Monday 31 May 2010

resah seorang GURU

Cerpen saya ini telah disiarkan dalam MAJALAH e@Siswa ( kumpulan Karangkraf) Edisi 40: JUN 2010. Moga dapat mengambil manfaat daripadanya.

P/S= Walaupun, majalah ini lebih berfokuskan pelajar di sekolah menengah ,namun beberapa cerpen penulis mampan seperti FaiSal Tehrani, Uthaya Sankar SB dan lain-lain pernah disiarkan di dalam Majalah ini( termasuklah sekitar tahun 2010).


TAJUK = RESAH SEORANG GURU
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.


“Astaghfirullahalazim.” Dia beristighfar sambil kepalanya digelengkan perlahan. Sukar untuk dia percaya dengan apa yang dilihat. Lagi sukar untuk dia percaya dengan apa yang didengar. Benar-benar menghiris hati dan mencalar perasaanya.

Dia terdiam. Agak lama dia terdiam. Diam memikirkan cadangan yang dikemukakan oleh Encik Malik. Hatinya benar-benar meradang seusai sahaja mendengar cadangan itu. Cadangan yang menyebabkan dirinya tidak senang dan tidak tenang. Cadangan yang cuba merampas haknya secara kejam. Cadangan yang penuh sangsi dan sarat curiga terhadap agama.

“Saya syorkan agar subjek-subjek ini diberi penekanan yang lebih. Ia perlu diperkasakan walau dengan apa cara. Kita semua sedia maklum, betapa subjek-subjek penting seperti fizik, kimia, biologi dan matematik tambahan merupakan denyut nadi dan degup jantung kepada anak-anak kita. Kecemerlangan dalam subjek-subjek ini akan melayakkan mereka untuk mengikuti kursus-kursus yang mempunyai nilai di pasaran ketika berada di institusi pengajian tinggi nanti. Tidak salah rasanya, jika pihak sekolah memperuntukan masa yang lebih untuk sesi pengajaran dan pembelajaran(P&P) subjek-subjek ini. Tidak salah juga rasanya, jika peruntukan masa untuk P&P bagi subjek-subjek yang kurang penting seperti pendidikan islam dikurangkan demi memperkasakan subjek-subjek ini.” Begitulah cadangan yang dikemukakan oleh Encik Malik dalam mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) yang sedang berlangsung itu.

Sungguh tak disangka, pengurus di sebuah bank yang terkemuka itu mempunyai pandangan dan tanggapan yang begitu negatif terhadap agama. Tidak pernahkah pengurus bank itu terdengar atau terbaca sabda junjungan mulia, Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim “ Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama.”

Mujurlah, Tuan Haji Sarbani, selaku Pengetua telah bertindak bijak dengan mewajarkan pendekatan yang sedia ada sebagai memenuhi aspirasi kerajaan yang ingin memperkasakan modal insan. Tuan Haji Sarbani yang dia kenali sememangnya seorang pengetua yang mudah bertolak ansur dan senang diajak berbincang, namun apabila melibatkan soal agama, pengetua yang bakal bersara hujung tahun itu akan tegas berprinsip dan teguh berpendirian. Tegas dan teguh hinggakan mustahil untuk dikikis dan dihakis.


***

Usai sahaja Mesyuarat Agung PIBG, dia terus mengatur langkahnya ke bilik guru, walaupun juadah ringan ada disediakan untuk para guru dan ibu bapa yang hadir, namun seleranya benar-benar terbantut. Longlai sekali jejak yang disusun lantaran pilu yang menyerbu kalbu. Di mejanya, dia bungkam tanpa sebarang kata.

“Sesungguhnya setiap pembinaan dimulakan dari asas dan bukannya dari puncak.” Untaian hikmah yang pernah dilafazkan oleh Mustafa Mashyur hadir di fikirannya. Dia diburu resah apabila terkenangkan kata-kata bekas Mursyidul Am Ikwanul Muslimin itu. Dia yakin benar akan kebenaran kata-kata tokoh gerakan islam itu. Apa tidaknya, bukankah langkah yang pertama merupakan asas dan permulaan kepada perjalanan yang beribu batu. Begitu juga dengan detik dan saat yang menjadi asas kepada pembentukan tahun, dekad dan abad. Asas kepada negara pula ialah setiap individu yang menjadi warganya. Agenda memperkasakan bangsa dan negara hanya akan tercapai kalau asasnya turut diperkasakan. Sebagaimana pembinaan bangunan yang besar dan tinggi, pasti sahaja memerlukan tapak yang besar, luas dan dalam. Jika tidak, pasti sahaja bangunan itu akan tersungkur menyembah ke bumi.

***

Sering kali dia diingatkan dan sering kali juga dia mengingatkan. Saling ingat dan mengingatkan betapa pentingya agama dalam kehidupan.

“Sebagaimana pentingnya akar pada sebatang pokok. Kalau akarnya kuat mencengkam ke bumi, maka teguhlah pokok itu berdiri. Datanglah angin kencang, ia tidak akan goyang. Tidak sekadar berdiri teguh, ia juga selamat untuk dijadikan tempat bersandar, berpaut dan berteduh.” Begitulah tamsilan yang sering kali dilafazkan oleh arwah ayahnya suatu ketika dahulu. Walaupun telah lama berlalu, bait-bait kalimah itu tetap segar di hati sebagaimana arwah ayahnya yang sentiasa bugar di sanubarinya.

“ Agama adalah panduan dan pedoman untuk manusia melayari kehidupan.” Dia teringatkan kata-kata sahabatnya, Nazri yang menjadi rakan serumah dan sekuliahnya sewaktu di Jordan. Sedari dahulu lagi, dia sememangnya akur akan kebenaran kata-kata sahabatnya itu. Tanpa panduan dan pedoman manusia akan tersesat meskipun di dalam terang benderang. Lagi membimbangkan jika yang tersesat itu melibatkan golongan intelektual dan profesional. Mereka akan memanipulasikan segala kesempatan yang ada tanpa mengira dosa dan pahala. Kesempatan itu akan dijadikan sebagai tongkat untuk berdiri dan titi untuk melintas. Berdiri mencari laba dan melintas untuk mengejar hidup yang selesa.

“Sekiranya ilmu sains dimiliki oleh seseorang yang tidak beragama, ia laksana senjata yang berada pada tangan orang yang gila.” Begitulah Albert Einstein mengambarkan betapa berbahayanya golongan yang tidak menjadikan agama sebagai panduan dan pedoman. Membahayakan diri sendiri dan membahayakan orang lain.

“Ustaz, saya minta maaf.” Masih terdengar-dengar di telinganya suara Munir yang tersekat-sekat kerana ketakutan. Pelajar itu bersama beberapa orang pelajar yang lain telah mengambil kesempatan untuk menyiapkan tugasan subjek-subjek yang lain sewaktu dia sedang ralit menulis di white board. Darahnya benar-benar mendidih kala itu, namun dipujuknya hati agar bersabar. Dia sedar dalam keadaan sebegitu, syaitan mudah menganggu dan perkara yang tidak diingini boleh sahaja berlaku.

Penjelasan lebih lanjut daripada Munir telah memahamkannya betapa nazaknya subjek yang diajarnya itu. Tidak penting, tidak perlu cemerlang, dan tiada masa depan. Itulah yang selayaknya dilabelkan untuk subjek pendidikan islam. Subjek yang dipandang sepi dan tidak diambil peduli. Subjek yang boleh diibaratkan sebagai melukut di tepian gantang, masuk tiada menambah dan keluar pula tiada mengurang.

Bila terkenangkan semua itu, dia merasakan dirinya teramat malang. Secara jujur, semangatnya sedikit terhakis dengan pengakuan itu. Namun, dia tidak akan sesekali mengalah. Pelajar-pelajar ini perlu difahamkan tentang pentingnya pendidikan agama. Amat penting supaya langkah mereka nanti akan terpandu. Terlalu penting, agar jejak mereka nanti akan terpimpin.

***

Dia memandang sekilas jam di tangan. Masa berbaki sepuluh minit lagi. Dia ingin memanfaatkan masa yang terhad dan terbatas itu untuk mengingatkan mana-mana pelajarnya yang masih leka dan mengejutkan mana-mana pelajarnya yang sedang lena. Leka dan lena tentang kepentingan agama. Dia berdiri dan melangkah ke hadapan sambil indera pandangnya menyeluruhi setiap pelajarnya. Selain nama, tertera juga cita-cita setiap pelajar di sudut paling kanan di atas permukaan meja masing-masing. Dalam hati, dia melafazkan kesyukuran kerana setiap pelajarnya memandang masa depan dengan impian dan wawasan. Dalam hati juga dia berdoa, agar setiap impian dan wawasan itu akan tertunai dan terlaksana. Mereka adalah harapan bangsa dan negara.

“Belajar agama tak semestinya kerana nak jadi orang agama. Tapi, kerana nak jadi orang yang beragama. Ada perbezaan yang ketara antara orang agama dengan orang yang beragama.” Dia melontarkan kata sebagai pembuka bicara untuk mengejutkan pelajarnya yang leka dan lena.

“Maksud ustaz.” Seorang pelajar perempuan mengajukan tanya sambil mengerutkan kening, tanda tidak faham. Beberapa orang pelajar yang lain turut tersentak dengan bicaranya yang tiba-tiba itu.

“Kamu benar-benar mahu tahu.” Dia cuba menebak naluri pelajarnya. Beberapa orang pelajar menganggukan kepala tanda sudi dan bersedia untuk mendengar penjelasan lanjut darinya.

“Kamu boleh sahaja menjadi seorang saintis yang terbilang, namun kamu kena sedar akan kewujudan Tuhan yang sentiasa memerhatikan. Kamu boleh juga menjadi seorang peguam yang terkemuka, namun kamu mesti ingat dosa dan pahala. Boleh juga menjadi seorang arkitek yang ternama, namun kamu mesti faham hakikat syurga dan neraka. Atau menjadi seorang doktor yang berjaya, namun kamu kena sedar betapa denyut nadi dan degup jantung boleh terhenti bila-bila masa sahaja. Dengan kata lain, kamu jadilah apa sahaja, tapi mestilah terikat dengan agama. Biarlah agama yang memandu dan memimpin kita semua. Sebab itulah kita kena mendalami ilmu agama dan jangan sesekali memandang remeh terhadap pendidikan agama.” Panjang sekali penerangannya sambil menyoroti satu persatu wajah pelajar-pelajarnya itu.

Diselongkar pula fakta sejarah untuk menguatkan hujah. Hujah bagi mengikis dan menghakis salah faham pelajar terhadap pendidikan islam yang diajarnya. Dia memperihalkan tentang ilmuan islam dalam pelbagai bidang ketika era kegemilangan islam. Tentang Ibn Sina, Al-Razi, dan Ibn Al-Nafis yang telah memberi sumbangan yang besar dalam bidang perubatan. Tentang Mimar Sinan, arkitek terkemuka yang telah membina ratusan bangunan termasuklah Masjid Biru di Istanbul. Tentang Abbas Ibn Firnas yang diperakui oleh sejarahwan Barat, K. Phillip Hitti dalam bukunya History of the Arabs, sebagai manusia pertama yang membuat percubaan untuk melakukan penerbangan secara saitifik. Paling penting, dia ingin pelajarnya mengerti, meskipun terbilang dalam pelbagai bidang, namun para ilmuan itu amat akrab dengan Tuhan dan sangat cemerlang dalam aspek kerohanian.


***


“Seorang pengurus bank dihadapkan ke mahkamah sesyen atas pertuduhan pecah amanah.” Sengaja Cikgu Radzuan menguatkan kenyataan akhbar itu. Cikgu Azami dan beberapa orang guru yang lain terus menyerbu untuk mengetahui dengan lebih lanjut berita itu. Mereka terlongo seketika seusai membaca kenyataan akhbar itu. Suasana di kantin tiba-tiba menjadi gempar apabila pengurus bank yang dimaksudkan itu ialah Encik Malik yang pernah mengemparkan mesyuarat agung PIBG beberapa bulan yang lepas. Tamakan kemewahan dan halobakan kesenangan telah mengelapkan hatinya hingga sanggup mengelapkan akaun orang lain demi menerangi akaun sendiri.

“Astaghfirullahalazim.” Cikgu Roslina yang sedang menikmati sarapan bersama beberapa orang guru perempuan beristighfar perlahan.

“Kita ialah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan islam. Jika kita mencari kemuliaan lain selain daripada kemuliaan islam, maka kita akan dihina oleh Allah.” Pesanan Saidina Umar al-Khatab bertandang di sudut ingatannya. Itulah yang merisaukannya selama ini. Risau apabila memikirkan betapa surut dan susutnya nilai-nilai agama yang selama ini menjadi jatidiri anak bangsanya. Sebagai seorang guru agama, dia tidak boleh menerima situasi yang ada dengan senang dan tenang. Dan, apabila memikirkan semua itu, dia terus diburu resah dan dihambat gelisah.

40 comments:

  1. Cerpen yang baik. Kelihatannya ada rasa tidak puas hati yg ingin dikongsikan oleh penulis berkenaan masalah matapelajaran agama yg dewasa ni dianggap tidak penting oleh segolongan masyarakat. Keresahan spt ini juuga turut dirasa oleh saya sendiri. Meskipun ini hanyalah sebuah cerpen namun, para pembaca harus berfikir... masalah ini telah berlaku disekeliling kita. Siapa lagi yang akan membela agama islam kalau bukan org muslim sendiri. Fikir2 dan renung2kanlah.

    ReplyDelete
  2. Norgadis= Terima kasih atas pandangan yg diberi. selaku penulis yg mampan, pandangan anda amat bererti buat saya yg masih bertatih dlm dunia penulisan. Sebenarnya idea menulis cerpen ni, dtg sewaktu mesyurata agung pibg bln febuari aritu. Beberapa cadangan yg dikemukakan oleh ibu-bapa benar-benar mengecewakan saya. lalu saya luahkan dlm btk cerpen.

    ReplyDelete
  3. tahniah shameel Iskandar...
    walaupun dah lewat 2.58am...mata saya tetap segar membaca sampai ke penghujung cerpen ni...menarik..
    harap lepas ni akan disajikan dengan lebih banyak cerpen di sini =)

    ReplyDelete
  4. keseharia Ra-kun= Terima kasih kerna sudi berkunjung dan membaca cerpen yg saya paparkan.

    ReplyDelete
  5. wawa saida= Terima kasih wawa sbb sudi membaca cerpen saya. Sebenanrya kat label cerpen dlm blog sy ni, sudah sy paparkan beberapa cerpen saya yg pernah disiarkan di dalam akhbar dan majalah.

    ReplyDelete
  6. salam...

    hasil garapan cerpen yg menarik..

    suka kata-kata " sebagaimana pentingnya akar pada sebatang pokok.Kalau akarnya kuat mencengkam ke bumi, maka teguhlah pokok itu berdiri. Datanglah angin kencang, ia tidak akan goyang. ..

    dalam maknanya...

    ReplyDelete
  7. Sekamar rindu= Terima kasih sudi mmbaca cerpen sy. Sebagaimana ptgnya akar pasa sebatang pokok.... itulh tamsilan betapa ptgnya agama kpd manusia.

    ReplyDelete
  8. Nur Su'aidah = Terima kasih kerna sudi berkunjung.

    ReplyDelete
  9. salam cikgu shameel..

    apa khabar?
    moga baik saja..
    terima kasih singgah blog saya tu..


    p/s: menarik juga cerpen ni.. :)

    p/s: saya dah link blog awk kt blog saya..bole kan??

    ReplyDelete
  10. bila agama menjadi subjek banyak la jugak budak sekolah agama yang hanyut kerana gagal memahami dua situasi berbeza belar agama atau hidup beragama...

    malunya akuuuu....

    ReplyDelete
  11. Cik Amy Sensei = Trima kasih sudi membaca cerpen dan sudi link blog saya. nnt sy link juga blog Amy kt blog saya.

    ReplyDelete
  12. Cemomoi= Betul pandangan sahabat. ramai yg menjadikan agama sebagai subjek utk lulus dan bukannya utk beramal. Bukan hanya pelajar sekolah agama tapi lulusan pengajian islam dari timur tengah pun ( ni kes kwn saya) hanyut dlm kesesatan. Mrk hanya bergelar org agama tapi bukannya org beragama.

    ReplyDelete
  13. salam,

    satu yg menarik kerana bukan kisah cinta tapi lebih kepada ilmu lebih2 lagi saintifik

    saya suka kadang2 kisah begini dan ada juga diselitkan kisah sebenar masyarakat termasuk cinta juga

    tahniah!!

    ReplyDelete
  14. blueCITY= Terima kasih kak biru sbb sudi mmbaca cerpen sy ini. Sy masih bertatih dlm penulisan dan kebanyakkan karya saya hanyalah genre cerpen

    ReplyDelete
  15. Salam ya akhi,
    Teruskan perjuangan murni mu..

    ReplyDelete
  16. Na'im Nikmat = Terus kasih atas kunjungan akhi. Doakan agar ana diberi kekuatan utk terus berkarya. Berkarya demi islam.

    ReplyDelete
  17. rajinnya bro shameel tulis cerpen ya. hnmmm. baik. :)

    ReplyDelete
  18. Nurul Harun= Terima kasih sudi mmbaca cerpen saya. saya menulis cerpen bila lihat sesuatu perkara dan saya cuba kongsikan apa yg saya rasa melalui penulisan.

    ReplyDelete
  19. pernah gak hantar karya kat majalah siswa...tapi hantar puisi je..dapat la rm30 dari karangkraf...pastu xde dah..

    ReplyDelete
  20. bila islam tu tidak dijadikan sebagai cara hidup tetapi hanya sebagai agama sahaja. tuh lah jadinya. hurm... :(

    ReplyDelete
  21. sgt baik!saya suka!!! saya ada 2 link yg nak dikongsikan yg nampaknya kedua-dua link ni ada kaitan dgn entry ini..

    http://iqbalsyarie.blogspot.com/2010/03/oh-spmuntuk-apa.html

    http://iqbalsyarie.blogspot.com/2010/03/agama-atau-medik.html

    ReplyDelete
  22. cik aida= wah pemuisi rupanya awk. nape x truskan menulis. Sy hnya trtumpu sama kdp genre cerpen jer. sy pun masih bru dlm penulisan. Masih bertatih. Kalau cerpen karangkraf akan bagi rm100. Berita harian plak rm160.

    ReplyDelete
  23. Aidi Safuan= Itulah masalshnya apabila islam x dijadikan sbgai cara hidup tp dijadikn seagai mata pelajaran utk lulus sahaja.

    Iqbal= insya-Allah, nnt saya lihat link yg sahabat bagi tu.

    ReplyDelete
  24. salam shameel,
    mata pelajaran Agama telah dianggap tidak penting oleh mereka yang terlalu taksub mengejar sijil kelulusan. Mata pelajaran agama disamatarafkan dengan mata pelajaran lukisan sahaja. Maka lahirlah generasi yang bijak tetapi tidak berakhlak.

    ReplyDelete
  25. abah aman= Saya bersetuju dgn pandangan abah. Mmg itulah keadaan hari ini, subjek agama dipandang sepi sebab tak perlu cemerlang dan tak dijadikan syarat utk ke matrikulasi, Ting 6, mahupun nak ke mana2 IPGM. Ia setara dgn pendidikan subjek lukisan. mungkin jg satu ari nnt ia akan setaraf dgn sivik, dan pjk.

    ReplyDelete
  26. shameel wat sendiri ke neyh? kagum la..

    ReplyDelete
  27. NichKun = Ya, cerpen ni sy wat sndiri. saya masih baru lgi dlm dunia penulisan. Masih bertatih.

    ReplyDelete
  28. Shameel..nampaknya saya boleh berguru dengan shameel ni...cerpen mantap!!!

    saya pun minat menulis, tapi ilmu tak berapa cukup..huhu

    ReplyDelete
  29. Afida = hehehe, saya masih lagi bertatih dlm dunia penulisan.Masih lagi mencari kematangan dlm menulis.

    ReplyDelete
  30. cerpen yg menarik dan penuh pengajaran....dek kerana mengejar kejayaan dunia,nilai agama dipandang enteng.....

    tahniah2..bukan senang nk tersiar kat majalah tuh...e-siswa pengganti dewan siswa kan? dewan siswa skrg nih under DBP....teruskan berkarya..selamat maju jaya

    ReplyDelete
  31. si(jari)telunjuk= Terima kasoh sudi baca cerpen sayang ni.

    Inilah realiti hari ini, pendidikan agama dikesampingkan sbb tidak bernilai ekonomi.

    ReplyDelete
  32. boleh saya dapatkan ringkasan atau sinopsis cerpen ini?

    ReplyDelete
  33. yuppp..betul tu..ape pun pekerjaan kte, kte kne percaye ngan qada dan qadar tuhan..tu pegangan kte..agame kte..tanpa pegangan agama, kte akan tersesat..cth nye cam Encik Malik tu la..tak ingat dosa pahala..

    ReplyDelete
  34. cerpen yang bgos,, bukan senang bila dalam kerjaya or profession keguruan,,

    ReplyDelete
  35. hang perli sapa iskandar? rasanya ramai yang terkena tempias tu hehehe

    ReplyDelete
  36. hahaha,ni peristiwa mesy hari guru thn lepas. sbnrnye aku sakit hati dgn canadangan segelinitir ibu bapa tu yg asyik nak salahkan cikgu. dri situ trus aku dpt idea. semua watak tu dari sekolah kita. hahah

    ReplyDelete
  37. Cg.Shameel,
    wataknya tepat...ulasannya hebat... wajar direnungi semua pihak.

    Betul... Pendidikan Islam, rohani diketepikan... Ibu bapa sanggup menghabiskan ratusan ringgit untuk tuition subjek lain... untuk hantar anak fahami hukum tajwid pun bayar ala kadar... 'sumbangan ikhlas' Itupun kadang datang, kadang tak... alasan tahun ini perlu tumpu pada UPSR, PMR...
    Maaf... menyemak ruang komen cikgu...

    ReplyDelete
  38. NaeBlog.
    Trima kasih ats komen. Inilh masalah yg melanda kbnykn ibu bapa skrg. Bagi mrk subjek agama setaraf jer dgn PJK. Kita risau, anak didik kita yg bakal menerajui negara ini trdiri drp golongan yg tandus dan gersang dari segi keagamaan.

    ReplyDelete