Ini adalah sambungan dari entry lepas :.-- > lihat
SINI
Sang Pencerah merupakan kisah benar tentang perjuangan Kiai Haji Ahmad Dahlan(nama sebenarnya ialah Muhammad Darwisy), seorang tokoh agama dan juga pengasas Muhammadiyah. Beliau berjuang memurnikan agama islam dari unsur-unsur bid’ah, tahyul dan khurafat. Ketiga-tiga elemen ini(bid’ah, tahyul dan khurafat) amat menebal di Yogjakarta Indonesia pada ketika itu. Sebenarnya, sedari kecil lagi Muhammad Darwisy tidak menyenangi amalan-amalan penduduk kampung Kauman Yogjakarta yang jauh tersasar dari landasan agama. Amalan-amalan tersebut bukan sahaja tidak menepati kehendak al-Qur’an dan sunnah tetapi telah berkembang biak dengan suburnya.
Kesempatan mendalami ilmu agama di Kota Suci Makkah telah mematangkannya dalam persoalan agama dan keagamaan, Dan sekembalinya dari Makkah, Muhammad Darwisy telah mengubah namanya kepada Ahmad Dahlan. Lantas , tanpa bertangguh beliau langsung mencari ruang dan mengintai peluang untuk mengembalikan warga Yogjakarta, terutamanya penduduk kampung Kauman ke pangkuan islam yang sebenar.
Walau bagaimanapun usaha murninya itu menerima penentangan yang hebat dari warga Kauman, termasuklah dari tokoh-tokoh agama(Kiai) ketika itu. Antara usaha murninya ialah membetulkan arah kiblat di Masjid Besar Kauman dengan menggunakan kompas. Ternyata teknologi itu menunjukkan arah kiblat yang diyakini oleh warga Kauman selama ini adalah silap dan tidak menghadap ke arah Kaabah di Makkah, tetapi sebaliknya menghadap ke Afrika. Namun usahanya itu ditentang hebat oleh tokoh-tokoh agama tempatan dengan alasan kompas itu dicipta oleh orang-orang kafir.
Beliau juga turut dikafirkan gara-gara menubuhkan sebuah sekolah yang menggunakan kerusi dan meja untuk kemudahan pelajar-pelajarnya. Ini kerana, sekolah begitu adalah mirip kepada sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh Belanda. Ia juga dianggap bertentangan dengan amalan di pesantren(pondok) zaman berzaman, di mana pelajar mesti duduk bersila sambil menadah kitab. Begitu juga dengan tindakannya mengajar pendidikan Islam di sekolah anak-anak golongan bangsawan/elit di Yogjakarta
Kemuncaknya, sekolah yang didirikannya telah dimusnahkan . Namun beliau tidak mematikan langkah, apatah lagi mematikan cita-cita dakwahnya. Akhirnya pada 18 Novemver 1912, tertubuhlah sebuah organisasi islam bernama Muhammadiyah. Dan hari ini dakwah Muhammadiyah telah tersebar ke seluruh pelusuk Indonesia.
Filem hebat ini dibarisi oelh pelakon-pelakon handalan Indonesia seperti Lukman Sardi sebagai Ahmad Dahlan ,Zaskia Adya Mecca sebagai Siti Walidah, Slamet Rahardjo sebagai Kyai Penghulu Kamaludiningrat,Giring Ganesha sebagai Sudja.
Selamat menonton dan semoga filem ini akan menjadikan kita lebih akrab dengan Allah dan Rasul-Nya, Muhammad SAW serta akan lebih mesra dengan kitab suci Al-Quran. Sekali gus menjauhkan kita dari sebarang bentuk khurafat dan tahyul.
Info Tambahan :
Menurut Abdul Shukur Haron (harakah edisi 23-26 Ogos 2010, halaman F8) --Pada masa kepimpinan Kiai Ahmad Dahlan(1912-1923), pengaruh Muhammadiyah hanya terbatas di Yogjakarta, Suarakarta, Pekalongan dan Pekajangan. Dan pada tahun1925, Abdul Karim Amrullah(ayahanda Buya Hamka) telah membawa Muhammadiyah ke Sumatera Barat. Kemudiannya Muhammadiyah berkembang ke seluruh Sumatera, Sulawesi dan Kalimantan.
Pada tahun 1938, Muhammadiyah telah tersebar ke seluruh Indonesia.
Hari ini Muhammadiyah dipimpin oleh Prof. Dr. Muhammad Sirajuddin Syamsuddin( atau lebih dikenali sebagai Din Syamsudin
Renungan Bersama :
Salah faham terhadap tasyabbuh(menyerupai) sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” .
Dalam filem Sang Pencerah,
penggunaan kerusi dan meja di sekolah agama tidak dapat diterima oleh para kiai tradisional, dengan alasan ia menyerupai sekolah-sekolah kaum kafir(belanda).
Sebenarnya di Malaysia juga pernah berlaku perkara yang hampir sama, iaitu larangan ke atas umat islam daripada memakai tali leher(neck tie) dan blazer kerana ia dianggap pakaian yang mewakili golongan kafir(British). Malah sampai sekarang, pemakaian cap masih lagi ditegah di sesetengah tempat dengan alasan cap itu pakaian orang-orang kafir.
Tapi dalam masa yang sama, amalan bersanding dan renjis-merenjis pengantin diizinkan pula. Sedangkan itu adalah amalan yang berasaskan agama hindu. Di sini seolah-olah kafir itu merujuk kepada barat sedangkan amalan berasaskan agama hindu tidak pula dikafirkan.
Sebenarnya, Perkataan
man tasyabbaha (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabbuh (menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada
sesuatu perkara yang menjadi ciri-ciri khusus sesuatu pihak. Bila mana jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut maka dia akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu, atau perayaan khas untuk agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama tertentu, maka dia dinilai dalam kalangan mereka. Adapun jika perkara tersebut bukan khusus untuk mereka, maka itu tidak termasuk.
Menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu termasuklah memakai salib, atau pakaian khusus paderi dan sami, atau amalan khusus agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah perbuatan yang haram. Jika ia diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka dia menjadi kufur. Sementara, jika dia sekadar suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram. Cumanya, ulama berbeza pendapat, ada yang menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi berdosa.
Dalam perkara ini kita perlu menilai apa yang khusus dan apa yang umum. Pakaian yang dipakai oleh mereka yang bukan muslim tidak semestinya melambangkan agama mereka atau khusus untuk agama mereka. Begitu juga dengan makanan, binaan dan adat tertentu. Makan dengan sudu-garpu atau cop-stick, berjeket, berumah ala-Inggeris atau Jepun bukanlah berkaitan agama.
Hadis di bawah perlu dihayati dengan teliti:
“
Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai jubah Rom –dalam sebahagian hadis disebut
jubah syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain).
Padahal masyarakat
Rom ketika itu adalah Kristian. Demikian juga negara-negara lain pada masa tersebut, belum lagi menganut Islam, tetapi Nabi s.a.w memakai pakaian mereka. Ini kerana pakaian itu bukan pakaian khusus untuk agama mereka. Lebih lanjut tentang ini -- : > klik
DrMAZA