Tuesday 23 August 2011

#9 Wordless Wednesday: SELAMAT HARI RAYA.





Maaf Zahir Dan Batin Kepada Semua. Kepada sahabat yang pulang beraya ke kampung, berhati-hatilah ketika memandu. Ingat orang yang tersayang. Dan jika mengantuk atau penat, berehatlah buat seketika untuk memulihkan tenaga. Atau, boleh sahaja berbuka puasa sebab anda bermusafir.



Ini nasihat kepada diri sendiri sebenarnya , sebab ketika pulang berhari raya pada tahun lepas, saya terlibat dalam kecelakaan jalan raya ketika dalam perjalanan balik kampung ke Kelantan. Kecelakaan yang berlaku kat jalan Lenggong- Grik Perak. Semuanya gara-gara memandu dalam keadaan mengantuk. Kisah kecelakaan itu saya abadikan di.. SINI



p/s : Penggunaan Istilah kecelakaan bukannya bererti tidak redha atau mengutuk takdir tapi disebabkan itu adalah istilah yang digunakan secara meluas oleh media

Kad Raya Dari NorGadis Labuan







Assalamualaikum sahabat semua. Eidul Fitri kian menjelma dan makin terasa kemeriahannya. Terima kasih kepada sahabat blogger Norgadis Labuan kerana sudi memberikan kad raya maya kepada rakan-rakan blogger termasuklah saya.



Kad raya sebenarnya banyak nostalgia dalam hidup kita semua. Sebab, suatu masa dahulu, mengutuskan kad raya seolah-olah satu tradisi. Ia adalah penyambung silaturahim. Tapi hari ini, ledakan teknologi telah mengahapuskan budaya itu.



Dulu, setiap kad raya yang yang diterima akan digantung sebagai perhiasan dalaman rumah ketika menyambut hari raya.









Monday 22 August 2011

Ada Apa Dengan Puasa

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas dirimu

sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu,

mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa”

(surah Al-Baqarah, ayat 183)









Enry ini sebenarnya lebih kepada Nota Buat Diri Sendiri dan sekali gus untuk berkongsi kepada sesiapa sahaja yang sudi. Sekadar untuk merenung ke dalam lubuk hati, lantas menginsafi kekurangan diri. Anggaplah ini episod kedua daripada entry bertajuk Apabila Puasa Dimusuhi



Sebelum Ramadhan melabuhkan tirainya, elok juga kita bertanya sama diri sendiri. ADA APA DENGAN RAMADHAN? Adakah sekadar untuk berlapar dan berdahaga. Atau sekadar untuk memeriahkan Bazar Ramadhan yang menyajikan makanan dan minuman yang beraneka rasa, warna dan harga. Adakah hanya untuk berpusu-pusu ke shopping kompleks sempena jualan murah menjelang aidilfitri. Atau hanya untuk mengudungkan jari dengan bermain mercun, termasuklah buatan sendiri.



Jika kita hayati kembali firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 183, seperti yang dipaparkan di atas, jelas sekali matlamat berpuasa ialah taqwa. Apa itu taqwa. Di dalam kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran( ia merupakan kitab terjemahan al-Quran sekaligus merupakan kitab tafsir al-Quran yang telah dihasilkan oleh Sheikh Abdullah Basmeih), Taqwa ialah memelihara atau melindungi diri dari sesuatu yang ditakuti atau yang dibimbangkan. Bertaqwa kepada Allah ialah memelihara diri dari sesuatu yang membawa kepada seksa dan kemurkaan Allah. Dengan istilah mudah ialah dengan mematuhi perintah-perintah Allah dan menjauhi larangaNya. Dan inilah yang diharapkan daripada ibadat puasa yang kita jalani.



Taqwa adalah matlamat sebenar kita berpuasa. Ia digapai menerusi pelbagai amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan, seperti amalan berpuasa di siang hari, bertarawikh pada malam hari, memperbanyakkan zikir dan membaca al-Quran, bersedekah dan lain-lain amalan.



Ramadhan sebenarnya adalah sebuah Fakulti Kerohanian untuk mendidik diri agar semakin akrab dan mesra dengan-Nya. Sebagai lulusan Fakulti Rohani, kita sewajarnya mampu menghadapi hari-hari yang lain dan bulan-bulan yang berbaki dengan baik, iaitu sejajar dengan firman-Nya dan sabda Rasul-Nya.



Ramadhan sungguh bermakna dan hendaklah dipergunakan setiap detik di dalamnya untuk memaknakan hidup demi kehidupan yang bermakna. Syukur sangat-sangat, kerana kita msih diberi ruang dan peluang. Ruang untuk membetulkan segala kesilapan dan peluang untuk memperbaiki segala kekurangan. Terutamanya kesilapan dan kesalahan terhadap-NYA. Dan ‘kekurangan’ mengatur langkah dalam menghampiri-NYA. Kesilapan dalam menanam noda dan menuai dosa. Dan kekurangan dalam meraih pahala.









Wahai sekalian manusia. Telah datang kepada kamu Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya. Di bulan itu pintu Syurga dibuka, pintu neraka Jahim ditutup dan para Syaitan dirantai. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah. [Hadith riwayat al-Nasaai]









Berdasarkan hadis di atas, taqwa sepatutnya mudah diraih apabila kita berada di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan di mana. Apa tidaknya, ini kerana para syaitan telah dirantai. Memang terdapat beberapa pandangan ulama terhadap maksud hadis ini, dan ia telah saya bicarakan dalam entry lepas, lihat … SINI..



Cuma saya tertarik dengan tazkirah yang disampaikan oleh Imam, ketika saya bersolat tarawikh beberapa hari yang lepas. Katanya, ibarat air yang baru mendidih dan pasti sahaja memerlukan masa yang agak lama untuk menjadi suam, apatah lagi untuk menjadi sejuk. Begitulah dengan sifat dan sikap manusia, disebabkan bulan-bulan yang lain hidup dipenuhi noda dan dosa, maka tentu sekali sukar untuk berubah secara tiba-tiba apabila ramadhan menjelma.



Benar sekali, kebanyakkan orang yang membuat perkara-perkara mungkar di bulan ramadhan adalah golongan yang sudah sebati dengan kemungkaran sebelum ini. Kemungkaran sudah berdarah daging bersama denyut nadi dan degup jantungnya. Jadi tidak hairanlah, jika masih ramai umat islam yang tidak berpuasa. Lagi gila, sengaja ditonjolkan dirinya tidak berpuasa dengan merokok di khalayak umum. Baginya, itu satu kebanggaan. Bangga sebab dapat menentang Tuhan.



Bukan itu sahaja, terdapat juga umat islam yang terlibat dengan perkara maksiat termasuklah penzinaan di bulan yang mulia ini. Tidak cukupkah dengan aktiviti sundal ini di bulan-bulan yang lain hinggakan terpaksa berjihad untuk berzina di bulan puasa. Lagi menghairankan, ada yang sanggup berbohong dengan mengistiharkankan dirinya bukan beragama islam semata-mata hendak menyelamatkan diri apabila ditangkap oleh pihak berkuasa. Apa tidaknya, kalau ditangkap akan didenda kerana tidak berpuasa dan didenda kerana berkhalwat.



Sekadar mengingatkan diri sendiri yang sering lupa dan mengejutkan diri sendiri yang selalu lena. Moga-moga kita semua tidak lagi lupa dan lena untuk mendekati-Nya. Yang penting, jangan sesekali kita jadi kecundang di bulan yang mulia ini. Kecundang meraih redha dan keampunan-Nya. Redha dan keampunan untuk mencairkan antartika dosa dan kejahilan selama ini.

Sunday 21 August 2011

Azizi Haji Abdullah Meninggal Dunia.







GEORGETOWN, 21 Ogos: Novelis terkenal tanahair, Haji Azizi Abdullah meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang pukul 7.30 pagi tadi. Rakan sekerjanya di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Mohd Yusuf ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.



Jenazah Allahyarham Haji Azizi akan dibawa pula ke kediamanya di Taman Bersatu berdekatan Petronas Kulim tengahari ini.



Menurut Ibnu Hasyim, "Azizi menjadi PAS semasa saya jadi YDP PAS Kawasan Balik Pulau, melalui Cikgu Mat Isa Kampung Perlis Balik Pulau, yang masih ada sekarang. Waktu itu, kami sering berjumpa beliau masa tengah malam di kawasan rumah sementaranya di Titi Teras, Balik Pulau. Takziah kepada keluarga beliau di kulim





sumber :
Ibn Hasyim



Info Tambahan:

Allahyarham adalah antara penulis yang saya kagumi. Antara karyanya yang benar-benar berbekas di hati saya ialah Seorang Tua Di Kaki Gunung dan Memoir Seorang Guru. Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan terhadap dunia sastera









Saturday 20 August 2011

Jalan Tok Guru- Untuk Apa Dipertikaikan



Saya benar-benar hairan dengan tindakan segelintir manusia yang mempertikaikan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu(MPKB), menukar nama Jalan Pengkalan Chepa kepada Jalan Tok Guru. Macam-macam alasan yang diberi.

Ada yang mempertikaikan dengan penuh emosi. Katanya, apa relevennya MB Kelantan diabadikan kepada nama jalan. Masya-Allah, kemajuan teknologi maklumat semakin menyerlahkan kemandulan akal bangsa Melayu yang majoritinya beragama islam. Tok Guru bukanlah merujuk kepada Tok Guru Nik Aziz, tapi ia merujuk kepada para ulama dan institusi pengajian agama islam di Kelantan. Dengan kata lain, ia turut merangkumi Tok Kenali, Tok Bachok ,Tok Selehor, Tuan Tabal dan ribuan ulama-ulama yang pernah lahir dan menyumbang bakti di bumi Kelantan.

Istilah Tok guru adalah satu gelaran untuk ulama di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Selatan Thailand( terutamanya wilayahPattani). Kalau di Indonesia, para ulama biasanya dipanggil Kiai. Di Afghanistan, Pakistan dan juga Iran para ulama di gelar sebagai Mullah. Jadi Tok Guru itu bukan bermaksud MB Kelantan, Cuma MB Kelantan itu adalah sebahagian daripada Tok Guru- Tok Guru yang wujud di Kelantan.

Yang menghairankan saya, kenapa harus melenting dan melatah bila institusi ulama dimuliakan dengan diabadikan kepada jalan. Tapi dalam masa yang sama, kenapa tidak melatah apabila nama-nama artis –artis diabadikan pada jalan seperti Jalan P Ramlee.









Tok Kenali, salah seorang Tok Guru di Kelantan)



Ada juga yang mempertikaikan penamaan Jalan Tok Guru pada lokasi tersebut kerana di sepanjang jalan tersebut tidak pernah mencatatkan kemunculan institusi pondok. Ini kerana di institusi pondoklahlah gelaran Tok Guru digunakan bagi merujuk kepada tenaga pengajar utama di situ. Jadi, saya juga ingin bertanya, kenapa pula Jalan P Ramlee di abadikan di Kuala Lumpur, sedangkan semua tahu P. Ramlee dilahirkan di Pulau Pinang dan terlebih dahulu mencipta nama dengan syarikat rakaman di Singapore. Kenapa ?

Bagi saya, tindakan menukar nama jalan pengkalan Chepa kepada Jalan Tok Guru adalah satu langkah yang terbaik untuk mengembalikan jati diri anak-anak Kelantan. Anak-anak Kelantan perlu tahu, suatu ketika dahulu Kelantan dikenali sebagai negeri Serambi Makkah dan Negeri Tadahan Wahyu. Dari mana datangnya gelaran yang sebegitu hebat. Hanya tiga buah lokasi sahaja di Asia Tenggara yang mendapat gelaran yang sebegitu hebat, iaitu Acheh di Indoensia, Pattani di Thailand dan Kelantan di Malaysia. Gelaran ini bukan diberi oleh Sultan selaku pemerintah wilayah-wilayah ini tapi oleh orang ramai kerana lokasi-lokasi ini terkenal sebagai pusat pengajian islam yang terulung.

Di Kelantan, ribuan ulama dilahirkan dan puluhan institusi pondok didirikan untuk mentarbiyah penduduk agar mengenali Pencipta. Sampai hari ini boleh dikatakan hampir setiap daerah masih lagi mempunyai institusi pondok, malah daerah saya iaitu Bachok, memiliki dua institusi pondok, iaitu Pusat Pengajian Pondok yang lebih dikenali sebagai Pondok Moden Kandis (kelolaan YIK) dan pondok Kuin Pasir Jelawat. Cuma, yang terkenal ialah Pondok Pasir Tumboh, Pondok Lubuk Tapah dan Pondok Sungai Durian. Info lebih lanjut tentang institusi pondok, sila lihat
SINI .

Satu lagi perkara penting yang perlu diketahui, daripada melatah kerana isu pertukaran nama jalan, lebih baik kita fokuskan kepada isu zakat berbaki kerana masalah pengagihan. Di Selangor sahaja, jumlah zakat yang tidak diagihkan( atau zakat berbaki) ialah sebanyak RM20.5 juta setahun. Malah dari tahun 2005 hingga 2010, terdapat hampir mencecah RM123.3 juta wang zakat yang tidak diagihkan. Tapi dalam masa yang sama berlambak golongan miskin di negara kita, lagi teruk hingga terpaksa mengemis simpati gereja. Dan,dalam masa yang sama, wang zakat yang berbaki itu digunapakai untuk membeli dan membina bangunan supaya lebih gah dan hebat.

Friday 12 August 2011

Apabila Puasa Dimusuhi.







Memusuhi ibadat puasa, Memerangi bulan Ramadhan dan Meragui agama Islam. Itulah kesimpulan yang dapat kita rumuskan apabila memperkatakan tentang Presiden Tunisia yang pertama, Habib Bourguiba.



Pada tahun 1961, Presiden Tunisia yang sering disama tarafkan denggan Mustafa Kemal Ataturk ini telah mengemparkan dunia islam. Habib Bourguiba, telah mengeluarkan perintah melarang rakyatnya, terutamanya dalam kalangan kakitangan awam daripada berpuasa di bulan Ramadhan. Alasannya, berpuasa akan mengurangkan produktiviti negara.



Tidak cukup dengan itu, Habib Bourguiba telah muncul bersama anggota kabinetnya secara langsung di televisyen pada tengah hari Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai. Itu cerita lama, cerita tahun 1961 dan Habib Bourguiba telah pun meninggal dunia. Moga dia bersemadi dengan aman. Cuma ‘reinkarnasi’ Habib Bourguiba masih wujud dalam kalangan muslim mana-mana pelusuk bumi. Mereka ini tidaklah seteruk Habib Bougirba sebab mereka tidak pernah mengharamkan amalan berpuasa, cuma mereka meninggalkan puasa tanpa sebab yang diharuskan oleh syarak, atau dengan istilah mudah mereka ni ponteng puasa.



Lihat sekali lagi alasan Habib Bourgiba dan benarkah berpuasa mengurangkan produktiviti? Jika kita menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai kayu ukur, tentu sekali kenyataan Habib Bourgiba itu salah dan tersasar.



Malah, kalau kita rujuk sejarah awal islam, di dapati kenyataan Habib Bourgiba silap dan terbabas. Sebab sejarah telah menjilidkan detik-detik gemilang yang diraih oleh umat islam di sepanjang bulan Ramadhan. Perang Badar yang dimenangi oleh umat islam berlaku di bulan Ramadhan. Kota Mekah dibebaskan juga di bulan Ramadhan. Ketibaan Islam di Andalus dan mengasaskan pemerintahan Islam dan begitu juga dengan Peperangan Ain Jalut yang menumpaskan pengganas Tatar juga berlaku di bulan Ramadhan. Pembebasan bumi Palestin oleh Salahuddin al-Ayyubi pun berlaku di bulan Ramadhan.(fakta ni saya petik dari Ustaz Hasrizal Jamil ).



Tak cukup dengan menyelongkar ‘kisah-kisah lama’ kita hidangkan pula realiti semasa. Perlu sekali dihidangkan agar ‘reinkarnasi’ Habib Bourguiba ini dapat ditundukan. Pasti ramai yang mengenali Frederic Kanoute, seorang bintang bolasepak yang tak perlu saya perkenalkan. Setelah memeluk islam, beliau telah mencuba sedaya yang boleh dan sekudrat yang mampu untuk menterjemahakn islam di dalam hidup dan kehidupannya. Dia dkatakan tidak pernah meninggalkan puasa walaupun terpaksa menjalani latihan sepanjang Ramadhan. Ini yang ingin saya paparkan, iaitu puasa tidak sesekalipun mengurangkan produktiviti Kanoute. Malah dia dikatakan tetap lincah mengharungi perlawanan demi perlawanan dan menjaring gol demi gol walaupun berpuasa. Kanoute antara bukti terbaik, sesungguhnya ibadat puasa tidak sesekali mengurangkan produktiviti diri.



Untuk pengetahun sahabat, Kanoute juga pernah dikenakan denda sebanyak 3,000 euro (RM14,500) oleh Persekutuan bola Sepak Sepanyol kerana beliau telah menunjukkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin. Paling hebat, beliau telah bertindak menyelamatkan sebuah masjid (sekali gus maruah agama islam). Masjid tersebut merupakan sebuah bangunan yang disewa oleh penduduk islam Seville. Pemilik bangunan tersebut ingin menjual bangunan itu setelah kontrak sewaan tamat. Ini bermakna umat islam di Seville tidak lagi mempunyai tempat untuk bersolat jemaah terutamanya solat jumaat dan hari raya. Dalam keadaan getir sebegini, Kanoute telah tampil dan membeli bangunan tersebut untuk kegunaan umat islam Seville. Bangunan itu dibeli dengan harga 510.860 euro (RM2.26 juta) dan yang paling mengharukan harga atau nilai tersebut hampir menyamai pendapatannya selama setahun.



Sekali lagi kita renung pandangan Habib Bourgiba, iaitu berpuasa mengurangkan produktiviti. Pandangan yang ternyata salah dan silap. Kenyataan yang tersasar dari orbit iman dan terbabas dari fakta sejarah.



Walaupun begitu, janganlah pula kita ‘membenarkan’ pandangan ini menerusi sikap dan perbuatan kita. Bukan apa, sebab di bulan yang diwajibkan berlapar dan berdahaga ini, kita wajibkan pula diri kita untuk malas dan culas. Amat malang jika rakan sekerja dengan kita itu terdiri daripada rakan-rakan bukan islam. Dan, lagi malang, jika majikan kita pula bukan islam. Mereka akan memandang ibadat puasa sebagai satu penyeksaan dan seterusnya mengurangkan produktiviti. Sama-samalah kita muhasabah diri, agar kita tidak menjadi duta yang menghakis dan mengikis imej islam, meskipun kita tidak menjadi ‘jelmaan semula’ Habib Bougirba.

Tuesday 9 August 2011

SENARAI HOTEL & RESORT YANG MENDAPAT SIJIL HALAL MALAYSIA (JAKIM) - [SIJIL MASIH SAH]







Buffet Ramadhan memang sesuatu yang tidak asing lagi di tempat kita. Ia mendapat sambutan dari semasa ke semasa. Di bulan yang diwajibkan berlapar dan berdahaga ini, manusia mudah ‘disihir’ oleh aneka makanan dan minuman yang beraneka rasa dan warna.

Namun, aneka rasa dan warna dan faktor harga tidak harus dijadikan kayu ukur oleh pengguna islam.



Sebagai pengguna yang bijak, persoalan halal dan haram yang wajib diutamakan. Terlalu banyak hotel-hotel dan resort untuk saya senaraikan. Merangkumi setiap negeri di seluruh negara. jadi sahabat boleh melakukan rujukan sendiri dengan berkunjung ke laman ini, Portal Rasmi Hab Halal Malaysia






Info Tambahan:



Kekedang terdapat pihak-pihak tertentu yang mengadakan dan menganjurkan majlis berbuka di hotel-hotel. Adakalanya di hotel-hotel mewah dengan bayaran yang agak ‘mewah’ yang kekadang lari dari konsep dan falsafah Ramadhan. Sebab sewajarnya di bulan yang mulia ini kita cuba menghayati kesusahan golongan yang miskin termasuklah saudara seagama dan seakidah dengan kita seperti di Kemboja yang rata- ritinya menjamah daging hanya setahun sekali. Hari-hari biasa, nasi berlaukkan garam atau ikan sungai serta ubi kayu sahajalah menunya.

Monday 8 August 2011

Tolak Dialog : Tindakan Kurang Bijak Uthman El-Muhammady, Kata Dr Asri









SHAH ALAM 8 OGOS : Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan keengganan pendakwah bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady untuk menerima pelawaan dialog berhubung isu Wahabi sebagai reaksi tidak profesional dan "kurang intelek" pemimpin itu.



Bercakap kepada Tv Selangor, Dr Asri berkata, seorang pemimpin Islam seharusnya mencerminkan sikap cendekiawan dan bukannya membiarkan sesuatu perkara yang dibangkitkannya menjadi pertikaian awam dan dibiarkan begitu sahaja.



"Dukacita sekiranya kita menuduh orang lain, di mana orang yang dituduh itu menjemput untuk mendengar alasan dan hujah tuduhan tetapi kita enggan.



" Ini bukan reaksi interlek dan sikap cendiakawan yang sepatutnya ditonjolkan dalam dunia Islam. Sekiranya kita telah menuduh sesorang dengan tuduhan yang berat dan diminta untuk berbincang eloklah kita berbincang," kata Dr Asri.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan yang diambil penceramah popular, Dr Uthman yang sebelum ini mengaitkan beberapa tokoh agama dengan fahaman Wahabi dan terorisme.



Uthman sebelum ini menolak jemputan rasmi dialog oleh jawatankuasa fatwa Perlis setelah penceramah itu mengaitkan beberapa tokoh agama di negara ini dengan fahaman Wahabi.



Antaranya Mufti Perlis sekarang, Dr Juanda Jaya dan mantan jawatan itu, Dr Asri sendiri.



Dr Juanda sebelum ini menyatakan kekecewaannya di atas penolakan Uthman untuk mengadakan satu dialog harmoni mengenai 'kesesatan' dan 'keganasan' Arab Saudi yang dibangkitkan Uthman.



“Bagaimana mungkin seorang yang merupakan 'ahli akademik' takut untuk berhujah secara akademik dan terbuka bagi mempertahankan pandangan dan ideanya yang telah menghuru-harakan negara dan menjejaskan hubungan Malaysia dengan Arab Saudi akibat tuduhannya yang dibuat secara membabi-buta,” kata Dr Juanda dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.



Mengulas senario itu, Dr Asri menambah, Dr Juanda mahupun jawatankuasa fatwa Perlis mempunyai sebab kukuh menjemput Uthman menghadiri dialog berkenaan.



" (Oleh) kerana ini membabitkan satu tuduhan ke atas sebuah kerajaan sebagai pengganas dan sesat ke atas Arab Saudi, ini adalah satu tuduhan yang besar sedangkan Malaysia ada hubungan rapat dengan mereka (Arab Saudi) dan hubungan ini adalah satu hubungan yang baik (antara negara Islam),"kata beliua.



Ujarnya lagi, insiden ini merupakan sesuatu yang serius dan mendesak ia diselesaikan segera memandangkan umat Islam di Malaysia mempunyai kepentingan yang amat banyak dengan pihak Arab Saudi khususnya dalam hubungan keagamaan, politik, ekonomi dan sosial.



"Pihak saya difahamkan, kerajaan Arab Saudi memandang serius perkara ini, kerana tuduhan berat ke atas negaranya sebagai pengganas dan ini saya lihat ia adalah satu kelemahan yang hadir dari kerajaan pemerintah yang ada.



"Saya tidak katakan perkara ini terbit dari pimpinan kerajaan pusat, namun ia adalah sebagai tanda bahawa kerajaan pemerintah yang sedia ada ini lemah sehingga gagal mengawal organisasi-organisasi yang ada sehingga mereka mampu bertindak sendiri tanpa sebarang halangan,"katanya lagi.



Sebelum ini, Uthman yang dipanggil Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi taklimat mengenai Wahabi.



Selain itu, Uthman juga dilaporkan turut mengaitkan Dr Asri dan 40 ulama muda Umno antara yang dikaitkan dengan fahaman itu.



Bagaimanapun setelah itu, Uthman berkata, beliau sedia menerima pelawaan berdialog dengan Dr Juanda dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar bagi menjelaskan hal itu.



Bagaimanapun, Uthman yang juga merupakan Tokoh Maal Hijrah kemudiannya mengambil pendirian menolak jemputan rasmi itu, Jumaat lalu.


sumber:TVS NEWS



Info Tambahan:



Dr. Muhammad Uthman El Muhammady wajar dianggap "kurang intelek" kerana takut untuk menyahut pelawaan dialog. Belaiau sepatutnya membuktikan kelelakiannya dengan berhujah secara bijaksana dan bukannya hentam sembrono. Dr Uthman telah menghuru-harakan negara dengan menuduh Dr Asri dan ulama Muda umno, Dr Juanda Jaya, mufti Perlis sebagai pengganas. Tak cukup denagn itu, Dr Uthman turut menuduh Arab Saudi sebagai penaja keganasan.

Saturday 6 August 2011

Kek Lapis Dayang Salhah Tidak Menggunakan Golden Churn Creamy Butter

(Kedai Kek Dayang Salhah,Gambar Dari Google)


Ini adalah sambungan daripada Episod Lepas. Kek Lapis Dayang Salhah, adalah halal dan tidak pernah mengunakan “Golden Churn Creamy Butter”. Semalam, saya ada menghubungi seorang sahabat lama yang berkhidmat di Jabatan Kimia di sebuah negeri. Beliau adalah anak jati Sarawak dan rakan sekampus saya sewaktu di USM. Juga sama-sama aktivis Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia(PMIUSM).

Umum telah mengetahui, bahawasanya pihak JAKIM, Jabatan Agama Islam Sarawak(JAIS) dan Jabatan Kimia Sarawak telah melakukan penyeledikan bersama dan mendapati mentega “golden Churn Creamy Butter” yang digunapakai oleh sesetengah pengusaha kek lapis Sarawak adalah haram kerana mengandungi DNA babi.

Saya juga ada menerima kiriman sms daripada pihak pengurusan Kek Lapis Dayang Salhah. Berikut saya paparkan sms yang baru saya terima itu( 04:42:39 pm. 06 -Aug-2011) “ Salam. Untuk makluman rakan-rakan semua, bahawa kami kek lapis Dayang Salhah tidak pernah menggunakan butter “golden chern” yg mengandungi DNA babi. Kami menggunakan butter “Bakels” yang kami beli dari Kuala Lumpur. Pihak Jabatan Agama Islam Sarawak telah pun melawat kedai dan kilang kami baru2 ini untuk mengesahkan kami bebas dari penggunaan butter tersebut. Dan kami telah lulus. Saya pun memang sangat particular tentang hal2 halal haram ni. Saya berani tanggung sekiranya saya bohong dengan customer saya. Jadi saya harap rakan2 semua jgn berasa was2 lagi tentang penggunaan butter kami. Harap maklum.


(Gambar dari google)


KENAPA SAYA PERLU BERBICARA ISU INI:

Ini kerana kek lapis Dayang Salhah adalah antara kek lapis Sarawak yang paling terkenal. Mungkin kerana lokasinya yang berhampiran dengan Kuching Waterfront dan yang pasti kerana keenakannya. Sepanjang perhatian saya sepanjang berkunjung ke Kuching sebelum ini, saya dapati ramai pelancong-pelancong dari semenanjung yang mengemari kek lapis dayang salhah.

Malah kalau kita perhatikan di Kuching International Airport, bungkusan tertera perkataan kek lapis dayang salhah adalah pemandangan yang biasa kerana kebiasaannya pelancong dari semenanjung akan membeli kek lapis dayang salhah sebagai buah tangan kepada sanak saudara dan rakan taulan di Semenanjung.

Atas semangat persaudaraan islam, saya memohon janganlah ada antara kita yang cuba menganggu gugat perusahaan saudara seagama dan seakidah dengan kita dengan menyebarkan berita dan cerita tak berasas di internet.

SEKADAR RENUNGAN:

“Fas alu ahla zikri in kuntum la ta’lamun ”(bertanyalah kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui.).Inilah penyelesaian terbaik terhadap polemik halal dan haram sesuatu produk. Siapakah ahli zikri dalam persoalan ini, tentu sahaja JAKIM. Kakitangan JAKIM bukanlah para ustaz dan ustazah, atau lulusan agama semata-mata. Ramai juga yang berkelulusan dalam lain-lain bidang termasuklah teknlogi makanan yang menjadi penyelidik di JAKIM.Selain JAKIM,penyelidikan bersama juga dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri dan agensi-agensi lain termasuklah Jabatan Kimia.

Ada yang beralasan kita perlu berhati-hati tentang soal dan haram sebab ia melibatkan darah dan daging. Memang benar, berhati-hati amatlah penting, tapi kita tidak diminta untuk berlebih-lebih dalam mengamalkan sikap berhati-hati, apatah lagi kita telah mempunyai ahli zikri dalam masalah ini, iaitu pihak JAKIM.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam bukhari sewajarnya kita hayati, iaitu kisah suatu kaum yang bertanya kepada Nabi: "Bahwa ada satu kaum yang memberinya daging, tetapi kita tidak tahu apakah disebut asma' Allah atau tidak. Maka jawab Nabi: Sebutlah asma' Allah(baca Bismillah) atasnya dan makanlah," (Riwayat Bukhari).

Berdasarkan hadis ini jelas sekali, kita tidak sesekali diminta untuk memperincikan sesuatu yang diluar pandangan dan pengetahuan kita. Dan, dengan adanya ahli zikri dalam hal ini, iaitu para agamawan dan penyelidik dari JAKIM, maka tak perlulah kita menjadi mufti tak rasmi dengan memfatwakan makanan itu halal dan haram di internet dengan berwahyukan khabar angin

Wednesday 3 August 2011

Kelantan: Sederhana Dan Mendidik ( sebuah artikel dari Dr Mohd Asri Zainul Abidin)



Pada 30 hb Julai 2011 lepas saya menghadiri satu lagi jemputan satu program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan bertajuk ‘Bicara Selebriti’. Ya, sudah beberapa kali saya dijemput ke Balai Islam, Kelantan untuk pelbagai wacana. Namun kali ini agak lain sedikit. Biasanya di pentas Balai Islam itu saya akan berbicara dan berdiskusi dengan tokoh-tokoh politik atau pemikir. Selalunya ‘panas’ dan banyak emosi akan ‘bangkit’.

Namun kali ini agak santai dengan tajuk dan panel yang demikian rupa. Turut diundang selebriti Wardina Safiyyah dan guitaris terbilang saudara Sham Kamikaze. Turut menjadi panel tokoh dakwah yang dikenali ramai, sahabat baik saya yang lama tidak bertemu al-Fadhil Ustaz Hasrizal Jamil dan juga sahabat baik saya Amin Idris sebagai moderator.


Saya bukan tidak pernah sepentas dengan Wardina, hanya seminggu lepas saya dan beliau berforum di KUIS, Selangor yang turut dihadiri oleh Dato Sri Shahrizat Jalil. Beliau juga sahabat saya. Demikian Saudara Sham Kamikaze yang selalu juga ke rumah saya di Bukit Mertajam. Namun, untuk sepentas atas nama selebriti agak berat bagi saya. Saya bukanlah terkenal seperti mereka. Mereka selebriti, saya rakyat marhaen.

Ya, saya seorang rakyat biasa, yang kadang-kala terlibat mengulas isu-isu yang menjadi hak rakyat muslim merdeka untuk memperkatakannya. Cuma, saya juga mengulas banyak isu seni di sudut agama dan pemikiran serta menulis puisi dan lirik. Mungkin yang lebih ‘sikit’ pernah jadi Mufti Perlis. Ramai juga artis-artis glamour merupakan sahabat baik saya. Namun, agak ‘segan’ untuk duduk atas pentas atas nama selebriti. Apapun, saya kagum dengan kepimpinan Kerajaan Kelantan yang menampilkan kematangan mereka dalam mengadunkan isu-isu hiburan ini di negeri yang terkenal dengan banyak pusat pengajian agama.




(Dr Asri membaca puisi sambil
diiringi petikan gitar dari Sham Kamikaze)



Dalam majlis itu, saya mengambil peranan membahaskan pandangan sarjana tentang nyanyian dan muzik. Saya tahu, bukan senang bagi pihak kerajaan negeri untuk membolehkan lahirnya sikap terbuka dalam kalangan mereka yang ‘kuat agama’ mengenai isu ini. Apatah lagi di Kelantan yang banyak pondok-pondok tradisionalnya. Dalam masa yang sama, generasi muda inginkan hiburan dan mereka perlukan bimbingan.

Dalam majlis itu, saya jelaskan bahawa ada perbezaan pendapat dalam kalangan sarjana fekah mengenai persoalan nyanyian dan muzik. Dalam persoalan khilaf yang muktabar seperti ini, seseorang berhak memilih pandangan dia yakini dan tidak boleh memaksa orang lain meyakini apa yang dia yakini. Ertinya, setiap muslim berhak berpegang dengan pandangan yang dia rasa lebih rajih atau kukuh. Dia tidak boleh mewajibkan pandangan tersebut ke atas orang lain, jika mereka mentarjihkan pandangan yang berbeza. Ini khilaf yang diiktiraf atau khilaf mu’tabar. Tiada siapa yang berhak memaksa pilihannya ke atas orang lain. Maksudnya, jika ada yang mengharamkan muzik, maka tidak boleh dia memaksa pandangan yang sama ke atas mereka yang mengharuskannya. Demikian sebaliknya.

Bagi saya, saya selalu teringat Nabi s.a.w ketika membenarkan pertunjukkan permaianan perisai dan lembing dalam masjid, sehingga ramai yang menonton termasuk kaum wanita dan isteri Nabi s.a.w sendiri iaitu Aishah, baginda bersabda:
“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Bahkan baginda s.a.w apabila hadir ke perkahwinan Ansar, baginda bersabda:
“Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”(Riwayat al-Bukhari).

Lebih dari itu, kadang-kala baginda terlibat dalam membetulkan lirik, agar lebih bertepatan dengan ajaran Islam. Al-Rubaiyi’ binti Mu’awwiz menceritakan bahawa:
“RasululLah s.a.w datang ke majlis perkahwinanku, lalu baginda duduk di tempat dudukku. Beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu” (Riwayat al-Bukhari).

Demikian, Nabi s.a.w tidak melarang nyanyian gadis-gadis tersebut sekalipun lagu-lagu berlirik sedih yang dinyanyikan mengenai mereka yang terkorban. Cumanya apabila mereka menyebut lirik yang bercanggahan dengan kebenaran maka Nabi s.a.w. menegurnya. Dalam hadis ini Nabi s.a.w menegur ungkapan yang menyatakan baginda tahu apa yang akan terjadi pada esok hari. Hal ini tidak benar. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara yang bakal berlaku.

Kelantan Contoh
Sebagai sebuah kerajaan, kepimpinan Kelantan telah mengambil jalan yang yang sederhana. Kelantan –melalui program seperti ini- memberikan pendidikan secara langsung dan tidak langsung untuk activist muslim berinteraksi dengan dunia hiburan. Sekaligus mendekati anak-anak muda. Jalannya bukan memerangi hiburan, sebaliknya mencari ruang untuk dimanfaatkan; maka rakyat dapat berhibur secara terarah dan tidak melampai batas.

Dengan itu Kelantan tidak menjadi kerajaan yang tidak bertanggungjawab yang membiarkan rakyat bebas lepas dengan hiburan tanpa bimbingan, tidak juga menjadi jumud sehingga mengharamkan segala bentuk hiburan; nyanyian, muzik dan filem.
Demikianlah, apabila sesebuah kepimpinan itu ada wawasan yang jelas dan nurani yang inginkan rakyat berada dalam bimbingan yang betul. Segala gerakerja diselaraskan antara kehendak rakyat dan peraturan agama. Sikap yang matang lagi sederhana diperlukan oleh rakyat dan umat pada setiap ketika.

Bukan masanya untuk mengharamkan itu dan ini tanpa memberikan alternative yang dapat membimbing rakyat yang pelbagai ragam dan kehendak. Janganlah pula jadi seperti kepimpinan yang hanya hendak ‘memberikan keseronokan’ kerana inginkan sokongan mereka rakyat tanpa memikirkan kesan dan masa depan.

Cumanya, masih banyak perkara yang perlu dibuat. Kita perlukan pembikinan karya-karya seni dalam pelbagai bidang yang berkualiti dan mendidik. Ada gabungan antara unsuran hiburan dan bimbingan secara terancang. Ada ikatan antara seni dan kehidupan insani secara berkesan. Ini memerlukan satu perancangan jangka panjang dan pendek. Semoga Kelantan mampu melangkah lebih jauh.

Tahniah YB Baihaki Atiqullah
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada sahabat yang saya kasihi YB Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah yang bertungkus lumus menjayakan program tersebut. Beliau anak tuan guru pondok Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Atiqullah Yaakob. Latar belakang agamanya dan sikapnya yang terbuka patut menjadi contoh kepada banyak pihak. Beliau adalah salah satu bukti bahawa kepimpinan agama di Kelantan bersikap rasional dan meraikan perbezaan latar belakang rakyat.

Sangkaan bahawa kepimpinan agama akan mengharamkan hiburan dan seni ke atas rakyat adalah tidak benar jika dikaitkan dengan kepimpinan Kelantan. YB Ahmad Baihaqi masih muda. Beliau dua tahun lebih muda dari saya. Sama-sama belajar di Jordan dahulu. Hari ini menjadi pemimpin yang makin matang. Apa yang masih perlu untuk semua insan, termasuk beliau adalah terus mendedahkan diri kepada maklumat yang pelbagai, aliran fikir yang semakin rencam dan mencari kesederhanaan di sebalik itu semua. Tahniah YB Baihaqi atas usaha membuka minda dan mencari alternative. Tahniah Kelantan!

Sumber : DR MAZA