Tuesday 4 May 2010

selamat PENDEK UMUR

(gambar dari Google)


Selamat pendek umur. Mungkin biadap andainya itu yang diucapkan pada seseorang pada hari lahirnya( birthday wish). Namun itulah hakikat sebenarnya. Detik berlari, bermakna kematian semakin menghampiri. Masa berlalu, bermakna ajal semakin hampir bertamu.

(Gambar dari Google)

Mati! Ia sungguh aneh. Adakalanya ia hadir tanpa sebab dan alasan yang wajar( maksud saya secara mengejut dan tanpa sebarang petunjuk). Meskipun cukup sihat dan bertenaga namun nadi tiba-tiba berhenti berdenyut. Walaupun usia belum lagi senja namun jantung tiba-tiba berhenti berdegup.

“Innalillahi wa inna ilaihi raaji’un,”

Firman Allah dalam Surah Al-A’raf, ayat 34, perlu direnungi.

“Tiap-tiap umat mempunyai tempoh waktu. Maka apabila telah datang waktunya, mereka tidak dapat mengundurkannya walau sesaat dan tidak pula dapat memajukannya.”


(Gambar dari Google)

Mati itu pasti. Ia adalah ketentuan dan ketetapan yang tidak dapat dielakkan lagi. Walaupun bersembunyi, ia tetap akan menemui kita bila tiba saatnya nanti. Meskipun menjauh, ia pasti menghampiri kita bila tiba masanya nanti.

Hidup memang untuk dinikmati, tapi kematian haruslah direnungi. Bukan untuk menganggu tenang hidup, tapi untuk menjadikan hidup lebih bererti. Kalau tidak, kita akan menyesal kemudian nanti. Pastikan mati sentiasa di hati dan jangan pernah membiarkannya berlalu dari ingatan.
Sentiasalah mengingati kematian supaya kita tidak terbabas dan tersasar dalam mengemudi bahtera kehidupan.


(gambar dari Google)


Cuba kita renungkan bagaimanakah keadaannya bila riwayat hidup kita berakhir nanti. Rasa ngeri menyelinap ke dalam hati tatkala membayangkan saat-saat sakratul maut. Tentu sahaja, sakitnya tidak terperi tika roh ingin dipisahkan dari jasad. Bagaimana pula dengan godaan syaitan kala kita lesu dan tidak terdaya nanti. Sesungguhnya syaitan terlalu hampir dengan manusia sewaktu manusia diambang kematian. Ia akan memujuk diri dengan helah yang sungguh luar biasa. Kiri, kanan, depan dan belakang, ia akan merayu dengan pelbagai cara dan tanpa mengenal putus asa. Tanpa iman yang kukuh, pasti ranaplah akidah dipenghujung nyawa. Oh! Tuhan yang membalikkan segala hati, tetapkanlahlah hatiku terhadap agama-Mu.

(Gambar dari Google)


Cuba bayangkan pula jasad kita yang kaku, lalu dibalut dengan kafan yang putih. Ditimbus ke dalam tanah dan beransur-ansur jasad akan mula mereput. Sedikit demi sedikit, daging-daging kita akan dinikmati oleh ulat-ulat yang rakus dan gelojoh. “Oh! Tuhan, Aku belum bersedia untuk mati.”

Cuba renungi sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi,“ Kubur itu satu taman dari taman-taman syurga atau salah satu lubang dari lubang-lubang neraka.”

Bagaimanakah keadaan kita di dalam kubur nanti? Taman syurga atau lubang nerakakah ia. Adakah ia akan diluaskan seluas mata memandang atau akan disempitkan hingga berselisih segala tulang. Bagaimana pula dengan azab dan seksa yang terbentang dan terhidang di sana nanti. Mampukah kita menghindarinya? Azab kubur tidak hanya untuk pelaku dosa-dosa besar. Ia juga untuk dosa-dosa kecil yang sering kali kita buat tidak kisah dan tidak peduli. Nyata benar dalam Sahih Bukhari dan Muslim, tentang dua orang penghuni kubur yang disiksa lantaran tidak beristinjak dengan baik dan kerana suka mengadu domba.



( Gambar dari Google)



Bagaimana pula saat mulut membisu tanpa sebarang kata. Tangan dan kaki pula akan diminta berbicara tentang dosa-dosa yang dilakukan. Seluruh anggota badan juga akan membongkar segala rahsia yang selama ini terpelihara. Ia akan menjadi saksi yang jujur dan tidak akan sesekalipun berdusta.

Oh! Malunya tika dan saat itu berlaku. Tika segala dosa ‘dibogelkan’. Saat setiap noda ‘ditelanjangkan’. Cuba pejamkan mata rapat-rapat. Dalam fikiran, mari kita mencongak dosa- dosa yang berkaitan dengan kaki, tangan dan seluruh anggota badan yang pernah kita lakukan. Oh! Jumlahnya tidak terkira dan banyaknya tidak terhitung. Sentiasa bertambah dan berganda sejajar dengan peningkatan usia. Ya Allah! Ampunilah aku. Aku memohon redha-Mu dan syurga-Mu.

Betapa kerdilnya diri untuk berhadapan dengan azab Tuhan yang maha dahsyat. Tidak boleh lagi kita menuli dan buat tidak reti terhadap dosa-dosa yang dilakukan. Sekecil mana sekalipun, ia tetap memberi saham yang boleh menyebabkan kita merana di dalam kubur dan di akhirat nanti. Kita harus bijak ‘membelanjakan’ usia yang masih berbaki. Kerana mati tidak akan mengenal usia. Ia boleh datang tanpa diduga. Juga, tanpa sebab dan alasan yang logik pada akal manusia.

Mengingati mati benar-benar bererti dan bermakna kepada kita. Ia memahamkan kita seribu erti dan sejuta makna. Erti hidup dan makna mati.


“Maka ziarahilah perkuburan, kerana perbuatan yang sedemikian akan mengingatkan kamu kepada kematian.” Hadis riwayat Imam Muslim.














14 comments:

  1. muhasabah diri tgh2 mlm..
    terima kasih tuk n3 ni ;)

    ReplyDelete
  2. Tak boleh tido jadi sy pun tulis entry ni. Terima kasih sudi membacanya

    ReplyDelete
  3. insaf T_T
    timekaseh shameel

    ReplyDelete
  4. menginsafkan saya yg alpa penuh noda..

    ReplyDelete
  5. nanad= Keinsafan di awal pagi

    tukang kata= setiap manusia(kecuali Nabi dan rasul) pasti ada noda dan dosa. sama2 kita ingat meningati

    ReplyDelete
  6. ❤ princess ❤4 May 2010 at 12:47

    insaf sungguh2.. makceh n3 yg menarik hati..

    ReplyDelete
  7. AlhamdulilLah..salah satu cara untuk memperingati sesama kita..

    ReplyDelete
  8. muhasabah diri.. thanks mengingatkan antara 1 sama laen..

    ReplyDelete
  9. entry yg amat2 menginsafkan..
    sememangnya, kita telah lama tahu akan hakikat kematian,

    tp malang bagi kita krn kita tdk b'sedia utk menempuhinya...

    ReplyDelete
  10. Princess, = Moga kita saling ingat meningati antara satu sama lain.

    Sparkle and Chaon= sekadar pesan berpesan sesama kita/blogger

    ReplyDelete
  11. aku_tiewa= Betu kata sahabat sbb kita sudak sekian lama dimaklumkan betapa dahsyatnya kematian. Tapi seringkali juga kita buat tidak kisah dan tidak peduli.

    ReplyDelete
  12. salam..
    Mati itu pasti, hidup insyaAllah..

    ReplyDelete
  13. acik= Benar tu. Mati adalah pasti dan hidup akan berakhir nanti

    ReplyDelete
  14. entry yg bagus sekali...tahniah utk anda..

    teruskan usaha.=)

    setiap yg hidup pasti akan mengahadapi saat kematiannya..bilakah saat itu tiba.??hanya Allah saja yg mengetahuinya..

    ReplyDelete