Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Monday, 6 April 2009

BILA GURU BERPOLITIK

Jika hari ini seorang menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Siapa saja menjadi dewasa,
Sejarah hanya dimulakan oleh seorang
Guru biasa.

Mulianya kerjaya guru. Berdasarkan sajak Allahyarham Usman Awang ini, kejayaan mereka ( menteri, raja, presiden, ulama, peguam dan penulis) dilakarkan oleh seorang insan yang bergelar guru.

JIKA HARI INI SEORANG MENTERI BERKUASA. Ayat ini saya renung berulang kali. Kenapa? Sebab sejak akhir-akhir ini ada cadangan agar guru dibenarkan berpolitik. Bukankah menjadi menteri itu(sebab nak jadi PM dan TPM terlalu sukar dan teramat payah) adalah kemuncak cita-cita seseorang politikus.

Tugas guru semakin mencabar. Mereka perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mendidik anak bangsa. Mereka perlu mencari metode yang tepat agar ilmu yang diberi dapat dihadam dengan mudah dan cepat. Kepada para guru( juga kepada diri sendiri kerana saya juga salah seorang daripada mereka) eloklah dibaca novel Memoir Seorang Guru, yang ditulis oleh bekas seorang guru(ustaz) Azizi Haji Abdullah. Bijak sungguh cikgu Azizi menegur para guru dengan memaparkan konflik bapa dengan anaknya. Si bapa tidak mengizinkan anaknya menjadi guru kerana tugas guru terlalu mencabar. Ia memang mulia tapi, jika tersilap langkah ia akan megundang dosa. TERLEWAT masuk kelas walaupun sekadar satu minit sudah cukup untuk kita dituduh sebagai PELIWAT kesucian profesion ini. Sudah memadai untuk kita digelar perompak wang rakyat jika mendidik murid sekadar acuh tak acuh, sebab kita merampas hak orang lain yang mungkin lebih layak menjadi guru ( cuma nasib tidak menyebelahi mereka dalam permohonan KPLI yang di adakan) Nah! Berat sekali tugas guru. Berfikir baik-baik wahai adik-adikku yang ingin memohon KPLI.

Tapi, jika diizinkan berpolitik, saya amat menyakini, mereka yang bergelar guru ini akan terkejar ke sana- sini dan memerah otak memikirkan itu dan ini demi kepentingan parti yang mereka sokongi. Mereka akan menjawat jawatan ketua cawangan dan ketua bahagian. Setiausaha Cawangan/Bahagian. Atau jadi Biro itu dan Biro ini di dalam parti.
Tidak mustahil juga, jika ada guru yang menyuntik fahaman politik masing-masing kepada murid-murid yang masih hijau. Ini virus yang berbahaya sebab murid-murid ini belum dibekalkan dengan vaksin yang dapat mempertahankan mereka dari penyakit ‘gila politik dan politik gila’( ini dua istilah yang amat berbeza).

Sepatutnya para guru hanya ghairah berpolitik sewaktu pilihnraya sahaja (umum mahupun kecil). Itupun sekadar sebagai pengundi sahaja. Ghairah berlebihan terhadap politik akan menyebabkan masa depan anak bangsa kita tergadai. Oh! Risaunya.

Monday, 4 August 2008

DARI SAHABAT KEPADA SAHABAT

Diumpamakan bersahabat dengan orang yang baik bagaikan menghampiri penjual minyak wangi. Jika kita menghampirinya, setidak-tidaknya minyak wangi itu akan tercalit kepada kita atau sekurang-kurang kita akan terkena tempias dari aroma minyak wangi itu. Bertuahnya diri jika mempunyai sahabat yang baik sepertimana bertuahnya Isa a.s kerana adanya hawariyyun yang amat setia. Dan bertuahnya Muhammad s.a.w kerana adanya sahabat yang sangat jujur.

Sesungguhnya kebahagiaan, kegembiraan dan kekayaan tidak dicipta atau dijelmakan dalam bentuk kekayaan material. Tidak juga kemewahan yang melimpah ruah atau kilauan permata yang mempersona. Nyata benar hakikat ini dalam Sabda Nabi s.a.w “Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya rezeki seorang teman karib yang soleh. Seandainya dia lupa(temannya itu) akan mengingatkan. Dan apabila temannya itu memperingatkannya maka beliau akan menolongnya.”

Dalam Al-Quran surah Al-Qashash, ayat 35 ada mencatatkan “ Kami akan membantumu dengan saudaramu.”.

Umar al-Khattab juga ada mengatakan, “Engkau mestilah mencari saudara-saudara (teman) yang jujur. Hiduplah dalam lingkungan mereka, kerana mereka merupakan perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu sukar.”

Saya telah memperolehi perhiasan dan bekalan yang amat berharga dari persahabatan yang saya jalin. Terlalu berharga. Tidak terhitung dan terkira. Faham makna agama, itulah yang sahabat saya anugerahkan kepada saya. Saya sungguh bertuah. Itulah sebaik-baik rezeki bagi saya dan itulah juga sebaik-baik perhiasan dan bekalan. Juga sebaik-baik pertolongan yang dihulurkan oleh sahabat@teman. Kenapa saya berkata sedemikian. Inilah jawapannya kerana Nabi s.a.w ada bersabda “ Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman dalam beragama.”(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Biar saya berkisahkan kisah hidup saya. Pernah dahulu saya merungut, gaji sebagai guru amatlah kecil. Tidak mencukupi untuk membuat itu dan ini. Kekurangan serba serbi. Apatah lagi tabiat saya waktu itu suka berjalan rata riti. Sewaktu berkerja di sabah, saya hanya pulang ke kampung tika cuti akhir tahun sahaja(bulan 11-12). Jadi, cuti penggal yang lain, saya manfaatkan untuk berkelana ke seluruh Sabah dan sarawak. Jadi, duit terbuang begitu sahaja.
Rungutan saya ini dicantas dengan satu peringatan dari kawan saya. Katanya” janganlah mengeluh kerana ketiadaan sepatu sebelum melihat mereka yang tidak mempunyai kaki.” Katanya lagi, “masih berlambak orang yang tidak bekerja termasuklah mahasiswa yang menganggur(termasuklah dirinya). Ramai juga yang berkerja dengan gaji yang tidak sampai RM700.00 sebulan tapi mempunyai tanggungan yang besar.” Iya, mereka jauh lebih malang dari saya. Puluhan ribu lepasan Universiti(termasuklah dia) yang telah beraberapa kali memohon untuk KPLI, namun tidak juga dapat.
Sepatutnya saya bersyukur kerana menjadi seoarng guru, meskipun tidak menjanjikan kemewahan. Tetapi sekurang-kurangnya menjanjikan hbuan gaji yang beterusan dan berkekalan. Terima kasih sahabatku, atas peringatanmu itu. Kau telah mengajarku erti syukur.
Tanpa peringatan darimu, mungkin kalimah syukur itu telah terpadam dalam kamus hidupku. Jikalau aku tidak bersyukur bererti aku mengkhianati Allah dan Rasul. Bermakna aku mencabul firman dan sabda. Fa bi ayyi alaai Rabbikuma tukadziban (Maka Nikmat Tuhan Yang Manakah Yang Kamu Dustakan)- Surah Ar-Rahman, berulangkali ayat ini diulang dalam surah yang sama.Allah telah menyelamatkanku menerusimu wahai teman. Terima kasih.
Satu waktu yang lain pula , disember 2003 usai solat maghrib di Kota Bharu Kelantan ( Bandaraya Islam di Negeri Serambi Makkah, Negeri Tadahan Wahyu). Hujan mula mencurah. Bermula dengan gerimis kemudiannya semakin menggila. Saya kala itu bersamanya, bergegas untuk menyelamatkan diri dari kesejukan. Kami menuju ke The Store. Tiba-tiba seorang perempuan tua( saya istilahkan sebagai makcik penjual pisang) menawarkan pisangnya yang masih berbaki beberapa sikat itu kepada sesiapa yang sudi. Sekilas renung pada Makcik itu, saya yakin dia orang yang susah dan menjual pisang adalah kerjanya. Namun, kerana ingin menyelamatkan diri dari kesejukan, saya tidak menghiraukan makcik penjual pisang itu. Sampai sahaja di The Store, kawan saya berkata “ Kesian makcik tu. Sepatutnya kita beli pisang dia, walaupun kita tak perlukan pisang itu. Paling kurang kita dapat mengurangkan beban dia. Aku yakin makcik tu orang susah.” Saya biarkan sahaja sahabat saya itu diterjah rasa bersalah. Saya lebih selesa membisu buat tidak tahu dan menuli buat tidak reti. Ditariknya tangan saya dan diajaknya saya mencari makcik itu. Katanya, dia ingin beli pisang makcik itu. Tapi sayang, makcik itu tidak kami ketemui. Lantas berkatalah sahabat saya itu dalam nada yang kesal,”kalau kita beli pisang makcik tadi. Paling kurang kita menolong dia. Setidak-tidaknya kita membuatkan dia berbangga dengan kerjanya itu. kerja yang mulia harus disokong.”

Peritiwa itu benar-benar berbekas di hati saya dan sampai ke hari ini saya tidak biarkan ia berlalu dari ingatan, meskipun ia telah lama berlalu.
Terima kasih kawan kerana mengajarku erti simpati sesama manusia. Simpati itu tuntutan agama. Allah juga Maha Simpati ke atas kita. Sebab itu, ia sudi memaafkan segala dosa-dosa kita meskipun menggunung dan melaut banyaknya. Para Nabi juga begitu simpati terhadap umatnya. Sanggup berhadapan dengan segala mehnah demi menyampaikan risalah Allah kepada umatnya. Sanggup berkorban dan terkorban demi kelangsungan agama Allah. Begitu juga dengan para ulama yang amat simpati terhadap kita. Sanggup berkelana meninggalkan nikmat hidup demi mencari redha Allah. Ditulisnya kitab dan dipusakakan kepada kita tanpa mengharap balasan material. Fa bi ayyi alaai Rabbikuma tukadziban (Maka Nikmat Tuhan Yang Manakah Yang Kamu Dustakan)

Sahabat saya ini jua pernah mengutuskan sms kepada saya, katanya “ manfaatkan kemajuan teknologi untuk membantu orang yang memerlukan. Jangan tunggu jadi jutawan baru nak jadi dermawan.” Teknologi yang dia maksudkan ialah menyumbang derma/ membantu orang yang memerlukan melalui sms. Tika itu Tsunami melanda, maka fahamlah saya tentang apa yang dia maksudkan, sebab tika itu ada dianjurkan derma melalui sms.(TAIP RM1 untuk dema RM1, TAIP RM2 untuk menderma RM2 dan begitulah seterusnya).
Apabila saya bertanyakannya, memadaikah setakat RM10 untuk membantu orang yang susah. Maka inilah jawapan darinya.” Jika tidak mampu menjadi pelita yang menerangi malam, memadailah sekadar menjadi kunang-kunang yang menemani kegelapan. Setidak-tidaknya kita tetap memberi cahaya walaupun seminimum mungkin.” Kini saya semakin mengerti, tidak perlu jadi jutawan untuk menjadi dermawan. Dan tidak perlu jadi pelita untuk menerangi malam. Jadi kunang-kunang pun dah lebih dari memadai.

Hingga ke saat ini, apabila menonton TV atau membaca surat khabar, dan terlihat atau terbaca tentang rayuan daripada orang yang memerlukan(seperti rayuan untuk pembedahan yang memerlukan kos puluhan ribu ringgit). Maka hati saya akan tersentuh lantas teringat kepada pesanan sahabat saya agar menjadi kunang-kunang. Lalu, saya akan ambil pen dan kertas untuk menulis no akaun yang boleh didermakan kepada orang yang memerlukan itu. Tatkala saya ke bank untuk urusan-urusan tertentu, saya akan cuba ringankan tangan untuk bank in setidak-tidaknya RM10( itulah jumlah minimum yang boleh dibank in menerusi mesin cash defosit dan itu jualah kemampuan saya setelah ditolak segala perbelanjaan yang lain).
Terima kasih sahabat kerana mengajarku erti tolong menolong dan bantu membantu. Sekaligus memahamkanku makna agama, kerana Allah berfirman. “ Dan tolong menolonglah kamu dalam membuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong dalam membuat dosa dan pelanggaran.”( Al-Maidah, 2)

Kepada sahabat-sahabatku yang menziarahi blogku ini dan membaca tulisan ini, izinkan aku menjadi sahabatmu seperti yang terpapar dalam firman Allah dan sabda Nabi yang telah aku utarakan tadi. Marilah kita menjadi kunang-kunang. Jadilah kita orang yang saling pesan berpesan dan ingati mengingati. Sesungguhnya Allah ada berfirman” Berilah peringatan. Sesungguhnya ia bermanfaat kepada orang-orang yang beriman.” Nabi juga ada bersabda “ Agama itu nasihat…”

Fa bi ayyi alaai Rabbikuma tukadziban (Maka Nikmat Tuhan Yang Manakah Yang Kamu Dustakan)

Tuesday, 22 July 2008

KITA PERLU MENOLEH

Kita perlu menghayati masa silam, memanfaatkan masa kini dan bersedia untuk mendepani masa hadapan. Andainya masa silam itu berupa kehancuran, ia bukan untuk diratapi. Walaupun sesekali ia menghiris perasaan, meskipun kekadang ia merobek hati bagaikan ditusuk belati. Ia seharusnya dijadikan pengajaran untuk melayari lautan hidup moga kita selamat berlabuh di ‘daratan sana’ nanti.

Kita perlu menoleh ke belakang, bukan untuk memberatkan fikiran atau menganggu tenang hidup. Tapi untuk untuk memaknakan kehidupan hari ini dan esok. Dengan itu kita akan lebih berhati-hati dan tidak terbabas tanpa pedoman, tidak tersasar tanpa haluan. Menoleh ke belakang yang saya maksudkan di sini ialah merenung kembali segala dosa dan noda yang telah kita lakukan, dan mengimbas semula segala amal ibadat yang telah kita pinggirkan.

Masih berdegil ! Tak mau menoleh ke belakang untuk merenung masa silam. Tidak mengapa sebab suatu ketika nanti kita terpaksa menoleh juga. Firman Allah dalam surah Al-Mukminun, ayat 99-100, ada memaparkan tentang sikap manusia yang terpaksa menoleh ke belakang.
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia, “Wahai Tuhanku, kembalilah daku ke dunia(hidup semula ke dunia), supaya dapat aku mengerjakan amal-amal salih yang telah aku tinggalkan.Tidak! Bahkan itu sesungguhnya hanya perkataan yang dia ucapkan, sedangkan di hadapan mereka ada barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula.”

Nyata benar dalam firman Allah itu tentang penyesalan orang-orang kufur dan ingkar. Mereka terpaksa menoleh ke belakang untuk mengenang detik-detik yang pernah mereka abaikan. Amal ibadat yang dibuat tidak peduli menyebabkan mereka menyesal kemudian nanti. Tapi sayang penyesalan tika ini tiada apa-apa erti. Sia -sia belaka dan tiada apa-apa makna di sisi Yang Maha Esa. Rayuan sekadar rayuan . Jadi janganlah tiba saat sakratul maut baru nak menoleh ke belakang. Mulalah menoleh dari saat ini, detik ini dan tika ini. Jangan tunggu hari esok, sebab esok hari mungkin kita tiada lagi di dunia ini.

Cuba renung pula Firman Allah dalam surah Yaasiin ayat ke -65 “ Pada waktu itu kami meteraikan mulut mereka, dan (memberi peluang kepada) tangan mereka untuk memberitahu kami(kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka usahakan.”


Renunglah ke dalam hati dan lakukan muhasabah ke atas diri sendiri. Tika mulut diam tanpa bicara. Kala tangan dan kaki mula berkata-kata. Segala tingkah laku kita semasa di dunia akan dibongkarkan tanpa rahsia. Ia menjadi saksi yang setia tanpa sebarang dusta. Muhasabahlah teman. Bermuhasabahlah. Tangan(simbolik kepada perbuatan) dan kaki(simbolik kepada langkah atau perjalanan). Apa yang kita lakukan dengan tangan dan kekuasaan yang Allah berikan. Kemana kita susun jejak dan atur langkah dengan kaki yang Allah anugerahkan. Cuba pejamkan mata dan cuba pula mencongak dalam fikiran. Berapa banyakkah dosa yang berkaitan tangan dan kaki yang pernah dilakukan? Masya-Allah sentiasa bertambah dan berganda sejajar dengan peningkatan usia. Cuba buat keluk atau graf. Namakan ia KELUK atau GRAF DOSA.





Monday, 7 July 2008

DEKAT PADAMU


Tuhan tidak Pernah Menjauh
Tuhan tidak Pernah Meninggalkan Kita
Kerna Itu
Janganlah Pernah Meninggalkan-Nya.



DEKAT PADAMU. Itu destinasiku. MU! Yang saya maksud di sini ialah Tuhan. Kita ada Tuhan, kekal ada. Jadi jangan lupa Tuhan. Jangan pernah meninggalkan-Nya. Inilah yang ingin saya nyatakan di sini. Harap-harap, usaha kerdil ini mampu menyuburkan rasa berakidah dan menghidupkan rasa kehambaan. Mungkin bicara saya ini tidak berbekas di hati. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya saya mencuba. Usaha kerdil tapi hasrat saya murni. Insha Allah, Allah akan memberkati.



Ingin saya petik kata-kata seorang teman, “ Jika tidak mampu menjadi pelita yang menerangi malam, memadailah sekadar menjadi kunang-kunang yang menemani kegelapan.Setidak-tidaknya ada juga cahaya yang menerangi zulmat(gelap) malam, meskipun seminimum mungkin.”



Ayuh sahabatku, kita mulakan kembara rohani. Kita atur langkah dengan cermat, kita susun jejak dengan hati-hati. Kemudian terus melangkah dan jangan undur lagi. Redha Tuhan sedang menanti bersama derap langkah kaki.



*****************************


Kekadang, kita sering tertanya-tanya. Sesekali, kita acap terfikir. Benarkah Tuhan dekat dengan kita. Iya! Ia sentiasa dekat dan tidak pernah menjauh. Cuma kita yang sering kali menjauhkan diri dari-Nya. Sejauh langit dari bumi dan sejauh timur dari barat. Kitalah yang membina jarak yang sebegini hebat. Lantaran antartika kejahilan yang menebal dan horizon pemikiran yang menyempit. Akhirnya kita tercunggap mencari di mana Tuhan.
Sesetengah dari kita, hanya mendekatkan diri kepada-Nya setelah ditimpa bencana yang menusuk hati dan menembusi emosi. Lantas Tuhan didekati untuk menyembuh duka dan merawat lara. Tidak mengapalah, itu jauh lebih bermakna daripada terus menjauh hingga ke penghujung nyawa. Setidak-tidaknya masih ada naluri ingin bertuhan. Sekurang-kurangnya masih ada rasa kehambaan, walau sekelumit cuma.


******************************


Pernah satu waktu, tika saya didatangi mehnah(dugaan). Seorang sahabat yang berbangsa kadazan dan beragama Kristian sudi mengongsi rasa. SMS dikirimkan kepada saya, katanya “Kita diberi dugaan oleh Tuhan, maksudnya Tuhan sayangkan kita.” SMS seterusnya saya terima pada tika dan detik yang lain, begini bunyinya “Tak semua benda yang kita mau akan kita dapat. Tuhan ambil, tapi mungkin Ia akan ganti dengan yang baru. Jika difikir secara mendalam, kita sebenarnya beruntung.” Ada lagi SMS yang lain, semuanya saya simpan dengan rapi dalam hanphone dan dalam hati. Sebagai rujukan tatkala susah nanti.
Terima kasih sahabatku, kerana secebis simpati darimu. Walaupun berbeza akidah, kau tetap gelisah tatkala aku gundah. Meskipun berbeza agama, kau sudi memahami gelodak jiwa yang sedang aku rasa. Yakinlah aku, beza kepercayaan bukanlah alasan untuk tidak teguh bersatu dan bukannya penghalang untuk erat berpadu.


********************************


Tuhan sentiasa dekat. Saya ulangi lagi sekali, Tuhan sentiasa dekat. Renungi firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 186, “Dan apabila hamba-hambaku bertanyakanmu( Wahai Muhammad) tentangku. (Maka jawablah) Sesungguhnya Aku ini hampir. Aku menjawab seruan sesiapa yang berdoa kepadaku apabila dia berdoa. Maka hendaklah dia menyahut seruan(menunaikan perintahku) dan beriman kepadaku. Mudah-mudahan mereka sentiasa berada di atas petunjuk.”



Itu firman Tuhan, dan bagaimana pula dengan sabda Nabi. Cuba belek Shahih Bukhari dalam kitab Iman, atau buka sahaja kitab Hadis 40, Imam al-Nawawi( Hadis ke-2). Hadis yang panjang tetapi saya hanya fokuskan apa yang ingin saya sampaikan. “ ………….. Dia bertanya lagi, beritahulah kepadaku tentang ihsan. Nabi s.a.w menjawab, hendaklah engkau beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak boleh melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah melihat kamu.” Dia yang bertanya dalam hadis ini ialah malaikat Jibril yang datang bertanyakan Nabi tentang islam, iman dan ihsan juga tentang hari qiamat.



Jelas Allah begitu dekat dengan kita, tapi mungkin kita tertanya-tanya. Jika Allah dekat dengan kita kenapa Ia tidak mendengar permintaan( makbulkan doa-doa) kita. Sahabat, janganlah berburuk sangka. Yakinlah, Allah tidak pernah menuli dan buat tidak reti. Allah juga tidak pernah membisu dan buat tidak tahu. Allah Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Memahami. Cuba renungi hadis ini, “ Tidak ada seorang muslim pun yang berdoa dengan sesuatu doa yang tidak ada didalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari tiga perkara, sama ada disegerakan untuknya(dimakbulkan di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat(diberi balasan pahala di akhirat), atau diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya.”



Saya ingin fokuskan kepada yang ke-3, iaitu diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya. Betapa ramai antara kita yang impikan kekayaan, tetapi kita lupa adakalanya kekayaan akan membuatkan kita sengsara. Ada juga antara kita yang mengharapkan Mahkluk Tuhan Paling Seksi sebagai teman sejati, tetapi Allah tidak memperkenankan hasrat , sebab mungkin ia akan menyebabkan kita menjadi Makhluk Tuhan Paling Seksa suatu ketika nanti. Mungkin kita bersedih sebab hasrat kita tidak makbul. Tetapi jangan lupa, sebab pandangan mata kita amatlah terhad(hanya nampak pada yang zahir dan tersirat) sedangkan pandangan Allah menyeluruhi alam. Tiada seincipun yang terlepas dari pandangan-Nya. Jadi jangan kecewa, jangan gundah dan gulana. Jom, kita dekatkan diri kepada Allah melalui ibadat dan doa kepada-Nya. Pasakkan naluri bertuhan dalam hati nurani. Biar ia meresap ke dalam tubuh dan berdarah daging dalam jasad. Lantas, kita akan sentiasa teringatkan Tuhan setiap kali nadi berdenyut dan setiap ketika jantung berdegup.



Kini, kita harus mengerti, sesungguhnya kita tidak pernah tewas dalam hidup. Selagi ada Tuhan bersama kita (kasih sayang dan rahmat-Nya) selagi itulah kita berhak mengistiharkan diri sebagai pemenang. Biarlah hangus terbakar, biarlah lemas tengelam, biarlah terkoyak hati dan tercalar perasaan. Kita tetap pemenang.

Saya bukan mencipta mitos tetapi ini kenyataan.
Renungi Firman Tuhan dalam surah al-Baqarah ayat 154, “ Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesiapa yang gugur dalam perjuangan membela Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup tetapi kamu tidak mengetahui keadaan mereka.”




TAMAT

Wednesday, 25 June 2008

QARDIYANI oh QARDIYANI



Bicara ini saya titipkan atas kesedaran beragama. Mengingatkan mana-mana yang terlupa(termasuk diri sendiri) akan wahyu dan sabda. Agar sama-sama mengerti hakikat pahala dan dosa. Saya ingin mengongsi rasa. Rasa sedih, pilu, sendu dan apa sahaja yang seerti dengannya. Walaupun ia sekadar setitis peringatan tetapi selaut manfaat yang saya harapkan.
Sahabat, pernah kah kalian diburu resah, dihambat gelisah dengan ‘Tsunami’ yang melanda ‘JIRAN’ kita. Tidak tersentakah hati, tidak terusikah perasaan dengan bencana ‘gila’ yang meranapkan jiran kesayangan kita. Bukan Tsunami yang melanda Acheh yang saya maksudkan, tapi Tsunami akidah yang melanda negara kelahiran DEWA 19 dan MULAN JAMEELA (Mahkluk Tuhan Paling seksi).


Indonesia,negara yang mempunyai penduduk islam teramai di dunia. Negara yang melahirkan ulama cemerlang dan terbilang. Wali Songgo, Sheikh Arsyad al-Banjuri, Sheikh Abdul Samad Al-Falimbani, HAMKA, Dr Muhammad Natsir, Dr T.M Hasbi Ash- Shiddieqy( sekadar menyebut beberapa nama). Ahh! Sayangnya semua itu kian sirna dilanda Tsunami akidah yang semakin menggila.


Ahmadiyyah durjana itulah yang saya maksudkan. Ahmadiyyah dan Qardiyani tiada beza antara keduanya. Beza pada nama tapi hakikatnya sama. Ia bukan satu mazhab, tapi satu agama yang gila. Satu ajaran yang direncana oleh kuffar celaka.Mirza Ghulam Ahmad, itulah pengasas merangkap Nabinya. Inggeris pula penaungnya dan Wilayah Punjab adalah tempat kelahirannya. Agama gila ini mengharamkan jihad dan menafikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Nabi terakhir, bagi mereka Mirza Ghulam Ahmad adalah nabi terakhir.


Ajaran gila ini mula bertapak di bumi DEWA 19, juga bumi MULAN JAMEELA pada awal tahun 1920-an. Bermula di Acheh, melarat ke pendaerahan Minangkabau dan ‘virus’ gila ini dibawa pula oleh Rahmat Ali ke Pulau Jawa. Ahmadiyyah telah ditentang hebat oleh ulama di sana. Antaranya Ustaz A.Hassan, Pak Natsir dan Hamka. Malah Majlis Ulama Indonesia(MUI) telah memfatwakan Ahmadiyyah sebagai ajaran yang terkeluar dari islam.
Tapi kegilaan TERUS menggila di bumi DEWA 19, apabila terdapat ramai yang inginkan Ahmadiyyah terus bernadi atas dasar kebebasan beragama dan prinsip Pancasila. Aliansi Kebangsaan Untuk Kebebasan Beragama dan Berkeyakinan(AKKBB) telah menyokong kelangsungan hayat Ahmadiyyah. Lebih menggilakan apabila ia turut disokong oleh ‘WALI ALLAH’ yang pernah menjadi Presiden Indonesia. ‘Wali Allah’ ini pernah mengundang kontroversi kerana meriba perempuan seksi dan kerana meminati GOYANG INUL. Tentu sahaja sahabat tahu siapakah ‘WALI ALLAH’ yang saya maksudkan. Itulah Abdur Rahman Wahid atau GUSDUR pemimpin NAHDATUL ULAMA( sebuah Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia dengan keahliannya dianggarkan 40 juta orang). Inilah tokoh yang dilabelkan sebagai WALI ALLAH oleh sesetangah ahli Nahdatul Ulama yang sangat taksub kepadanya. Masih ingatkah wahai sahabat sewaktu WALi ALLAH ini tewas dalam pilihanraya dulu, ahli-ahli Nahdatul ulama tIdak berpuas hati dan ingin hantar tentera ghaib (termasuklah jin-jin peliharaan mereka)untuk menghapuskan musuh GURDUR. Selain GUSDUR, Ahmadiyyah turut disokong oleh,Goenawan Mohamad, Adnan Buyong Nasution dan golongan islam liberal.


Ya Allah, selamatkan JIRANKU ini. Kejutkan ia dari lena dengan ‘sentuhan-MU’ yang mempersona. Dengan angin lembut yang mengelus wajah, dengan badai sejuk yang menjamah tubuh. Kumohon kepada-MU, Janganlah Engkau kejutkan ia dengan gerak gempa dan percikan api berbisa dari pergunungan disana. Jangan juga engkau utuskan ombak ganas yang meranapkan harta benda dan melayangkan jiwa. Sebab di sana masih ada yang mendamba cinta-Mu, meskipun ranjaunya berduri.