Wednesday 22 October 2008

SEKADAR KUNANG-KUNANG MENEMANI KEGELAPAN

SEKADAR KUNANG-KUNANG MENEMANI KEGELAPAN

(Khas untuk pemburu redha Allah yang sentiasa ghairah dan sentiasa terangsang dengan ganjaran pahala-Nya.)
Jika tidak mampu menjadi pelita yang menerangi malam,
memadailah sekadar menjadi kunang-kunang yang menemani kegelapan.
Setidak-tidaknya ada juga cahaya yang menerangi zulmat(gelap) malam, meskipun seminimum mungkin.

**************************
“Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman dalam beragama.”( Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Agama adalah petunjuk dan kayu ukur dalam kehidupan. Justeru, kefahaman terhadapnya amatlah penting agar hidup tidak tersasar tanpa pedoman.

“Saya bukan orang agama” Betapa bodohnya dirimu jika beralasan begitu. Kefahaman terhadap agama bukan hak milik mutlak “orang-orang agama”(maksud saya, lulusan agama) namun ia satu keperluan untuk menjadi “orang yang beragama”( maksud saya, orang yang ada naluri ingin berTUHAN dan rasa keHAMBAAN terhadap-Nya). Jadi Tolonglah jangan berhujah dengan sebegini dunggu. Al-Albani seorang ulama( orang agama). Begitu juga dengan Sheikh bin Bazz, Sheikh al-Uthaimin, Dr Yusof al-Qardhawi, Dr Wahbah Zuhailli, Sheikh Atiyah Saqr, Shiekh Muhammad Abu Zahrah, Syuaib Arnout, Dr Said Ramadhan al-Booti dan lain-lain lagi. Tapi jangan lupa Sir Muhammad Iqbal, Dr Abdul Aziz al-Rantisi dan Necmettin Erbakan bukanlah orang agama tetapi mereka merupakan orang yang beragama. Namun mereka telah memberi sumbangan yang amat besar terhadap agama.

Tiada ruang waktu untuk bertalaqqi. Itu juga bukanlah hujah yang bijak untuk mewajarkan diri terasing tanpa Tafaqquh Fiddin. Sebab sesiapa sahaja dianugerahkan 24 jam sehari. Al-Albani mewakafkan masa melebihi 16 jam sehari untuk mentelaah kitab-kitab Hadis di perpustakaan di Syria. Kegigihan ini hingga memebolehkannya muncul sebagai ilmuan hadis yang tersohor. Bagaimana pula dengan kita. Berapa jam yang kita peruntukkan untuk Akademi Fantasia? Berapa jam pula untuk Malaysian Idol, Raja Lawak dan terkini Sehati Berdansa.

Jangan juga kita menjadikan faktor usia sebagai alasan malu dan segan untuk memantapkan pengetahuan agama. Kita mesti sentiasa berjiwa muda dalam menggapai redha Allah. Jadilah pemburu redha Allah yang sentiasa ghairah yang sentiasa teransang dengan ganjaran pahala-Nya. Contohilah Abu Ayub al-Anshari yang gigih berjuang menyahut seruan Nabi s.a.w untuk menawan kota Costantinople, meskipun kala itu usianya sudah boleh dikategorikan sebagai senja. Ada sejarahwan mengatakan umrnya tika itu adalah 90 tahun. Fudhail bin Iyadh juga dikatakan mendalami agama sewaktu berusia 40 tahun.

************************************

Ayuh sahabatku, kita mulakan kembara rohani. Kita atur langkah dengan cermat, kita susun jejak dengan hati-hati. Kemudian terus melangkah dan jangan undur lagi. Redha Tuhan sedang menanti bersama derap langkah kaki. Bagaimana caranya?

Jadilah kunang-kunang yang menemani kegelapan. Itu sudah cukup dan memadai sekiranya kita tak mampu menjadi pelita yang menerangi malam.
Mungkin sahabat sekalian tertanya-tanya apakah kunang-kunang yang saya maksudkan. Sebenarnya saya meminjam istilah ini dari seorang rakan. Dia sering menggunakan istilah ini tatkala berSMS mahupun berEMAIL dengan saya. Pesannya kepada saya, jika tak mampu melakukan semua yang kita mahu, janganlah pula ditinggalkan semua yang kita mampu. Jika tak mampu jadi pelita cukuplah sekadar menjadi kunang-kunang.

Memang tidak semua kita yang berkesempatan untuk bertalaqqi.
Namun jangan biarkan langkah terhenti selagi kita masih bernadi. Jangan biarkan diri terus hanyut selagi jantung masih berdenyut dan berdegup.
Hari ini sentiasa ada ruang untuk kita memperolehi kefahaman dalam beragama. IPTA tempatan seperti UM, KIAS , KISDAR ada menyediakan program pengajian agama. Sijil bahasa arab, usuluddin, syariah dan hadis di sediakan. Malah boleh dilanjutkan ke peringkat diploma. Jika kediaman anda berhampiran pondok pengajian islam, janganlah segan untuk menyertai program pengajiannya. Dahulu sewaktu cuti semester saya pernah memondok secara separuh masa di pondok Pasir Tumboh Kelantan. Malah beberapa orang sahabat saya turut berbuat demikian di pondok Lubuk Tapah Pasir Mas. Jika masjid atau surau berhampiran kediaman anda mengadakan kuliah agama selepas solat maghrib, maka janganlah ketinggalan menyertainya.

Jika kita tidak mampu menghadiri kelas agama, memadailah dengan menonton rancangan-rancangan berbentuk keagamaan yang disirkan di kaca tv. Al-Kuliyyah, Halaqah, Forum Perdana, Bicara Mufti, Senandung Qalbu, Mari Bertaranum, Mari Mengaji dan macam-macam lagi. Ambilah manfaat daripadanya.

*****************************

Memang ini semua tidak mampu menjadikan kita sehebat Qardhawi mahupun Wahbah Zuhaili yang mendalami agama dengan sehebat-hebatnya.. Namun sekurang-kurangnya kita sentiasa mendapat kefahaman dalam beragama. Dan lebih penting lagi ia menjadikan kita ‘hari ini lebih baik dari semalam’. Jadi jangan buang masa. Siapa kata kita tidak boleh. Umat islam sentiasa boleh.

Jadilah kunang-kunang meskipun tidak mampu menjadi pelita. Kedua-duanya bercahaya. Bezanya cuma, tahap kecerahannya sahaja. Kita dengan ulama-ulama muktabar pun begitu juga. Sama-sama ada kefahaman agama. Cuma beza tahap penguasaanya sahaja. Jadi, sentiasalah ghairah untuk mendalami ilmu agama.