Sunday 22 June 2008

ADA APA DENGAN SHAMEEL



Di depan duri dan di belakang pula api. Apa harus saya lakukan. Andai melangkah, saya pasti akan terluka. Sekiranya berundur pastinya saya terbakar. Apa perlu saya buat. Sukarnya untuk memilih antara dua. Kedua-duanya menatijahkan kecederaan yang tiada jaminan akan segera sembuh. Haruskah saya berdiam diri. Kata hati akhirnya saya ikuti, nekad dan muktamad saya harus melangkah. Mendepani masa hadapan meskipun laluannya penuh berliku lebih bermakna dari berundur ke belakang untuk menoleh detik-detik yang telah berlalu. Yang berlalu terutamanya detik-detik yang pahit harus dilontar ke kaki langit. Biar ia hilang bersama deru angin. Biar ia terus menjauh, jauh dan jauhhh. Dari sinilah saya mula mengenali SHAMEEL. Dia mengajar saya untuk terus melangkah. Biarlah mehnahnya melaut, biarlah tribulasinya melangit. Melangkahlah. Perlahanlah dahulu dan kemudiaanya melaju. Jangan terburu-buru dan melulu nanti tidak kesampaian hasrat yang dituju.




ADA APA DENGANMU, mengapa harus Shameel. ADA APA DENGAN SHAMEEL. Istimewa sangatkah lelaki yang bernama Shameel itu. Nama ini begitu sebati dalam hidup saya, hinggakan saya merasakan ShAmeEL itu Iskandar dan Iskandar itu ShAmeEL, lalui saya satukan dua nama ini menjadi SHAMEEL ISKANDAR. Sejujurnya, sejak di kampus lagi saya menggunakan SHAMEEL, sebagai nama pena saya. Malah dalam penulisan cerpen juga, nama SHAMEEL yang saya gunakan, begitu juga dengan forum-forum di alam cyber. Jujur juga! pemilihan SHAMEEL sebagai nama pena bukanlah satu kebetulan tapi satu pencarian yang penuh penghayatan.



Istimewa sangatkah lelaki yang bernama Shameel itu?
Iya, ia satu nama yang sangat istimewa yang dimiliki oleh manusia yang amat istimewa. Hidupnya, perjuangannya dan pengakhiran nafasnya sungguh istimewa. Saya amat berharap agar keistimewaan itu berjangkit kepada saya. Jika tidak sepenuhnya, sekelumit dan secebis cuma pun jadilah. Biarlah keistimewaan itu menafasi hidup saya bersama degup jantung dan denyut nadi. Biar ia abadi dan kekal berbekas di hati hinggalah ke hari mati. Biarlah manusia istimewa ini menjadi sepotong iktibar, secebis contoh, sekerat teladan dan secaing misalan untuk saya.



Siapa Shameel dan ADA APA DENGAN SHAMEEL. Izinkan saya berkisah tentang kehidupan manusia yang istimewa ini. Maaf, diruangan yang terhad ini saya tidak mampu untuk merungkaikan rantaian hidupnya dengan penuh lengkap. Cukuplah untuk anda mengetahui apa sebabnya saya mengkaguminya.Shameel yang saya maksudkan adalah empunya nama kepada Imam Shameel, seorang Imam Jihad di bumi Chehnya dan Daghistan sekitar tahun 1832M-1859M. Beliaulah yang memimpin umat islam untuk melancarkan JIHAD ke atas penguasaan Russia yang tika itu amat rakus dan ghairah menakluki wilayah-wilayah islam di kawasan Calcasus. Beliau mengambil alih peranan Shiekh Muhammad Ghauzi yang telah menemui syahid dihujung senjata Russia.




Ranjau hidupnya penuh duri dan laluan hidupnya penuh berliku. Iya, perjuangan hidupnya tidak melalui jalan yang datar dan ditaburi bunga tapi diiringi titisan air mata dan darah. Pada tahun 1859M, beliau yang tika itu sedang berehat di dalam gua telah berjaya ditangkap oleh tentera Russia(lantaran pengkhianatan saudara seagama sendiri). Beliau dipenjarakan dan dijadikan buruh paksa selama 10 tahun. Selepas itu beliau berhijrah ke Turki dan akhir sekali ke Arab Saudi. Selepas menunaikan solat maghrib beliau menghembuskan nafas terakhir di rumah Sheikh Ahmad Rifai di Madinah pada tahun 1871. Belaiu dimakamkan diperkuburan sahabat al-baqi’. Memadai setakat ini saya berkisah tentang dia yang bernama Shameel. Pinta saya agar kalian hayatilah kisah perjuangan Imam Shameel secara lengkap dan menyeluruh, moga ia menjadi sinar yang menerangi zulmat diri. Mudah-mudahan dengan ini kita menjadi manusia yang ada tempat di sisi Tuhan.

No comments:

Post a Comment