksa memperkasakan diri mulai hari ini/masa kini. Untuk pelajar, anda perlu belajar dan belajar dengan gigihnya demi kegemilangan hari esok. Untuk ibu bapa pula, perlulah sedar akan tanggungjawabnya demi kelangsungan hidup anaknya pada hari muka. Sebabnya kebiasaannya, formula ini agak tepat dan tetap seperti mana tepat dan tetapnya 1+2=3. Malah Pribahasa Melayu turut menyokong formula ini, Berakit-rakit dahulu, Berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, Bersenang-senang kemudian. Ia menepati formula 1+2=3.

Wednesday 13 January 2010

Kegilaan Yang Menggila

Gula dan Gila.

Bukan gula-gula

Tidak juga gila-gila

Tapi, Inilah.....

kegilaan yang menggila

Kegilaan menaikkan harga gula

Dengan alasan yang gila,

Kononnya untuk mengurangkan kegilaan orang ramai terhadap gula

Kononnya kegilaan terhadap gula

Akan menyebabkan obesiti dan diabetes menggila

Tuesday 5 January 2010

TENTANG GURU, APA YANG PERLU PELAJAR KETAHUI


TENTANG GURU, APA YANG PERLU PELAJAR TAHU.

(sebelah, gambar bersama-sama pelajar di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu)

“Dan IA telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkan kepada malaikat lalu ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda itu semuanya, jika kamu golongan yang benar. Malaikat itu menjawab: “ Maha Suci Engkau ( Ya Allah) kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang kau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, Lagi Maha Bijaksana.” (SURAH AL-BAQARAH , ayat ke-31-32)

Berdasarkan kalam Allah ini, jelaslah sejarah PEMBELAJARAN telah bermula sejak sekian lama. Allah yang MENGAJAR dan Adam(termasuk Malaikat) yang DIAJAR.

Kali ini, di ruangan yang terhad dan terbatas ini, saya ingin berbicara tentang golongan yang DIAJAR( boleh sahaja ditakrifkan sebagai pelajar, murid atau yang seerti dengannya). Ya, berbicara tentang apa yang perlu pelajar ketahui tentang gurunya.

Tentang biodata guru?
Jujur! itu amat tidak penting .

Tentang tarikh sambutan hari guru?
Ikhlas! Bukan itu yang harus diutamakan.
Jadi apa yang perlu mereka ketahui tentang gurunya?

SETIAP GURU INGINKAN KEJAYAAN PELAJARNYA.

Ini yang paling utama untuk seseorang pelajar ketahui. Ini visi dan misi seseorang guru sejak zaman berzaman-zaman. Inilah impi dan citra setiap guru di segenap penjuru dan ruang di buana ini.


Setiap guru pasti berbangga dengan kejayaan pelajarnya. Sebagai mana bangganya Imam Bukhari yang menjadi guru kepada Iman Tirmizi, hinggakan Imam Tirmizi menjadi Muhadithin yang terkenal. Malah dari segi kedudukan atau mutu, kitab Sunan al-Tirmizi yang dihasilkan oleh Imam Tirmizi merupakan kitab Sunan keempat daripada enam kitab Sunan yang. Malah, Imam Bukhari sendiri pernah mengatakan, Sesiapa yang menyimpan Sunan al-Tirmizi di rumahnya, seolah-olah telah menyimpan Nabi di rumah. Malah, Khatib al-Baghdadi menamakan Sunan al-Tirmizi sebagai al-Jami’ al-Sahih.

Jujur! setiap guru inginkan setiap pelajarnya berjaya melakarkan masa depan yang gemilang. Jangan ada suram dan jangan ada kelam, jangan ada hitam dan jangan ada mendung yang menabiri kehidupan pelajar-pelajarnya.


SETIAP GURU INGINKAN PELAJARNYA LEBIH BERJAYA DARINYA.

Selalu saya berkata kepada pelajar-pelajar saya. Kalau saya sebagai guru, kamu sekurang-kurangnya menjadi seorang pensyarah di IPTA/IPTS.

Dua kisah ingin saya paparkan sebagai renungan buat semua.

PERTAMA:
Ingin sekali saya paparkan kisah Alexander Graham Bell. Beliau adalah guru dalam
penciptaan telefon(kerana beliau adalah pencipta telefon). Memang dia dikenang sebagai manusia yang hebat dan berjasa kerana telah memperkenalkan telefon sebagai alat untuk beromunikasi. Tetapi, harus diakui ‘anak didiknya’ hari ini, iaitu pencipta telefon jauh lebih hebat daripadanya. Kalau beliau masih hidup tentu sahaja beliau terkejut dengan jecanggihan handphone yang terdapat di pasaran hari ini.

KEDUA.
Kisah Anne Sullivan! Dialah guru yang telah memperkenalkan huruf dan nombor kepada Hellen Keller yang pekak dan buta. Tapi sejarah telah menjilidkkan, Hellen Keller kemudiannya terkenal seantero dunia dan jauh mengatasinya.
Begitu juga dengan saya( begitu juga dengan guru-guru yang lain), inginkan anak didiknya mengatasinya dari segi pencapaian dan kegemilangan hidup. Jurutera, arkitek, doktor, peguam, tokoh korporat dan pemimpin terkemuka, biarlah semua itu menjadi hak milik pelajarnya.
Bagaimanapun ini bukanlah bererti saya menghina pelajar-pelajar yang kecundang dalam akademik atau yang gagal meraih kerjaya yang profesional.
]ujur! meskipun anda hanya seorang penjual goreng pisang, petani, nelayan ataupun pekerja kilang. Namun, anda jauh lebih mulia berbanding seorang akauntan yang sanggup menggelapkan akaun orang lain demi menerangi akuannya.
Ikhlas! anda lebih suci berbanding segelintir profesional yang lena dan leka dalam dakapan rasuah.
Sejauh langit dari bumi, begitulah mulianya anda berbanding tokoh korporat yang menjadi keparat lantaran halobakan laba semata-mata.
Sejauh timur dari barat , begitulah sucinya anda berbanding segelintir politikus yang
sanggup melacurkan kebenaran demi kuasa.
Pokok pangkalnya anda jujur dan ikhlas. Jujur dan ikhlas yang mempunyai keterikatan dengan agama. Dan inilah yang ingin setiap guru nyatakan kepada pelajar-pelajarnya. Baik kepada yang bergelar jurutera, doktor dan arkitek. Mahu pun kepada pelajar yang telah dan bakal bergelar mekanik, penjual goreng pisang dan pekerja kilang.

PUTERI

Cerpen saya ini telah disiarkan di dalam Majalah Mingguan Wanita ( 1- 7 Januari 2010 )


TAJUK = PUTERI
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.

Sejak dari tadi lagi dia termangu di jendela. Direnungnya dada langit dan ditatapnya wajah bulan. Namun, hati dan fikirannya tidak juga tenang. Dia benar-benar diburu penyesalan. Dia menghela nafas panjang dan seketika kemudian pandangannya beralih pula ke seberang jalan. Sekumpulan kelekatu yang mengerumuni lampu yang menerangi jalan, benar-benar menarik perhatiannya. Berapa ekor kelekatu yang bernasib malang, diperhatikannya dengan penuh belas kasihan. Malang! Kerana terpaksa merayap di atas jalan, lantaran kepatahan sayap untuk terbang. Sungguh! Kelekatu itu telah tertipu dengan keindahan lampu, fikirnya. Ternyata! Dunia yang gelap di dalam tanah lebih baik buat kelkatu berbanding cahaya lampu yang menyebabkannya terkulai layu.


Puteri! Wajah pemilik nama itu tiba-tiba menyelinap datang dan memenuhi ruang ingatannya. Mengenangkan Puteri, dia merasakan dirinya teramat malang. Semalang kelekatu yang sedang merayap untuk menghabiskan sisa-sisa hayat setelah kepatahan sayap.

Penyelesaian

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin. Justeru, kamu akan bertanggungjawab terhadap mereka yang berada di bawah kepimpinanmu. Seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemimpin terhadap anggota keluarganya dan akan bertanggungjawab terhadap anggota keluarganya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan bertanggungjawab terhadap anak-anak dan pimpinannya. Khadam pula diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang berada di bawah pimpinannya.” Kata-kata Ustaz Khairi ketika kuliah maghrib beberapa minggu yang lepas kembali mengasak benaknya. Sejak tiga bulan yang lepas sebenarnya, dia mula berjinak-jinak dengan masjid. Dia ingin mencari penyembuh duka di institusi yang mulia itu. Duka lantaran dihempap segunung penyesalan.

“ Hadis riwayat Imam Bukhari ini telah mengiktiraf kita semua sebagai pemimpin yang mempunyai tanggungjawab, bidang kuasa dan wilayah pentadbiran masing-masing. Di akhirat nanti, kita semua akan disoal tentang pelaksanaan amanah yang kita pikul ini.” Tidak sekadar singgah di telinga, bicara yang menginsafkan itu turut meresap ke hati dan menyelinap ke seluruh jasadnya.

“Suami merupakan pemimpin utama dalam sesebuah rumahtangga. Dia bertanggungjawab terhadap anak dan isterinya. Ini semua telah dinyatakan oleh Allah S.W.T, dalam surah An-Nisaa’ ayat ke-34.” Jelas Ustaz Khairi lagi.

“Rumah tangga sebenarnya adalah sebuah kerajaan. Walaupun kecil dan sempit dari segi saiz, namun ia sangat besar dan amat luas dari segi kepentingan. Seperti mana pentingnya butiran pasir yang menjadi asas kepada pembentukan gunung yang tinggi. Saat dan detik yang menjadi asas kepada pembentukan tahun, kurun dan abad. Begitu jugalah dengan institusi keluarga yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat dan negara.” Astaghfirullahalazim, dia beristighfar perlahan. Dia benar-benar menyesal kerana terlalu menyempitkan horizon perkahwinan selama ini. Kini dia mengerti hakikat sebuah perkahwinan, yang tidak hanya untuk menghalalkan hubungan kelamin dan tidak sekadar untuk menyambung zuriat.

“Selaku pemimpin dalam rumahtangga, tanggungjawab seseorang suami sangatlah berat. Sebab itulah Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, menganggap perkahwinan itu sebagai satu jihad. Malah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dinyatakan betapa mulianya perjuangan seseorang suami yang mencari rezeki untuk menyara anak dan isterinya, hingga disamatarafkan dengan perjuangan seorang mujahid di jalan Allah.” Begitulah Ustaz Khairi menjelaskan. Syukur!

Dia sangat bersyukur, kerana kuliah itu telah mencairkan antartika kejahilannya selama ini. Kini dia memahami, tanggungjawab seseorang suami tidaklah semudah yang disangka dan tidak sesenang yang diduga.

“Tanggungjawab seseorang suami selaku pemimpin rumah tangga bukanlah untuk membahagiakan anak dan isterinya di dunia sahaja, Lebih dari itu, adalah untuk membahagiakan anak-anak dan isterinya di akhirat kelak. Inilah yang dinyatakan oleh Allah S.W.T dalam surah At-Tahriim ayat ke-6, Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu.” Penjelasan itu bergema di telinganya. Terdengar-dengar dan terngiang-ngiang.

Dipejamkan matanya seketika. Perlahan-lahan dia cuba mengingat kembali segala tanggungjawab yang telah dia abaikan. Ternyata! Dia gagal menjadi suami yang baik. Gagal, lantaran halobakan kecantikan. Kecantikan yang diburu, menyebabkan dia lupa makna suami. Kejelitaan yang dikejar menyebabkannya lupa erti bapa.
“Ya Allah, ampunilah aku.” Doanya di dalam hati.
“Put, maafkanlah abang.” Hatinya berbisik perlahan.

Dia meraup wajah perlahan dan pandangannya dilontarkan kembali ke dada langit. Sekali lagi dia memandang bulan. Tapi kali ini, dia merasakan dirinya seperti seekor pungguk. Pungguk yang malang kerana hanya mampu melihat bulan dari kejauhan sambil mengharap dengan penuh kerinduan. Seperti si Pungguk , dia juga seorang perindu. Dia merindui saat-saat bahagianya. Tapi sayang, semua itu telah berlalu dan hanya menjadi sejarah yang tersimpan rapi di arkib kenangannya. Dia cuba mengingat kembali serpihan-serpihan kenangan yang dianggapnya sebagai membahagiakan, Bagaikan menerpa di ruang mata, dia ternampak-nampak saat dia dan Puteri diijabkabulkan.

“Aku terima nikahnya Puteri Masitah bt Megat Husain dengan mas kahwinnya lima ratus ringgit tunai.” Masih segar dalam ingatannya saat kalimah itu dilafazkan. Kalimah yang menobatkan Puteri sebagai permasuri hidupnya. Permaisuri kepada sebuah kerajaan yang bergelar rumah tangga. Permaisuri yang akan menemaninya untuk melakar hasrat dan mengukir impian di sepanjang hayat.

Rumah tangganya amat bahagia pada awalnya. Dia dan Puteri bersatu atas nama cinta. Mereka berpadu atas dasar kasih. Bahagia yang dicipta semenjak di kampus semakin terserlah setelah kelahiran anak sulungnya, Norlela. Tiga tahun kemudian, anak keduanya, Norfadzillah pula menyusul. Tapi sayang, hayat kebahagiaannya hanyalah seketika dan hayat perkahwinannya juga tidak lama. Dan, dialah puncanya.



Pertemuan


Pulau Perhentian. Di situlah segalanya bermula. Ya, dia masih ingat rantaian kisah itu dengan lengkapnya. Sungguh! Semua itu masih bugar di sanubarinya. Dia ke pulau peranginan itu untuk bercuti. Bercuti untuk merehatkan diri dari lelah akal dan penat fizikal lantaran kesibukkan meladeni tugasan harian. Ketika sedang mencicip bayu laut yang berhembus lembut, dia disapa oleh seseorang.
“Pertama kali ke sini?.” Si Jelita memulakan bicara.
“Ya.” Jawabnya ringkas sambil mencuri pandang ke arah Si Jelita.
Lantas Si Jelita itu memperkenalkan diri. Namanya Anita, seorang setiausaha di sebuah syarikat yang agak terkemuka di ibu kota.

Walaupun pertemuan di Pulau Perhentian hanyalah seketika, namun ia tidak berakhir setakat itu sahaja. Ia telah merintis kepada pertemuan-pertemuan yang lain. Pertemuan yang pada mulanya hanyalah jarang-jarang, tetapi kemudiannya bertukar menjadi kerap-kerap. Akhirnya dia dan Anita menjadi rapat dan akrab. Keakraban yang terlarang tetapi tetap juga diulang-ulang, menyebabkannya tersasar jauh dari tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa. Sungguh! Anita telah menyebabkan kasihnya berpaling dan cintanya berpindah.

Perubahan tingkahlakunya itu dapat dihidu oleh Puteri. Apa tidaknya, dia mula lewat pulang ke rumah dan adakalanya hingga lewat malam. Begitu juga dengan masa untuk bersama keluarga , semakin hari semakin kurang.

Namun, apabila Puteri meluahkan sangsi, pelbagai helah dan alasan yang diberi. Semata -mata untuk mewajar dan mewaraskan tindakannya itu. Akhirnya Puteri akur dengan alasannya, hinggakan tiada sekelumit pun kesangsian terhadapnya. Sungguh! Puteri benar-benar percaya dan betul-betul yakin terhadapnya. Percaya, dia benar-benar sibuk dengan tugasan harian. Yakin, dia tidak akan sesekali berlaku curang.

Derita Puteri

“Sampai hati abang buat Put macam ni. Inikah balasan abang terhadap kepercayaan dan kesetiaan Put selama ini.” Bicara Puteri tersekat-sekat sambil menangis teresak-esak. Dia tahu, Puteri sedang mengusung kecewa sambil menahan sebak di dada. Ya, dia ingat benar tika dan saat itu.

Tika dan saat Puteri berlinangan air mata, setelah dia dan Anita ditangkap berkhalwat dalam satu operasi pencegahan maksiat. Peristiwa itu telah menguburkan seluruh kepercayaan Puteri terhadapnya selama ini. Kekecewaan yang sendat di kalbu menyebabkan Puteri meminta agar dileraikannya dari ikatan perkahwinan.

Akhirnya perkahwinan mereka bubar dan kekosongan yang ditinggalkan itu diisi oleh Anita. Sangkanya Si Jelita itu akan memberikannya bahagia. Tapi sangkaannya tidak menjadi nyata. Rupa-rupanya Si Jelita itu racun berbisa yang akhirnya membunuh cinta dan kepercayaannya. Sungguh tidak disangka, Si Jelita itu telah mengkhiantinya. Anita yang disayangi dan dipuja-puja, telah bermain kayu tiga dan ditangkap berkhalwat dengan rakan sepejabatnya ketika dia bertugas di luar daerah.

Kenyataan itu sungguh memeritkan. Hatinya punah ranah. Jiwanya cedera parah. Namun, di sebalik hakikat yang tersurat itu, terselit juga hikmah yang tersirat. Sungguh! Kenyataan yang memeritkan itu telah mengajarnya seribu erti dan sejuta makna. Erti kecewa bila didustai dan makna terluka bila dikhianati. Selama ini, dialah pendusta dan pengkhianat terhadap cinta dan kepercayaan yang diberikan oleh Puteri. Kini, dia mengerti betapa deritanya Puteri selama ini.

Mencipta Bahagia

“Apa bezanya antara kau dan aku wahai kelekatu. Kita gagal menilai keberuntungan diri kita selama ini. Kita mengejar sesuatu yang kita anggap indah dan menawan. Tetapi, kita lupa ia sebenarnya merugikan, malah membinasakan. Betapa beruntungnya jika kau terus mendiami duniamu di dalam tanah. Kau tetap bahagia meskipun dalam gelita. Tapi, kau halobakan cahaya yang dipancarkan oleh lampu. Kau tertipu wahai kelekatu. Lampu itu telah membunuhmu.” Dia bersuara lirih sambil memandang ke arah kelekatu di seberang jalan.

“Begitu juga dengan aku. Betapa beruntungnya jika aku kekal bersama isteri dan anak-anakku. Tapi, kejelitaan yang dipancarkan oleh Anita telah membutakan mata hatiku. Aku tertipu. Kejelitaan Anita telah membinasakanku. Put! Maafkan abang.” Dia tidak mampu lagi menahan sebak didada, lalu air-air jernih mula membasahi pipinya.

“Put, masih adakah ruang dan peluang untuk kita bersama semula. Sudikah Put memaafkan dan menerima abang kembali.” Dia tertanya-tanya sendiri sambil membuang pandangannya ke arah bulan di langit yang tenang.

“Allah Maha Berkuasa. Sesungguhnya tiada yang tidak mungkin dengan izin Allah. Dan, tiada yang mustahil dengan kehendak Allah.” Bait-bait nasihat yang disampaikan oleh Ustaz Khairi dalam kuliah yang lepas telah menyuntikkan keyakinan ke dalam dirinya.

Dia ingin kembali kepada Puteri. Kembali mencipta bahagia yang telah hilang. Dia tahu, belum ada lelaki lain yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan olehnya. Nekad! Dia akan menemui Puteri dalam tempoh yang terdekat untuk menyatakan hasrat hatinya itu.

Mungkinkah Puteri akan memaafkan sekali gus menerimanya. Atau, Puteri sekadar memaafkan tetapi tidak dapat menerimanya. Mungkin juga Puteri tidak dapat memaafkan sekali gus tidak dapat menerimanya. Persoalan- persoalan itu terus menyendati benaknya. “Ahh! Segalanya mungkin.” Dia sedar, itulah jawapan yang paling tepat.


Saturday 2 January 2010

DALAM HATI SEORANG GURU

Cerpen saya ini telah disiarkan dalam Majalah e @ Siswa( edisi 29, Julai 2009)

(Ini sebuah kisah tentang kegigihan seorang Guru Pendidikan Khas.)

TAJUK = DALAM HATI SEORANG GURU
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.

Gementar! Entah mengapa perasaan itu begitu menebal dalam diriku. Jujur! Aku meragui keupayaanku untuk berbakti. Mampukah aku melaksanakan tangungjawab ini? Mampukah aku mempraktikkan segala teori yang telah dipelajari?


Teka-teki itu mula terjawab setelah beberapa hari aku berada di sini. Ternyata, mendidik pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia tidak semudah yang disangka dan tidak sesenang yang diduga. Namun, aku yakin, di sebalik hakikat yang tersurat ini pasti adanya hikmah yang tersirat.

“Saya harap Cikgu Iskandar dapat sesuaikan diri dengan keadaan di sini.” Kata Tuan Haji Sarbani, selaku pengetua sewaktu aku melaporkan diri.

“Insya-Allah, saya akan cuba sesuaikan diri,Tuan Haji.” Jawabku sambil menganggukkan kepala . Ya, di mana sahaja ditempatkan, aku mesti membina zon selesa. Tidak wajar sama sekali seseorang guru selaku pendidik bersikap memilih lokasi untuk menyumbang bakti. Apatah lagi bagi guru-guru yang senasib denganku, yang berjaya mengikuti kursus KPLI setelah berkali-kali memohon.

“Pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini sebenarnya ada potensi. Tapi sayang, potensi itu terabai lantaran mereka kurang keyakinan diri. Jadi, cikgu buatlah yang terbaik untuk mereka.” Pengetua berbicara lagi . Ada nada pengharapan pada ungkapannya itu.


Kurang keyakinan diri. Itulah penyakit yang dihidapi oleh kebanyakkan OKU. Lebih teruk dari itu, ada juga segelintir OKU yang beranggapan kewujudan mereka ke dunia ini umpama melukut di tepian gantang. Masuk tidak menambah dan keluar pula tidak mengurang. Ada atau tiada, tidak memberi apa-apa kesan.


Bagaimana pula dengan pelajar-pelajar yang bakal aku didik nanti? Adakah setebal antarika ketidakyakinan mereka? Jika ya, mampukah dicairkan antartika itu? Selagi tidak dicairkan, maka selagi itulah mereka akan kecundang. Selagi itu jualah walang hidup mereka akan berterusan.


“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik.”

Aku sedar tanggungjawab ini amat berat untuk digalas. Namun, inilah realiti yang harus aku depani. Jadi, semampu yang boleh dan sekudrat yang terdaya akanku usahakan. Akanku gilap potensi mereka dengan asuhan yang rapi. Akanku bimbing mereka untuk menerobos sempadan diri.

Anne Sullivan! Mungkin ada sesuatu yang boleh aku garap dari sejarah hidupnya. Sebagai pedoman, panduan dan juga sebagai pengajaran. Dalam hal ini, dia memang layak untuk dikagumi. Apa tidaknya. Sebab dialah yang memerdekakan Hellen Keller dari belenggu ketidakyakinan diri. Tidak sekadar memperkenalkan huruf dan nombor kepada Hellen Keller yang pekak dan buta. Lebih dari itu, dia turut menjadi mentor yang setia hinggakan Hellen Keller menjadi terkenal seantero dunia.

Mampukah aku mencontohinya?

Dapatkah aku mengambil manfaat dari kisah perjuangannya?


*** ************************************************************************

Di sini, aku ditugaskan untuk mengajar subjek sejarah dan perdagangan. Syukur kepada Allah, kerana aku tidak disuruh mengajar kelas-kelas peperiksaan. Syukur juga kerana bilangan pelajar di dalam setiap kelas tidaklah ramai, lebih kurang lima orang sahaja. Paling aku syukuri kerana diwujudkan program integrasi pendidikan khas di sekolah ini. Jika tidak, pasti sukar untuk pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini menimba ilmu.


Hari pertama di kelas, aku manfaatkan untuk saling mengenali. Dari sinilah aku mula mengenali mereka dengan lebih dekat. Latar belakang mereka aku selami. Tahap kurang kemampuan mereka juga aku terokai. Hari-hari yang mendatang nanti, akanku selongkar pula sikap dan perwatakkan mereka. Kalau boleh, aku ingin mengenali mereka sedekat-dekat dan sedalam-dalamnya.


Sebenarnya tidak semua pelajarku ini yang pendengarannya cacat seratus peratus. Masih ada dalam kalangan mereka yang mempunyai sisa-sisa pendengaran. Maksudnya, mereka masih boleh mendengar tetapi dalam keadaan yang sangat terhad dan amat terbatas. Jadi perlulah dikuatkan suara apabila berbual atau ketika mengajukan tanya. Walaupun begitu, penggunaan bahasa isyarat tetap diutamakan. Ia dimanfaatkan semaksimum mungkin kerana ia merupakan medium utama dalam penyampaian ilmu di samping kaedah-kaedah yang lain.


Usai sesi perkenalan, aku titipkan pula sedikit nasihat kepada mereka. Harap-harap nasihat itu berbekas di hati lantas berdarah daging dalam jasadnya. Aku ingin mereka mengerti, sesungguhnya kewujudan mereka ke dunia ini bukanlah untuk dikesali. Jauh sekali untuk diratapi. Tetapi untuk dinikmati seperti mana insan-insan yang lain.


Aku ingin mereka faham, sesungguhnya mereka bukanlah golongan ‘hapus kira’ yang telah diprogramkan untuk malang sepanjang hayat. Aku mahu mereka memandang masa depan dengan wawasan dan harapan. Mereka harus sedar, masa depan yang gemilang bukanlah sebuah khayalan.


Paling penting, mereka perlu kembali ke perdu dan akar punca. Mereka perlu menjadi Orang Kuat Usaha meskipun pada hakikatnya mereka tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya. Mereka mesti menggunakan peluang yang ada untuk memenuhi ilmu di dada. Ilmu amat berharga. Ilmulah yang diwariskan oleh nabi kepada umatnya dan bukannya dirham dan dinar atau harta benda. Ilmu jualah yang dapat mengangkat darjat seseorang ke tahap yang lebih mulia. Lihat sahaja ulama terbilang atau saintis ternama. Atau ilmuan besar dalam pelbagai bidang. Kesemua mereka adalah pemburu ilmu yang setia.


Kepada mereka aku ceritakan juga kisah-kisah OKU yang berjaya. Sengaja aku berbuat begitu supaya mereka tidak lesu dan jemu terhadap ilmu. Prof Dr Ismail Mohd Salleh aku ‘perkenalkan’ kepada mereka. Biar mereka mengerti, sesungguhnya lelaki yang siangnya gelap dan malamnya gelita itu bukanlah pengemis di kaki lima. Biar mereka faham, lelaki buta itu merupakan seorang tokoh akademik yang ternama dan banyak berjasa.


*******************************************************************

Dunia perguruan ada manisnya. Namun, ada juga pahitnya. Jujur! aku juga pernah kecewa. Kecewa dengan segelintir pelajarku. Apa tidaknya, walaupun dijelaskan berkali-kali dan diterangkan berjela-jela namun mereka masih macam itu juga. Masih .tidak mengerti dan tetap tidak faham. Aku rasa sia-sia sahaja segala ilmu yang aku curahkan, umpama mencurah air ke atas daun keladi. Apakah puncanya? Di manakah silapnya?


“Cikgu kena banyak bersabar. Tugas pendidik memang macam ni. Terlanjur jadi pendidik terpaksalah kita gagahi.” Itu nasihat Ustaz Mustafa tatkala aku meluahkan kekecewaan yang terbuku di hati sewaktu kami bersarapan di kantin.

"Pendidik dan kesabaran adalah dua unsur yang sangat sebati. Seperti gula dengan manisnya dan garam dengan masinnya, begitu jugalah antara pendidik dengan sikap sabarnya.” Jelas Ustaz Mustafa dengan panjang lebar. Aku pula sekadar anggukkan kepala tanda akur dengan penjelasan yang diberi.

“Dalam sebuah hadis ada diceritakan, kisah seorang pelacur yang diampunkan dosa dan dianugerahkan syurga lantaran membantu anjing yang dahaga. Berbakti kepada anjing pun begitu hebat ganjarannya, apatah lagi kalau berbakti kepada manusia. Tambahan lagi kepada manusia yang istimewa.” Kata Ustaz Mustafa lagi setelah jeda seketika.

“Astaghfirullahalazim.” Aku beristighfar perlahan sambil menghela nafas panjang. Kata-kata ustaz kelahiran Terengganu itu telah mengembalikanku ke paksi wajar. Cepat-cepat aku cantas rasa kecewa yang baru bertunas. Aku sedar, mendidik itu satu perjuangan. Perjuangan pula memerlukan kekentalan. Kekentalan untuk meredah lautan dugaan. Aku juga sedar, seperti pelacur di dalam hadis nabi, aku di sini juga si penghilang dahaga. Dahaga pelajarku terhadap ilmu dan masa depan yang sempurna. Dahaga ibu –bapa mereka terhadap kejayaan dan kebahagiaan mereka.

Betapa berdosanya jika tanggungjawab ini aku abaikan. Berdosa terhadap pelajar-pelajarku. Terhadap ibu bapa mereka. Paling tidak pun terhadap puluhan ribu siswazah yang sedang menganggur. Aku telah merampas hak mereka. Mereka mungkin benar-benar berminat untuk menceburi profesion keguruan. Mereka mungkin betul-betul jujur dan ikhlas ingin membantu insan-insan yang dahaga ini. Tapi nasib tidak menyebelahi. Mereka kecundang dalam permohonan KPLI.



************************************************************************

Mungkin ada benarnya kata-kata Jean Jacques Rousseau, si arkitek Revolusi Perancis. Revolusi yang mengakhiri pemerintahan Raja Louis XVI dan Maria Antoinette. Katanya “Kita belajar bersama hidup. Pelajaran pula bermula dengan permulaan nafas dan kekurangan yang dirasai adalah guru yang terbaik.”

Ya, kekurangan yang dirasai dan kelemahan yang disedari. Itulah ‘guru’ yang terbaik. Syukur kepada Allah kerana telah menemukanku dengan ‘guruku’ ini. Aku menemuinya setelah semalaman aku mencari. Mencari dalam diri dengan merenung jauh ke dasar hati. Hatiku berbisik. Katanya, ketidakfahaman pelajarku itu mungkin berpunca dariku. Mungkin pendekatanku selama ini kurang berkesan. Mungkin proses pengajaran dan pembelajaran( P&P) yang aku kendalikan itu membosankan. Segalanya mungkin. Ya, aku perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mendidik. Mereka memerlukan metod yang tepat agar ilmu dapat dicerna dengan mudah dan cepat.

Hari ini aku sepi tanpa mereka. Cuti panjang akhir tahun ini benar-benar mendera diriku. Jujur! Aku merindui mereka. Satu persatu wajah mereka menerpa di ruang ingatanku. Ternampak-nampak, terbayang-bayang dan teringat-ingat.


Azami dan Khairi. Mereka berdua adalah sebahagian daripada pelajarku. Pelajar yang ‘istimewa’ di kalangan pelajar-pelajar istimewa. Istimewa kerana merekalah yang paling lambat mencerna ilmu yang aku curahkan. Namun, sejak akhir-akhir ini mereka mula menunjukkan peningkatan. Ya, dalam peperiksaan akhir tahun baru-baru ini mereka telah membuktikan kehebatan diri. Aku yakin, mereka mampu memetik kejayaan dalam SPM nanti.


Jauh di sudut hati aku menaruh harapan, agar kejayaan N Aghilan, pelajar cacat pendengaran yang memperolehi 12A dalam SPM 2008 akan berulang lagi. Kalau boleh biarlah di kalangan pelajarku ini. Dalam hati juga aku berdoa, agar Allah memberikanku kekuatan dan ketabahan untuk terus berbakti. Ya, itulah yang terpendam dalam hatiku kini. Dalam hati seorang guru.






TENTANG GURU, APA YANG PERLU GURU KETAHUI


APA YANG GURU PERLU TAHU TENTANG GURU
(Gambar sebelah, dari kiri: aku dan syidi )

Awaluddin makrifatullah (awal-awal agama ialah mengenal ALLAH). Saya begitu tertarik dengan perkataan MENGENAL yang terdapat di dalam hadis ini. Kenal -mengenali amatlah penting. Sebab itulah wujudnya kalimah ,Tak kenal Maka Tak Cinta. Tapi, di sini bukanlah matlamat saya untuk berbicara tentang kaedah mengenali Allah. Saya bukanlah ingin membicarakan isu Sifat 20 puluh atau Tauhid 3 serangkai( uluhiyyah, rubbubiyyah dan asma wa sifat). Yang ingin saya bicarakan di sini ialah ISU KENAL- MENGENALI yang menjadi asas kepada CINTA(kerana kalau tak kenal maka tak cinta).


Apa yang perlu dikenali oleh seseorang guru agar dia mencintai profesion keguruan?
Profesion yang menjanjikan lautan duga, yang adakalanya kita lemas tika meredahnya. Profesion yang menyajikan hidangan mehnah dan tribulasi yang sukar untuk dihadam dan dicerna.


PERTAMA(1),


Seseorang guru perlu tahu dia adalah guru. Iaitu seorang manusia yang diamanahkan untuk mendidik(walaupun saya lebih gemar menggunakan perkataan mengajar) insan yang DIAMANAHKAN kepadanya.
Sengaja saya fokuskan perkataan AMANAH kerana Insan Mulia(Nabi SAW) mengingatkan kita, “Setiap daripada kamu adalah pemimpin. Justeru, kamu akan bertanggungjawab terhadap mereka yang berada di bawah kepimpinanmu….(hadis panjang sebenarnya).”


Hadis riwayat Imam Bukhari ini telah mengiktiraf kita semua sebagai pemimpin yang mempunyai tanggungjawab, bidang kuasa dan wilayah pentadbiran masing-masing. Di akhirat nanti, kita semua akan disoal tentang pelaksanaan amanah yang kita pikul ini.


Jadi semua guru hendaklah sedar hakikat ini. Tidak seharusnya seseorang guru menjadikan kerjaya ini untuk memerdekakan diri dari penjara pengangguran. Amat tidak wajar juga, jikalau ada yang menjadikan kerjaya ini sebagai ‘pelarian’ setelah penat dan bosan dengan kerjaya lain. Lagi tidak wajar apabila profesion ini dijadikan seperti ‘habis sepah madu dibuang’ apabila profesion ini dimadukan dengan profesion lain. Tidak salah bermadu tetapi kena adil. Hari ini ramai guru yang ‘bermadu’. Maksud saya bermadu kerjaya lantaran desakan hidup. Ada yang madunya (part-timenya) sebagai ejen insurans, MLM, mengajar tuisyen dan macam-macam lagi.

Tapi , teramat malang kerana terdapat segelinir guru yang lebih utamakan madunya.
Mereka lebih utamakan kerjaya sebagai ejen insurans, MLM dan lain-lain lagi.
Ada kes tertentu, seseorang guru mengajar acuh tak acuh di dalam kelas dan apabila tamat sesi pengajaran dia memberi peringatan kepada muridnya “ kalau nak faham kenalah ikuti kelas tuisyen yang saya buat.” Kepada guru seperti ini, cuba ingat kembali ungkapan klasik zaman berzaman “ Kera di hutan disusukan dan anak sendiri dibiarkan mati kelaparan.”


Kepada guru-guru seperti ini lebih baik anda talakkan sahaja kerjaya sebagai guru kerana anda tidak mampu berlaku adil.


Perlu sekali kita memungut pengajaran dan mengutip pengalaman yang telah dirintis oleh tokoh-tokoh pendidik yang telahpun berjaya meredah lautan duga dalam kerjaya keguruan. Mereka telahpun sampai ke pulau kejayaan setelah dilambung gelombang halangan tika mendidik anak bangsa. Kisah mereka perlu kita garap agar dapat kita berpaut nanti kala karam di lautan duga.


Pungutlah pengajaran dan kutiplah teladan dari kisah kejayaan Sheikul Islam al-Imam Ibn Taimiyah yang berjaya melahirkan anak didik sehebat Imam Ibn Qayyim dan Imam Ibn Kahtir. Atau Imam Bukhari yang turut melahirkan anak didik sehebat Imam Tirmidzi. Atau Anne Sullivan! yang telah memerdekakan Hellen Keller dari belenggu ketidakyakinan diri. Tidak sekadar memperkenalkan huruf dan nombor kepada Hellen Keller yang pekak dan buta. Lebih dari itu, dia turut menjadi mentor yang setia hinggakan Hellen Keller menjadi terkenal seantero dunia.


KEDUA(2),


Seseorang guru selaku pendidik perlu tahu kelemahan dan kekuatannya. Jean Jacques Rousseau, si arkitek Revolusi Perancis. Revolusi yang mengakhiri pemerintahan Raja Louis XVI dan Maria Antoinette. Katanya “Kita belajar bersama hidup. Pelajaran pula bermula dengan permulaan nafas dan kekurangan yang dirasai adalah guru yang terbaik.”


Ya, kekurangan yang dirasai dan kelemahan yang disedari. Itulah ‘guru’ yang terbaik. Carilah ‘guru’ ini. Carilah di dalam diri dengan merenung jauh ke dasar hati. Di situ kita akan menemui jawapannya.


KETIGA(3),


Seseorang guru perlu tahu hakikat dosa dan pahala, juga syurga dan neraka. Yakinilah kebaikan dan kejahatan meskipun sebesar zarah akan dipamerkan di akhirat nanti. Cuba renung kembali kisah seorang pelacur yang dimasukkan ke dalam syurga lantaran membantu seekor anjing yang dahaga. Manusia yang hina(pelacur) yang membantu binatang yang keji(anjing) tapi kesudahannya ialah syurga. Apatah lagi kita yang jauh lebih mulia dari pelacur dan membantu golongan yang jauh lebih mulia dari anjing.

RESAH SEORANG ISTERI

Cerpen saya ini telah disiarkan dalam Majalah Mingguan Wanita,( 13-19 Febuari 2009.)

TAJUK = RESAH SEORANG ISTERI
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL. (SHAMEEL ISKANDAR)

Malam terus berlabuh. Hujan pula semakin melebat. Dingin dan sejuk juga semakin menggigit. Namun dia tidak dapat melelapkan mata. Ada resah yang bergayut di hati. Ada gelisah yang merajai diri. Kenapa suaminya belum pulang? Itulah persoalan yang mengasak benaknya. Berkali-kali dia menghubungi telefon bimbit suaminya. Tapi hampa, tiada sebarang jawapan.


Dia bangkit dari sofa dan perlahan-lahan mengatur langkah menuju ke jendela. Dia ingin menikmati panorama di luar rumah tatkala sunyi menyelimuti malam. Mudah-mudahan dengan itu dia dapat mengusir resah dari berterusan bermaharajalela. Sesekali angin sejuk menjamah tubuhnya, sungguh menyegarkan.

“Menjadi tanggungjawab suami untuk memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak. Berdosa hukumnya jika diabaikan. Ia termasuklah menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal, berdasarkan kemampuannya.” Kata-kata Ustazah Zabidah, sewaktu bertandang ke rumahnya tiga hari yang lepas kembali menerjah ingatannya. Dia cuba mengingat kembali setiap nasihat dan saranan daripada ustazah yang berkelulusan syariah dari Universiti Al-Azhar itu. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan dalam melayari kehidupan.


Dia ingat benar tatkala ustazah itu berkisah perihal Hindun yang diizinkan oleh Rasulullah untuk mengambil harta suaminya, Abu Sufyan lantaran pengabaian nafkah oleh suaminya itu. Betapa pentingya pemberian nafkah hinggakan Hindun dibolehkan mengambil harta tersebut walaupun tanpa pengetahuan suaminya.


Dia juga difahamkan oleh ustazah itu tentang sepotong hadis nabi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, tentang murninya perjuangan mencari nafkah untuk keluarga hingga disamatarafkan dengan perjuangan seorang mujahid di jalan Allah.

“Tapi, adakah isteri dilarang sama sekali untuk bekerja.” Dia melontarkan kemusykilan yang telah sekian lama berdaerah di hatinya.

“Walaupun menjadi tanggungjawab suami untuk memberikan nafkah, tapi tidaklah berdosa sekiranya isteri turut bekerja. Sekurang-kurangnya ia boleh meringankan bebanan suami. Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang memerlukan kewangan yang kukuh untuk hidup yang sempurna.”


Ditatapnya wajah ustazah itu sungguh-sungguh dan lama. Dia inginkan penjelasan dan pemahaman yang lebih untuk merungkai segala keraguan yang membelit dirinya selama ini. Ustazah yang berwajah tenang itu bagaikan dapat menduga isi hatinya, lantas dibacakan kepadanya sepotong ayat Al-Quran, surah Al-Maaidah ayat kedua “Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.”


“Maksud ustazah, berkerja untuk membantu ringankan bebanan suami.” tanyanya lagi inginkan kepastian.

“Ya. ” ustazah Zabidah menjawab ringkas.

“Apapun mesti dapat keizinan suami terlebih dahulu. Jadi eloklah Nurul bawa berbincang dengan suami.” sambung Ustazah Zabidah lagi. Dia anggukkan kepala tanda faham dengan penjelasan yang diberikan.


Rasa bangganya terhadap wanita semakin menggunung tatkala Ustazah Zabidah menceritakan kehebatan wanita-wanita islam pada zaman silam. Walaupun musim terus beredar dan hari terus berganti, namun peranan mereka masih lagi yang terindah untuk dikenang.


Dia amat mengagumi kehebatan Siti Khadijah yang bijak menguruskan perniagaan. Dia sungguh takjub dengan Aisyah, yang begitu banyak meriwayatkan hadis nabi dan menjadi rujukan para sahabat dalam persoalan agama. Juga mahir dalam ilmu perubatan tradisional. Dia terpegun dengan keberanian Malahayati, satu-satunya laksamana dari kaum hawa yang telah menghimpunkan para janda di Acheh untuk menentang Portugis dan Belanda yang cuba mencabul kedaulatan Acheh. Dia terpesona dengan kebijaksanaan Cut Nyak Dhien, srikandi Acheh yang begitu pintar merancang strategi perang, meskipun setelah hilang penglihatan.


***

“Apa kata kalau Nurul cuba mohon KPLI atau jadi guru GSTT dahulu. Manalah tau kalau ada rezeki. Lagipun kerja sebagai guru ni sangat sesuai untuk orang perempuan. Masa kerjapun tak lama dan cutipun banyak. Jadi banyak masa yang boleh diluangkan bersama keluarga.” cadang Ustazah Zabidah setelah jeda seketika.

“ Jadi guru?”

“Astaghfirullahalazim!” Dia beristighfar sambil menarik nafas dalam-dalam. Guruh yang tiba-tiba berdentum telah membunuh lamunannya. Dia menyusun jejak dan kembali melabuhkan punggung di sofa yang didudukinya tadi. Matanya dipejam rapat-rapat, dan dia kembali teringat serpihan-serpihan kenangan yang dianggapnya sebagai membahagiakan. Lima tahun dahulu, usai menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, dia memulakan kerjayanya sebagai seorang akauntan di sebuah firma swasta.


Dia amat berbangga dengan kerjaya itu. Kerjaya yang dicita-citakannya sejak di bangku persekolahan lagi. Tapi sayang, semuanya hanya tinggal kenangan. Hayat kerjayanya tidak lama. Tiba –tiba pipi gebunya mulai basah. Ternyata dia tidak berupaya lagi untuk menghalang air-air jernih yang mula mengalir dari tubir matanya.

“Abang nak Nurul berhenti kerja. Abang nak Nurul jadi surirumah sepenuh masa.”

“Tapi, kenapa bang.” dia meluahkan sangsi.

“Abang nak Nurul duduk kat rumah dan tumpukan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga Biar abang seorang saja yang bekerja, Nurul pula mengemas rumah dan memasak.” ujar suaminya tegas.

“Tapi bang, Nurul boleh lakukan semua tu walaupun bekerja.” sedaya yang boleh dia cuba untuk bertahan.

“Abang tak nak urusan rumah tangga kita terabai sebab Nurul sibuk bekerja. Abang tak nak anak-anak kita nanti terbiar tanpa perhatian kerana ayah dan ibunya sibuk mengejar harta Lagipun, telah jelas dalam agama, tugas suami yang memberi nafkah dan tugas isteri adalah kat rumah” jelas suaminya lagi.

“Tapi, bang”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Nekad dan muktamad abang nak Nurul berhenti kerja. Nurul pilih antara dua, Abang atau kerja.” Begitulah suaminya memutuskan.

Akhirnya dia mengalah. Demi suami dia korbankan kerjaya. Meskipun ada rasa terkilan, namun sekudrat yang boleh, dia cuba memujuk hati agar reda dan pasrah.


Sebenarnya dia sendiripun tidak pasti apakah puncanya larangan itu. Adakah berdasarkan sebab-sebab yang munasabah dan alasan yang berasas. Benarkah kerana suaminya bimbang berlakunya pengabaian terhadap rumah tangga? Betulkah kerana tidak selaras dengan tuntutan agama? Atau kerana sebab-sebab yang lain.


Setelah setahun berlalu, barulah teka- teki itu terjawab. Itupun setelah diberitahu oleh kakak iparnya. Kata kakak iparnya pada satu petang, suaminya malu kerana pendapatannya sebagai akauntan jauh melebihi pendapatan suaminya, seorang guru di sekolah kebangsaan. Suaminya tidak mahu dianggap dayus kerana menumpang tuah isteri. Penjelasan kakak iparnya itu benar-benar menghiris hatinya. Bagaikan dihiris belati, luka di hatinya amat parah sekali. Kadangkala dia tertanya, adakah suaminya terlalu jumud atau terlampau ego. Tapi akhirnya dia akur juga, lantas mewajarkan semua itu sebagai takdir. Sekali lagi dia redha dan pasrah.


***

Kehidupan sebagai surirumah sepenuh masa, pada mulanya amatlah membosankannya. Tapi itu semua untuk seketika cuma. Hari demi hari, dia mula membiasakan diri dengan kehidupan sebegitu. Akhirnya dia serasi dengan kerja-kerja memasak dan mengemas rumah. Masalah kewangan walaupun ada namun tidaklah ketara.


Meskipun pendapatan semakin surut dan susut, tapi kebijaksanaan merancang perbelanjaan membolehkan mereka hidup bahagia. Ternyata ilmu perakaunan yang dipelajarinya di kampus dahulu benar-benar bermanfaat kepadanya .
Kelahiran anak sulungnya, Fadzillah telah memulakan episod baru dalam hidupnya. Dia tidak lagi kesunyian sewaktu bersendirian di rumah. Lebih penting lagi, kehadiran Fadzillah semakin memahamkannya makna seorang isteri dan erti seorang ibu. Sekali gus mengeratkan lagi hubungannya dengan suami.


Dua tahun selepas itu, anak keduanya, Norzilah mula menjadi tetamu dunia. Dia benar-benar bahagia. Segala kekecewaan lantaran terpaksa berhenti kerja lenyap begitu sahaja. Keletah anak-anaknya bagaikan penawar lara dan penyembuh duka. Walaupun begitu, perbelanjaan mereka sekeluarga semakin meningkat lantaran tanggungan yang kini bertambah.


Dia perlukan biaya yang lebih untuk memenuhi keperluan anak-anaknya seperti susu tepung, lampin pakai buang dan lain-lain keperluan. Situasi yang sebegini telah memaksa suaminya membuat kerja-kerja sampingan, termasuklah berniaga kecil- kecilan. Sebelah petang, suaminya menjual burger. Sebelah malam, berniaga di pasar-pasar malam. Adakalanya setelah lewat malam barulah suaminya pulang ke rumah. Pernah juga suaminya mencuba nasib sebagai ejen insuran dan terlibat dengan jualan langsung. Namun nasib tidak menyebelahi. Suaminya tiada kepakaran dalam semua itu.


Kekadang gundah bertamu juga di hatinya tatkala memikirkan masa depan anak-anak. Pasti sahaja, mereka memerlukan kewangan yang lebih apabila mula bersekolah nanti. Rasa pilu seringkali menyerbu tatkala dia menonton di kaca televisyen atau membaca di dada akhbar, tentang kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan alam persekolahan lantaran masalah kewangan yang menghimpit. Dia tidak mahu nasib malang sebegitu berjangkit kepada diri dan keluarganya.


Keperitan hidup semakin terasa lantaran kenaikan harga barang yang semakin ketara. Begitu juga dengan sewa rumah. Sudah tiga kali dinaikkan sejak dia mula menyewanya lima tahun dahulu. Dia amat yakin sewa rumah akan dinaikkan lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Memikirkan semua itu membuatkannya binggung. Terdetik juga di hatinya untuk memiliki rumah sendiri, sebagai tempat untuk berlindung dan berteduh dari hujan dan panas. Namun dia tidak pasti bilakah impiannya itu akan menjadi nyata. Apatah lagi, harga rumah semakin meningkat sejajar dengan peningkatan harga tanah, simen, besi dan kos pengangkutan. Apa yang pasti, suaminya belum berkemampuan untuk merealisasikan hasratnya itu.


Lebih merisaukan, pendapatan suaminya tiada lagi berbaki setelah ditolak segala perbelanjaan. Lantas simpanan mereka sifar. Terlintas juga di kotak fikirnya, apakah yang harus dilakukan andainya keluarganya ditimpa bencana, seperti sakit atau demam. Perlukah mereka berhutang dengan saudara mara dan rakan taulan. Perlukah ditebalkan muka untuk meraih simpati orang. Bukannya dia ingin menafikan hakikat rezeki sebagai ketentuan Tuhan. Tetapi dia amat meyakini rezeki harus diusahakan. Dia sangat faham bahawa yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.


Sering kali juga dia terfikir, wajarkah dia membatukan diri dan merelakan segala kesulitan dan keperitan itu. Atau perlukah dia berusaha untuk menghambat segala kesulitan yang menimpa. Acap kali juga dia tertanya-tanya kepada diri sendiri, tidakkah suaminya menjangkakan masalah ini sewaktu mendesaknya berhenti kerja dahulu. Semakin difikirkan, semakin serabut pula fikirannya. Sebenarnya, apa yang dia inginkan hanyalah kesempurnaan hidup dan bukannya kemewahan.


***

Dia mengeluh panjang seolah-olah melontarkan segala kerisauannya ke dada langit. Kalau boleh biarlah kerisauan itu menjauh. Sejauh langit dari bumi dan sejauh timur dari barat.

“Assalamualaikum.” Jelas kedengaran suara dari luar rumah sejurus loceng rumahnya dibunyikan. Dia yakin, suara itu milik suaminya. Lantas dia bangkit dari sofa dan bergegas menuju ke pintu seusai sahaja membalas salam.

“Abang minta maaf banyak-banyak sebab lewat pulang . Van rosak tadi. Abang bukannya tak nak bagitau Nurul, tapi telefon abang habis bateri. Nasib baik ada kawan abang yang kebetulan lalu kat situ. Dialah yang tumpangkan abang balik.”

“Nurul risau sangat tadi. Nurul bimbangkan abang.” dia meluahkan kerisauan yang terpendam di dada.

“Mesti abang penatkan?” Soalnya kemudian, tanda cakna yang bugar di jiwa.

"Tak apa. Penat abang akan hilang bila lihat senyuman Nurul.” jawab suaminya dengan nada bergurau.

“Abang ni!” Balasnya manja sambil menguntum senyum di bibir.

“Nasib baiklah van tu rosak tak jauh dari balai polis. Abang pun dah maklumkan kat pegawai polis di balai tu. Insya-Allah, selamat.” Jelas suaminya lagi.

“Abang mandi dulu ya. Takut demam sebab tadi kena hujan.”

Dia anggukan kepalanya perlahan. Nasib baik esok hari minggu. Kalau tak, tentu suaminya akan telewat ke sekolah. Dia terkenang saranan Ustazah Zabidah tempoh hari agar dirinya memohon KPLI. Esok dia mesti berbincang dengan suaminya. Harap-harap suaminya mengerti. Moga-moga suaminya faham. Mudah-mudahan suaminya tidak keberatan untuk mengizinkan.

“Sama-sama guru, jelas sekufu.” Bisiknya dalam hati.

Friday 1 January 2010

MENCARI HABIL

Cerpen ini telah disiarkan di dalam akhbar Berita Minggu( 13 April 2008)

Cerpen: Mencari Habil
Oleh Tn Iskandar Ismail


Pertemuan

Gila. Ini cerita gila. Tentang manusia yang gila dan sebuah pencarian yang gila. Itulah kesimpulan yang dapat saya buat setelah mendengar cerita daripadanya. Dia, sahabat yang gila - gila sewaktu remaja dan agak gila setelah dewasa. Saya istilahkannya sebagai gila bukanlah disebabkan jiwanya yang sakit atau mentalnya yang rosak, tetapi kerana sikap dan prinsipnya yang selalu menyalahi kebiasaan dan menyanggahi kelaziman.


Sebenarnya, sudah agak lama saya tidak bersua dengannya. Pertemuan di Pantai Tanjung Aru kali ini pun secara kebetulan sahaja. Tanpa dirancang dan tidak diduga. Semuanya bermula apabila dia menyapa saya yang sedang leka menikmati pantai yang indah. Sudah menjadi adatnya bila sesekali berjumpa, maka banyaklah perkara yang diceritakan. Cerita tentang saya, juga tentang dia. Hinggalah melarat ke cerita gila.

Katanya, ceritanya begini, “Ada seorang lelaki tua yang berlari-lari pada siang hari sambil membawa obor. Bila ditanya, tentang apa yang dicari, dijawabnya, dia mencari kemanusiaan dan keinsanan. Akibatnya, semua orang mentertawakannya.”

Menurutnya lagi, ini kisah ribuan tahun sebelum Masihi dan berlaku di Yunani. Zaman kegemilangan falsafah atau lebih tepat, era Plato dan Socrates.

Ahh! Gila. Memang gila. Tapi siapakah yang gila? Itulah persoalannya. Si lelaki tua itukah atau orang yang mentertawakannya ataupun pencariannya yang gila. Sakit otak, celaru minda dan serabut fikiran bila saya memikirkan jawapannya.
“Sudah berapa orang anak kau sekarang.” Sengaja saya menukar tajuk untuk dibual bicara. Semata-mata tidak ingin berterusan mendengar cerita gila daripadanya.

“Aku belum kahwin.” Jawabnya ringkas dan bersahaja. Mendengar jawapannya itu, saya diasak beberapa pertanyaan. Betul-betul terkejut dan benar-benar hairan. Terkejut kerana dia masih bujang walaupun usianya menghampiri angka empat puluh. Padahal dia seorang usahawan yang berjaya dan memiliki wajah serta penampilan yang mampu mendatangkan pesona pada pandangan mata. Kenapa dia belum berumah tangga? Inilah yang menjadi tanda tanya.

“Sedang mencari.” Katanya lagi tanpa dipinta. Patutlah masih membujang. Rupa-rupanya dia terlalu cerewet dalam memilih pasangan.

“Perempuan macam mana yang kau cari. Jangan memilih sangat.”
“Bukan perempuan. Tapi lebih penting daripada itu.”

“Habis tu.” Ternyata saya salah menduga.

“Habil. Aku mencari Habil. ” Begitulah katanya.

“Habil ?” Saya kembali ajukan tanya.

“Iya, Habil putera Adam dan Hawa.” Jawabnya lagi diiringi anggukan kepala.

Saya ketawa sebaik sahaja mendengar jawapan darinya. Saya anggap itu sekadar gurauan dan jenaka. Untuk menceriakan suasana semata-mata.

“Mungkin bagimu, ia aneh dan lucu. Tapi percayalah, ia amat perlu. Perlu untuk dua insan yang ingin bersatu. Perlu untuk dua jiwa yang ingin berpadu.” Jelasnya lagi.

“Bersatu dan berpadu macam mana yang kau maksudkan?” Saya mohon penjelasan yang pasti daripadanya. Bicaranya amat sukar untuk dimengerti.

“Berpadu dalam ikatan perkahwinan dan bersatu sebagai suami dan isteri.” Itulah jawabnya.

“Kau tak ubah macam dulu. Suka bergurau.” Kata saya sambil ketawa.

“Aku tak bergurau. Percayalah.” Tegasnya lagi dengan suara yang lantang. Beberapa orang sumandak yang sedang menjamu selera di meja berhampiran memandang semacam ke arah kami. Mungkin suara sahabat saya yang agak lantang itu telah menyebabkan mereka terkejut. Saya juga amat terkejut. Sekilas renung pada wajahnya, saya yakin dia benar-benar serius. Saya andaikan dia sudah tidak keruan hingga bercakap yang bukan-bukan.

“Tuhan! Kegilaan apakah yang melanda sahabatku ini. Kegilaan mencari orang yang telah mati.” Hati saya berbicara sendiri. Manifestasi kebimbangan yang menguasai diri.

“Habil masih ada. Cuma dia menyepi dan sukar dicari lantaran sikap kita yang tak acuh dan tak peduli.” Pernyataannya itu benar-benar gila dan menggilakan.

“Tanyalah mana-mana ulama. Rujuklah mana-mana kitab tafsir. Jawapannya satu. Habil telah mati. Muktamad dan tiada khilaf lagi.” Sedaya yang boleh dan sekudrat yang mampu, saya cuba memahamkannya.

“Aku yakin Habil masih ada. Aku nekad mencarinya.” Balasnya dengan penuh ketegasan, juga penuh kedegilan.

Gila! Memang gila. Sah, sahabat saya ini sudah gila. Malah sudah sampai ke tahap kritikal. Persis lelaki gila dalam cerita yang gila, dia juga seorang pencari yang setia. Juga pencari yang gila. Mungkin ini yang tersirat di sebalik kisah lelaki tua yang gila dan pencariannya yang penuh kegilaan dalam ceritanya tadi.

Fatwa

Pernah dahulu dia ‘fatwakan’ jatuh cinta sebagai permulaan segala kesulitan. ‘Fatwa’ yang gila dan bercanggah dengan fitrah kemanusiaan. Bukankah cinta akan menyempurnakan kehidupan manusia yang dia istilahkan sebagai makhluk yang bertempat, berjirim dan berjisim. Bukankah segala kesulitan akan sirna apabila cinta mula bersinar. Paling tidak, orang yang kecanduan cinta tidak dapat membezakan bahagia dan derita. Bagi pencinta semuanya sama. Bahagia selamanya. Inilah yang dikatakan wahdatul fikr dan wahdatul amal dalam bercinta.

Itu kisah dua puluh tahun yang lalu. Sewaktu usianya masih remaja dan sebelum dia menjadi pencari yang gila. ‘Fatwanya’ itu perlu dinasakhkan dengan segera sejajar dengan peningkatan usia. Tapi sayang, pencarian yang gila menyebabkan dia sasau dan nanar sebelum sempat berumah tangga.


Habil dan Qabil


“Pernah dengar cerita Habil dan Qabil.” Tiba-tiba dia bersuara. Mengusir sepi yang membungkus suasana. Sekali gus, membunuh ingatan saya terhadap masa silamnya.

Saya jawab dengan anggukan kepala. Kisah dua orang putera Adam dan Hawa itu memang masyhur di mana-mana. Ia disebut dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar. Habil anak yang taat dan hamba Tuhan yang setia. Qabil pula sebaliknya. Qabil tidak berpuas hati apabila Habil ingin dikahwinkan dengan kembar perempuannya. Dia juga tidak dapat menerima kembar perempuan Habil sebagai calon isterinya. Keadaan menjadi kalut. Adam resah dan Hawa gelisah. Allah membantu dengan menjadikan korban sebagai syarat penentu. Korban Habil diterima dan Qabil kecewa. Cinta itu buta, Qabil telah membuktikannya. Kerana kecewa dia telah mengikut telunjuk syaitan durjana hingga sanggup membunuh Habil, saudara seibu dan sebapa dengannya.

“Tau tak kenapa korban Habil diterima Allah.” Soalnya lagi.

“Sebab Habil berkorban penuh keikhlasan.”

Dia anggukan kepala tanda akur dan setuju dengan jawapan yang saya berikan.

“Habil hidup dengan prinsip. Dia mendamba kasih Allah. Dia dahaga cinta Pencipta. Tiada apa pun yang mampu menggugat cinta dan kasihnya kepada Allah. Sebab itulah dia sanggup berkorban dan terkorban. Prinsip inilah yang perlu ada dalam diri setiap manusia.” Ulasnya lagi dengan panjang lebar.

“Prinsip! Maaf, aku betul-betul tak faham.” Saya mengemis pengertian darinya

“Tak mengapa. Kau akan mengerti nanti. Percayalah.”

Saya kebingungan. Benar-benar tidak mengerti. Betul-betul tidak faham. Saya menarik nafas panjang sambil mencicip kopi panas yang telah lama terhidang. Dia ketawa melihat saya yang sedang lemas dalam lautan hairan sambil melontarkan pandangannya ke dada langit yang tenang. Sekumpulan burung yang bebas berterbangan di awan benar-benar menarik perhatiannya. Kemudian, sepotong hadis riwayat Imam Ahmad diperdengarkan kepada saya.

“ Ikatan iman yang paling kuat ialah kasih sayang kerana Allah dan marah kerana Allah.”

“Manusia perlu diikat dan Allah lah yang mengikat. Segala- galanya termasuklah cinta dan kahwin, mesti ada keterikatan dengan Allah. Tanpa ikatan ini, manusia, cinta dan perkahwinan akan terbabas.”

“Terbabas macam mana yang kau maksudkan.” Saya mengerutkan kening tanda tidak mengerti dengan pernyataanya itu. Namun, soalan yang saya ajukan itu tidak dihiraukannya. Dibiarkan sahaja menjadi teka-teki yang tidak terjawab. Sekali gus membiarkan kebisuan mengganti bicara. Mungkin dia sudah bosan dengan karenah saya. Saya meneka-neka sendiri dalam hati.

“Persoalan cinta dan kahwin harus dipandang serius. Tidak memadai jika dinilai mengikut perkiraan matematik. Ia tidak sekadar satu nisbah satu, untuk menyatakan seorang lelaki yang beristerikan seorang perempuan. Atau satu nisbah empat, untuk seorang suami yang mempunyai empat orang isteri. Ia melibatkan hidup dan kehidupan. Memperkatakan tentangnya memerlukan hati dan perasaan. Hati dan perasaan pula haruslah tunduk kepada peraturan Tuhan.” Dia kembali bersuara menyambung semula bicara yang terputus buat seketika. Saya anggukan kepala. Memang saya sangat bersetuju dengan pendapatnya. Tapi kali ini, saya tidak melontarkan kata atau ajukan tanya. Saya ingin menjadi pendengar yang setia. Saya terus menanti dengan sabar tutur bicaranya yang seterusnya.

“Dalam Sahih Bukhari, ada diceritakan tentang wanita yang dihumban ke neraka lantaran tidak berterima kasih dan tidak bersyukur terhadap pemberian suami. Mungkin disebabkan si suami tidak mampu memenuhi segala keinginannya, lantaran ketidakmampuan dari segi kewangan. Inilah yang berlaku jikalau si isteri tiada keterikatan dengan Allah. Dalam Hadis riwayat Tirmizi pula, ada dinyatakan tentang lelaki yang mencapai kesempurnaan iman kerana berlaku baik dan berlemah lembut terhadap isterinya. Dia menjadi suami yang baik kerana ada jalinan yang akrab dengan Allah. Ringkasnya, suami dan isteri mestilah ada keterikatan dan keakraban dengan Allah barulah hubungan diredhai dan rumah tangga diberkati.” Persis ahli panel dalam rancangan forum agama, dia berhujah dengan begitu teliti. Dibawanya dalil yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

“Maksudmu, kerana Allah.” Saya membuat kesimpulan sendiri.

“Iya. Nampaknya kau dah mula faham. Itulah prinsip Habil yang aku maksudkan. Cinta, kahwin dan kehidupan kerana Allah.”

“Tapi, aku belum mengerti tentang Habil yang kaucari.”

Dia ketawa lagi setelah mendengar pertanyaan itu. Mungkin baginya, pertanyaan saya itu setaraf dengan lawak jenaka yang mencuit hati.

“Aku mencari Habil yang bermukim di hati keturunan Hawa. Maksud aku, perempuan yang menjiwai prinsip Habil. Atau lebih tepat, perempuan yang ada keterikatan dengan Allah dan keakraban dengan agama. Hanya perempuan macam ni yang dapat menjadi isteri yang baik kerana dia memahami pengertian cinta dan kahwin yang diberkati. ”

“Astaghfirullahalazim!” Saya gelengkan kepala sambil beristighfar panjang. Rupa-rupanya ada makna berselirat seribu di sebalik pencariannya itu. Majaz cuma dan simbolik semata-mata.

“Kalau macam ni, lambat lagilah kaukahwin.” Saya meluahkan kerisauan yang bersarang di hati.

Dia diam seketika dan dengan wajah yang muram dia bercerita perihal hidupnya yang malang. Katanya, dia pernah bertunang, tetapi terpaksa diputuskan. Sungguh malang, walaupun tunangnya cantik dan menawan, tapi tidak seperti yang diharapkan. Hanya bahagia yang sanggup dikongsi, tetapi derita dia bersendirian menghadapi. Sewaktu perniagaannya merosot atau lebih tepat ketika dia dalam kerugian, tunangnya meminta agar dileraikan ikatan. Tidak sanggup berkongsi hidup dengan lelaki yang tandus kewangan dan sifar kemewahan. Saya kira, tentu sahaja kegagalan itu benar-benar mendera hati dan perasaannya, hinggakan dia terlalu berhati-hati dalam memilih pasangan. Kali ini bukan cantik yang diimpikan. Tapi dia ingin ikut formula Tuhan, seperti yang dinyatakan oleh Nabi junjungan, ‘kahwinilah perempuan kerana pegangan agamanya’

“Biar lambat asal selamat. Lambat yang membahagiakan lebih bermakna berbanding cepat yang membinasakan.” Ulasnya lagi dengan nada yang perlahan. Saya anggukan kepala tanda faham. Malang sungguh nasibmu kawan, tapi lagi malang mereka yang mengabaikan formula daripada Tuhan dalam memilih pasangan. Mereka utamakan cantik dan seksi. Mereka lebih mementingkan jawatan yang tinggi. Tapi rumah tangga tetap haru-biru dan penceraian semakin menjadi- jadi saban waktu. Masalah ini semakin kronik. Ia perlu dirawat oleh doktor cinta. Dan saya amat meyakini hanya formula daripada Tuhan yang mampu menyelesaikan ini semua. Kerana ia sebenar-benarnya ‘doktor cinta.’

“Ampunilah aku Tuhan, kerana tersalah membuat andaian. Maafkan aku kawan kerana tersilap tafsiran.” Hati saya berbisik sendiri tanda penyesalan menghukum diri. Iya, saya benar-benar terhukum kerana terlalu ghairah melabelnya sebagai gila, sasau dan nanar. Padahal hatinya pedih terhiris dengan peristiwa tragis yang dihadapinya itu.


Harapan

Perbincangan kami berakhir tatkala senja. “Harap-harap selepas ini kita akan berjumpa lagi.” Katanya sebelum meminta diri. Saya anggukkan kepala dan berkata, “Aku pun begitu.” Memang saya ingin berjumpanya lagi. Seorang sahabat yang mengajar saya seribu erti dan sejuta makna. Erti isteri yang diberkati. Makna rumah tangga yang direstui. Usai bersalaman, dia pun berlalu. Mata saya mengekori langkahnya, satu demi satu hinggalah keretanya meluncur laju meninggalkan saya sendirian di pantai itu.

Saya teringat kembali kata-katanya tadi, “Habil masih ada. Cuma dia menyepi dan sukar dicari lantaran sikap kita yang tak acuh dan tak peduli.” Iya Habil masih ada. Teruskan pencarianmu wahai sahabat. Insya-Allah, Habil yang kaucari akan kau ketemui. Semoga Allah memberkati.

GLOSARI

1. Wahdatul Fikr = Kesatuan Fikiran

2. Wahdatul Amal = Kesatuan Tindakan

3. Nasakh = Mansuh

4. Majaz = Kiasan

5. Sumandak = Gadis dalam bahasa Kadazan/Dusun

CERMIN

cerpen saya ini telah disiarkan di dalam akhbar harian di sabah, Sabah News Times (pada Jun 2006)

TAJUK = CERMIN
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL (SHAMEEL ISKANDAR)

Agak lama juga aku memerhatikan dirimu yang kebingungan. Wajahmu muram. Tubuhmu pula lemah dan tak terdaya. Fizikalmu yang sebegitu, seakan menceritakan bebanan yang sedang engkau tanggung. Bebanan maha berat yang telah sekian lama bermukim di jiwa dan berdaerah di hati. Bebanan yang menjadikan dirimu terbabas dari orbit normal.

“Apa yang kau fikirkan?” Tanyaku untuk menyambung bicara kita yang telah terhenti seketika.
Kau mengeluh panjang seolah-olah melontarkan segala kerisauan yang merajai diri. Kemudiannya, kata-kata bernada makian dan cemuhan menerjah telingaku.
Katamu, segalanya berubah dengan pantas. Berubah dengan kadar yang segera. Kepantasan yang melumpuhkan kehidupan. Kesegeraan yang membunuh segala hasrat yang dilakar dalam empayar ambisimu. Warna-warna keriangan yang pernah mewarnai kanvas hidupmu mulai pudar sebaliknya warna kelam dan hitam mula mengambil alih.
Rupa-rupanya, kenaikan harga minyak yang menyebabkan jiwamu tertekan dan kenaikan tarif elektrik yang menyebabkan dirimu resah. Juga kenaikan harga barang yang menyebabkan dirimu gelisah. Resah dan gelisah yang betul-betul mendera kehidupanmu.
“Dari buaian hinggalah ke liang lahad, semuanya perlukan wang.” Kau merungut tidak berpuas hati. Rasa kecewa yang meluat jelas terpamer melalui riak wajahmu.
Bagimu, harga untuk hidup hari ini terlalu mahal. Tiada yang percuma. Hinggakan oksigen pun kau sedut dengan rakus dan amat perlahan kau hembuskannya. Seolah-olah oksigen juga perlu dibayar. Kau sifatkan perubahan yang mendadak ini sebagai revolusi. Revolusi kenaikan harga yang membebankan rakyat terbanyak. Perlukah revolusi rakyat tercetus di sini sebagai manifestasi ketidakpuasan hati golongan golongan majoriti yang tertekan dan tertindas? Itulah pertanyaan yang kau ajukan kepadaku. Tertekan zahir dan tertindas batin, ulasmu lagi. Mungkin kau bercita-cita ingin menjadi seperti Ayatullah Khomeini yang mengimamkan revolusi di Iran. Revolusi yang tercetus lantaran kemarahan rakyat terhadap pemerintah.
“Revolusikan dahulu mindamu. Mindamu terlalu primitive dan teramat kuno. Setaraf dengan minda manusia zaman batu yang hidup ribuan tahun sebelum masihi.” Aku amat berharap agar kata-kataku ini mampu merungkai segala persoalan yang berlegar dalam kotak fikirmu.
“Apa persamaan antara aku dengan manusia zaman batu.” Kau bertanya menuntut pengertian.
Aku tahu, kau marahkan aku. Katamu, aku tidak memahami situasi yang sedang kau alami.
Dakwamu lagi, aku tidak merasai penderitaan yang dihadapi oleh orang ramai. Sebenarnya, bukan aku yang tidak faham tapi kau yang tidak mengerti. Mindamu yang primitif telah menyebabkan dirimu terpenjara dalam kepompong ketidakmengertian. Percayalah, minda yang lapuk itu akan menyebabkan dirimu merana berpanjangan dan hidup sengsara berterusan.
Begini sahabatku, biar aku ceritakan kepadamu. Cerita tentang sebuah kisah purbakala, sebelum manusia memiliki peradaban. Tidak salah rasanya, jika sesekali kita menoleh ke belakang untuk merenung kehiduapan zaman batu yang penuh sejarah. Bukan untuk bernostalgia tetapi untuk dihayati. Bukankah dahulu pernah kau katakan “ Untuk berjaya dalam hidup, kita perlu menghayati sejarah silam, memanfaatkan masa kini dan bersedia mendepani masa hadapan.” Jadi, kisah manusia zaman batu perlulah kita hayati. Izinkan aku bercerita. Tika dan waktu itu manusia belum menemui cermin. Ini amat menyulitkan dan mereka terpaksa menggunakan air untuk menatap wajah dan mengurus diri. Ketidaksempurnaan ini menyebabkan wajah mereka serabut dengan misai, janggut dan rambut yang tidak terurus. Tapi mereka tidak boleh ddipersalahkan kerana kecanggihan teknologi belum lagi mereka terokai. Malah dalam persoalan agama sekalipun mereka dikategorikan sebagai golongan yang diampunkan Tuhan. Ini kerana, mereka hidup di zaman fatrah yang terputus dari wahyu dan terasing dari risalah para Nabi dan ajaran Tuhan.
Biarlah, itu kisah masyarakat primitive. Masyarakat yang terpinggir dari urbanisasi dan terpisah dari modenisasi. Biarkan ia berlalu. Kita bicarakan pula kisah manusia moden. Mereka termasuk dirimu, tidak mampu mengurus hidup lantaran tidak mampu mencermin diri. Sebab itulah hidupmu serabut dan celaru. Inilah ulangan kisah manusia yang tidak bertamadun. Diulangi oleh manusia yang memiliki peradaban.
“Aku tak faham. Tolong berterus terang dengan pasti.” Pintamu dengan nada yang marah tapi mengharap.
Ahh! Terlalu sukar untuk memahamkanmu. Kau memang berotak primitive, kuno dan klasik. Ortodoks!, itulah kesimpulannya. Lupakah kau kepada Jean Jacqeus Rousseau, penulis buku The Social Contract. Juga pencetus revolusi di Perancis. Bukankah suatu ketika dahulu kau ama mengkaguminya. Hingga kau jadikannya sebagai idola hidupmu. Bagimu, dialah wira yang berjuang melenyapkan kedurjanaan Louis XVI dan Marrie Antionette. Lupakah kau apa yang dia lakukan sebelum menggerakkan revolusi di Perancis yang akhirnya menggegarkan Eropah dan dunia.
“Kau tahu tak, apa yang diubah oleh arkitek revolusi Perancis itu sebelum mengubah Negara?” tanyaku sekadar menguji daya intelekmu.
Kau gelengkan kepala tanda tidak tahu. Memang sudah aku jangkakan. Manusia berotak klasik dan berminda primitive sepertimu, pastinya miskin pengetahuan. Tak mengapa, biar aku ingatkan, supaya ia terpahat kukuh d ihati dan terpasak utuh di sanubarimu.
Dia ubah minda dan sikap rakyat sebelum mengubah Negara. Biar aku ulangi, dia mengubah minda dan sikap rakyat. Inilah yang dikatakan revolusi minda. Minda yang berubah berupaya mengubah jiwa dan raga, juga mengubah watak dan perwatakan. Malah mampu mengubah dunia.
Katanya, “ Kita mula belajar bersama hidup. Pendidikan dimulakan dengan permulaan nafas dan kekurangan yang diasai adalah guru yang terbaik.” Fahamkah kau wahai sahabat?
Kau diam membatu. Mungkin kau sudah mampu mencermin kekurangan diri. Mungkin juga ufuk pemikiranmu semakin meluas. Aku ingin kau sedar, kau juga sepertiku. Hidup dengan menerima habuan setiap bulan atau lebih tepat makan gaji. Tapi kau lupa diri dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Kau impikan hidup yang hebat, sehebat Bill gates, si jutawan terkaya di dunia yang memiliki harta kekayaan sebanyak RM162.75 billion. Kaun ingin jelmakan Warrant Buffet, Laksmi Mital, Alwaleed bin Talal Al-Saud, Ingvar Kamprad dan Paul Allen dalam hidupmu. Lupakah kau siapa mereka? Mereka jutawan bertaraf dunia. Mereka memiliki kekayaan yang melimpah ruah dan kemewahan yang tidak terkira. Kau pula kaya dengan gaya hidup yang hipokrit dan mewah dengan angan-angan. Semuanya khayalan tahap tinggi.
“Analogimu mengarut. Tamsilanmu juga tidak berasas. Aku tidak pernah berangan-angan sampai ke tahap itu.” Semaksimum mungkin kau menafikan pernyataanku.
“Tidak berasas secara tersurat tapi secara tersirat ia amat menepati kebenaran.” Kataku secara ringkas. Biarlah ringkas peneranganku, yang penting ia mempunyai sejuta pengertian. Pengertian yang mampu dicerna dan dihadam oleh manusia sepertimu. Biarlah pengertian itu menafasi hidupmu hingga ke akhirnya.
Aku hairan, mengapa mindamu terlalu lembap dan otakmu teramat beku, sebeku antartika. Kau perlu revolusikan mindamu supaya antartika kedunguanmu berjaya dicairkan. Biar aku mudahkan cerita supaya kau cepat faham. Cuba kau cerminkan dirimu. Lakukan post-mortem ke atas hidup dan kehidupanmu. Kau miliki keinginan yang melaut dan kehendak yang melangit. Nafsu kebendaanmu pula terlalu besar. Sebesar alam. Tapi sayang, jarak antara kehendak dan kemampuanmu terlalu jauh. Sejauh timur dari barat dan sejauh langit dari bumi. Inilah penyakit yang menimpa manusia moden termasuk dirimu.
“Moga penjelasanku ini mampu menyuntuk vaksin kesedaran yang mampu membunuh virus ambisi yang begitu mampat dalam hidupmu.” Kataku di hati cuma.
“Tuduhanmu terlalu berat dan melulu.” Katamu untuk memenangkan diri.
“Tak guna menafikan kenyataan.” Balasku ringkas dan bersahaja.
Ternyata kau masih menafikan kenyataan. Kau memang tidak mahu mengalah kepada kebenaran. Lihatlah gaya hidupmu, terlalu hebat. Separuh dari pendapatan bulananmu dikhaskan untuk bayaran bulanan kereta importmu yang hebat dan bergaya. Katamu, ia melambangkan citarasa manusia moden dan kau tidak kisah dengan itu semua. Rumahmu pula berimejkan istana maharaja zaman silam. Lengkap dengan perabut-perabut indah yang mencecah angka puluhan ribu. Hutang kad kreditmu menghampiri angka had maksimum. Bukan satu malah lima keping kad kredit yang kau miliki. Lupakah kau, rakyat Malaysia adalah antara pengguna kad kredit paling banyak di dunia, sekali gus menjadi penghutang paling setia. Ini gaya hidup moden, lagipun bukannya berhutang dengan ceti haram, itulah jawapanmu.
Bil astro,elektrik dan air semuanya menakjubkan. Tapi, kau tidak pernah mempedulikannya. Begitu juga dengan isterimu. Ratusan ringgit sebulan terpaksa ‘dilaburkan’ untuk membeli lipstik, perfume, pakaian dan segala peralatannya. Semuanya berjenama, kononnya ia melambangkan gaya hidup elit meskipun daif pada hakikatnya.
Kau ketawakan aku. Katamu, aku kuno, berjiwa kampung dan tidak mengikut peredaran zaman.
“Zaman berubah, manusia juga harus berubah. Jika tidak kita akan ketinggalan.” Kau cuba merelevenkan gaya hidupmu itu dengan tuntutan zaman.
Aku hanya mampu gelengkan kepala. Memang sukar untuk mencerdikkan manusia berfikiran primitif sepertimu. Biar papa asalkan bergaya itulah pegangan hidup yang telah berdarah daging dalam hidupmu.

“Percayalah peningkatan harga akan terus berlaku pada masa akan datang. Harga minyak, tarif elektrik, harga barang dan segalanya akan terus meningkat.” Pesanku, untuk mengingatkan dirimu yang alpa.
“Inilah bebanan yang tidak berkesudahan.” Balasmu dengan nada cacian dan makian.
Itu sahaja yang kau tahu. Mencaci, memaki dan mengutuk. Teruskankah cacian dan makianmu.
Tapi yakinilah, ia tidak akan memberi sebarang makna. Cerminkanlah dirimu terlebih dahulu wahai sahabat. Tingkatkan harga otakmu supay kau boleh bernafas dengan aman. Otakmu terlalu murah, kerana ia otak manusia zaman batu yang primitif. Revolusikan mindamu agar mampu mendepani arus kehidupan yang semakin mencabar ini. percayalah, hanya minda yang telah mengalami proses evolusi sahaja mampu berhadapan dengan revolusi harga yang membebankan.
Biar papa asal bergaya, itu pegangan hidup yang sudah tidak releven untuk dianuti oleh manusia moden. Ia lapuk dan ketinggalan zaman. Ukurlah baju di badan sendiri, inilah prinsip hidup yang benar dan lurus serta selamat. Moga kau mengerti wahai sahabat.