Saturday, 2 January 2010

RESAH SEORANG ISTERI

Cerpen saya ini telah disiarkan dalam Majalah Mingguan Wanita,( 13-19 Febuari 2009.)

TAJUK = RESAH SEORANG ISTERI
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL. (SHAMEEL ISKANDAR)

Malam terus berlabuh. Hujan pula semakin melebat. Dingin dan sejuk juga semakin menggigit. Namun dia tidak dapat melelapkan mata. Ada resah yang bergayut di hati. Ada gelisah yang merajai diri. Kenapa suaminya belum pulang? Itulah persoalan yang mengasak benaknya. Berkali-kali dia menghubungi telefon bimbit suaminya. Tapi hampa, tiada sebarang jawapan.


Dia bangkit dari sofa dan perlahan-lahan mengatur langkah menuju ke jendela. Dia ingin menikmati panorama di luar rumah tatkala sunyi menyelimuti malam. Mudah-mudahan dengan itu dia dapat mengusir resah dari berterusan bermaharajalela. Sesekali angin sejuk menjamah tubuhnya, sungguh menyegarkan.

“Menjadi tanggungjawab suami untuk memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak. Berdosa hukumnya jika diabaikan. Ia termasuklah menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal, berdasarkan kemampuannya.” Kata-kata Ustazah Zabidah, sewaktu bertandang ke rumahnya tiga hari yang lepas kembali menerjah ingatannya. Dia cuba mengingat kembali setiap nasihat dan saranan daripada ustazah yang berkelulusan syariah dari Universiti Al-Azhar itu. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan dalam melayari kehidupan.


Dia ingat benar tatkala ustazah itu berkisah perihal Hindun yang diizinkan oleh Rasulullah untuk mengambil harta suaminya, Abu Sufyan lantaran pengabaian nafkah oleh suaminya itu. Betapa pentingya pemberian nafkah hinggakan Hindun dibolehkan mengambil harta tersebut walaupun tanpa pengetahuan suaminya.


Dia juga difahamkan oleh ustazah itu tentang sepotong hadis nabi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, tentang murninya perjuangan mencari nafkah untuk keluarga hingga disamatarafkan dengan perjuangan seorang mujahid di jalan Allah.

“Tapi, adakah isteri dilarang sama sekali untuk bekerja.” Dia melontarkan kemusykilan yang telah sekian lama berdaerah di hatinya.

“Walaupun menjadi tanggungjawab suami untuk memberikan nafkah, tapi tidaklah berdosa sekiranya isteri turut bekerja. Sekurang-kurangnya ia boleh meringankan bebanan suami. Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang memerlukan kewangan yang kukuh untuk hidup yang sempurna.”


Ditatapnya wajah ustazah itu sungguh-sungguh dan lama. Dia inginkan penjelasan dan pemahaman yang lebih untuk merungkai segala keraguan yang membelit dirinya selama ini. Ustazah yang berwajah tenang itu bagaikan dapat menduga isi hatinya, lantas dibacakan kepadanya sepotong ayat Al-Quran, surah Al-Maaidah ayat kedua “Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.”


“Maksud ustazah, berkerja untuk membantu ringankan bebanan suami.” tanyanya lagi inginkan kepastian.

“Ya. ” ustazah Zabidah menjawab ringkas.

“Apapun mesti dapat keizinan suami terlebih dahulu. Jadi eloklah Nurul bawa berbincang dengan suami.” sambung Ustazah Zabidah lagi. Dia anggukkan kepala tanda faham dengan penjelasan yang diberikan.


Rasa bangganya terhadap wanita semakin menggunung tatkala Ustazah Zabidah menceritakan kehebatan wanita-wanita islam pada zaman silam. Walaupun musim terus beredar dan hari terus berganti, namun peranan mereka masih lagi yang terindah untuk dikenang.


Dia amat mengagumi kehebatan Siti Khadijah yang bijak menguruskan perniagaan. Dia sungguh takjub dengan Aisyah, yang begitu banyak meriwayatkan hadis nabi dan menjadi rujukan para sahabat dalam persoalan agama. Juga mahir dalam ilmu perubatan tradisional. Dia terpegun dengan keberanian Malahayati, satu-satunya laksamana dari kaum hawa yang telah menghimpunkan para janda di Acheh untuk menentang Portugis dan Belanda yang cuba mencabul kedaulatan Acheh. Dia terpesona dengan kebijaksanaan Cut Nyak Dhien, srikandi Acheh yang begitu pintar merancang strategi perang, meskipun setelah hilang penglihatan.


***

“Apa kata kalau Nurul cuba mohon KPLI atau jadi guru GSTT dahulu. Manalah tau kalau ada rezeki. Lagipun kerja sebagai guru ni sangat sesuai untuk orang perempuan. Masa kerjapun tak lama dan cutipun banyak. Jadi banyak masa yang boleh diluangkan bersama keluarga.” cadang Ustazah Zabidah setelah jeda seketika.

“ Jadi guru?”

“Astaghfirullahalazim!” Dia beristighfar sambil menarik nafas dalam-dalam. Guruh yang tiba-tiba berdentum telah membunuh lamunannya. Dia menyusun jejak dan kembali melabuhkan punggung di sofa yang didudukinya tadi. Matanya dipejam rapat-rapat, dan dia kembali teringat serpihan-serpihan kenangan yang dianggapnya sebagai membahagiakan. Lima tahun dahulu, usai menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, dia memulakan kerjayanya sebagai seorang akauntan di sebuah firma swasta.


Dia amat berbangga dengan kerjaya itu. Kerjaya yang dicita-citakannya sejak di bangku persekolahan lagi. Tapi sayang, semuanya hanya tinggal kenangan. Hayat kerjayanya tidak lama. Tiba –tiba pipi gebunya mulai basah. Ternyata dia tidak berupaya lagi untuk menghalang air-air jernih yang mula mengalir dari tubir matanya.

“Abang nak Nurul berhenti kerja. Abang nak Nurul jadi surirumah sepenuh masa.”

“Tapi, kenapa bang.” dia meluahkan sangsi.

“Abang nak Nurul duduk kat rumah dan tumpukan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga Biar abang seorang saja yang bekerja, Nurul pula mengemas rumah dan memasak.” ujar suaminya tegas.

“Tapi bang, Nurul boleh lakukan semua tu walaupun bekerja.” sedaya yang boleh dia cuba untuk bertahan.

“Abang tak nak urusan rumah tangga kita terabai sebab Nurul sibuk bekerja. Abang tak nak anak-anak kita nanti terbiar tanpa perhatian kerana ayah dan ibunya sibuk mengejar harta Lagipun, telah jelas dalam agama, tugas suami yang memberi nafkah dan tugas isteri adalah kat rumah” jelas suaminya lagi.

“Tapi, bang”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Nekad dan muktamad abang nak Nurul berhenti kerja. Nurul pilih antara dua, Abang atau kerja.” Begitulah suaminya memutuskan.

Akhirnya dia mengalah. Demi suami dia korbankan kerjaya. Meskipun ada rasa terkilan, namun sekudrat yang boleh, dia cuba memujuk hati agar reda dan pasrah.


Sebenarnya dia sendiripun tidak pasti apakah puncanya larangan itu. Adakah berdasarkan sebab-sebab yang munasabah dan alasan yang berasas. Benarkah kerana suaminya bimbang berlakunya pengabaian terhadap rumah tangga? Betulkah kerana tidak selaras dengan tuntutan agama? Atau kerana sebab-sebab yang lain.


Setelah setahun berlalu, barulah teka- teki itu terjawab. Itupun setelah diberitahu oleh kakak iparnya. Kata kakak iparnya pada satu petang, suaminya malu kerana pendapatannya sebagai akauntan jauh melebihi pendapatan suaminya, seorang guru di sekolah kebangsaan. Suaminya tidak mahu dianggap dayus kerana menumpang tuah isteri. Penjelasan kakak iparnya itu benar-benar menghiris hatinya. Bagaikan dihiris belati, luka di hatinya amat parah sekali. Kadangkala dia tertanya, adakah suaminya terlalu jumud atau terlampau ego. Tapi akhirnya dia akur juga, lantas mewajarkan semua itu sebagai takdir. Sekali lagi dia redha dan pasrah.


***

Kehidupan sebagai surirumah sepenuh masa, pada mulanya amatlah membosankannya. Tapi itu semua untuk seketika cuma. Hari demi hari, dia mula membiasakan diri dengan kehidupan sebegitu. Akhirnya dia serasi dengan kerja-kerja memasak dan mengemas rumah. Masalah kewangan walaupun ada namun tidaklah ketara.


Meskipun pendapatan semakin surut dan susut, tapi kebijaksanaan merancang perbelanjaan membolehkan mereka hidup bahagia. Ternyata ilmu perakaunan yang dipelajarinya di kampus dahulu benar-benar bermanfaat kepadanya .
Kelahiran anak sulungnya, Fadzillah telah memulakan episod baru dalam hidupnya. Dia tidak lagi kesunyian sewaktu bersendirian di rumah. Lebih penting lagi, kehadiran Fadzillah semakin memahamkannya makna seorang isteri dan erti seorang ibu. Sekali gus mengeratkan lagi hubungannya dengan suami.


Dua tahun selepas itu, anak keduanya, Norzilah mula menjadi tetamu dunia. Dia benar-benar bahagia. Segala kekecewaan lantaran terpaksa berhenti kerja lenyap begitu sahaja. Keletah anak-anaknya bagaikan penawar lara dan penyembuh duka. Walaupun begitu, perbelanjaan mereka sekeluarga semakin meningkat lantaran tanggungan yang kini bertambah.


Dia perlukan biaya yang lebih untuk memenuhi keperluan anak-anaknya seperti susu tepung, lampin pakai buang dan lain-lain keperluan. Situasi yang sebegini telah memaksa suaminya membuat kerja-kerja sampingan, termasuklah berniaga kecil- kecilan. Sebelah petang, suaminya menjual burger. Sebelah malam, berniaga di pasar-pasar malam. Adakalanya setelah lewat malam barulah suaminya pulang ke rumah. Pernah juga suaminya mencuba nasib sebagai ejen insuran dan terlibat dengan jualan langsung. Namun nasib tidak menyebelahi. Suaminya tiada kepakaran dalam semua itu.


Kekadang gundah bertamu juga di hatinya tatkala memikirkan masa depan anak-anak. Pasti sahaja, mereka memerlukan kewangan yang lebih apabila mula bersekolah nanti. Rasa pilu seringkali menyerbu tatkala dia menonton di kaca televisyen atau membaca di dada akhbar, tentang kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan alam persekolahan lantaran masalah kewangan yang menghimpit. Dia tidak mahu nasib malang sebegitu berjangkit kepada diri dan keluarganya.


Keperitan hidup semakin terasa lantaran kenaikan harga barang yang semakin ketara. Begitu juga dengan sewa rumah. Sudah tiga kali dinaikkan sejak dia mula menyewanya lima tahun dahulu. Dia amat yakin sewa rumah akan dinaikkan lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Memikirkan semua itu membuatkannya binggung. Terdetik juga di hatinya untuk memiliki rumah sendiri, sebagai tempat untuk berlindung dan berteduh dari hujan dan panas. Namun dia tidak pasti bilakah impiannya itu akan menjadi nyata. Apatah lagi, harga rumah semakin meningkat sejajar dengan peningkatan harga tanah, simen, besi dan kos pengangkutan. Apa yang pasti, suaminya belum berkemampuan untuk merealisasikan hasratnya itu.


Lebih merisaukan, pendapatan suaminya tiada lagi berbaki setelah ditolak segala perbelanjaan. Lantas simpanan mereka sifar. Terlintas juga di kotak fikirnya, apakah yang harus dilakukan andainya keluarganya ditimpa bencana, seperti sakit atau demam. Perlukah mereka berhutang dengan saudara mara dan rakan taulan. Perlukah ditebalkan muka untuk meraih simpati orang. Bukannya dia ingin menafikan hakikat rezeki sebagai ketentuan Tuhan. Tetapi dia amat meyakini rezeki harus diusahakan. Dia sangat faham bahawa yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.


Sering kali juga dia terfikir, wajarkah dia membatukan diri dan merelakan segala kesulitan dan keperitan itu. Atau perlukah dia berusaha untuk menghambat segala kesulitan yang menimpa. Acap kali juga dia tertanya-tanya kepada diri sendiri, tidakkah suaminya menjangkakan masalah ini sewaktu mendesaknya berhenti kerja dahulu. Semakin difikirkan, semakin serabut pula fikirannya. Sebenarnya, apa yang dia inginkan hanyalah kesempurnaan hidup dan bukannya kemewahan.


***

Dia mengeluh panjang seolah-olah melontarkan segala kerisauannya ke dada langit. Kalau boleh biarlah kerisauan itu menjauh. Sejauh langit dari bumi dan sejauh timur dari barat.

“Assalamualaikum.” Jelas kedengaran suara dari luar rumah sejurus loceng rumahnya dibunyikan. Dia yakin, suara itu milik suaminya. Lantas dia bangkit dari sofa dan bergegas menuju ke pintu seusai sahaja membalas salam.

“Abang minta maaf banyak-banyak sebab lewat pulang . Van rosak tadi. Abang bukannya tak nak bagitau Nurul, tapi telefon abang habis bateri. Nasib baik ada kawan abang yang kebetulan lalu kat situ. Dialah yang tumpangkan abang balik.”

“Nurul risau sangat tadi. Nurul bimbangkan abang.” dia meluahkan kerisauan yang terpendam di dada.

“Mesti abang penatkan?” Soalnya kemudian, tanda cakna yang bugar di jiwa.

"Tak apa. Penat abang akan hilang bila lihat senyuman Nurul.” jawab suaminya dengan nada bergurau.

“Abang ni!” Balasnya manja sambil menguntum senyum di bibir.

“Nasib baiklah van tu rosak tak jauh dari balai polis. Abang pun dah maklumkan kat pegawai polis di balai tu. Insya-Allah, selamat.” Jelas suaminya lagi.

“Abang mandi dulu ya. Takut demam sebab tadi kena hujan.”

Dia anggukan kepalanya perlahan. Nasib baik esok hari minggu. Kalau tak, tentu suaminya akan telewat ke sekolah. Dia terkenang saranan Ustazah Zabidah tempoh hari agar dirinya memohon KPLI. Esok dia mesti berbincang dengan suaminya. Harap-harap suaminya mengerti. Moga-moga suaminya faham. Mudah-mudahan suaminya tidak keberatan untuk mengizinkan.

“Sama-sama guru, jelas sekufu.” Bisiknya dalam hati.

2 comments:

  1. Assalamualikum..
    shameel mng seorg penulis yg berbakat...menrik kisah ini..teruskan berkarya.

    ReplyDelete
  2. Idalara= Trima kasih kak ida sudi komen cerpen saya ni. Doakan agar sy trus istiqamah dlm penulisan. Ini jihad saya.

    ReplyDelete