Sunday, 18 September 2011

Perdana Menteri Bangladesh Mendakwa Rakyatnya Boleh Mendapat Kerakyatan Malaysia Dengan Mudah.




Laman web Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina hari ini menyiarkan laporan dengan memetik sumber yang mendakwa bahawa pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Pejabat Perdana Menteri Bangladesh itu dikatakan telah menerima pengesahan daripada sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia bahawa mereka diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lepas, lapor Bernama.






Menurut laman web itu, Hasina telah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menurut sumber dengan kedudukan yang tinggi mendakwa Najib memberi jaminan menimbang isu itu ketika beliau (Hasina) berada di Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia 66 Ekonomi Islam di Kuala Lumpur pada bulan Mei 2010.

Sementara itu, agensi berita nasional itu juga melaporkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan itu.

Selanjutnya sila baca Malaysia Kini

Info Tambahan:
Tak sabar ingin memiliki Perdana Menteri Persis Shah Rukh Khan. Ini semua boleh berlaku andainya warga Bangladesh dapat jadi PM Malaysia. Tak kisahlah kalau warga Bangladesh ke Nepal ke jadi PM Malaysia sebab mereka pun manusia juga.


Cuma, dalam hal ini Kerajaan Malaysia mesti ambil tindakan tegas termasuk tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri Bangladesh. Kalau tidak, ia bererti membenarkan dakwaan Perdana Menteri Bangladesh.

Bangladesh dahulunya adalah sebahagian daripada India. Apabila terbentuk Pakistan, Bangladesh menjadi sebahagian daripada Pakistan dengan nama Pakistan Timur. Kemudiannya Pakistan Timur menuntut pemisahan dari Pakistan Barat dan hari ini Pakistan timur dikenali sebagai Bangladesh.

Saturday, 17 September 2011

Nasi Lemak 2.0 : Filem sulung Namewee




Filem ini menggunakan dialog dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Tamil, Mandarin dan dialek Cina di Malaysia, dibintangi Afdlin Shauki, Adibah Noor, Nur Fathia dan vokalis Alleycats. Dan ia merupakan filem pertama arahan Namewee, individu yang pernah mencetuskan kontroversi menerusi video klip `Negarakuku'

Pertubuhan Gagasan Rakyat Didahulukan Negeri Perak nampaknya menentang dan membantah penayangan filem ini, Presidennya Faizal Affendi Hashim berkata pihaknya terkilan kerana filem berkenaan ditayangkan sedangkan penerbitnya pernah mencetuskan isu yang tidak boleh diterima rakyat Malaysia iaitu menerbitkan video klip `Negarakuku' yang menghina lagi kebangsaan dan masyarakat Malaysia berbilang kaum.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula menegaskan mana-mana pihak yang tidak yang tidak berpuas hati dengan penayangan filem Nasi Lemak 2.0 arahan individu yang pernah mencetuskan kontroversi, Namewee, boleh mengemukan bantahan mereka kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sumber:
Malaysia Kini

Info Tambahan:


Jangan jadikan kontroversi ‘Negarakuku’ sebagai alasan untuk memadam dan memendam bakat Namewee. Lagipun ramai juga artis Melayu yang mencipta kontroversi yang lebih hebat. Paling hebat ialah Rosnah Mat Aris yang pernah menghina Siti khadijah. Isteri junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. Ada juga artis Melayu yang mencipta kontroversi dengan terlibat sebagai pelakon video lucah. Tapi kesemua mereka telah dibenarkan untuk melanjutkan hayat lakonan masing-masing. Drama yang dilakonkan oleh mereka mula disiarkan kembali di dalam TV.

Thursday, 15 September 2011

Masih Relevenkah Sambutan Hari Kemerdekaan Apabila Tanah Melayu ‘Senasib’ Dengan Thailand




Ini adalah lanjutan atau sambungan daripada tajuk yang lepas, iaitu
Tanah Melayu Tidak Pernah Dijajah Oleh British. Jadi ia perlu dibaca secara bersama agar tidak tersalah faham dan tidak tersilap dalam mentafsirkan tulisan saya.

"Fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik," Prof Dr Zainal Kling

Jadi, entry ini saya tulis sekadar menyahut dan memenuhi permintaan daripada Prof Dr Zainal Kling.

Antara 31 Ogos dan 16 September, tarikh manakah yang benar-benar memberi makna kepada warga Malaysia?. Tentu sahaja tarikh 16 September. Ini kerana pada tarikh 16 September 1963, Malaysia dibentuk melalui penyatuan 14 buah negeri yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura(yang kemudiannya bertindak keluar dari gagasan Malaysia), Sabah dan Sarawak. Jadi tarikh 16 September sangat wajar untuk dikenang dan ia adalah lambang perpaduan kaum di Malaysia.

Bagaimana pula dengan dengan tarikh 31 Ogos. Kajian dan penelitian secara terperinci mendapati, sesungguhnya tiada apa-apa peristiwa yang bermakna dan bersejarah yang pernah berlaku dalam sejarah Tanah Air pada tarikh 31. Ogos (Sejak 1957 hinggalah kini). Dan, satu-satunya peristiwa yang paling penting dalam sejarah Tanah Air yang pernah berlaku pada tarikh 31 Ogos ialah sambutan Hari Raya Aidilfitri 1432 H(2011 M). Walau bagaimanapun, ia hanyalah Hari Raya yang ke-dua, ini memandangkan satu syawal jatuh pada tarikh 30 Ogos 2011. Dengan ini, disyorkan agar pada tanggal 31 Ogos pada tahun-tahun yang akan datang, kita meriahkan rumah dengan ketupat, lemang dan rendang. Jangan lupa berpakaian cantik dan baru sebagaimana anda menyambut raya.





(Tonic Chop Gajah Ini Lebih Bernilai Sejarah. Gambar Dari Blog Thomas)





Mari kita imbas kembali kata-kata Profesor Datuk Dr Zainal Kling “Berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu tidak pernah terjajah, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.” Katanya lagi, “sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.” Ini adalah bukti pertama, sesungguhnya Tanah Melayu dan Thailand adalah ‘senasib’, iaitu kedua-dua negara tidak dijajah.

Kita fokuskan kepada Tanah Melayu terlebih dahulu sebelum berbicara perihal Thailand(nama Siam sebenarnya yang lebih tepat. Ini kerana hanya pada tahun 1939, Phibul Songram telah bertindak menukar nama Siam kepada Thailand)

Dalam hal ini, saya cuba berbaik sangka dengan niat dan matlamat kedatangan Portugis ke Melaka pada tahun 1511 dan diikuti oleh Belanda pada tahun 1641 sebagai bermotifkan perlindungan dan naungan. Begitu juga dengan kedatangan Jepun ke Tanah Melayu pada tahun 1941. Andainya, Jepun dianggap sebagai penjajah, maka amat tidak waras dan sangat tidak wajar untuk kita mengistiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.Ini disebabkan Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945. Jadi tarikh kemerdekaan yang sepatutnya ialah pada 15 Ogos 1945.

Dan, Kedatangan semula British yang kemudiannya memperkenalkan Pentadbiran Tentera British dan Malayan Union tidak boleh dianggap sebagai satu penjajahan, ini kerana kedatangan British adalah dengan niat yang terlalu suci dan terlampau murni iaitu untuk menaungi dan melindungi Tanah Melayu dengan penuh kasih dan sayang.

Kita berbicara pula tentang Thailand. Umum mengetahui Thailand tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa. Ini semua disebabkan kebijaksanaan pemerintah Thailand terutamanya Mongkut yang dilantik menjadi Raja Rama IV pada 3 April 1851. Kebijaksanaanya dipuji oleh D.G. Hall dalam bukunya ,A History of South East Asia . Kata D.G. Hall dalam buku tersebut, “ Siam terhutang budi kepada Mongkut jika dibandingkan dengan raja-raja lain kerana dasar yang dimulainya telah menyelamatkan kemerdekaan Siam.” Pengetahuan am, Selain Thailand, negara Bhutan yang terletak antara India dan China juga terkenal kerana tidak pernah dijajah.

Sekarang, kita lihat pula persamaan kedua antara Tanah Melayu dan Thailand dari aspek sejarah.

Pertamanya, kita kena persoalkan,apakah peristiwa sebenar yang berlaku pada tarikh 31 Ogos 1957? Ramai orang yang salah faham dengan beranggapan itu adalah tarikh keramat yang menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu.

Mari kita hayati dengan teliti kata-kata Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Khim Pada 31 Ogos 1957, bukanlah British yang menyerahkan kedaulatan tetapi Raja-raja Melayu yang menyerahkan kuasanya kepada rakyat supaya Tanah Melayu dapat mengamalkan demokrasi berparlimen.” Jelas sekali, tarikh tersebut tiada kena mengena dengan kemerdekaan daripada British. Berdasarkan kenyataan Khoo Kay Khim itu juga, amat jelas sesungguhnya Tanah Melayu ‘senasib’ dengan Thailand.

Apa pula yang berlaku kepada Thailand? Ini yang perlu kita lihat.Untuk pengetahuan semua,kebangkitan semangat nasionalisme di Thailand amat berbeza dengan nasionalisme di Asia Tenggara yang lain, termasuklah Tanah Melayu. Ini kerana faktor kebangkitan semangat nasionalisme di Thailand adalah lanjutan daripada rasa tidak puas hati rakyat tempatan terhadap penguasaan politik oleh kerabat diraja dan penentangan terhadap raja yang berkuasa mutlak. Ia juga dikaitkan dengan sikap boros Raja Vajiravudh. Kemuncaknya, ialah berlakulah Revolusi Thai oleh Parti Rakyat untuk menamatkan sistem Raja Berkuasa Mutlak dan seterusnya memberi laluan kepada sistem pemerintahan berparlimen.

Jelas sejelas-jelasnya dan ibarat sudah terang lagi bersuluh. Itulah persamaan antara Tanah Melayu dengan Thailand dalam hal ini. Nyata sekali, sesungguhnya Tanah Melayu dan Thailand bukannya merdeka dari penjajahan.

Dalam konteks Tanah Melayu, Raja-raja Melayu telah menyerahkan kuasanya secara sukarela kepada rakyat supaya Tanah Melayu dapat mengamalkan demokrasi berparlimen. Tetapi dalam konteks Thailand, rakyat terpaksa bangkit untuk menuntut hak dan kebebasan daripada Rajanya. Dan, akhirnya Raja yang memerintah Thailand terpaksa memberikan laluan kepada rakyat untuk mentadbir Thailand secara demokrasi berparlimen.

Cuma ada sedikit perbezaan di sini. Iaitu, di Tanah Melayu, proses ini berlaku secara sukarela, manakala di Thailand pula berlaku secara terpaksa setelah Raja Thailand didesak dan diasak oleh rakyat.

APAKAH MESEJ SEBENAR YANG INGIN SAYA SAMPAIKAN.

Satu perkara sahaja yang ingin saya sampaikan, iaitu, sebagaimana Thailand tidak mempunyai hari kemerdekaan, Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia setelah kemasukan Sabah dan Sarawak juga tidak layak mempunyai hari kemerdekaan. Sangat tidak layak untuk kita menyambut hari kemerdekaan sebab kita tidak pernah dijajah. Ini kerana kedatangan british bukanlah untuk menjajah tapi untuk melindungi negara kita dengan penuh kasih dan sayang.

Dua hari yang lepas, saya ada bersembang dengan seorang kenalan di sekitar bandaraya Ipoh. Kenalan saya itu seorang pekerja(tukang masak) restoran masakan Thai dan berasal dari Pattani, Selatan Thailand. Dia ketawakan saya, apabila saya bertanyakan tarikh kemerdekaan Thailand. Katanya, Thailand mana ada hari kemerdekaan sebab Thailand tak pernah dijajah kerana kebijaksanaan pemerintahnya. Sebenarnya saya sedia maklum akan perkara ini, iaitu Thailand tidak mempunyai hari kemerdekaan, tapi sengaja saya ajukan tanya untuk memeriahkan bicara.

Kata kenalan saya lagi, di Thailand, kebanyakkan perayaan atau hari kebesaran yang disambut ialah berkaitan dengan perihal Istana dan Raja, Tarikh-tarikh penting dalam agama Budha dan juga tarikh-tarikh penting yang berkaitan dengan kebudayaan bangsa Siam.

Jadi, kepada sahabat-sahabatku, inilah hakikat yang perlu kita akui andainya kita menyetujui pandangan Prof Dr Zainal Kling, Prof Dr Khoo Kay Khim, Tun Haniff Omar dan Prof Dr Ramlah Adam. Merekalah yang menafikan penjajahan British ke atas Tanah Melayu. Tidak hairanlah jika seorang pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan mereka ini sebagai golongan yang keliru dan mengelirukan. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) berpendirian sejarawan tersebut bermain kata-kata yang berbelit-belit untuk menafi suatu fakta yang sudah sangat ma'ruf dikalangan rakyat. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) juga turut membantah pandangan Zainal Kling dan konco-konconya ini.

Dan, demi menyahut seruan Dr Zainal Kling agar fakta sejarah yang mengatakan British itu penjajah diperbaiki, maka saya menyeru kepada semua agar marilah kita lihat Sukatan Mata Pelajaran Sejarah Tingkatan Dua Yang Terbaru. Yang digubal oleh CikguNae








Monday, 12 September 2011

Mengutamakan Undangan Lebih Baik Daripada Puasa Sunat Enam Syawal.



Ini adalah lanjutan atau sambungan daripada tajuk lepas, iaitu Hukum Menggabungkan Puasa Qadha dan Puasa Sunat Enam Hari Di Bulan Syawal


Oleh kerana syawal belum lagi melabuhkan tirainya, jadi belum terlewat untuk saya berbicara perihal puasa sunat enam syawal. Kali ini tentang dilema antara memenuhi undangan dan puasa sunat syawal.

Puasa Sunat Enam Syawal memang menjanjikan ganjaran pahala yang amat lumayan, dan ini dinyatakan dalam sebuah hadis sahih

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164]..

Walaupun begitu perlaksanaannya tidak cukup dengan berbekalkan semangat yang berkobar-kobar dan emosi kerohanian yang melonjak-lonjak, tapi perlu sekali berpaksikan waras dan wajar. Waras dan wajar yang berpandukan agama.

Diakui terdapat segelintir umat islam yang begitu bersemangat untuk menunaikan puasa enam syawal. Hari raya kedua atau lebih tepat lagi pada tarikh dua syawal, langsung dilaksanakan ibadat sunat itu selama enam hari berturut-turut. Memang ia tidak salah apatah lagi berdosa, sebab yang diharamkan berpuasa ialah pada satu syawal( dan tarikh-tarikh lain yang tak perlu saya nyatakan disini ,agar tidak terbabas dari topik perbincangan). Tapi wajarkah tindakan itu?

Ini kerana pada hari raya kedua dan ketiga, amalan ziarah menziarahi dan kunjung mengunjungi masih lagi berjalan dengan rancaknya. Pada tarikh itu juga, saudara mara masih bertandang dan sahabat handai masih lagi bertamu. Jadi mana satu yang harus diutamakan? Puasa sunat syawal yang menjanjikan pahala yang melimpah ruah atau menjaga hubungan dengan saudara mara dan sahabat handai demi kelangsungan ukhwah.

Dalam membicarakan hal ini, Fiqh al-Awlawiyat perlu difahami dan sekali gus digunapakai. Mengikut pendekatan ini, perkara yang paling utama perlulah diutamakan dan perkara yang lebih penting perlulah didahulukan. Ia memberikan kita panduan untuk menyusun dan mengatur tindakan secara wajar dan patut mengikut lunas-lunas agama.

Dalam sebuah hadis dari Abu Said al-Khudri “ Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).

Hadis ini sebenarnya, sudah memberikan jawapan kepada isu ini. Iaitu, sesiapa yang berpuasa sunat termasuklah sunat enam syawal, diharuskan dan digalakkan berbuka, andainya itu dapat menguatkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan atau menjaga perasaan orang lain

Puasa Enam Syawal sebenarnya mempunyai tempoh waktu atau jangka masa yang agak panjang untuk dilaksanakan dan ia juga boleh dilakukan secara berturut-turut atau selang seli sepanjang bulan syawal. Yang pasti, perkara yang dituntut ialah berpuasa selama Enam Hari dalam mana-mana bulan Syawal.

Seperti saya katakan tadi, kemeriahan raya masih lagi terasa pada hari raya kedua dan ketiga, jadi sudah tentu agak sukar untuk kita melaksanakan puasa sunat enam syawal. Kunjungan mengunjungi adalah amalan yang dituntut di dalam islam, apatah lagi dalam suasana hari ini, kita tidak mempunyai ruang dan peluang untuk melakukan amalam ini dengan lebih kerap. Hanya pada musim perayaanlah, kita berkesempatan untuk melaksanakan semua ini.

Selain itu, tempoh atau jangka masa untuk kita atau saudara mara dan sahabat handai bercuti raya juga tidaklah lama. Seingat saya, paling lama pun hingga setakat hari raya ke lima atau ke enam , selepas itu terpaksa bergegas pulang ke kota demi melanjutkan kerjaya. Jadi dalam kesempatan yang amat terhad dan terbatas, sudah tentu ziarah menziarahi dan kunjung mengunjungi yang perlu diutamakan berbanding puasa sunat enam syawal.

Sumber Rujukan :
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Imam Muda Asyraf
Pondok Pasir Tumbuh Kelantan(izin suami perlu utk Puasa Enam)

Friday, 9 September 2011

Tanah Melayu Tidak Pernah Dijajah Oleh British



Ketika menandatangani perjanjian Pangkor,Sir Andrew Clarke

telah melafazkan niat

"sahaja aku menaungi dan melindungi Tanah Melayu”.

Oleh sebab itulah British dikehendaki melindungi dan menaungi Tanah Melayu.

Tapi orang-orang yang buta sejarah

telah menuduh British datang

untuk menjajah dan menguasai


ekonomi Tanah Melayu.

















Saya semakin gila dengan ulasan bertalu-talu dari seseorang yang dianggap berkeahlian dalam bidang sejarah, iaitu Profesor Dr Zainal Kling. Katanya , Tanah Melayu tidak pernah dijajah, tapi hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.



Lalu, di sini saya(lepas ini akan digantikan dengan perkataan aku),mewakili rakyat Malaysia ingin memohon maaf kepada pihak British kerana telah menuduh British sebagai penjajah yang datang untuk mengaut kekayaan Tanah Melayu, terutamanya getah dan bijih timah.



Aku juga menyeru kepada semua warga Malaysia agar bertaubat dan bertaqwa di atas dosa-dosa silam kerana menuduh British.



Warga Malaysia kena faham, sesungguhnya kedatangan British telah membawa rahmat ke atas segenap penghuni Tanah Melayu. Segenap ruang dan ceruk di Tanah Melayu telah mendapat berkat akibat kedatangan British. Bukan hanya manusia, malah monyet, musang,kera dan babi hutan, turut mendapat rahmat daripada kedatangan British.



Kepada pihak British, maafkan aku kerana terlupa isi-isi penting Perjanjian Pangkor yang telah engkau tandatangani pada tahun 1874. Mujurlah Profesor Datuk Dr Zainal Kling memberitahuku dan seluruh warga Malaysia, sesungguhnya tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa Tanah Melayu akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi. Aku yakin dengan kata-kata Profesor Datuk Dr Zainal Kling itu, sebab sepanjang aku mempelajari sejarah, tidak pernah aku mendengar Sir Andrew Clarke yang menandatangani Perjanjian itu melafazkan niat “ Sahaja Aku Menjajah Tanah Melayu.” Dikatakan Sir Andrew Clarke ingin menjajah Tanah Melayu tapi beliau terlupa untuk berniat, jadi penjajahan dianggap tidak sah lalu bertukar menjadi naungan dan perlindungan.



Kepada pihak British,dengan ini aku menyeru diriku sendiri dan seluruh warga Malaysia agar tidak lagi menggelar BAPA KEMERDEKAAN kepada Tengku Abdul Rahman, tapi aku ingin memanggilnya sebagai BAPA NAUNGAN. Beliau tidak layak digelar Bapa Kemerdekaan sebab Tanah Melayu Tidak Pernah Dijajah, tapi beliau sangat layak dilabelkan diistiharkan sebagai Bapa Naungan sebab Tanah Melayu hanya dinaungi dan dilindungi.

















Selepas ini Tengku Abdul Rahman

tidak layak lagi digelar Bapa Kemerdekaan,

tapi layak digelar sebagai Bapa Naungan.













Kepada Pihak British, aku juga ingin memohon maaf di atas segala peristiwa berdarah yang dicetuskan oleh para ‘penderhaka dan pemberontak’ seperti Tok Janggut, Dato Bahaman, Dato Maharaja Lela, Haji Abdul Rahman Limbong dan ‘penderhaka-penderhaka’ yang lain. Mungkin mereka tidak tahu niat sucimu yang ingin melindungi Tanah Melayu.

Jika mereka tahu niat kedatanganmu ke Tanah Melayu hanyalah untuk melindungi dan menaungi Tanah Melayu tentu sahaja mereka tidak ‘menderhaka’. Mungkin ‘penderhaka-penderhaka’ itu terlupa tentang satu kenyataan. Iaitu, jika pihak British bukan penjajah, maka pemerintah dan penguasa Tanah Melayu secara total adalah Raja-Raja Melayu.



Wahai Tok Janggut, wahai Dato Bahaman, wahai Haji Abdul Rahman Limbong. Kamu semua telah tersalah menghala senjata. British datang untuk melindungi dan menaungi kita dan bukannya menjajah serta merampas hasil bumi kita. Negari-negeri kalian ditadbir oleh Sultan kalian masing-masing. British tidak kacau dan British juga tidak ganggu urusan pentadbiran negeri kalian. British cuma melindungi dengan penuh kasih sayang.



Jadi kalian telah menderhaka kepada Raja-Raja. Pantang anak Melayu derhaka kepada Raja. Jangan jadi Hang Jebat wahai Tok Janggut. Jebat itu penderhaka. Jangan jadi macam Nizar wahai Dato Bahaman. Nizar itu penderhaka. Lupakah kamu, betapa Tun Perak sanggup kematian anak secara percuma kerana tidak ingin menderhaka kepada Sultan Melaka. Lupakah kamu, betapa Hang Tuah sanggup mengadaikan cintanya terhadap Tun Teja kerana Sultan Melaka.



Sesungguhnya Kamu telah menentang Raja-Raja Melayu, sebab Raja-Raja Melayu adalah pemerintah kamu ketika itu. British bukanlah penjajah dan bukan juga penguasamu ketika itu. Brtish datang dengan niat yang suci murni untuk melindungimu dan negerimu. Jika sekiranya kalian tidak menentang British, tentu sahaja Tanah Melayu akan aman dan tenteram dari sebarang ancaman. Tapi kalian tersilap langkah, kalian telah mengancam keselamatan dalam negeri dengan memerangi manusia berhati mulia,iaitu pihak British.



Sekali lagi, aku mewakili seluruh rakyat Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia setelah kemasukan Sabah dan Sarawak, ingin memohon jutaan maaf kepada pihak British. Dan dengan ini, aku berjanji untuk tidak menyambut hari kemerdekaan pada tahun-tahun akan datang. Cuma, aku ingin menyambut Hari Naungan.



Dan, mulai detik ini aku sudah lupa apakah persitwa yang berlaku pada 31.ogos 1957. Aku juga berharap agar dapat melupakan tarikh tersebut secepat mungkin, kerana ia amat tidak penting untuk dikenang. Kerana ia satu tarikh yang penuh dengan pembohongan. Macam mana Tanah Melayu boleh merdeka jika Tanah Melayu tidak pernah dijajah.



Wednesday, 7 September 2011

Satu Hari Di Hari Raya



Sebagaimana Hari Raya pada tahun-tahun yang lepas, begitulah jugalah aktiviti rutin hari raya saya pada tahun ini. Solat sunat Aidillfitri(sepatutnya Idul Fitri), menziarahi tanah perkuburan dan berkunjung ke rumah saudara mara adalah antara aktiviti rutin yang dilakukan. Di sini ingin saya paparkan, satu lagi aktiviti rutin yang saya lakukan saban tahun ketika menyambut Aidil Fitri, iaitu mengunjungi rumah Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat(TGNA).



Ingin saya tegaskan di sini, kunjungan tersebut adalah kunjungan seorang rakyat Kelantan ke rumah Menteri Besar Kelantan dan bukannya kunjungan ke rumah Mursyidul Am PAS. Memang jasad yang sama dan rumah yang sama, tapi jawatan Menteri Besar dan Mursyidul Am adalah tak sama. Menteri Besar dipilih oleh rakyat dan direstui oleh Sultan, manakala Mursyidul Am pula selaku Ketua Kerohanian adalah atas kehendak para pemimpin PAS berdasar keilmuan Tuan Guru Nik Aziz dalam persoalan agama. Ini dua perkara yang berbeza dan mesti difahami. Tuan Guru Nik Aziz adalah Menteri Besar yang dipilih oleh majoriti rakyat Kelantan. Ini mesti di hormati oleh semua pihak. Tuan Guru Nik Aziz adalah Menteri Besar saya dan Dato' Sri Najib Tun Razak pula adalah Perdana Menteri saya. Harap jelas dan seterusnya saya pohon, janganlah anggap ini sebagai entry politik.


(Org bukan islam juga tidak
melepaskan peluang utk beraya bersama TGNA)


Tapi sayang, raya kali ini saya terlewat ke rumah Tuan Guru Nik Aziz, disebabkan keralitan bersembang dengan rakan-rakan yang berkunjung ke rumah saya. Waktu saya sampai ke rumahnya, Tuan Guru Nik Aziz sudah masuk ke biliknya untuk merehatkan diri. Agak terkilan sebab tidak dapat bersalaman dengan Tuan Guru Nik Aziz, tapi saya tidak boleh menyalahkannya, sebab Tuan Guru Nik Aziz tentu sahaja kepenatan setelah melayan tetamu dari awal pagi selain mengimani solat sunat Idul Fitri.







Jadi gambar-gambar tahun lepas ketika berhari raya di rumah Tuan Guru Nik Aziz , saya paparkan kat sini sebab tiada ruang dan peluang untuk merakam gambar berhari raya bersamanya tahun ini. Setakat gambar tetamu sedang makan dan minum adalah, tapi tak perlu rasanya untuk dipaparkan gambar itu.





Di kesempatan ini juga, saya ingin memohon jutaan maaf kepada sahabat blogger dan sesiapa sahaja yang berkunjung ke blog saya. Maaf di atas kekasaran bahasa dan keterlanjuran kata ketika menulis dan memberi komen.





( Lelaki Arab itu ialah cucu kpd Ulama terkenal dan tokoh Ikhwan Muslimin tersohor,
iaitu Sayyib Sabiq. Antara karya Sayyid Sabiq ialah kitab fiqh Sunnah
yg digunapakai oleh umat islam di seluruh dunia.)








Sunday, 4 September 2011

Hukum Menggabungkan Puasa Qadha dan Puasa Sunat Enam Hari Di Bulan Syawal.



(sila klik untuk tumbesaran yang sihat dan kuat)







Ini adalah episod kedua dari tajuk lepas, iaitu Lain-Lain Tentang Dua Dalam Satu



Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].



Hadis sahih ini menunjukkan betapa besarnya ganjaran pahala kepada sesiapa yang berpuasa sunat enam hari di bulan syawal.



Telah menjadi kebiasaan bagi sesetengah orang terutamanya wanita, iaitu kecenderungan untuk menggabungkan puasa sunat enam syawal dengan puasa qadha, atau dengan istilah lebih mudah, puasa 2 dalam 1. Persoalannya, adakah amalan ini direstui oleh syarak atau sekadar pandangan segelintir ulama yang kemudiannya menjadi kebiasaan yang diterima pakai.



Bicara ini hanyalah lanjutan hujah daripada beberapa orang tokoh agama Tanah Air, saya sekadar melebarluaskan pandangan mereka dengan menggunakan bahasa dan pendekatan tersendiri. Untuk memudahkan sahabat melakukan rujukan, akan saya sertakan link mereka nanti. Antara mereka yang saya maksudkan ialah Prof Dr Mahmud Zuhdi,seorang Pensyarah Akademi Pengajian Islam UM, Prof Madya Dr Abdul Hayei Abdul Sukor, bekas Pensyarah Akademi Pengajian Islam UM, juga penulis Tafsir Pimpinan Muttaqin, Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra Kelantan (KIAS) dan juga Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan., Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri , bekas pensyarah di Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM, dan sekarang ini diamanahkan sebagai Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat.



Terus kepada tajuk, mengenai hal ini, ulama sebenarnya berbeza pendapat. Ada yang berpendapat, Ia boleh dilakukan dan ada juga ulama yang berpandangan sebaliknya, iaitu tidak boleh digabungkan antara puasa sunat syawal dengan puasa qadha.



Tentang pandangan ulama yang mengharuskan, sahabat boleh langsung merujuk artikel yang ditulis oleh Prof Madya Dr Abdul Hayei Abdul Sukor( klik SINI). Cuma, secara ringkas, ulama yang berpandangan sebegini merumuskan, apa sahaja puasa yang dilakukan dalam bulan syawal(sama ada qadha, nazar atau apa sahaja), dianggap memenuhi kehendak puasa enam hari di bulan tersebut. Jadi pahala puasa sunat syawal akan diperolehi secara automatik apabila seseorang melakukan puasa qadha dalam bulan syawal, sama ada dia niat atau tidak diniatkan puasa sunat itu.



Tentang persoalan niat pula, mereka berhujah bersandarkan dalil yang umum tentang niat, iaitu “ Amalan-amalan itu hanyalah berdasarkan niat-niat. Dan setiap orang mendapat hanya apa yang diniatkan.” (Hadis riwayat Bukhari no1 dan Muslim no 3530)



Bentuk pengambilan dalilnya ialah: orang yang berpuasa tadi berniat kedua-duanya. Justeru, terhasillah pahala bagi kedua-duanya.



Namun, menurut kebanyakan ulama, niat puasa yang mengabungkan antara Qadha dan puasa sunat Syawal hanya menjadikan ia sah untuk puasa qadha sahaja. Menurut Ibn Hazim pula kedua-duanya tidak sah. Hujah mereka ialah kerana kedua-dua ibadah tersebut merupakan ibadah yang dimaksudkan dan menjadi matlamat secara tersendiri. (Ibn Rajab al-Hanbali, al-Qawa`id, hlm. 24).



Matlamat Puasa Qada Ramadhan adalah kerana meninggalkan puasa Ramadhan. Matlamat Puasa enam Syawal pula adalah ekoran daripada puasa wajib Ramadhan. Lebih lanjut tentang penjelasan ini, langsung sahaja membaca artikel yang ditulis oleh Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri (klik SINI)



Menurut Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, yang juga dikenali sebagai Abu Anas Madani, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Sila rujuk artikel beliau (klik SINI) atau langsung ke web site Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra Kelantan ( klik KIAS)



Secara peribadi saya amat tertarik dengan hujah yang diblontarkan oleh Prof Dr Mahmud Zuhdi. Beliau juga tidak menerima atau tidak mengharuskan amalan puasa dua dalam satu ini. Prof Dr Mahmud Zuhdi menegaskan amalan mengabungkan puasa qadha dengan puasa sunat enam syawal ini bercanggah dengan hadis yang bermaksud “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”



Umum mengetahui, MENGIRINGI membawa maksud berasingan dan bukannya digabungkan. Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.



Kata Prof Dr Mahmud Zuhdi lagi, ia ibarat seseorang yang ingin membayar hutang, namun dalam masa sama, duit itu ingin disedekahkan kepada orang memberi hutang kepadanya. Tentu sekali tidak dapat diterima, sebab hutang wajib dilunaskan manakala sedekah pula hanyalah amalan sunat.



Kesimpulannya, eloklah dilaksanakan secara berasingan meskipun ada pendapat yang mengatakan ia boleh disatukan. Ambil jalan selamat di sebalik khilaf ulama. Selesaikan dahulu puasa ganti yang bertaraf wajib , kemudian barulah kita kejar puasa enam syawal yang bertaraf sunat. Segunung ibadat sunat tetap tidak mampu menandingi ibadat wajib. Jutaan solat sunat yang dilakukan tetap tidak bererti andainya solat fardhu tidak dilaksanakan. Segunung sedekah tiada maknanya andainya zakat diabaikan.



Saya berminat sekali untuk perturunkan nasihat yang titipkan oleh Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman



Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:



Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]”