Thursday, 6 October 2011

Enot dikecam Teruk Gara-Gara Menghina Hukum Hudud

(ENOT)

“ HUDUD
jika tidak tahu
lebih baik diam.
Takut Nanti
Akidah Melayang.”



“Memang zaman dulu orang islam mengamalkan hukum hudud kepada mereka yang membuat kesalahan, contohnya bagi mereka yang berzina, hukuman sula akan dikenakan. Tapi rasanya sekarang ia tidak sesuai lagi. Kalau hukum hudud dilaksanakan, pesalah terbabit terpaksa hidup dalam keadaan yang tidak sempurna seperti tiada tangan, kaki dan sebagainya.” Itulah kenyataan Enot berkaitan hukum hudud sebagaimana yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian.





(antara komen artis tentang hukum hudud)


Nenek moyang kita telah lama menasihatkan. Nasihat leluhur zaman berzaman-zaman. Nasihat berbunyi, "Kerana Pulut Santan Binasa Kerana Mulut Badan Binasa" Dan kerana mulutlah, Enot kini sedang menuju kebinasaan. Gara-gara kenyataan yang amat celupar tersebut, Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah kini tertekan apabila dikecam hebat oleh orang-orang yang prihatin terhadap agama.

Tidak hanya dikecam dikecam menerusi twitter dan facebook, perniagaan keknya turut terjejas, apabila ada pelanggan yang menarik balik tempahan gara-gara kurang senang dengan kenyataannya tentang Hukum Hudud.






(nasihat Wardina kpd rakan2 artis)



INFO TAMBAHAN:


Walaupun kenyataan Enot itu amat keterlaluan, namun kesediaannya memohon maaf amatlah wajar dan sangatlah patut. Moga-moga Enot dan artis-artis yang lain menjadikan ini semua sebagai pengajaran. Saya cuba berprasangka baik, Enot mengeluarkan kenyataan tersebut kerana kejahilannya.Tahniah buat Enot kerana menyedari kesilapan, lantas memohon maaf.

Harus diingat, andainya kenyataan sebegini dikeluarkan dalam keadaan sedar atau faham dan bermatlamat mempersendakan Hukum Hudud, maka ia membawa kepada kekufuran. Saya paparkan kembali kata-kata Dr Asri zainul Abidin tentang perihal mempersendakan Hukum Hudud :

“Sesiapa yang melafazkan secara sedar perkataan ‘Sesiapa yang ingin makan sup tangan sila ke Kelantan’ maka ia telah bermaksud menghina nas al-Quran dan as-Sunnah, dan dia( orang yang melafazkan perkataan itu) terkeluar dari Islam. Lebih lanjut sila lihat
SINI





(antara kenyataan biadap yang boleh membawa kekufuran)




Tahniah juga kepada Wardina Safiyyah kerana telah menasihati rakan-rakan artis agar tidak celupar dalam membuat kenyataan. Pesan Wardina “ Nak minta rakan artis untuk tidak komen perkara yang kita TIADA ilmu seperti Hukum Hudud. Para wartawan juga tidak seharusnya menyoal.”

Tahniah juga kepada warga Malaysia, kerana keperihatinan yang mereka tunjukkan. Ini satu perkembangan yang baik dan ini juga membuktikan semakin ramai umat islam di Malaysia yang kini sedang berarak menuju agama.

Wednesday, 5 October 2011

Kota A Farmosa : Antara Kecelaruan Sejarah Dan Pemurnian Fakta.



Ini adalah lanjutan atau sambungan daripada tajuk yang lepas, iaitu,
SEJARAH NEGERI MELAKA: PENILAIAN SEMULA DAN PEMURNIAN FAKTA dan juga Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim Bersetuju Agar Sejarah Ditafsir Semula.


Kota A Farmosa tidak sekadar mercu tanda negeri Melaka. Ia juga merupakan saksi bisu disebalik kehancuran Kerajaan Melayu Melaka. Kita juga, sedari dahulu lagi, telah diyakinkan sesungguhnya Portugislah yang membina Kota A Farmosa. Mengikut catatan sejarah, Portugis telah melancarkan tiga serangan untuk menguasai Melaka. Serangan pertama bermula pada 25 Julai 1511, serangan kedua pula pada 10 Ogos 1511 dan serangan ketiga, juga yang terakhir ialah pada 24 ogos 1511.

Tarikh 24 Ogos 1511 inilah yang menyaksikan Melaka tewas di tangan Portugis dan sekali gus menamatkan Kesultanan Melayu Melaka. Untuk memastikan kedudukannya benar-benar terjamin, Portugis telah membina Kota A Farmosa, iaitu sebuah kompleks pertahanan yang amat kukuh. Ketika Belanda datang, kota pertahanan digunapakai pula oleh Belanda. Kota A Farmosa mula dirobohkan apabila British datang ke Melaka pada tahun 1795. Dan hanya pintu Kota A Farmosa sahaja yang tidak dijahanamkan oleh pihak British, dan itulah sisa atau baki Kota A Farmosa yang masih ada sampai ke hari ini untuk tatapan pelancong.

Itulah sebahagian daripada fakta berkaitan Kota A Farmosa. Baru-baru ini, atau lebih tepat lagi dalam akhbar Berita Harian bertarikh 27 September 2011, muka surat 14, terdapat sebuah artikel berbunyi BUKU BONGKAR ‘RAHSIA’ MELAKA. Buku yang dimaksudkan berjudul History Of Dutch In Malaysia, yang ditulis oleh Dennis De Witt. Buku tersebut dihasilkan berasaskan kajian dan penyelidikan yang dilakukan oleh beliau. Katanya, dia menggunakan tiga jenis sumber bagi menulis buku tersebut, iaitu sumber utama, kedua dan lagenda. Sumber utama merujuk kepada bahan-bahan yang asli atau bukti seperti artifak, dokumen, rakaman ataupun maklumat seperti gambar.

Dalam buku tersebut, penulisnya tidak sahaja membongkar malah membawa bersama versi terbaru tentang sejarah pembinaan Kota A Farmosa. Menurut beliau, Kota A Farmosa bukannya di bina oleh Portugis, tetapi oleh Belanda. Menurut Dennis De Witt, seni dan ukiran pada pintu gebang A Farmosa menunjukkan ia adalah milik Belanda( tambahan dari saya – ia adalah seni bina Belanda).

Tidak setakat Kota A Farmosa, malah beberapa laras meriam yang kini dijadikan perhiasan di beberapa lokasi di bandar Melaka, termasuklah yang dipamerkan di Bukit St John Bandar Hilir, turut didakwanya sebagai meriam tinggalan Belanda dan bukannya Portugis. Katanya, ini berdasarkan ciri bentuk dan tulisan yang terdapat pada meriam tersebut.

Sama ada benar atau tidak dakwaan Dennis De Witt ini, ia perlu dikaji dan dihalusi dengan lebih teliti. Apa yang pasti, ini merupakan kali yang kedua tentang kecelaruan fakta mengenai sejarah negeri Melaka. Tahun lepas, terdapat pihak-pihak tertentu termasuklah Ketua Menteri Melaka yang mencuba untuk memanjangkan hayat Kerajaan Melaka dengan mengemukakan fakta yang menyanggahi kelaziman dan menyalahi kebiasaan. Mereka telah mempertikaikan fakta tentang tahun pengasasan Kerajaan Melayu Melaka yang ditulis oleh Tome Pires dalam bukunya Suma Oriental.

Menurut mereka, dakwaan Tome Pires tentang pengasasan Melaka pada tahun 1400 atau 1402 masehi adalah tidak tepat. Mereka mendakwa buku Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) versi Raja bongsu sebagai lebih tepat dan sahih tentang sejarah kewujudan Melaka. Mengikut Sejarah Melayu versi Raja Bongsu, Melaka dikatakan diwujudkan pada tahun 1262 Masehi dan bukannya 1400 atau 1420 masehi.

Cuma, seandainya Suma Oriental dinafikan, maka tidak boleh lagi kita mendakwa Parameswara yang mengasaskan Melaka. Sebab, itu adalah berdasarkan catatan Tome Pires. Mengikut catatan dalam Sejarah Melayu, saya rujuk kepada versi paling popular(sebab Sejarah Melayu sebenarnya ada banyak versi), iaitu Sejarah Melayu Versi W.G. Shellabear(m/s. 53) pengasas Melaka ialah Raja Iskandar Syah.

Tapi, harus diingat, amat sukar untuk diterima akal akan fakta-fakta dalam Sejarah Melayu, sebab banyak sangat karut marutnya. Antara karut marutnya ialah padi di sawah bertukar tiba-tiba, buahnya emas, daunnya menjadi perak dan batangnya menjadi tembaga sebagai tanda keberkatan setelah ketibaan tiga orang putera raja yang berketurunan Iskandar Zukarnain dan Nabi Sulaiman. Tak cukup dengan itu, ditambah pula dengan karut marut yang lain, iaitu lembu yang dinaiki oleh tiga orang putera raja tadi telah melahirkan manusia menerusi muntahnya. Lebih lanjut tentang ini, sila baca di
SINI.

Tapi saya bimbang, takut-takut Prof Zainal Kling turut terlibat dalam pentafsiran semula sejarah Melaka. Bukan apa, sebab risau nanti didakwanya Portugis dan Belanda tidak pernah menjajah Melaka tapi sekadar untuk menaungi dan melindungi dengan penuh kasih dan sayang.

Sunday, 2 October 2011

Filem hantu cetus debat






Dalam Berita Harian bertarikh 2 Oktober 2011, terdapat teguran daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai lambakan filem hantu yang dianggap menggalakkan kepercayaan karut, tidak membina masyarakat produktif dan juga menjadi faktor serangan histeria di kalangan pelajar perempuan.

Majlis fatwa Kebangsaan juga ingin menemui Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem dan drama hantu yang dikhuatiri boleh memesongkan akidah, terutamanya dalam kalangan remaja islam.

Menurut Dato Mohammad Shukri Mohamad, seorang Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang juga merupakan Mufti Kelantan,filem dan drama hantu jelas berunsur khurafat dan mempromosikan kepercayaan karut.

Imam Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhamad berkata, umat islam yang terlalu taksub dan mempercayai hantu atau makhluk lain selain Allah, boleh menjadi syirik.

Walaupum begitu, penggiat filem seperti David Teo berkata, penerbitan filem hantu berbentuk khayalan dan hiburan semata-mata sama seperti filem kartun dan fiksyen.


INFO TAMBAHAN.
Dalam soal ini, seluruh umat islam di Malaysia perlu berterima kasih kepada Ustaz Nasrudin Hasan at-Tantawi. Kerana Ketua Dewan Pemuda Pas inilah, isu ini mula diperkatakan.

Selain filem dan drama Hantu, filem dan drama yang berunsurkan islam juga perlu dipantau. Sebab, adakalanya ia seakan-akan melebarkan lagi salah faham terhadap islam.

Terima Kasih Buat Nuffnang




Patah tumbuh hilang berganti. Itu kata-kata pujangga, warisan lelulur yang perlu kita hayati. Sesudah beberapa BE berakhir, Nuffnang mengantikan saya dengan BE yang baru. Terbaru ialah DiGi Super Reload Social - Scratch & Win BM (Travel). Terima kasih Nuffang, jasamu akan sentiasa ku kenang.

Adegan Yang Tak Sanggup Kita Lihat

Saturday, 1 October 2011

NAMEWEE vs UTUSAN




Jabatan Pengarang Utusan Malaysia membuat dua laporan polis berhubung kenyataan lucah terhadap organisasi serta wartawan Fauziah Arof yang dikeluarkan oleh Namewee menerusi satu klip video yang tersebar di Internet baru-baru ini.

Laporan polis itu dibuat berikutan tindakan Namewee yang menyalahguna kemudahan multimedia untuk menjatuhkan imej akhbar Utusan Malaysia serta mengeluarkan tuduhan melampau terhadap penulisan artikel Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee... yang disiarkan pada bulan lalu.

Menurut Penasihat Undang-undang, Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan, Mohd. Jefri Daman, penerbitan klip video berdurasi dua minit 43 saat itu telah mengundang komen-komen negatif orang ramai terhadap akhbar dan wartawan berkenaan.

"Tindakan Namewee itu dilihat merendahkan martabat wartawan dan akhbar Utusan Malaysia sebagai rasis, bodoh, menjatuhkan imej syarikat dengan tuduhan melampau serta menggunakan bahasa lucah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.




Sumber : Utusan Malaysia


Imbas Kembali ( sila lihat ..
SINI )

Fauziah menulis… bahawa walaupun ramai yang memuji filem itu, namun dia tidak berminat menontonnya walaupun ditawarkan tiket percuma.

Fauziah kemudian mengimbas kembali beberapa klip video yang diterbit oleh Namewee, yang dakwanya telah menyinggung orang ramai serta menghina umat Islam di negara ini, termasuk klip kontroversi Negarakuku




Jawapan Namewee kepada Fauziah dan Utusan “Kalau you tak tahu apa ialah reporter ah, you balik sekolah dulu. You panggil you punya boss dengan you dengan you punya kawan semua balik sekolah dulu. You fikir semua suratkhabar yang lain semua bodoh punya kah?”


Info Tambahan:

Saya bukanlah peminat Namewee dan saya juga belum lagi menonton filem Nasi Lemak 2.0.Dalam masa yang sama, saya juga bukanlah pembaca Utusan Malaysia. Sesekali sekala sahaja saya membaca Utusan, itupun secara online. Di sini, saya bukannya nak membela Namewee. Memang dia pernah melakukan kesalahan yang serius sebelum ini. Tapi itu perkara silam dan dia juga sudah memohon maaf.

Berdasarkan artikel Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee, jelas sekali Fauziah Arof masih lagi mendendangkan lagu lama. Isu Namewee menghina lagu negaraku.



Tolonglah jangan didendangkan lagu lama seolah-olah warga Malaysia ini pekak dan buta. Sepatutnya beliau mengkritik filem tersebut. Perkatakan tentang mana-mana aspek dalam filem tersebut. Carilah mana-mana kecacatan dalam filem tersebut dan hentamlah sesuka hati sebab itu memang hak seseorang wartawan terutamanya wartawan hiburan.

Andainya pihak Utusan masih bernafsu untuk mendendangkan lagu lama, kenapa tidak perbesarkan isu Rosnah Mat Aris yang pernah menghina Siti Khadijah. Isteri junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. kenapa juga tidak menulis tentang artis Melayu yang mencipta kontroversi dengan terlibat sebagai pelakon video lucah suatu ketika dahulu.