Sunday 31 January 2010

sudah KEHENDAK-NYA


Cerpen saya ini disiarkan dalam Majalah Nur( Karangkraf) edisi Febuari 2010.


TAJUK = SUDAH KEHENDAK-NYA.
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.



Hidayah. Aneh sungguh ia didatangkan. Adakalanya terlalu sukar dan ada kalanya teramat senang. Itulah kesimpulan yang dapat aku buat setelah mendengar ceritanya. Namun, akal warasku tetap mewajarkan semua itu sebagai kehendak-Nya, seperti yang dirakamkan di dalam Firman-Nya , surah al-Ghaasyiyah, ayat 21 dan 22.


“Oleh itu, berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran islam yang engkau sampaikan itu)”


Ya, sudah kehendak-Nya, Abu Talib mati dalam kekufuran. Walaupun diterangkan berkali-kali dan dijelaskan berjela-jela, namun kalimah tauhid tetap tidak mampu bertapak di hatinya. Sudah kehendak-Nya, Umar al-Khattab menjadi manusia yang beriman. Sesudah mendengar dan membaca beberapa patah kalam Allah dari surah Taha, hati kerasnya terus lunak dan zulmat jahiliahnya terus sirna. Sudah kehendak-Nya juga Yvonne Ridley, wartawan Sunday Express menemui islam sesudah menjadi tahanan Taliban yang sering dilabel sebagai ganas dan kejam. Begitu jualah dengan sahabatku ini, sudah kehendak-Nya.


****


Benarkah apa yang aku saksikan? Jujur, ada perasaan aneh yang melingkari jiwa tatkala terpandangnya. Sungguh! pertemuan yang tidak disengajakan di masjid tadi telah melemaskan aku dalam lautan tanda tanya. Benar! perubahannya itu agak sukar untuk aku percayai pada mulanya. Ternyata, masa telah mengubah segalanya.


Sudah adatnya bila agak lama tidak berjumpa, maka banyaklah perkara yang hendak diceritakan. Cerita tentang aku, juga tentang dia dan akhirnya melarat ke cerita ‘penghijrahannya’.


“Pernahkah kau mendengar atau melihat seseorang doktor dirawat oleh pesakitnya.” Begitulah soalan yang dia ajukan kepadaku. Aku sekadar menggelengkan kepala. Dia kemudiannya memandang tepat ke arahku dan mata kami bertembung. Aku lihat dia diam. Sekilas renung di wajahnya seolah-olah ada hiba yang bertandang. Suasana khali buat
seketika dan alam bagaikan mati dibungkus sepi.


“Mungkin aneh dan agak lucu. Tapi inilah yang telah berlaku dan akulah doktor itu.” Amir, sahabatku itu kembali bersuara setelah jeda seketika. Aku diserbu kehairanan. Benar-benar menyanggahi kelaziman. Betul-betul menyalahi kebiasaan.


“Benarkah apa yang dikatakan itu?.”


“Apakah yang sebenarnya telah berlaku?.”



****


Kata Amir, kisah itu telah dua tahun berlalu. Namun, hingga ke saat ini peristiwa itu tidak pernah pamit dari ingatannya. Tidak sekadar memungut kenangan, dia juga banyak mengutip pengajaran dari peristiwa itu, begitulah Amir menjelaskan kepadaku. Aku sekadar mengangguk perlahan. Aku yakin dia telah menemui hikmah yang tersirat di sebalik hakikat yang telah tersurat.


Kata Amir, semuanya bermula setelah dia mengenali Aisyah, gadis yang terlantar di katil hospital, sekali gus menjadi pesakitnya. Hatinya digamit untuk mengenali Aisyah setelah terlihat gadis itu menunaikan rukun islam yang kedua dalam keadaan duduk, lantaran tiada kudrat untuk berdiri.


“ Aku benar-benar kehairanan melihat semua itu dan itulah buat pertama kalinya aku melihat orang bersembahyang dalam keadaan sebegitu,” begitulah Amir meluahkan kehairanannya kepadaku.


Memang wajar untuk Amir berasa pelik dan hairan melihat semua itu. Apa tidaknya, dia seorang lelaki yang amat jauh dari agama. Sejauh langit dari bumi dan sejauh timur dari barat. Begitulah hebatnya jarak yang terbina antara dia dan agama yang dianutinya.


“Aku free thinker.” Begitulah pengakuannya sembilan tahun yang lalu, sewaktu kami menjadi warga sebuah kolej matrikulasi di utara semenanjung, atau lebih tepat lagi sebelum dia melanjutkan pelajarannya ke Ireland dalam bidang perubatan.


Tiba-tiba aku teringatkan peristiwa kedatangan islam ke bumi Melaka. Seperti yang dirakamkan dalam teks Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Seri Lanang, penduduk Melaka begitu terkejut dan sangat hairan tatkala melihat Saiyid Abdul Aziz bersembahyang di pantai setelah tiba ke Melaka. Sebagaimana penduduk Melaka ketika itu, begitulah situasi Amir tatkala melihat Aisyah yang bersembahyang dalam keadaan duduk.


“Bermula saat itu, aku ingin mengenalinya dengan lebih dekat. Selaku doktor, tentu sahaja tidak sukar untuk aku mendekatinya. ” Amir kembali menyambung ceritanya yang terhenti buat seketika.


“Pada mulanya agak kekok juga. Bicara kami banyak dibatasi sempadan seorang doktor dan pesakitnya. Namun, lama-kelamaan kami menjadi akrab dan tiada lagi jurang bicara seperti yang sebelumnya. Kami mula berkongsi cerita dan berceritakan kehidupan masing-masing. Akhirnya, tidak sekadar tahap keseriusan penyakitnya yang aku selongkar. Malah, latar belakangnya juga turut aku selami. Secara jujurnya, aku tertarik dengan sopan kata dan santun bicaranya. Ikhlas! Aku tertawan dengan jujur pekerti yang mendiami peribadinya.” Aku terpegun sejenak mendengarkan kisahnya. Lantas aku memutuskan untuk diam dan menjadi pendengar yang setia.


“Aisyah sebenarnya menghidap barah pangkal rahim. Sel-sel barah telah membiak dan merebak ke beberapa bahagian penting dalam jasadnya.” Amir meraup wajahnya. Mungkin ada sedih dan pilu di hatinya kala itu. Seketika kemudian dia melontarkan pandangannya ke arah masjid. Seolah-olah ada tersembunyi sesuatu di institusi yang mulia itu. Institusi yang suatu ketika dahulu amat asing baginya.


****


“Bagaimanakah sesuatu penyakit memperkenalkan dirinya?.” Begitulah Aisyah mengajukan tanya setelah mengetahui Amir seorang free thinker.


“Tentu sahaja melalui simpton-simptonnya.” jawab Amir dengan penuh keyakinan. Pasti sahaja jawapan Amir selaku doktor itu benar dan tepat.


“Allah juga ada kaedah tertentu untuk memperkenalkan diri-Nya. Antaranya ialah menerusi ciptaan-Nya.” Amir tersentak mendengar jawapan itu. Ternyata soalan yang dikemukakan oleh Aisyah tadi bukanlah bermotifkan ingin tahu tetapi kerana ingin menduganya.


Melihat Amir yang masih terpinga-pinga, lantas Aisyah membacakan kepadanya sepotong ayat Al-Quran, surah Ali ‘Imraan, ayat 190.
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan ,kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”


“Bagaimana pula seseorang doktor dapat mengetahui atau mengenalpasti sesuatu penyakit pada pesakitnya?.” Amir tidak menjawab soalan yang diajukan itu. Dia diam seribu bahasa sambil indera pandangnya menyeluruhi wajah tenang yang sedang menderita itu. Amir sedar pertanyaan Aisyah kali ini juga bukanlah bermotifkan ingin tahu.


“Tentu sahaja dengan memeriksa suhu badan dan denyutan nadi. Dan untuk penyakit yang lebih kronik, mungkin memerlukan kaedah x-ray dan scan. Apa pun kaedahnya, yang pasti semua itu berdasarkan pemerhatian dan penelitian yang mendalam serta pemilikan ilmu yang tinggi. Begitu juga untuk mengenali Allah, mesti dengan melihat, merenung dan memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah.”


“Maksud awak, dengan meneliti dan memerhatikan apa yang ada di langit dan di bumi?.” Amir bertanya inginkan kepastian.


“Ya. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim Alaihi Salam. Baginda mengenali Allah setelah memerhatikan bintang, bulan dan matahari. Kisah ini dinyatakan dalam Al-Quran, surah al-An’aam ayat 74 hingga 79.” Persis seorang ahli panel dalam program forum agama, gadis malang itu berhujah dengan hebat sekali.
Aku si pendengar yang setia, tiba-tiba terkenangkan kehebatan Aisyah, isteri Nabi Muhammad. Beliau begitu banyak meriwayatkan hadis dan menjadi rujukan para sahabat dalam persoalan agama. Mungkinkah Aisyah, si penderita barah pangkal rahim itu telah ‘mencetak’ sekelumit kehebatan milik Aisyah isteri junjungan mulia, Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam?


“Meneliti dan memerhati bukan setakat dengan mata, tetapi mestilah disertai akal yang tajam dan kefahaman yang matang. Inilah ciri-ciri Ulul Albab, kalimah yang disebut sebanyak enam belas kali dalam Al-Quran. Kerana memiliki ciri-ciri inilah Nabi Ibrahim mampu mengenali Allah. Dan kerana memiliki ciri-ciri ini jualah Ibn Sina, Al-Razi dan Ibn Al-Nafis semakin dekat dengan Allah setelah bergelumang dalam dunia perubatan” Amir terpaku mendengar hujah demi hujah yang dimuntahkan oleh Aisyah. Semacam ada kuasa ghaib yang memaksanya untuk terus memberikan tumpuan terhadap bicara Aisyah.


Ibn Al-Nafis, aku si pendengar yang setia tiba-tiba terkenangkan tokoh itu. Tokoh perubatan kelahiran Damsyik pada tahun 1210 Masihi itu, telah memberi sumbangan yang amat besar dalam ilmu perubatan dan dunia kedoktoran. Setelah mewakafkan hidup dan kehidupannya untuk menelaah dan mengkaji, akhirnya dia menemui saluran pembuluh darah di dalam badan manusia. Aku yakin sekiranya anugerah Nobel telah diwujudkan kala itu, pasti sahaja anugerah Nobel Perubatan akan dimenanginya, sebagaimana Karl Landsteiner yang menerima Anugerah Nobel Perubatan pada tahun 1930 kerana kejayaan mengklasifikasikan jenis darah kepada A, B, AB dan O.


“Bagaikan si lapar yang tak bertemu makanan dan si dahaga yang tak bertemukan minuman. Pasti sahaja kesudahannya ialah mati kebuluran dan kehausan. Begitu jualah halnya dengan manusia yang tak menemui kebesaran Allah melalui ciptaan-ciptaan-Nya. Mereka ini mempunyai hati, mata dan telinga yang tidak berfungsi hingga tidak mampu memerhati dan meneliti. Dan kesudahan mereka ini ialah neraka jahanam. Tidak hairanlah jika Allah menyamakan mereka ini dengan binatang ternakan, sebagaimana yang dirakamkan di dalam surah Al-A’raaf ayat 179.” Kata-kata Aisyah terus menerjah telinganya. Malah, Amir menjelaskan kepadaku kata-kata itu menyebabkan lenanya terganggu buat beberapa ketika.


“Astaghfirullahalazim” Amir beristighfar perlahan. Ternyata, penerangan yang diberikan oleh Aisyah tidak sekadar singgah di telinga tapi meresap jauh ke hatinya hingga sebati bersama darah dan dagingnya. Tentu sahaja antartika kejahilannya mula mencair sedikit demi sedikit. Pasti sahaja horizon pemikirannya juga mula meluas seinci demi seinci. Mencair dan meluas kerana Aisyah.

***

“Aisyah telah berjaya merawaktu. Rohaniku yang sakit, akidahku yang parah dirawatnya dengan cermat dan hati-hati. Tapi sayang…” Amir tidak mampu meneruskan kata. Dipejamkan matanya seketika untuk meredakan sebak di dada.


“Maksudmu.” Aku cuba menebak apa yang ingin disampaikannya itu. Jauh di sudut hati, sudah dapat aku duga apa yang telah berlaku.


“Aku gagal. Dia pergi jua akhirnya.” Bicara Amir tersekat-sekat dan aku lihat air matanya mulai mencurah. Tangisannya itu meluluhkan hatiku.


“Sudah kehendak-Nya, Aisyah pergi. Janganlah sesekali kau kesalkan.” Aku cuba meredakan pilunya, meskipun aku sendiri didatangi sebak di dada.


“Barahnya sudah tahap ketiga. Tahap kritikal dan tidak mampu lagi dirawat melalui kemoterapi dan radioterapi.” Jelas Amir sambil menyeka air mata.


“Oh Aisyah! Terima kasih kerana telah mengembalikan sahabatku ke paksi agama. Terima kasih juga kerana telah membimbing sahabatku yang telah jauh tersasar dari orbit akidah,” Bicaraku hanya dihati.


“Sudah kehendak-Nya, dia menderita barah. Sudah kehendak-Nya juga, dia bertemu denganmu. Sebab, sudah Kehendak-Nya, dia yang merawatmu.” Sedaya mampu aku pasakkan keyakinan ke dalam hati Amir. Biar Amir mengerti. Moga Amir faham. Itulah kehendak-Nya.


“Al-Fatihah buatmu ,Aisyah!”

21 comments:

  1. bes gle cerpen nih..sedih..hoho

    ReplyDelete
  2. cerpen yg best...

    Allah datangkan hidayah pada sesapa yg di kehendakinye... :)

    ReplyDelete
  3. Betul tu sahabat. kuasa Allah yg menetukan wsegalanya. Adakalanya org yg lahir dan membesar sebagai org beriman tetapi mati dlm kekufuran. Adakalannya seseorg yg dilahirkan dan membesar dlm keadaan kufur tapi mati dlm keadaan beriman

    ReplyDelete
  4. salam...

    terima kasih atas perkongsian ini.
    bagus naskahnya!

    ReplyDelete
  5. MissNera. awk pun penuliskn. mungkin ada sesautu yg dpt dikogsi utk memantapkan penulsian sy

    ReplyDelete
  6. nice story :)

    blognya sudah saya follow.

    ReplyDelete
  7. Kun Fayakun... semua terjadi sesuai kehendakNya, jika Ia berkata terjadi maka terjadilah. tak ada daya upaya selainNya

    ReplyDelete
  8. ujian..antara nikmat dan sukar

    ReplyDelete
  9. salam shbt..orang yg sesatjika xblik ke pangkal jalan yg diredhai oleh Allah s.w.t, maka azab seksaan di akhirat nanti adalah berat..subhanallah
    takautlah kita kepada neraka jahanam, sesungguhnya neraka itu amat dahsyat..

    N3 saudara ini amat bagus sekali utk dikongsi bersama kwn2.. semuga kita ambil ikhtibar daripada kisah saudara ini..janganlah sesekali kita kufur kpd Allah..

    ReplyDelete
  10. Cerpen yang bagus, mantap dan cukup kajian...

    ReplyDelete
  11. Terima kasih Norgadis atas pandangan yg diberi. saya masih bertatih dlm penulisan. Doakan kejayaan saya.

    ReplyDelete
  12. Yuni = Sengaja buat versi keterbalikan. Biasanyer doktor rawat pesakit tapi kali ni pesakit yg rawat doktor.

    ReplyDelete
  13. touching!

    sangat mendalam dan meresap dalam jiwa!

    terima kasih shameel iskandar.. maCy patut baca lebih awal lagi =)

    ReplyDelete
  14. aisya dh dtg..!! hihih..tp alhamdulillah..aisya yg ni xsakit..sehat walafiat..:)

    best la cte cikgu..memg patut terplih..laluan hidayah tu luas..mnusia perlu sentiase mbuka mata, akal dn hati utk mgakui/mghayati kebesaran ALLAH..:)

    dr 5*, aisyah bg 4.9*..kihkihkih..:P

    ReplyDelete
  15. great! i like it! teruskan ya!

    ReplyDelete
  16. Macy.
    Terima kasih sudi membaca cerpen saya.Moga dapat mengambil manfaat daripadanya.

    ReplyDelete
  17. aisyah.
    Aisyah bg 4.9*, wow kira cemerlang dah tu. hehehe

    ReplyDelete
  18. mjhidayah.
    Terima kasih atas sokongan. Doakan agar saya terus diberi kekuatan utk berkarya sebagai cerpenis.

    ReplyDelete
  19. shameel~
    nice story! :) kipidap!

    ReplyDelete