Wednesday, 13 May 2009

DALAM HATI SEORANG GURU

DALAM HATI SEORANG GURU.


Masih sahaja saya terfikirkan perihal profesion ini. Meskipun sudah hampir 8 tahun saya bergelar guru. (Di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu Sabah, dari Jun 2001 hingga Disember 2006. Di SMK Dato Haji Mohd Taib, Chemor Perak, pula dari Januari 2007 hingga ke hari ini )

Apa yang saya fikirkan?

Saya tefikir sama ada mereka yg bergelar guru ini benar-benar seseorang pejuang atau seseorang pemberontak. Mungkin juga, seorang guru itu adalah seorang pejuang yang sedang memberontak. Dan mungkin juga, dia seorang pemberontak yang sedang berjuang.

Pejuang yang saya maksudkan ialah guru@golongan yang benar-benar ikhlas ingin menjadi pendidik. Memang itu yang dicita-citakan dan memang itu yang dihasratkan. Mereka ibarat hujan yang mencurah. Ke tanah mana sahaja ia singgah, pasti meninggalkan lembap dan basah.

Pemberontak pula ialah seorang yang kecewa dengan takdir yang menimpa. Atau lebih tepat lagi, mereka terpaksa menjadi guru kerana tidak ingin berkekalan dalam dunia pengangguran. Mereka tidak pernah bermimpi ingin menjadi guru tetapi tidak pula sanggup menganggur atas pelbagai faktor.

Kepada rakan-rakan guru dan yang bakal menjadi guru. Renungkanlah. Siapakah anda? Pejuang atau pemberontak. Atau, mungkin anda seorang pejuang yang sedang memberontak. Dan, mungkin juga anda seorang pemberotak yang sedang berjuang. Tanya sama hati dan jawablah dengan sejujurnya.

Pasti sahaja, kejayaan anak didik menjadi kepuasan bagi seseorang guru yang berwajah pejuang. Namun, kenaikan pangkat dan gaji pula adalah impian setiap guru yang berjiwa pemberontak. Jujur! Golongan ini lebih berbahaya dari virus selsema babi. Mereka sanggup ampu sana dan ampu sini. Mereka sangup jadi penjilat yang Maha Keji. Mereka sanggup menjadi pembodek yang Maha Laknat. Mereka sanggup ‘membunuh’ mana-mana guru yang dirasakan menghalang kedudukannya.

Satu sahaja nasihat saya kepada golongan yang MAHA KEJI dan MAHA LAKNAT ini. ANDA HARUS MEMANJAT DENGAN MESRA JIKA INGIN MEMETIK KEJAYAAN. JANGAN SESEKALI MEMIJAK KAWAN DAN JANGAN PULA MENCANTAS LAWAN. HATI-HATILAH SEWAKTU MEMANJAT. TAKUT-TAKUT TERSALAH BERPAUT DI DAHAN YANG RAPUH.

Kejayaan pelajar atau anak didik selain memberikan kepuasan kepada guru yang berwatak pejuang, ia juga akan menyerlahkan lagi kehebatan guru tersebut. Lihat sahaja Sheikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah. Bukan setakat hebat dan terbilang tetapi beliau juga mampu melahirkan anak murid yang amat cemerlang. Siapa tidak kenal dengan Imam Ibn Kathir dan Imam Ibn Qayyim. Mereka antara anak didik Ibn Taimiyah yang banyak menabur jasa dalam dunia keilmuan islam.

Bangga juga jika dapat menjadi pendidik seperti Imam Bukhari. Dapat melahirkan ramai murid terbilang seperti Imam al-Tirmizi. Malah Imam Bukhari pernah berkata “ Sesiapa yang menyimpan Sunan al-Tirmizi di rumah, seolah-olah telah menyimpan Nabi di rumahnya.”

Bangga juga jika dapat jadi pendidik seperti Anne Suliven. Apa tidaknya, sebab dia berjaya melahirkan anak murid yang bernama Hellen Keller yang kemudiannya terkenal seantero dunia meskipun pekak dan buta.

Kepada mereka yang pernah menjadi anak didikku. Kejayaan kalian adalah kebanggaanku. Kalian adalah sebahagian dari sejarah silamku. Kalian pernah mewarnai kanvas hidupku. Kalian tetap mewangikan kenanganku. Ia harum semerbak di taman ingatanku. Kepada kalian semua, gurumu ini(selayaknya saya gunakan istilah bekas gurumu) ingin berpesan, Teruskan melangkah, meskipun di depan kalian ada duri yang berceracakkan. Walaupun dibelakang kalian ada api yang sedang marak menyala. Mungkin adakalanya api dan duri itu akan mencalar hati dan merobek perasaan kalian. Tapi, gurumu ini ingin tegaskan, jangan sesekali mematikan langkah. Sebab ada keindahan yang sedang menunggumu disebalik perjalananmu yang berselirat seribu itu.

Kepada mereka yang sedang kudidik. Ingin kutitipkan pesanan. Di hadapanmu adalah realiti yang harus kau depani. Untuk mara ke depan kau harus merentasi sungai sejarah. Sungai sejarah amat bererti dan sangat bermakna. Makna kehancuran golongan yang alpa. Erti kejayaan golongan yang cakna. Rentasilah sungai sejarah dengan penuh waspada. Jangan pula kau lemas dan tenggelam di dalamnya. Sebab sungai sejarah bukanlah untuk bernostalgia. Ia untuk mengejutkan mana-mana yang lena.

SELAMAT HARI GURU KEPADA GURU-GURU( SAMA ADA ANDA SEORANG PEJUANG MAHUPUN SEORANG PEMBERONTAK)

4 comments:

  1. itulah bezanya antara pendidik dgn guru jadi-jadian. guru jadi-jadian hanyalah jelmaan guru yg dahagakan gaji dan pangkat.

    ReplyDelete
  2. Maaf jika komen ini tak selari dgn pendapat sauadara. Bagi sy, artikel saudara ni menghina guru

    Juga seorang guru
    Wadi

    ReplyDelete
  3. Saya sayang guru saya.

    Anak murid guru ini.:)

    ReplyDelete
  4. Saya sayang guru saya.

    Anak murid guru ini.:)

    ReplyDelete