
(kemalangan ngeri melibatkan sebuah bas ekspress di Perak)
KALAU kita belek helaian sejarah, Bridget Driscoll merupakan manusia pertama yang menemui ajal kerana dilanggar kenderaan bermotor pada 17. Ogos 1896.(rujuk Dewan Masyarakat oktober 2005, m/s: 9). Bilah-bilah hari sesudah itu tidak pernah sunyi dari menyaksikan episod demi episod kemalangan jalan raya. Kerajaan dan NGO juga tidak pernah sunyi daripada memikirkan strategi-strategi untuk mensifarkan kemalangan jalan raya, namun hingga sekarang, kes kemalangan jalan raya tidak pernah surut dan susut. Sehingga 2005, seramai 25 juta orang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya di seluruh dunia, jumlah tu hampir menyamai jumlah penduduk Malaysia hari ini. Majalah yang sama juga mengatakan, 2 nyawa melayang setiap minit di jalan raya. Kajian Universiti Harvard dan World Road Organisation(WRO), mendapati kemalangan jalan raya menjadi pembunuh ketiga tertinggi di dunia bagi manusia.

(adakalanya nyawa manusia lebih murah drp harga seekor arnab)
Di Malaysia pula, Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia(MIROS) mengatakan, secara purata terdapat 15 kes kematian sehari akibat kemalangan jalan raya di Malaysia. Begitulah kisah ngeri dan sedih di jalan raya. Kematian di jalan raya tak mengenal siapa, pengemis, petani, buruh kasar, pelajar universiti, artis, ahli politik dan sesiapa sahaja.
Yang paling dikesali( bukan menyesali takdir) ialah orang Melayulah yang paling ramai terkorban di jalan raya. Lihat sahaja ketika Ops Sikap ketika musim perayaan, pastinya bangsa kita adalah juaranya. Tak kira raya apa, Melayu tetap mendahului. Itu belum lagi dikira dengan jumlah Mat Rempit Melayu yang menemui ajal di jalan raya.
Sebenarnya tiada sesiapapun yang ingin menemui ajal di jalan raya. Tidak ada orang yang ingin mati dalam keadaan ngeri, berkecai tulang dan bersepah daging serta terburai tali perut. Malah Mat Rempit pun tak ingin mati dalam keadaan ngeri macam tu.
Adakala kita telah berhati-hati dan menjadi pemandu yang berhemah tapi kemalangan tetap berlaku disebabkan kecuaian pihak lain. Saya sendiri pun pernah mengalami keadaan seperti ini. Tiga tahun lepas di sungai siput perak, ketika hujan lebat dan lampu isyarat berwarna merah tiba-tiba sebuah kereta melanggar kereta saya dari arah belakang. Bila saya bertanya mengapa? Jawabnya sambil meminta maaf, sorry dik, kalau hujan lebat pak cik tak boleh bezakan warna hijau dan merah. Terlonggo mulut saya mendengar jawapan yang Maha Gila itu. Suatu ketika yang lain di lebuh raya utara-selatan, lebih tepat lagi dekat Bukit Gantang, ketika saya dalam perjalanan ke Parit Buntar, sebuah lori ( yang perlahan macam kura-kura) yang berada di lorong paling kiri tiba-tiba menukar lorong. Saya yang memandu dalam kelajuan sederhana, lebih kurang 130km sejam di lorong kanan hampir-hampir menjadi mangsa nahas.
Apa yang pasti, disamping berhati-hati ( termasuk memastikan kenderaan dalam keadaan yang selamat), kita tiada pilihan lain kecuali berserah kepada Allah.