Sunday, 7 February 2010

SI SESAT YANG PALING BIJAKSANA




Sebelum melanjutkan pembacaan renungilah terlebih dahulu pesanan daripada SAIDINA UMAR AL-KHATTAB “ KITA IALAH KAUM YANG DIMULIAKAN OLEH ALLAH DENGAN ISLAM. JIKA KITA MENCARI KEMULIAAN SELAIN DARIPADA KEMULIAAN ISLAM, MAKA KITA AKAN DIHINA OLEH ALLAH”


****SI SESAT YANG PALING BIJAKSANA DAN BERGAYA*********

INI kesepakatan yang dicapai oleh saya dan empat orang rakan sewaktu bersembang di Dataran Ipoh Perak. Bersembang secara bersahaja sambil minum dan makan, akhirnya membuahkan Kesepakatan tanpa khilaf. Tiada percanggahan pendapat dan Tiada ketidaksehaluan bicara.

Kami berlima telah bersepakat untuk menobatkan Ariffin bin Ahmad , yang lebih dikenali sebagai Ayah Pin sebagai TOKOH AJARAN SESAT yang PALING BIJAKSANA, PALING BERJAYA dan PALING BERGAYA. Tokoh ini telah mengalahkan dua ikon ajaran sesat yang lain, iaitu Abdul Kahar Ahmad( Rasul Melayu) dan Ashaari Muhammad @ Abuya( Imam Mahadi).


AYAH PIN bijak mencari ruang dan pandai mengintai peluang. Itu pandangan yang dikemukakan oleh seorang sahabat saya. Hujah sahabat saya ini mudah sahaja, AYAH PIN telah mencatas kehebatan Abuya Imam Mahadi dan Kahar Si Rasul Melayu. Sebelum itu, ada baiknya kita menilai dahulu, mengapakah Abuya Imam Mahadi dan Sang Kahar Rasul Melayu tidak sehebat dan tidak SEBERGAYA seperti AYAH PIN.






Abuya Imam Mahadi berada pada kedudukan paling tercorot. Fakta dan hujah yang dikemukakan untuk membuktikan dirinya sebagai Imam Mahadi juga agak melucukan dan semacam lelucon sahaja. Kononnya dia berturunan Bani Tamim, namun umum mengetahui dia berketurunan Jawa. Abuya juga boleh dianggap sebagai ikon ajaran sesat yang paling bodoh sebab hanya ingin menjadi Imam Mahadi , iaitu satu jawatan yang paling tidak bergaya berbanding jawatan yang ingin diraih oleh Sang Kahar dan Ayah Pin.


Sang Kahar Rasul Melayu, sedikit bijaksana berbanding Abuya Imam Mahadi. Sebab dia mengaku jadi Rasul. Umum mengetahui taraf atau kedudukan sesorang Nabi dan Rasul jauh lebih mulia berbanding Imam Mahadi. Tahniah buat Sang Kahar. Fakta dan hujah yang dikemukakan untuk membuktikan KERASULANNYA juga jauh lebih bijaksana. KATA Sang Kahar Rasul Melayu, Asbabul Nuzul( sebab turunnya) Surah Yassin adalah kerananya. Kerana Surah itu memperakui KERASULANNYA.



Sekarang kita lihat faktor, AYAH PIN dianggap sebagai tokoh sesat yang PALING BERJAYA, PALING BIJAKSANA DAN PALING BERGAYA.


PERTAMA, Ayah Pin mengaku dirinya sebagai TUHAN. Umum mengetahui, kedudukan Tuhan jauh lebih mulia berbanding Imam Mahadi dan para Rasul. Jadi di sini AYAH PIN lebih bergaya berbanding Abuya Imam Mahadi dan Sang Kahar Rasul Melayu. Jadi, Ayah Pin telah memintas segala bentuk ajaran sesat yang pernah wujud sebelum ini dan sekali gus mencantas mana-mana bentuk ajaran sesat yang bakal wujud. SEBABNYA, mana ada yang lebih hebat ( baik Wali, Imam Mahadi mahupun Nabi) berbanding TUHAN. Secara ANALOGINYA, Abuya Imam Mahadi sekadar berbasikal, Sang Kahar pula menunggang motorsikal dan Ayah Pin pula menggunakan pesawat terbang terlaju di dunia.


KEDUA, Ayah Pin lebih bersifat sejagat, sebab dia mengaku dialah TUHAN untuk semua bangsa dan agama. Kata Ayah Pin, penganut Hindu berbangsa India menamakannya sebagai SHIVEN atau MURUGAN. Penganut Budha berbangsa Siam pula menamakannya sebagai PUTHU. Sesetengah orang Melayu yang sesat pula menamakannya sebagai BOS RIJALULGHAIB dan BAPA DEWA KAYANGAN. Penganut Hindu di Pulau Bali pula menamakannya sebagai PENDETA AGUNG BHAGAWAN TER.


Sekarang kita lihat pula perjuangan sempit yang berbaur perkauman yang diperjuangkan oleh Abuya Imam Mahadi dan Sang Kahar. Mereka berdua ini hanya ingin menjadi jaguh dalam kalangan orang Melayu sahaja. Abuya Imam Mahadi, meskipun tidak pernah mendakwa dirinya diutuskan untuk orang Melayu, namun hakikatnya memang begitu. Sepertimana Parti Komunis Malaya (PKM) menggunakan simbol bintang tiga( yg mewakili Melayu , Cina dan India) namun hakikatnya PKM adalah pertubuhan yang majoritinya keahliannya adalah orang Cina. Secara jujur, saya pernah ‘diserang’ melalui email dan forum di internet oleh pengikut Abuya Imam Mahadi. Kata mereka, saya sepatutnya bersyukur kerana Imam Mahadi berbangsa Melayu. Kata mereka lagi, Allah telah memuliakan bangsa Melayu kerana telah melantik Imam Mahadi dalam kalangan orang Melayu, jadi kita tak perlu bersedih walaupun tiada seorang pun Nabi dan Rasul bermula dari Adam A.S hingga Muhammad S.A.W yang berbangsa Melayu. Ada juga kalangan mereka yang mengatakan (saya rasa dia ni guru atau pensyarah sejarah), mana-mana Melayu yang tidak menyokong Abuya sebagai Imam Mahadi, samalah dengan mana-mana Melayu yang menyokong MALAYAN UNION. Begitulah GILANYA pengikut Abuya. Sang Kahar pula , awal-awal lagi mengaku yang dirinya hanyalah seorang Rasul untuk bangsa Melayu. Nah! Ternyata perjuangan Abuya dan Sang Kahar berkonsepkan Asobiyyah.


KETIGA, Di sinilah kehebatannya dan kebijaksanaannya SANGAT TERSERLAH. Iaitu, sampai ke hari ini dia tidak dapat ditangkap dan dikesan oleh pihak berkuasa. Tidak seperti Abuya Imam Mahadi dan Sang Kahar yang pernah dan telah ditangkap. Lagi hebat kerana Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri tika itu, iaitu Datuk Noh Omar telah menegaskan sesungguhnya Ayah Pin tidak perlu dikenakan tahanan ISA sebab dia tidak mengancam keselamatannegara.


NAH TERNYATA AYAH PIN MERUPAKAN TOKOH AJARAN SESAT YANG PALING BERJAYA DAN BERGAYA. BERSETUJUKAH ANDA DENGAN PENDAPAT KAMI BERLIMA INI.

Sunday, 31 January 2010

sudah KEHENDAK-NYA


Cerpen saya ini disiarkan dalam Majalah Nur( Karangkraf) edisi Febuari 2010.


TAJUK = SUDAH KEHENDAK-NYA.
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.



Hidayah. Aneh sungguh ia didatangkan. Adakalanya terlalu sukar dan ada kalanya teramat senang. Itulah kesimpulan yang dapat aku buat setelah mendengar ceritanya. Namun, akal warasku tetap mewajarkan semua itu sebagai kehendak-Nya, seperti yang dirakamkan di dalam Firman-Nya , surah al-Ghaasyiyah, ayat 21 dan 22.


“Oleh itu, berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran islam yang engkau sampaikan itu)”


Ya, sudah kehendak-Nya, Abu Talib mati dalam kekufuran. Walaupun diterangkan berkali-kali dan dijelaskan berjela-jela, namun kalimah tauhid tetap tidak mampu bertapak di hatinya. Sudah kehendak-Nya, Umar al-Khattab menjadi manusia yang beriman. Sesudah mendengar dan membaca beberapa patah kalam Allah dari surah Taha, hati kerasnya terus lunak dan zulmat jahiliahnya terus sirna. Sudah kehendak-Nya juga Yvonne Ridley, wartawan Sunday Express menemui islam sesudah menjadi tahanan Taliban yang sering dilabel sebagai ganas dan kejam. Begitu jualah dengan sahabatku ini, sudah kehendak-Nya.


****


Benarkah apa yang aku saksikan? Jujur, ada perasaan aneh yang melingkari jiwa tatkala terpandangnya. Sungguh! pertemuan yang tidak disengajakan di masjid tadi telah melemaskan aku dalam lautan tanda tanya. Benar! perubahannya itu agak sukar untuk aku percayai pada mulanya. Ternyata, masa telah mengubah segalanya.


Sudah adatnya bila agak lama tidak berjumpa, maka banyaklah perkara yang hendak diceritakan. Cerita tentang aku, juga tentang dia dan akhirnya melarat ke cerita ‘penghijrahannya’.


“Pernahkah kau mendengar atau melihat seseorang doktor dirawat oleh pesakitnya.” Begitulah soalan yang dia ajukan kepadaku. Aku sekadar menggelengkan kepala. Dia kemudiannya memandang tepat ke arahku dan mata kami bertembung. Aku lihat dia diam. Sekilas renung di wajahnya seolah-olah ada hiba yang bertandang. Suasana khali buat
seketika dan alam bagaikan mati dibungkus sepi.


“Mungkin aneh dan agak lucu. Tapi inilah yang telah berlaku dan akulah doktor itu.” Amir, sahabatku itu kembali bersuara setelah jeda seketika. Aku diserbu kehairanan. Benar-benar menyanggahi kelaziman. Betul-betul menyalahi kebiasaan.


“Benarkah apa yang dikatakan itu?.”


“Apakah yang sebenarnya telah berlaku?.”



****


Kata Amir, kisah itu telah dua tahun berlalu. Namun, hingga ke saat ini peristiwa itu tidak pernah pamit dari ingatannya. Tidak sekadar memungut kenangan, dia juga banyak mengutip pengajaran dari peristiwa itu, begitulah Amir menjelaskan kepadaku. Aku sekadar mengangguk perlahan. Aku yakin dia telah menemui hikmah yang tersirat di sebalik hakikat yang telah tersurat.


Kata Amir, semuanya bermula setelah dia mengenali Aisyah, gadis yang terlantar di katil hospital, sekali gus menjadi pesakitnya. Hatinya digamit untuk mengenali Aisyah setelah terlihat gadis itu menunaikan rukun islam yang kedua dalam keadaan duduk, lantaran tiada kudrat untuk berdiri.


“ Aku benar-benar kehairanan melihat semua itu dan itulah buat pertama kalinya aku melihat orang bersembahyang dalam keadaan sebegitu,” begitulah Amir meluahkan kehairanannya kepadaku.


Memang wajar untuk Amir berasa pelik dan hairan melihat semua itu. Apa tidaknya, dia seorang lelaki yang amat jauh dari agama. Sejauh langit dari bumi dan sejauh timur dari barat. Begitulah hebatnya jarak yang terbina antara dia dan agama yang dianutinya.


“Aku free thinker.” Begitulah pengakuannya sembilan tahun yang lalu, sewaktu kami menjadi warga sebuah kolej matrikulasi di utara semenanjung, atau lebih tepat lagi sebelum dia melanjutkan pelajarannya ke Ireland dalam bidang perubatan.


Tiba-tiba aku teringatkan peristiwa kedatangan islam ke bumi Melaka. Seperti yang dirakamkan dalam teks Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Seri Lanang, penduduk Melaka begitu terkejut dan sangat hairan tatkala melihat Saiyid Abdul Aziz bersembahyang di pantai setelah tiba ke Melaka. Sebagaimana penduduk Melaka ketika itu, begitulah situasi Amir tatkala melihat Aisyah yang bersembahyang dalam keadaan duduk.


“Bermula saat itu, aku ingin mengenalinya dengan lebih dekat. Selaku doktor, tentu sahaja tidak sukar untuk aku mendekatinya. ” Amir kembali menyambung ceritanya yang terhenti buat seketika.


“Pada mulanya agak kekok juga. Bicara kami banyak dibatasi sempadan seorang doktor dan pesakitnya. Namun, lama-kelamaan kami menjadi akrab dan tiada lagi jurang bicara seperti yang sebelumnya. Kami mula berkongsi cerita dan berceritakan kehidupan masing-masing. Akhirnya, tidak sekadar tahap keseriusan penyakitnya yang aku selongkar. Malah, latar belakangnya juga turut aku selami. Secara jujurnya, aku tertarik dengan sopan kata dan santun bicaranya. Ikhlas! Aku tertawan dengan jujur pekerti yang mendiami peribadinya.” Aku terpegun sejenak mendengarkan kisahnya. Lantas aku memutuskan untuk diam dan menjadi pendengar yang setia.


“Aisyah sebenarnya menghidap barah pangkal rahim. Sel-sel barah telah membiak dan merebak ke beberapa bahagian penting dalam jasadnya.” Amir meraup wajahnya. Mungkin ada sedih dan pilu di hatinya kala itu. Seketika kemudian dia melontarkan pandangannya ke arah masjid. Seolah-olah ada tersembunyi sesuatu di institusi yang mulia itu. Institusi yang suatu ketika dahulu amat asing baginya.


****


“Bagaimanakah sesuatu penyakit memperkenalkan dirinya?.” Begitulah Aisyah mengajukan tanya setelah mengetahui Amir seorang free thinker.


“Tentu sahaja melalui simpton-simptonnya.” jawab Amir dengan penuh keyakinan. Pasti sahaja jawapan Amir selaku doktor itu benar dan tepat.


“Allah juga ada kaedah tertentu untuk memperkenalkan diri-Nya. Antaranya ialah menerusi ciptaan-Nya.” Amir tersentak mendengar jawapan itu. Ternyata soalan yang dikemukakan oleh Aisyah tadi bukanlah bermotifkan ingin tahu tetapi kerana ingin menduganya.


Melihat Amir yang masih terpinga-pinga, lantas Aisyah membacakan kepadanya sepotong ayat Al-Quran, surah Ali ‘Imraan, ayat 190.
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan ,kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”


“Bagaimana pula seseorang doktor dapat mengetahui atau mengenalpasti sesuatu penyakit pada pesakitnya?.” Amir tidak menjawab soalan yang diajukan itu. Dia diam seribu bahasa sambil indera pandangnya menyeluruhi wajah tenang yang sedang menderita itu. Amir sedar pertanyaan Aisyah kali ini juga bukanlah bermotifkan ingin tahu.


“Tentu sahaja dengan memeriksa suhu badan dan denyutan nadi. Dan untuk penyakit yang lebih kronik, mungkin memerlukan kaedah x-ray dan scan. Apa pun kaedahnya, yang pasti semua itu berdasarkan pemerhatian dan penelitian yang mendalam serta pemilikan ilmu yang tinggi. Begitu juga untuk mengenali Allah, mesti dengan melihat, merenung dan memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah.”


“Maksud awak, dengan meneliti dan memerhatikan apa yang ada di langit dan di bumi?.” Amir bertanya inginkan kepastian.


“Ya. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim Alaihi Salam. Baginda mengenali Allah setelah memerhatikan bintang, bulan dan matahari. Kisah ini dinyatakan dalam Al-Quran, surah al-An’aam ayat 74 hingga 79.” Persis seorang ahli panel dalam program forum agama, gadis malang itu berhujah dengan hebat sekali.
Aku si pendengar yang setia, tiba-tiba terkenangkan kehebatan Aisyah, isteri Nabi Muhammad. Beliau begitu banyak meriwayatkan hadis dan menjadi rujukan para sahabat dalam persoalan agama. Mungkinkah Aisyah, si penderita barah pangkal rahim itu telah ‘mencetak’ sekelumit kehebatan milik Aisyah isteri junjungan mulia, Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam?


“Meneliti dan memerhati bukan setakat dengan mata, tetapi mestilah disertai akal yang tajam dan kefahaman yang matang. Inilah ciri-ciri Ulul Albab, kalimah yang disebut sebanyak enam belas kali dalam Al-Quran. Kerana memiliki ciri-ciri inilah Nabi Ibrahim mampu mengenali Allah. Dan kerana memiliki ciri-ciri ini jualah Ibn Sina, Al-Razi dan Ibn Al-Nafis semakin dekat dengan Allah setelah bergelumang dalam dunia perubatan” Amir terpaku mendengar hujah demi hujah yang dimuntahkan oleh Aisyah. Semacam ada kuasa ghaib yang memaksanya untuk terus memberikan tumpuan terhadap bicara Aisyah.


Ibn Al-Nafis, aku si pendengar yang setia tiba-tiba terkenangkan tokoh itu. Tokoh perubatan kelahiran Damsyik pada tahun 1210 Masihi itu, telah memberi sumbangan yang amat besar dalam ilmu perubatan dan dunia kedoktoran. Setelah mewakafkan hidup dan kehidupannya untuk menelaah dan mengkaji, akhirnya dia menemui saluran pembuluh darah di dalam badan manusia. Aku yakin sekiranya anugerah Nobel telah diwujudkan kala itu, pasti sahaja anugerah Nobel Perubatan akan dimenanginya, sebagaimana Karl Landsteiner yang menerima Anugerah Nobel Perubatan pada tahun 1930 kerana kejayaan mengklasifikasikan jenis darah kepada A, B, AB dan O.


“Bagaikan si lapar yang tak bertemu makanan dan si dahaga yang tak bertemukan minuman. Pasti sahaja kesudahannya ialah mati kebuluran dan kehausan. Begitu jualah halnya dengan manusia yang tak menemui kebesaran Allah melalui ciptaan-ciptaan-Nya. Mereka ini mempunyai hati, mata dan telinga yang tidak berfungsi hingga tidak mampu memerhati dan meneliti. Dan kesudahan mereka ini ialah neraka jahanam. Tidak hairanlah jika Allah menyamakan mereka ini dengan binatang ternakan, sebagaimana yang dirakamkan di dalam surah Al-A’raaf ayat 179.” Kata-kata Aisyah terus menerjah telinganya. Malah, Amir menjelaskan kepadaku kata-kata itu menyebabkan lenanya terganggu buat beberapa ketika.


“Astaghfirullahalazim” Amir beristighfar perlahan. Ternyata, penerangan yang diberikan oleh Aisyah tidak sekadar singgah di telinga tapi meresap jauh ke hatinya hingga sebati bersama darah dan dagingnya. Tentu sahaja antartika kejahilannya mula mencair sedikit demi sedikit. Pasti sahaja horizon pemikirannya juga mula meluas seinci demi seinci. Mencair dan meluas kerana Aisyah.

***

“Aisyah telah berjaya merawaktu. Rohaniku yang sakit, akidahku yang parah dirawatnya dengan cermat dan hati-hati. Tapi sayang…” Amir tidak mampu meneruskan kata. Dipejamkan matanya seketika untuk meredakan sebak di dada.


“Maksudmu.” Aku cuba menebak apa yang ingin disampaikannya itu. Jauh di sudut hati, sudah dapat aku duga apa yang telah berlaku.


“Aku gagal. Dia pergi jua akhirnya.” Bicara Amir tersekat-sekat dan aku lihat air matanya mulai mencurah. Tangisannya itu meluluhkan hatiku.


“Sudah kehendak-Nya, Aisyah pergi. Janganlah sesekali kau kesalkan.” Aku cuba meredakan pilunya, meskipun aku sendiri didatangi sebak di dada.


“Barahnya sudah tahap ketiga. Tahap kritikal dan tidak mampu lagi dirawat melalui kemoterapi dan radioterapi.” Jelas Amir sambil menyeka air mata.


“Oh Aisyah! Terima kasih kerana telah mengembalikan sahabatku ke paksi agama. Terima kasih juga kerana telah membimbing sahabatku yang telah jauh tersasar dari orbit akidah,” Bicaraku hanya dihati.


“Sudah kehendak-Nya, dia menderita barah. Sudah kehendak-Nya juga, dia bertemu denganmu. Sebab, sudah Kehendak-Nya, dia yang merawatmu.” Sedaya mampu aku pasakkan keyakinan ke dalam hati Amir. Biar Amir mengerti. Moga Amir faham. Itulah kehendak-Nya.


“Al-Fatihah buatmu ,Aisyah!”

Sunday, 24 January 2010

MERENTAS MASA


SEBELUM BERALIH ARAH
SEBELUM MENCARI ARAH
PASTIKAN ARAH YANG INGIN DITUJU
TAKUT NANTI..
KAU TERCARI-CARI DI DALAM TERANG
BIMBANG NANTI
KAU TERABA-RABA DI DALAM BENDERANG.


Lega rasanya apabila aktiviti merentas desa dapat diadakan dengan sempurna. 23. Januari 2010, tamatlah sudah satu aktiviti ko-kurikulum yang menjadi acara tahunan di sekolahku. Merentas desa menawarkan keseronakkan buat pelajar-pelajarku lantaran kebosanan dengan kerutinan dan kebiasaan di dalam kelas. Potret keriangan jelas terpamer pada wajahnya. Sungguh gembira mereka berlari meredah jalan dan denai, melewati beberapa perkampungan dan kawasan perumahan.
Itu tentang merentas desa. Tapi, bagaimana pula dengan merentas masa. Ia tidak sesusah merentas desa. Ia tidak memerlukan kita berjalan dan berlari tetapi ia memerlukan kita berfikir dan menghayati. Ia tidak memenatkan tapi agak mengerunkan.

Perlu sekali untuk para pelajar diajar untuk merentasi masa. Memang perlu, untuk membolehkan mereka berpijak di bumi yang nyata. Sangat perlu, agar mereka tidak berpaut di dahan yang rapuh. Terlalu perlu, supaya mereka tidak bersandar pada dinding yang rebah. Teramat perlu, semoga mereka tidak berpijak di lantai yang rekah. Mereka perlukan petunjuk agar tidak tersalah arah. Mereka perlukan panduan agar tidak tersasar tanpa pedoman. Risau, kalau tanpa petunjuk, mereka akan tercari-cari walaupun dalam terang. Takut, kalau tanpa panduan, mereka akan teraba-teraba meskipun dalam benderang

Sebelum lena ada baiknya membiarkan diri menerawang seketika. Ambilah sedikit masa untuk mengerti hakikat masa. Masa yang secara umumnya terbahagi kepada tiga. Masa silam yang telah dilalui, masa kini yang sedang dinikmati dan masa depan/hari esok yang belum pasti.

MASA SILAM

MASA SILAM yang kini tersimpan rapi di arkib ingatan. Tidak wajar untuk sekadar mengutip kenangan pada setiap detik yang telah kita kehilangan. Sewajarnya, kita turut memungut pengajaran untuk menjadikan kita lebih matang. Memang benar, kita tidak mampu menghalang larian waktu yang telah berlalu. Tapi, sekurang-kurangnya menolehlah buat seketika. Bukan untuk bernostalgia tapi untuk merenung dan menghayati. Cuba bayangkan betapa murahnya ‘harga’ untuk hidup beberapa tahun yang lalu, dalam lingkungan 15-20 tahun yang lalu ( Mungkin tika itu mereka yang bergelar pelajar masih lagi bertaraf bayi). Tidak kisahlah harga rumah, harga tanah, malah harga beras dan gula. Juga harga petrol dan lain-lain keperluan.

Tapi, sayang. Itu kisah beberapa tahun yang lalu. Jadi sejarahlah kini. Perubahan datang dan semua itu lenyap dimamah zaman. Tapi, harus disedari sesungguhnya sejarah ini akan berulang. Maksudnya, akan datang ‘harga’ untuk hidup semakin mahal. Mereka yang bergelar pelajar pada hari ini, kemungkinan akan melangkah ke alam dewasa lebih kurang 10 tahun lagi. Tika itu cuba bayangkan berapakah harga untuk sebuah rumah teres, atau pertanyaan paling bodoh, berapakah harga untuk sekilo gula? Masih adakah subsidi gula dan petrol seperti yang pernah dan sedang kita kecapi hari ini?


MASA KINI

MASA KINI yang sedang dihadapi. Kalau tidak cermat dan hati-hati dalam melayarinya, maka banyaklah impian yang tidak akan makbul. Banyak juga hasrat yang tidak akan tertunai. Tapi sayang, inilah yang sering pelajar buat tidak kisah dan tidak peduli. Inilah realiti yang saya perhatikan sepanjang bergelar guru. Paling saya terkilan dengan pelajar yang datangnya dari keluarga yang miskin tetapi ‘ miskin’ pula semangat juangnya untuk belajar. Dalam satu kes, bekas pelajar saya yang merupakan seorang anak yatim yang telah kematian ayah, ibu pula lumpuh dan adik beradiknya lebih kurang 11 orang. Memang meruntun hati tika saya ke rumahnya sekitar 2008. Tapi, yang dikesalkan kerana dia juga turut ‘miskin’ semangat juang dan ‘yatim’ cita-cita dan tujuan. Ke sekolah hanya kerana ingin berjumpa dan bersembang bersama teman-temannya. Ponteng kelas menjadi aktiviti rutinnya. Petang-petang pula asyik dengan aktiviti tak senonoh di taman rekreasi. Kesudahannya anak yatim ini kecundang dalam SPM. Itu sebahagian contoh yang mampu saya paparkan.

Terlalu banyak sebenarnya kes macam ini. Miskin tapi malas. Susah tapi culas. Tanpa sedar, mereka yang datang dari keluarga yang susah tapi culas ini, sebenarnya sedang merancang untuk mengulangi sejarah kesusahan keluarga mereka. Mereka gagal mengusir kemiskinan yang menghambat kehidupan lantaran culas dan malas. Sepatutnya mereka sedar sebelum mereka menukar arah( lari dari matlamat sebenar sebagai pelajar) sebabnya selepas ini mereka akan mencari arah(mencorakkan kehidupan). Jangan nanti arah yang dituju bagaikan api atau duri. Andai melangkah pasti terbakar atau terluka.


MASA HADAPAN
MASA HADAPAN yang kita tidak pasti. Tapi, lumrahnya formula untuk masa hadapan ialah 1+2=3. Walaupun ia tidak setepat dan setetap 1+2=3, lantaran adanya faktor nasib dan takdir. Tetapi Tuhan tidak pernah menzalimi hamba-Nya, jadi formula ini hampir tepat dan tetap. Sebagaimana orang yang makan akan berasa kenyang, orang yang mandi akan kebasahan, begitu jugalah untuk orang yang rajin berusaha maka hasilnya ialah kejayaan. Orang yang malas pula, hasilnya ialah kegagalan. Itulah formula yang lazim dan lumrah. Perlu sekali untuk pelajar dan ibu-bapa mengetahui sesungguhnya kehidupan akan datang amatlah mencabar. Kos hidupnya sungguh mencabar. Perlumbaan untuk memperolehi pekerjaan juga mencabar. Apa sahaja termasuklah kadar jenayahnya juga mencabar lantaran kehidupan yang mencabar.

Jadi, apakah persiapan anda untuk mendepani kehidupan yang serba mencabar ini. Tidak boleh lagi kita mengharapkan subsidi dan bantuan kerajaan sepanjang hayat. Mahu atau tidak mahu, kita terpaksa memperkasakan diri mulai hari ini/masa kini. Untuk pelajar, anda perlu belajar dan belajar dengan gigihnya demi kegemilangan hari esok. Untuk ibu bapa pula, perlulah sedar akan tanggungjawabnya demi kelangsungan hidup anaknya pada hari muka. Sebabnya kebiasaannya, formula ini agak tepat dan tetap seperti mana tepat dan tetapnya 1+2=3. Malah Pribahasa Melayu turut menyokong formula ini, Berakit-rakit dahulu, Berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, Bersenang-senang kemudian. Ia menepati formula 1+2=3.

Wednesday, 13 January 2010

Kegilaan Yang Menggila

Gula dan Gila.

Bukan gula-gula

Tidak juga gila-gila

Tapi, Inilah.....

kegilaan yang menggila

Kegilaan menaikkan harga gula

Dengan alasan yang gila,

Kononnya untuk mengurangkan kegilaan orang ramai terhadap gula

Kononnya kegilaan terhadap gula

Akan menyebabkan obesiti dan diabetes menggila

Tuesday, 5 January 2010

TENTANG GURU, APA YANG PERLU PELAJAR KETAHUI


TENTANG GURU, APA YANG PERLU PELAJAR TAHU.

(sebelah, gambar bersama-sama pelajar di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu)

“Dan IA telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkan kepada malaikat lalu ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda itu semuanya, jika kamu golongan yang benar. Malaikat itu menjawab: “ Maha Suci Engkau ( Ya Allah) kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang kau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, Lagi Maha Bijaksana.” (SURAH AL-BAQARAH , ayat ke-31-32)

Berdasarkan kalam Allah ini, jelaslah sejarah PEMBELAJARAN telah bermula sejak sekian lama. Allah yang MENGAJAR dan Adam(termasuk Malaikat) yang DIAJAR.

Kali ini, di ruangan yang terhad dan terbatas ini, saya ingin berbicara tentang golongan yang DIAJAR( boleh sahaja ditakrifkan sebagai pelajar, murid atau yang seerti dengannya). Ya, berbicara tentang apa yang perlu pelajar ketahui tentang gurunya.

Tentang biodata guru?
Jujur! itu amat tidak penting .

Tentang tarikh sambutan hari guru?
Ikhlas! Bukan itu yang harus diutamakan.
Jadi apa yang perlu mereka ketahui tentang gurunya?

SETIAP GURU INGINKAN KEJAYAAN PELAJARNYA.

Ini yang paling utama untuk seseorang pelajar ketahui. Ini visi dan misi seseorang guru sejak zaman berzaman-zaman. Inilah impi dan citra setiap guru di segenap penjuru dan ruang di buana ini.


Setiap guru pasti berbangga dengan kejayaan pelajarnya. Sebagai mana bangganya Imam Bukhari yang menjadi guru kepada Iman Tirmizi, hinggakan Imam Tirmizi menjadi Muhadithin yang terkenal. Malah dari segi kedudukan atau mutu, kitab Sunan al-Tirmizi yang dihasilkan oleh Imam Tirmizi merupakan kitab Sunan keempat daripada enam kitab Sunan yang. Malah, Imam Bukhari sendiri pernah mengatakan, Sesiapa yang menyimpan Sunan al-Tirmizi di rumahnya, seolah-olah telah menyimpan Nabi di rumah. Malah, Khatib al-Baghdadi menamakan Sunan al-Tirmizi sebagai al-Jami’ al-Sahih.

Jujur! setiap guru inginkan setiap pelajarnya berjaya melakarkan masa depan yang gemilang. Jangan ada suram dan jangan ada kelam, jangan ada hitam dan jangan ada mendung yang menabiri kehidupan pelajar-pelajarnya.


SETIAP GURU INGINKAN PELAJARNYA LEBIH BERJAYA DARINYA.

Selalu saya berkata kepada pelajar-pelajar saya. Kalau saya sebagai guru, kamu sekurang-kurangnya menjadi seorang pensyarah di IPTA/IPTS.

Dua kisah ingin saya paparkan sebagai renungan buat semua.

PERTAMA:
Ingin sekali saya paparkan kisah Alexander Graham Bell. Beliau adalah guru dalam
penciptaan telefon(kerana beliau adalah pencipta telefon). Memang dia dikenang sebagai manusia yang hebat dan berjasa kerana telah memperkenalkan telefon sebagai alat untuk beromunikasi. Tetapi, harus diakui ‘anak didiknya’ hari ini, iaitu pencipta telefon jauh lebih hebat daripadanya. Kalau beliau masih hidup tentu sahaja beliau terkejut dengan jecanggihan handphone yang terdapat di pasaran hari ini.

KEDUA.
Kisah Anne Sullivan! Dialah guru yang telah memperkenalkan huruf dan nombor kepada Hellen Keller yang pekak dan buta. Tapi sejarah telah menjilidkkan, Hellen Keller kemudiannya terkenal seantero dunia dan jauh mengatasinya.
Begitu juga dengan saya( begitu juga dengan guru-guru yang lain), inginkan anak didiknya mengatasinya dari segi pencapaian dan kegemilangan hidup. Jurutera, arkitek, doktor, peguam, tokoh korporat dan pemimpin terkemuka, biarlah semua itu menjadi hak milik pelajarnya.
Bagaimanapun ini bukanlah bererti saya menghina pelajar-pelajar yang kecundang dalam akademik atau yang gagal meraih kerjaya yang profesional.
]ujur! meskipun anda hanya seorang penjual goreng pisang, petani, nelayan ataupun pekerja kilang. Namun, anda jauh lebih mulia berbanding seorang akauntan yang sanggup menggelapkan akaun orang lain demi menerangi akuannya.
Ikhlas! anda lebih suci berbanding segelintir profesional yang lena dan leka dalam dakapan rasuah.
Sejauh langit dari bumi, begitulah mulianya anda berbanding tokoh korporat yang menjadi keparat lantaran halobakan laba semata-mata.
Sejauh timur dari barat , begitulah sucinya anda berbanding segelintir politikus yang
sanggup melacurkan kebenaran demi kuasa.
Pokok pangkalnya anda jujur dan ikhlas. Jujur dan ikhlas yang mempunyai keterikatan dengan agama. Dan inilah yang ingin setiap guru nyatakan kepada pelajar-pelajarnya. Baik kepada yang bergelar jurutera, doktor dan arkitek. Mahu pun kepada pelajar yang telah dan bakal bergelar mekanik, penjual goreng pisang dan pekerja kilang.

PUTERI

Cerpen saya ini telah disiarkan di dalam Majalah Mingguan Wanita ( 1- 7 Januari 2010 )


TAJUK = PUTERI
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.

Sejak dari tadi lagi dia termangu di jendela. Direnungnya dada langit dan ditatapnya wajah bulan. Namun, hati dan fikirannya tidak juga tenang. Dia benar-benar diburu penyesalan. Dia menghela nafas panjang dan seketika kemudian pandangannya beralih pula ke seberang jalan. Sekumpulan kelekatu yang mengerumuni lampu yang menerangi jalan, benar-benar menarik perhatiannya. Berapa ekor kelekatu yang bernasib malang, diperhatikannya dengan penuh belas kasihan. Malang! Kerana terpaksa merayap di atas jalan, lantaran kepatahan sayap untuk terbang. Sungguh! Kelekatu itu telah tertipu dengan keindahan lampu, fikirnya. Ternyata! Dunia yang gelap di dalam tanah lebih baik buat kelkatu berbanding cahaya lampu yang menyebabkannya terkulai layu.


Puteri! Wajah pemilik nama itu tiba-tiba menyelinap datang dan memenuhi ruang ingatannya. Mengenangkan Puteri, dia merasakan dirinya teramat malang. Semalang kelekatu yang sedang merayap untuk menghabiskan sisa-sisa hayat setelah kepatahan sayap.

Penyelesaian

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin. Justeru, kamu akan bertanggungjawab terhadap mereka yang berada di bawah kepimpinanmu. Seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemimpin terhadap anggota keluarganya dan akan bertanggungjawab terhadap anggota keluarganya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan bertanggungjawab terhadap anak-anak dan pimpinannya. Khadam pula diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang berada di bawah pimpinannya.” Kata-kata Ustaz Khairi ketika kuliah maghrib beberapa minggu yang lepas kembali mengasak benaknya. Sejak tiga bulan yang lepas sebenarnya, dia mula berjinak-jinak dengan masjid. Dia ingin mencari penyembuh duka di institusi yang mulia itu. Duka lantaran dihempap segunung penyesalan.

“ Hadis riwayat Imam Bukhari ini telah mengiktiraf kita semua sebagai pemimpin yang mempunyai tanggungjawab, bidang kuasa dan wilayah pentadbiran masing-masing. Di akhirat nanti, kita semua akan disoal tentang pelaksanaan amanah yang kita pikul ini.” Tidak sekadar singgah di telinga, bicara yang menginsafkan itu turut meresap ke hati dan menyelinap ke seluruh jasadnya.

“Suami merupakan pemimpin utama dalam sesebuah rumahtangga. Dia bertanggungjawab terhadap anak dan isterinya. Ini semua telah dinyatakan oleh Allah S.W.T, dalam surah An-Nisaa’ ayat ke-34.” Jelas Ustaz Khairi lagi.

“Rumah tangga sebenarnya adalah sebuah kerajaan. Walaupun kecil dan sempit dari segi saiz, namun ia sangat besar dan amat luas dari segi kepentingan. Seperti mana pentingnya butiran pasir yang menjadi asas kepada pembentukan gunung yang tinggi. Saat dan detik yang menjadi asas kepada pembentukan tahun, kurun dan abad. Begitu jugalah dengan institusi keluarga yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat dan negara.” Astaghfirullahalazim, dia beristighfar perlahan. Dia benar-benar menyesal kerana terlalu menyempitkan horizon perkahwinan selama ini. Kini dia mengerti hakikat sebuah perkahwinan, yang tidak hanya untuk menghalalkan hubungan kelamin dan tidak sekadar untuk menyambung zuriat.

“Selaku pemimpin dalam rumahtangga, tanggungjawab seseorang suami sangatlah berat. Sebab itulah Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, menganggap perkahwinan itu sebagai satu jihad. Malah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dinyatakan betapa mulianya perjuangan seseorang suami yang mencari rezeki untuk menyara anak dan isterinya, hingga disamatarafkan dengan perjuangan seorang mujahid di jalan Allah.” Begitulah Ustaz Khairi menjelaskan. Syukur!

Dia sangat bersyukur, kerana kuliah itu telah mencairkan antartika kejahilannya selama ini. Kini dia memahami, tanggungjawab seseorang suami tidaklah semudah yang disangka dan tidak sesenang yang diduga.

“Tanggungjawab seseorang suami selaku pemimpin rumah tangga bukanlah untuk membahagiakan anak dan isterinya di dunia sahaja, Lebih dari itu, adalah untuk membahagiakan anak-anak dan isterinya di akhirat kelak. Inilah yang dinyatakan oleh Allah S.W.T dalam surah At-Tahriim ayat ke-6, Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu.” Penjelasan itu bergema di telinganya. Terdengar-dengar dan terngiang-ngiang.

Dipejamkan matanya seketika. Perlahan-lahan dia cuba mengingat kembali segala tanggungjawab yang telah dia abaikan. Ternyata! Dia gagal menjadi suami yang baik. Gagal, lantaran halobakan kecantikan. Kecantikan yang diburu, menyebabkan dia lupa makna suami. Kejelitaan yang dikejar menyebabkannya lupa erti bapa.
“Ya Allah, ampunilah aku.” Doanya di dalam hati.
“Put, maafkanlah abang.” Hatinya berbisik perlahan.

Dia meraup wajah perlahan dan pandangannya dilontarkan kembali ke dada langit. Sekali lagi dia memandang bulan. Tapi kali ini, dia merasakan dirinya seperti seekor pungguk. Pungguk yang malang kerana hanya mampu melihat bulan dari kejauhan sambil mengharap dengan penuh kerinduan. Seperti si Pungguk , dia juga seorang perindu. Dia merindui saat-saat bahagianya. Tapi sayang, semua itu telah berlalu dan hanya menjadi sejarah yang tersimpan rapi di arkib kenangannya. Dia cuba mengingat kembali serpihan-serpihan kenangan yang dianggapnya sebagai membahagiakan, Bagaikan menerpa di ruang mata, dia ternampak-nampak saat dia dan Puteri diijabkabulkan.

“Aku terima nikahnya Puteri Masitah bt Megat Husain dengan mas kahwinnya lima ratus ringgit tunai.” Masih segar dalam ingatannya saat kalimah itu dilafazkan. Kalimah yang menobatkan Puteri sebagai permasuri hidupnya. Permaisuri kepada sebuah kerajaan yang bergelar rumah tangga. Permaisuri yang akan menemaninya untuk melakar hasrat dan mengukir impian di sepanjang hayat.

Rumah tangganya amat bahagia pada awalnya. Dia dan Puteri bersatu atas nama cinta. Mereka berpadu atas dasar kasih. Bahagia yang dicipta semenjak di kampus semakin terserlah setelah kelahiran anak sulungnya, Norlela. Tiga tahun kemudian, anak keduanya, Norfadzillah pula menyusul. Tapi sayang, hayat kebahagiaannya hanyalah seketika dan hayat perkahwinannya juga tidak lama. Dan, dialah puncanya.



Pertemuan


Pulau Perhentian. Di situlah segalanya bermula. Ya, dia masih ingat rantaian kisah itu dengan lengkapnya. Sungguh! Semua itu masih bugar di sanubarinya. Dia ke pulau peranginan itu untuk bercuti. Bercuti untuk merehatkan diri dari lelah akal dan penat fizikal lantaran kesibukkan meladeni tugasan harian. Ketika sedang mencicip bayu laut yang berhembus lembut, dia disapa oleh seseorang.
“Pertama kali ke sini?.” Si Jelita memulakan bicara.
“Ya.” Jawabnya ringkas sambil mencuri pandang ke arah Si Jelita.
Lantas Si Jelita itu memperkenalkan diri. Namanya Anita, seorang setiausaha di sebuah syarikat yang agak terkemuka di ibu kota.

Walaupun pertemuan di Pulau Perhentian hanyalah seketika, namun ia tidak berakhir setakat itu sahaja. Ia telah merintis kepada pertemuan-pertemuan yang lain. Pertemuan yang pada mulanya hanyalah jarang-jarang, tetapi kemudiannya bertukar menjadi kerap-kerap. Akhirnya dia dan Anita menjadi rapat dan akrab. Keakraban yang terlarang tetapi tetap juga diulang-ulang, menyebabkannya tersasar jauh dari tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa. Sungguh! Anita telah menyebabkan kasihnya berpaling dan cintanya berpindah.

Perubahan tingkahlakunya itu dapat dihidu oleh Puteri. Apa tidaknya, dia mula lewat pulang ke rumah dan adakalanya hingga lewat malam. Begitu juga dengan masa untuk bersama keluarga , semakin hari semakin kurang.

Namun, apabila Puteri meluahkan sangsi, pelbagai helah dan alasan yang diberi. Semata -mata untuk mewajar dan mewaraskan tindakannya itu. Akhirnya Puteri akur dengan alasannya, hinggakan tiada sekelumit pun kesangsian terhadapnya. Sungguh! Puteri benar-benar percaya dan betul-betul yakin terhadapnya. Percaya, dia benar-benar sibuk dengan tugasan harian. Yakin, dia tidak akan sesekali berlaku curang.

Derita Puteri

“Sampai hati abang buat Put macam ni. Inikah balasan abang terhadap kepercayaan dan kesetiaan Put selama ini.” Bicara Puteri tersekat-sekat sambil menangis teresak-esak. Dia tahu, Puteri sedang mengusung kecewa sambil menahan sebak di dada. Ya, dia ingat benar tika dan saat itu.

Tika dan saat Puteri berlinangan air mata, setelah dia dan Anita ditangkap berkhalwat dalam satu operasi pencegahan maksiat. Peristiwa itu telah menguburkan seluruh kepercayaan Puteri terhadapnya selama ini. Kekecewaan yang sendat di kalbu menyebabkan Puteri meminta agar dileraikannya dari ikatan perkahwinan.

Akhirnya perkahwinan mereka bubar dan kekosongan yang ditinggalkan itu diisi oleh Anita. Sangkanya Si Jelita itu akan memberikannya bahagia. Tapi sangkaannya tidak menjadi nyata. Rupa-rupanya Si Jelita itu racun berbisa yang akhirnya membunuh cinta dan kepercayaannya. Sungguh tidak disangka, Si Jelita itu telah mengkhiantinya. Anita yang disayangi dan dipuja-puja, telah bermain kayu tiga dan ditangkap berkhalwat dengan rakan sepejabatnya ketika dia bertugas di luar daerah.

Kenyataan itu sungguh memeritkan. Hatinya punah ranah. Jiwanya cedera parah. Namun, di sebalik hakikat yang tersurat itu, terselit juga hikmah yang tersirat. Sungguh! Kenyataan yang memeritkan itu telah mengajarnya seribu erti dan sejuta makna. Erti kecewa bila didustai dan makna terluka bila dikhianati. Selama ini, dialah pendusta dan pengkhianat terhadap cinta dan kepercayaan yang diberikan oleh Puteri. Kini, dia mengerti betapa deritanya Puteri selama ini.

Mencipta Bahagia

“Apa bezanya antara kau dan aku wahai kelekatu. Kita gagal menilai keberuntungan diri kita selama ini. Kita mengejar sesuatu yang kita anggap indah dan menawan. Tetapi, kita lupa ia sebenarnya merugikan, malah membinasakan. Betapa beruntungnya jika kau terus mendiami duniamu di dalam tanah. Kau tetap bahagia meskipun dalam gelita. Tapi, kau halobakan cahaya yang dipancarkan oleh lampu. Kau tertipu wahai kelekatu. Lampu itu telah membunuhmu.” Dia bersuara lirih sambil memandang ke arah kelekatu di seberang jalan.

“Begitu juga dengan aku. Betapa beruntungnya jika aku kekal bersama isteri dan anak-anakku. Tapi, kejelitaan yang dipancarkan oleh Anita telah membutakan mata hatiku. Aku tertipu. Kejelitaan Anita telah membinasakanku. Put! Maafkan abang.” Dia tidak mampu lagi menahan sebak didada, lalu air-air jernih mula membasahi pipinya.

“Put, masih adakah ruang dan peluang untuk kita bersama semula. Sudikah Put memaafkan dan menerima abang kembali.” Dia tertanya-tanya sendiri sambil membuang pandangannya ke arah bulan di langit yang tenang.

“Allah Maha Berkuasa. Sesungguhnya tiada yang tidak mungkin dengan izin Allah. Dan, tiada yang mustahil dengan kehendak Allah.” Bait-bait nasihat yang disampaikan oleh Ustaz Khairi dalam kuliah yang lepas telah menyuntikkan keyakinan ke dalam dirinya.

Dia ingin kembali kepada Puteri. Kembali mencipta bahagia yang telah hilang. Dia tahu, belum ada lelaki lain yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan olehnya. Nekad! Dia akan menemui Puteri dalam tempoh yang terdekat untuk menyatakan hasrat hatinya itu.

Mungkinkah Puteri akan memaafkan sekali gus menerimanya. Atau, Puteri sekadar memaafkan tetapi tidak dapat menerimanya. Mungkin juga Puteri tidak dapat memaafkan sekali gus tidak dapat menerimanya. Persoalan- persoalan itu terus menyendati benaknya. “Ahh! Segalanya mungkin.” Dia sedar, itulah jawapan yang paling tepat.


Saturday, 2 January 2010

DALAM HATI SEORANG GURU

Cerpen saya ini telah disiarkan dalam Majalah e @ Siswa( edisi 29, Julai 2009)

(Ini sebuah kisah tentang kegigihan seorang Guru Pendidikan Khas.)

TAJUK = DALAM HATI SEORANG GURU
OLEH = TN. ISKANDAR ISMAIL.

Gementar! Entah mengapa perasaan itu begitu menebal dalam diriku. Jujur! Aku meragui keupayaanku untuk berbakti. Mampukah aku melaksanakan tangungjawab ini? Mampukah aku mempraktikkan segala teori yang telah dipelajari?


Teka-teki itu mula terjawab setelah beberapa hari aku berada di sini. Ternyata, mendidik pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia tidak semudah yang disangka dan tidak sesenang yang diduga. Namun, aku yakin, di sebalik hakikat yang tersurat ini pasti adanya hikmah yang tersirat.

“Saya harap Cikgu Iskandar dapat sesuaikan diri dengan keadaan di sini.” Kata Tuan Haji Sarbani, selaku pengetua sewaktu aku melaporkan diri.

“Insya-Allah, saya akan cuba sesuaikan diri,Tuan Haji.” Jawabku sambil menganggukkan kepala . Ya, di mana sahaja ditempatkan, aku mesti membina zon selesa. Tidak wajar sama sekali seseorang guru selaku pendidik bersikap memilih lokasi untuk menyumbang bakti. Apatah lagi bagi guru-guru yang senasib denganku, yang berjaya mengikuti kursus KPLI setelah berkali-kali memohon.

“Pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini sebenarnya ada potensi. Tapi sayang, potensi itu terabai lantaran mereka kurang keyakinan diri. Jadi, cikgu buatlah yang terbaik untuk mereka.” Pengetua berbicara lagi . Ada nada pengharapan pada ungkapannya itu.


Kurang keyakinan diri. Itulah penyakit yang dihidapi oleh kebanyakkan OKU. Lebih teruk dari itu, ada juga segelintir OKU yang beranggapan kewujudan mereka ke dunia ini umpama melukut di tepian gantang. Masuk tidak menambah dan keluar pula tidak mengurang. Ada atau tiada, tidak memberi apa-apa kesan.


Bagaimana pula dengan pelajar-pelajar yang bakal aku didik nanti? Adakah setebal antarika ketidakyakinan mereka? Jika ya, mampukah dicairkan antartika itu? Selagi tidak dicairkan, maka selagi itulah mereka akan kecundang. Selagi itu jualah walang hidup mereka akan berterusan.


“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik.”

Aku sedar tanggungjawab ini amat berat untuk digalas. Namun, inilah realiti yang harus aku depani. Jadi, semampu yang boleh dan sekudrat yang terdaya akanku usahakan. Akanku gilap potensi mereka dengan asuhan yang rapi. Akanku bimbing mereka untuk menerobos sempadan diri.

Anne Sullivan! Mungkin ada sesuatu yang boleh aku garap dari sejarah hidupnya. Sebagai pedoman, panduan dan juga sebagai pengajaran. Dalam hal ini, dia memang layak untuk dikagumi. Apa tidaknya. Sebab dialah yang memerdekakan Hellen Keller dari belenggu ketidakyakinan diri. Tidak sekadar memperkenalkan huruf dan nombor kepada Hellen Keller yang pekak dan buta. Lebih dari itu, dia turut menjadi mentor yang setia hinggakan Hellen Keller menjadi terkenal seantero dunia.

Mampukah aku mencontohinya?

Dapatkah aku mengambil manfaat dari kisah perjuangannya?


*** ************************************************************************

Di sini, aku ditugaskan untuk mengajar subjek sejarah dan perdagangan. Syukur kepada Allah, kerana aku tidak disuruh mengajar kelas-kelas peperiksaan. Syukur juga kerana bilangan pelajar di dalam setiap kelas tidaklah ramai, lebih kurang lima orang sahaja. Paling aku syukuri kerana diwujudkan program integrasi pendidikan khas di sekolah ini. Jika tidak, pasti sukar untuk pelajar-pelajar yang cacat pendengaran ini menimba ilmu.


Hari pertama di kelas, aku manfaatkan untuk saling mengenali. Dari sinilah aku mula mengenali mereka dengan lebih dekat. Latar belakang mereka aku selami. Tahap kurang kemampuan mereka juga aku terokai. Hari-hari yang mendatang nanti, akanku selongkar pula sikap dan perwatakkan mereka. Kalau boleh, aku ingin mengenali mereka sedekat-dekat dan sedalam-dalamnya.


Sebenarnya tidak semua pelajarku ini yang pendengarannya cacat seratus peratus. Masih ada dalam kalangan mereka yang mempunyai sisa-sisa pendengaran. Maksudnya, mereka masih boleh mendengar tetapi dalam keadaan yang sangat terhad dan amat terbatas. Jadi perlulah dikuatkan suara apabila berbual atau ketika mengajukan tanya. Walaupun begitu, penggunaan bahasa isyarat tetap diutamakan. Ia dimanfaatkan semaksimum mungkin kerana ia merupakan medium utama dalam penyampaian ilmu di samping kaedah-kaedah yang lain.


Usai sesi perkenalan, aku titipkan pula sedikit nasihat kepada mereka. Harap-harap nasihat itu berbekas di hati lantas berdarah daging dalam jasadnya. Aku ingin mereka mengerti, sesungguhnya kewujudan mereka ke dunia ini bukanlah untuk dikesali. Jauh sekali untuk diratapi. Tetapi untuk dinikmati seperti mana insan-insan yang lain.


Aku ingin mereka faham, sesungguhnya mereka bukanlah golongan ‘hapus kira’ yang telah diprogramkan untuk malang sepanjang hayat. Aku mahu mereka memandang masa depan dengan wawasan dan harapan. Mereka harus sedar, masa depan yang gemilang bukanlah sebuah khayalan.


Paling penting, mereka perlu kembali ke perdu dan akar punca. Mereka perlu menjadi Orang Kuat Usaha meskipun pada hakikatnya mereka tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya. Mereka mesti menggunakan peluang yang ada untuk memenuhi ilmu di dada. Ilmu amat berharga. Ilmulah yang diwariskan oleh nabi kepada umatnya dan bukannya dirham dan dinar atau harta benda. Ilmu jualah yang dapat mengangkat darjat seseorang ke tahap yang lebih mulia. Lihat sahaja ulama terbilang atau saintis ternama. Atau ilmuan besar dalam pelbagai bidang. Kesemua mereka adalah pemburu ilmu yang setia.


Kepada mereka aku ceritakan juga kisah-kisah OKU yang berjaya. Sengaja aku berbuat begitu supaya mereka tidak lesu dan jemu terhadap ilmu. Prof Dr Ismail Mohd Salleh aku ‘perkenalkan’ kepada mereka. Biar mereka mengerti, sesungguhnya lelaki yang siangnya gelap dan malamnya gelita itu bukanlah pengemis di kaki lima. Biar mereka faham, lelaki buta itu merupakan seorang tokoh akademik yang ternama dan banyak berjasa.


*******************************************************************

Dunia perguruan ada manisnya. Namun, ada juga pahitnya. Jujur! aku juga pernah kecewa. Kecewa dengan segelintir pelajarku. Apa tidaknya, walaupun dijelaskan berkali-kali dan diterangkan berjela-jela namun mereka masih macam itu juga. Masih .tidak mengerti dan tetap tidak faham. Aku rasa sia-sia sahaja segala ilmu yang aku curahkan, umpama mencurah air ke atas daun keladi. Apakah puncanya? Di manakah silapnya?


“Cikgu kena banyak bersabar. Tugas pendidik memang macam ni. Terlanjur jadi pendidik terpaksalah kita gagahi.” Itu nasihat Ustaz Mustafa tatkala aku meluahkan kekecewaan yang terbuku di hati sewaktu kami bersarapan di kantin.

"Pendidik dan kesabaran adalah dua unsur yang sangat sebati. Seperti gula dengan manisnya dan garam dengan masinnya, begitu jugalah antara pendidik dengan sikap sabarnya.” Jelas Ustaz Mustafa dengan panjang lebar. Aku pula sekadar anggukkan kepala tanda akur dengan penjelasan yang diberi.

“Dalam sebuah hadis ada diceritakan, kisah seorang pelacur yang diampunkan dosa dan dianugerahkan syurga lantaran membantu anjing yang dahaga. Berbakti kepada anjing pun begitu hebat ganjarannya, apatah lagi kalau berbakti kepada manusia. Tambahan lagi kepada manusia yang istimewa.” Kata Ustaz Mustafa lagi setelah jeda seketika.

“Astaghfirullahalazim.” Aku beristighfar perlahan sambil menghela nafas panjang. Kata-kata ustaz kelahiran Terengganu itu telah mengembalikanku ke paksi wajar. Cepat-cepat aku cantas rasa kecewa yang baru bertunas. Aku sedar, mendidik itu satu perjuangan. Perjuangan pula memerlukan kekentalan. Kekentalan untuk meredah lautan dugaan. Aku juga sedar, seperti pelacur di dalam hadis nabi, aku di sini juga si penghilang dahaga. Dahaga pelajarku terhadap ilmu dan masa depan yang sempurna. Dahaga ibu –bapa mereka terhadap kejayaan dan kebahagiaan mereka.

Betapa berdosanya jika tanggungjawab ini aku abaikan. Berdosa terhadap pelajar-pelajarku. Terhadap ibu bapa mereka. Paling tidak pun terhadap puluhan ribu siswazah yang sedang menganggur. Aku telah merampas hak mereka. Mereka mungkin benar-benar berminat untuk menceburi profesion keguruan. Mereka mungkin betul-betul jujur dan ikhlas ingin membantu insan-insan yang dahaga ini. Tapi nasib tidak menyebelahi. Mereka kecundang dalam permohonan KPLI.



************************************************************************

Mungkin ada benarnya kata-kata Jean Jacques Rousseau, si arkitek Revolusi Perancis. Revolusi yang mengakhiri pemerintahan Raja Louis XVI dan Maria Antoinette. Katanya “Kita belajar bersama hidup. Pelajaran pula bermula dengan permulaan nafas dan kekurangan yang dirasai adalah guru yang terbaik.”

Ya, kekurangan yang dirasai dan kelemahan yang disedari. Itulah ‘guru’ yang terbaik. Syukur kepada Allah kerana telah menemukanku dengan ‘guruku’ ini. Aku menemuinya setelah semalaman aku mencari. Mencari dalam diri dengan merenung jauh ke dasar hati. Hatiku berbisik. Katanya, ketidakfahaman pelajarku itu mungkin berpunca dariku. Mungkin pendekatanku selama ini kurang berkesan. Mungkin proses pengajaran dan pembelajaran( P&P) yang aku kendalikan itu membosankan. Segalanya mungkin. Ya, aku perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mendidik. Mereka memerlukan metod yang tepat agar ilmu dapat dicerna dengan mudah dan cepat.

Hari ini aku sepi tanpa mereka. Cuti panjang akhir tahun ini benar-benar mendera diriku. Jujur! Aku merindui mereka. Satu persatu wajah mereka menerpa di ruang ingatanku. Ternampak-nampak, terbayang-bayang dan teringat-ingat.


Azami dan Khairi. Mereka berdua adalah sebahagian daripada pelajarku. Pelajar yang ‘istimewa’ di kalangan pelajar-pelajar istimewa. Istimewa kerana merekalah yang paling lambat mencerna ilmu yang aku curahkan. Namun, sejak akhir-akhir ini mereka mula menunjukkan peningkatan. Ya, dalam peperiksaan akhir tahun baru-baru ini mereka telah membuktikan kehebatan diri. Aku yakin, mereka mampu memetik kejayaan dalam SPM nanti.


Jauh di sudut hati aku menaruh harapan, agar kejayaan N Aghilan, pelajar cacat pendengaran yang memperolehi 12A dalam SPM 2008 akan berulang lagi. Kalau boleh biarlah di kalangan pelajarku ini. Dalam hati juga aku berdoa, agar Allah memberikanku kekuatan dan ketabahan untuk terus berbakti. Ya, itulah yang terpendam dalam hatiku kini. Dalam hati seorang guru.