DULU, semasa tinggal kat Sabah jarang-jarang saya berpeluang balik a.k.a bercuti ke kampung.Kampung saya nun jauh di Bachok Kelantan. Setahun hanya sekali saya berpeluang untuk pulang bercuti ke kampung, iaitu cuti akhir tahun. Bukan tak nak balik kampung tapi harga tiket kapal terbang waktu tu agak mahal. Sekali pulang( pergi dan balik) biasanya melibatkan kos RM1500,00 ( dari airport Lahad Datu- Kota KInabalu – KLIA – Pengkalan Chepa Kelantan ). Tambang murah air asia amat sukar diperolehi sebab kebiasaannya harga murah yang ditawarkan tidak melibatkan hari-hari cuti. Lagipun, airport di Lahad Datu tiada perkhidmatan air asia disediakan, terpaksa ke Tawau atau Sandakan(memakan masa 2 jam 30 minit perjalanan dari Lahad Datu).
(Pantai Kemanyan, Bachok Kelantan)
Jadi, cuti-cuti yang lain, saya manfaatkan untuk menerokai mana-mana sudut dan ruang Negeri Di Bawah Bayu. Boleh dikatakan hampir keseluruhan negeri sabah telah saya jejaki kecuali kawasan-kawasan yang terlalu jauh di pendalaman. Lahad Datu, Kunak, Sempoerna, Tawau, Kinabatangan, Sandakan, Telupid, Ranau, Kundasang, Tamparuli, Tuaran, Inanam, Kota Kinabalu, Papar, Kota Belud, Kudat, Beaufort antara lokasi yang pernah saya jejaki. Namun, Tamparuli dan Tuaran, seolah-olah menjadi destinasi wajib saya setiap kali cuti persekolahan. Entah mengapa, saya merasakan Tamparuli dan Tuaran begitu bermakna dan bererti dalam hidup saya. Jujur! Sampai hari ini, saya masih teringat-ingat detik-detik yang saya lalui sekitar Tamparuli dan Tuaran. Malah kali terakhir sebelum saya meninggalkan bumi sabah(sebab berpindah ke semenjung), saya mencuri ruang yang terhad dan terbatas untuk ke Tamparuli dan Tuaran untuk kali yang terakhir ( Insha-Allah, jika dipanjangkan umur saya akan ke sana lagi). Saya susuri setiap sudut bangunan dan lorong sekitar Tamparuli, saya renung tapak tamunya, dan saya termenung lama di atas jambatan Tamparuli. Tapi, sayang saya tak sempat ke Kiulu, sebauah lokasi yang tidak jauh dari pekan Tamparuli, lokasi yang sentiasa saya ziarahi apabila saya ke Kota Kinabalu dan Pantai Barat Sabah. Kemudiaannya ke Tuaran, saya susuri juga setiap inci pekan Tuaran dan terhenti lama di sudut-sudut yang pernah mencipta kenangan. Lepas tu, saya terus bergegas ke Kota Kinabalu untuk chek out hotel dan menatapi wajah Kota Kinabalu buat kali terakhir sebelum ke airport.
(Kampungku, seketika sebelum padi disemai)
Selain Sabah, negeri Sarawak juga turut menjadi tempat untuk saya bercuti lantaran tidak pulang ke kampung. Lawas, Limbang, dan Miri, agak kerap saya ke situ lantaran terdapat beberapa orang sahabat sepengajian(USM) yang bertugas di situ.
15 Januari 2007, bermulalah kehidupan saya sebagai warga Perak. Seperti Sabah, Perak juga ada keindahan tersendiri dan ada keistimewaan tersendiri. Namun, kalau ditanya antara Sabah dan Perak, yang manakah lebih saya suka. JUJUR! Saya akan jawab, saya lebih suka berada di Sabah. Terlalu indah dan tersangat bahagia. Setiap detik dari pagi hingga malam menjelma saya rasakan begitu bermakna. Riang ria di bumi Sabah masih saya rasa. Bekerja dalam usia seawal 22 tahun, bersama rakan-rakan, bumi sabah kami nikmati. Gunung Kinabalu kami daki, Pulau-pulau kami jejaki. JUJUR, sesungguhnya rindu, kasih dan sayang saya tertinggal di Sabah Negeri Di Bawah Bayu. Saya abadikan kenangan di Sabah dalam cerpen terbaru saya ,JESSICA yang telah disiarkan dalam Majalah Wanita edisi Januari 2011 ( terbitan Utusan Karya), lihat di sini http://www.bicaradariaku.com/2011/01/jessica.html. Sepatutnya saya ke Sabah bulan 6 ni( saya dah rancang nak ke Tg Simpang Mengayau selain Tamparuli , Tuaran dan ziarah kawan-kawan lama di Lahad Datu) tapi, tiba-tiba saya TERPAKSA mengubah haluan untuk ke Jakarta dan Bandung .
(Kampungku, Sawah Sebelum Dibajak)
Kat Perak bukanlah saya menderita, ia tetap membahagiakan, apatah lagi saya boleh pulang ke kampung dengan lebih kerap dengan kos tak sampai RM100.00. Seronak juga memandu merentasi bukit Gerik( kekadang terserempak dengan gajah liar), singgah merakam gambar di Tasik Banding dan Puncak Titiwangsa sebelum meneruskan perjalanan balik kampung. Cuma, di Perak ni, saya paling suka ke Utara Perak. Entah mengapa, jiwa saya sangat serasi dengan Taiping, Bagan Serai dan Parit Buntar. Jarang sekali, saya ke Teluk Intan, Tanjung Malim dan Bagan Datoh.
Untuk pengetahuan sahabat, berlambak guru-guru dari Kelantan dan Terengganu di Hulu Perak seperti gerik dan Pengkalan Hulu, ini memandangkan daerah itu sudah dikira berhampiran dengan Kelantan dan Terengganu. Kebanyakkan mereka pernah berkhidmat di sabah dan Sarawak dan dalam proses menunggu ruang dan peluang pulang ke negeri masing-masing. YANG PASTI, walau dimana berada tugas sebagai guru hendaklah dilunaskan. Tidak boleh sama sekali seseorang guru bersikap memilih lokasi untuk menyumbang bakti.
p/s= kepada bakal-bakal guru, janganlah takut dan khuatir untuk memilih Sabah sebagai lokasi untuk menyumbang bakti.
p/s= bila pulang bercuti ke kampung, jaranglah saya online.